Khamis, 12 Februari 2009

Catatan mengenai Cikgu Murshidi 6B

Tags


Satu waktu, saya pernah bertanya kepada bapa dimana beliau belajar mengarang dan menulis. Katanya, beliau belajar sewaktu di berada di bangku sekolah beberapa tahun selepas Perang Dunia Kedua yang lebih difahami oleh penduduk kampung kami sebagai Perang Jepun.

"Guru yang banyak mengajar saya ialah Cikgu Murshidi Nambi. Beliau selalu menulis namanya dengan Murshidi 6B" kata bapa saya.

Nama itu kekal dalam ingatan saya sehinggalah lebih satu dekad kemudian, saya bertemu sendiri dengan guru, yang menjadi guru kepada bapa saya itu.

Ketika itu, Cikgu Murshidi atau Datuk Haji Murshidi Nambi masih menjadi Ketua Daerah Kota Kinabalu. Beliau seorang yang sederhana, suka merendah diri dan halus tutur katanya.

Sukar bagi saya membayangkan bahawa beliau merupakan salah seorang tokoh penentang penjajah, yang bukan alang kepalang. Datuk Murshidi merupakan salah seorang daripada 338 guru yang menentang semula kemasukan penjajah ke Sarawak selepas Perang Dunia Kedua tamat. Oleh sebab itu, Pengarah Pelajaran Sarawak ketika itu telah menghantar beliau bertugas di sabah pada tahun 1947.

Semangat nasionalisme yang begitu kental di jiwa Murshidi Nambi diperolehinya ketika beliau menuntut di Maktab Perguruan Sultan Idris (SITC) pada tahun 1938-1941. Beliau merupakan rakan semaktab dengan Allahyarham Tun Ghafar Baba, mantan Timbalan Perdana Malaysia, Datuk Senu Abdul Rahman, mantan Setiausaha Agung UMNO dan Menteri Persekutuan, pengarang buku Revolusi Mental. Beliau juga rakan Pengiran Datuk Dr.Jamil Al-Sufri, tokoh sejarah Brunei yang paling terkenal.

Selama empat tahun di Tanjung Malim, Murshidi menggunakan kesempatan itu untuk bergiat dalam kegiatan menentang kolonialisme melalui bidang tulis menulis. Beliau juga seorang yang pandai melukis.

"Pada mulanya saya hanya tahu melukis baldi dan cangkir," katanya. Tetapi Datuk Murshidilah orangnya yang membimbing bakat penulis terkenal, Datuk Jamdin Buyong (kini Ahli Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Malaysia), Datuk Mohd.Yaman Ahmad Mus (Pengarah Balai Seni Lukis Sabah) Datuk Haji Shuhaibun Yussof, budayawan Sabah dan Arwah K.Bali, sasterawan Sabah yang dilahirkan dan meninggal di Kelantan.

Walaupun banyak diperdebatkan tetapi sajak Rayuan Kinabalu yang tersiar di Majalah Hiburan yang diterbitkan di Singapura pada 7 Januari 1950 dianggap sebagai sajak pertama di Sabah. Sajak yang mengisahkan keadaan Borneo Utara (nama Sabah ketika itu) ketika berada dibawah pemerintahan British North Borneo And Chartered Company.

"Rayuan Kinabalu adalah mengenai janda Kinabalu," katanya.

"Saya mengirim sajak Rayuan Kinabalu itu menggunakan setem 10 sen dan menghantarnya ke Majalah Hiburan," katanya.

Beliau mengirim sajak Rayuan Kinabalu itu menggunakan setem 10 sen dan menghantar ke Majalah Hiburan. kadang-kadang majalah itu dijual di kedai.Singapura ketika itu adalah pusat perkembangan dunia karang mengarang yang pesat.Beliau sering menggunakan nama pena Al-Mubin dan Murshidi 6B Sarawak.

Datuk Murshidilah yang menularkan bakat mengarang kepada murid-muridnya di seluruh negeri. Beliau yang pernah menjadi Tokoh Guru dan Tokoh Maal Hijrah ini mempunyai riwayat hidup yang panjang dan menarik.

