Khamis, 30 April 2009

Pak Lah juga idola saya

Tags

Rasanya, antara sasterawan negara yang paling banyak mempengaruhi sikap hidup saya ialah Pak Lah. (Sasterawan Negara Datuk Haji Abdullah Hussain).
Rasanya banyak saya pelajari daripada beliau secara tidak langsung, yang menjadi panduan dan pedoman saya.Saya mungkin antara pembaca buku-bukunya yang paling setia dan telah membaca hampir kesemua bukunya. Baik antologi cerpen, novel, autobiografi, buku terjemahan dan buku biografi yang ditulisnya.
Saya pernah memberitahunya dalam pertemuan Dialog Penulis Teluk di WP Labuan tahun 1987 dulu. Malah dalam Dialog Borneo yang diadakan di Kota Kinabalu, Pak lah yang mendorong saya untuk berdiri mendebat pendapat seorang profesor dari Kalimantan mengenai budaya. Kami banyak bertemu dalam setiap kali pertemuan, baik yang diadakan di KK atau di KL. Kecuali sejak akhir-akhir ini dengarnya beliau agak kurang sihat.
Saya terpengaruh dengan novel-novelnya.Autobiografinya.Cerpen-cerpennya terutamanya siri cerpen pertemuan, Pertemuan di Kota Kinabalu, Pertemuan di Miri, Pertemuan di Cianjur dan dan sebagainya.Novel Interlok, Imam, Peristiwa, Aku Tidak Minta, Terjebak dan lain-lain lagi.Kecuali barangkali buku Kuala Lumpur Kita Punya yang saya kurang minat.
Ini tidak bererti saya tidak membaca novel sasterawan negara yang lain. saya telah membaca hampir kesemua novel Pak Samad, hampir kesemua novel Arena Wati, Novel Keris Mas, S.Othman Kelantan. Hampir semua cerpen Dr.Shahnon saya baca cuma novelnya kurang sikit.

Sebenarnya saya bermaksud untuk menulis sesuatu mengenai pengarang yang banyak mempengaruhi sikap hidup saya.Saya sangat berterima kasih kepada Pak Lah (Abdullah Hussain) yang menjadi idola saya. Semoga beliau sentiasa sihat dan dilindungi.