BUDAYA PENTING DALAM KEHIDUPAN
KOTA KINABALU: Kerajaan menganggap budaya sebagai satu elemen yang penting, bukan sahaja untuk menunjukkan jati diri bangsa tetapi juga menentukan kelangsungan survival negara bangsa kita, kata Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Haji Nasir Tun Sakaran.
Beliau berkata, salah satu ukurtara kecemerlangan tamadun sesuatu negara bangsa bergantung kepada nilai murni budaya yang diamalkan masyarakatnya.
"Budaya hidup bergotong-royong dan bersatu padu misalnya, jika diamalkan secara berterusan, ia bukan sahaja memperkukuhkan institusi masyarakat tetapi juga berperanan dalam memantapkan perpaduan dalam kalangan masyarakat kita," katanya ketika merasmikan Persidangan Persuratan dan Kebudayaan Kebangsaan, di Teluk Likas kelmarin.
Katanya, masyarakat yang hidup bersatu padu, akan dapat memastikan kemajuan dan kesejahteraan hidup dalam masyarakat itu.
"Banyak contoh yang boleh kita pelajari dari negara lain, sama ada dahulu dan sekarang, di mana bangsa dan negara itu menjadi huru hara, musnah dan hancur lebur kerana bahana perpecahan kerana mereka mengetepikan nilai-nilai budaya dan jati diri mereka," katanya.
Nasir juga berkata, bidang persuratan bukanlah sesuatu yang asing kerana ia turut memainkan peranan penting dalam kehidupan kita.
"Jika kehidupan kita diselaputi debu, maka peranan kesusasteraanlah untuk menjernihkan dan membersihkannya.Jika keadaan masyarakat kita haru biru, maka sasteralah yang berperanan untuk mententeramkannya.Jika kehidupan masyarakat kita semakin kasar dan bergolak, maka sastera yang melembutkannya.
"Sastera yang baik juga mengandung fikiran yang tinggi diungkapkan dalam jalinan kata-kata yang indah.Malah sastera sesuatu bangsa yang besar itu, sering pula menginsafkan kita daripada terus dikepung hawa nafasu dan dunia materialistik yang memabukkan.
Sambil mengucapkan tahniah kepada semua yang terlibat menjayakan persidangan itu, beliau menyeru agar jabatan dan agensi kerajaan dan badan-badan NGO terus melipatgandakan usaha dalam melestarikan bidang persuratan dan budaya.
Beliau menyeru agar semua lapisan masyarakat menjadikan budaya dan bidang persuratan sebagai satu bidang yang penting dalam kehidupan agar masyarakat kita terus mengekalkan nilai-nilai harmoni, maju, makmur dan bertamadun.
Menteri itu juga menyeru agensi swasta dan syarikat korporat yang besar di negara ini agar memberi sokongan yang serupa sama ada dari segi material dan tenaga fikiran untuk menjayakan sebarang program persuratan dan kebudayaan yang diadakan oleh badan NGO di negeri ini ini ke arah penyatupaduan rakyat pelbagai kaum di negara ini.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Ismail Wadin, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Mohd.Razy Mohd.Noor, Ketua Satu Gabungan Penulis Nasional (GAPENA), Tan Sri Profesor Dato'Ismail Hussein, Ahli Lembaga Pengelola, DBP Malaysia, Datuk Haji Mohd.Arifin Arif, Pengarah DBP Sabah, Zubaidi Abas, Yang Di Pertua Badan Bahasa dan Sastera Sabah, Jasni Matlani.
Foto ihsan Rsyad Hussin