Saya sengaja berlambat-lambat membaca coretan sahabat saya, Lichong Angkui yang ditulisnya buat kali yang terakhir buat pembaca Utusan Borneo. Ada semacam rasa keengganan untuk membaca coretan itu. Tetapi saya membacanya juga, ketika duduk bersendirian di hadapan komputer seperti ini.
Lichong melangkah pergi meninggalkan UB tetapi saya yakin beliau tidak akan dapat berhenti meninggalkan dunia kewartawanan kerana sekali menjadi wartawan,akan terus menjadi wartawan, apapun bentuknya.
Kami enggan melepaskannya tetapi beliau telah membuat pilihan dan kami terpaksa menghormatinya. Pernah beberapa kali saya cuba menghubunginya tetapi telefon itu terus berdering dan berdering dan seperti lagu ebeit g ade, beliau seolah-olah menyatakan perjalanan itu sungguh menyedihkan.
Memang menyedihkan kejadian malam itu. Kata orang, malang tidak berbau kerana sekiranya ia berbau, tentu tidaklah berlaku kemalangan itu. Dan kerana itu, beliau terlantar di rumah sakit dan seperti katanya, hingga kini masih berkerusi roda untuk meneruskan perjalanan -yang katanya-masih samar untuknya.
Tetapi saya percaya, bermula dengan kesamaranlah, kita akan melihat cahaya yang terang benderang. Bahawa segala yang terjadi pasti ada hikmah di sebaliknya.Bahawa tidak ada sehelai daunpun yang tertanggal yang terlepas dari perhatianNya. Bahawa tragedi hidup seperti kemalangan tragik yang dialami Lichong, bukanlah tragedi sebaliknya cara Tuhan bercakap dengan kita, sebagai hamba, bahawa Dia masih melindungi kita dengan kasih rahmatNya.
Lichong merupakan antara personaliti yang influental dalam kerjaya saya sebagai wartawan.Belaiu banyak berjasa kepada saya. Seingat saya, melalui tangan beliaulah, tulisan saya yang terawal terpapar dalam akhbar Berita Harian dalam tahun 1980-an dulu. Saya tidak dapat melupakan perhatian dan galakan yang diberikannya. Sebagai seorang peribadi, saya mengenali beliau sebagai seorang yang amat baik, dedikasi dan penuh komitmen dalam kerjayanya.Beliau seorang pendorong dan pembimbing yang baik.Kerana peluang yang diberikannya itulah, minat saya terus tumbuh dan subur sehingga kemudian saya ditawarkan bekerja sebagai wartawan di Utusan Borneo pada 16.4.1994 tanpa banyak soal hanya kerana saya pernah menulis berita dan rencana di Berita Harian dan Berita Minggu.
Lichong memiliki banyak kelebihan walaupun,perlu juga saya akui , dalam aspek tertentu beliau mempunyai sedikit kelemahan. Tapi itu lumrah manusia biasa. Hakikatnya, beliau telah memberi sumbangan dan jasa yang cukup besar bukan saja kepada Utusan Borneo sejak ia menjadi akhbar penuh berbahasa Melayu tetapi juga kepada dunia kewartawanan di negeri ini.
Saya melihat gambarnya.Tersungging senyuman. Nada bicaranya bersahaja, bahkan masih mampu tertawa, seakan tidak terjadi apa-apa disebalik tragedi yang dialaminya.
Namun itulah dia, Lichong Angkui,sahabat kami dan guru kami semua di tingkat enam, Utusan Borneo.
Ahad, 8 Mac 2009
Catatan mengenai sahabat-Lichong Angkui
✔
abd naddin
Diterbitkan 8:25 PTG
Tags
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 comments so far
Ternyata ramai yang mengasihi dia. Kehilangannya di UB amat terasa dan terus terang saya katanya, semagant kerja dan penumpuan saya sedikit terganggu kerana insiden yang menimpanya. Dia pernah mengatakan kepada saya bahawa UB adalah tempat yang membahagiakan dalam hidupnya sebagai seorang insan yang serba kekurangan. Namun, seperti semua orang ketahui tentu sukar untuk mengetahui apa yang berlaku. Dan saya percaya, pasti ada hikmah disebalik semua ini. Saya sebagai orang bawahan dan juga seorang 'teman' yang rapat dengannya sentiasa mendoakan kebahagiaan dan kesejahteraannya. Sempena ulang tahun beliau minggu lalu... saya mengucapkan Selamat Ulang Tahun dan semoga kembali sihat seperti sebelum ini. Amin.