Jumaat, 20 Mac 2009

Julkalani, seni dan nyanyian Waty

Tags

Sebagai pencinta dan aktivis seni, Julkalani Haji Abd.Rahman melangkah setapak lagi dengan menerbitkan album yang menggabungkan irama bajau Semporna dengan lagu dalam bahasa dusun.Sungguh menarik percubaan yang dibuat oleh Julkalani dan ini pasti memperkayakan lagi khazanah seni hiburan kita. Berikut petikan berita mengenai album pertama yang diterbitkan oleh Julkalani, berjudul Sumadak Olundus yang dinyanyikan Waty Lajungin.


WATY LAJUNGIN SERLAHKAN KELAINAN DALAM ALBUM PERTAMA

Waty Lajungin mungkin satu nama baru dalam dunia hiburan di negeri ini. Namun penyanyi lagu-lagu berbahasa Dusun ini tampil di persada seni dengan bakat yang begitu menyerlah.Kemunculan Waty dengan album `Sumandak Olundus' menyerlahkan satu kelainan. Kerana kelainan itu, menjadikan album itu begitu istimewa kepada penggemarnya.
Penyanyi ini tampil istimewa lagu-lagu menarik, liriknya dicipta oleh Waty sendiri manakala lagunya dicipta oleh seorang aktivis seni yang tidak asing lagi di negeri ini,Julkalani Haji Abdul Rahman berdasarkan rentak irama tari budaya Bajau Semporna.
Penerbitan album itu dianggap membuka lembaran baru dalam seni hiburan kerana menggabungkan kombinasi dua etnik yang memiliki khazanah seni yang ditinggi.
Album Sumandak Olundus, album pertama yang menghimpunkan sepuluh lagu bahasa Dusun itu diterbitkan oleh sebuah syarikat penerbit album tempatan, Jay Production, kini sudahpun terjual di pasaran di seluruh Sabah.

Antara lagu dalam album Waty Lajungin itu ialah Sumandak Olundus menggunakan rentak (Buliga)
Molohing Kopusan (Allan), Langadon Kampungku (ulan-ulan)Tanak Mosikin (Lolai)Momo Tanom Parai (sintakan taliaga)
Miniada Kio (lolai ku manis)Sinidualan (Sikanandungan)Gisom Kapatayon (Allan Rayang)Piginawaan Nokusini (Karandaman) Omis-Omis Miginawo (Sintakan Daling)
Kemunculan penyanyi berasal dari Ranau itu pasti membuat banyak kejutan dalam dunia hiburan tanahair kerana lagu-lagunya yang dialunkan membawa mesej tersendiri mengenai rasa cinta tanahair, kepada kekasih, kehidupan, penderitaan, rindu dan sebagainya.
"Kami menerbitkan album ini untuk integrasi dan perpaduan," kata Julkalani, ketika ditemui di ibu negeri.
Menurutnya, usaha menerbitkan lagu itu bertujuan untuk meluaskan lagi dimensi supaya lagu-lagu etnik tempatan seperti lagu-lagu Bajau Semporna dapat dihayati oleh rakyat Sabah.
Selepas penerbitan album itu, kita akan berusaha untuk menerbitkannya pula dalam bentuk video klip. Beliau juga berkata, pihaknya sedang mempertimbangkan penerbitan lagu-lagu berentak keroncong, dangdut dan sebagainya pada masa depan.
Beliau ternyata gembira dengan penerbitan album Sumandak Olundus itu kerana album itu adalah kombinasi budaya Dusun dan Bajau dimana senikata lagu ditulis oleh Waty sendiri manakala lagu dicipta menggunakan latar budaya Semporna.
"Kami harap lagu-lagu dalam album pertama Waty akan mendapat sambutan daripada peminat seni hiburan di negeri ini," katanya.