Beliau dilahirkan pada 12 Disember 1925 di Sandakan, Sabah. Ayahnya berasal dari Sarawak sementara emaknya suku Kaum Bajau dari Karambunai. Oleh sebab itu, selepas ibunya meninggal, ketika Murshidi kecil berusia lima tahun, beliau dihantar oleh bapanya ke Kuching.Beliau pernah mendapat pendidikan di Kampung Gelam Goverment Vernacular School.
Sebagai seorang murid yang pintar, Murshidi sering melompat darjah. Mata pelajaran kegemarannya ialah ilmu alam (geografi).

Sewaktu berusia 14 tahun, beliau dihantar untuk melanjutkan pelajaran di Maktab Perguruan Sultan Idris Tanjung Malim Perak dengan mendapat biasiswa daripada Kerajaan Negeri Sarawak untuk menuntut di SITC.

Selepas pendudukan Jepun, Murshidi bertugas di Maktab Perguruan Sarawak dari tahun 1946 hingga 1947 sebagai penolong pensyarah seni lukis, pertukangan tangan, bahasa Melayu dan Sejarah.

Kemudian timbul pergolakan politik. Beliau tidak mahu James Brooke menjadikan Sarawak sebagai Colony dan ekoran peristiwa itu,kerana kebenciannya terhadap penjajah dan kolonialisme menyebabkanbeliau dihantarkan bertugas di Sabah. "Kebetulan ketika itu ada permintaan guru SITC ke Sabah," katanya.

"Saya ditugaskan ke Sabah bersama Dato Haji Othman Sidek dari Perak," katanya.
Tugas pertamanya ialah menjadi Guru Besar di GPS Darau pada tahun 1947. Pada tahun 1949, beliau bertugas sebagai guru di Kota Belud.

Pengalamannya mengajar di Kota Belud amat berkesan di hatinya.Muridnya sebanyak 36 orang. "Kerana minat dalam pendidikan, satu lagi kelas berdinding atap hasil gotong-royong penduduk kampung." "Satu lagi kelas dibuat untuk pertukangan tangan.

Selepas itu beliau dinaikkan ke jawatan divisyen satu Senior Government Officer dan dinaikkan gaji RM 36.00 kepada RM42 ringgit termasuk elaun RM60.00 sebulan.

"Waktu itu, jumlah itu cukup besar, katanya.
Beliau kemudian ditukarkan ke Buit Hill pada tahun 1951.Pada tahun 1952, beliau ditukarkan untuk menjadi pensyarah di Maktab Perguruan Kent Tuaran hingga tahun 1962.

Beliau kemudian dilantik sebagai Guru kanan di Maktab Sabah dari tahun 1962-1972. Jawatan terakhirnya ialah Pegawai Haji, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dari tahun 1972-1976 dan Penyelia Bahasa dan Agama dari tahun 1976 hingga bersara pada tahun 1980.

Selepas bersara dari perkhidmatan awam, beliau dilantik sebagai Ketua Daerah Kota Kinabalu pada tahun 1984.

Datuk Murshidi pernah menjadi Timbalan Pengerusi Kesatuan Guru-Guru Bumiputera dari tahun 1964 hingga 1970. Beliau juga aktif dalam pergerakan Pengakap dan mula terlibat dalam kegiatan pengakap sejak 1938 sewaktu masih menuntut di SITC Tanjung Malim. Beliau juga pernah terlibat dalam penubuhan Angkatan Persuratan Melayu Sabah (APMS) sebagai Presiden.
Saya menemuinya di pejabatnya di Bangunan USIA. Beliau masih aktif melukis lukisan khat dan pernah menyertai beberapa pameran.
"Apa Datuk buat sekarang?" Saya bertanya kepadanya. "Saya masih menulis," katanya sambil tersenyum. Beliau kini sedang menyusun Syair mengenai kisah hidup TYT.Kita doakan supaya terus menulis dan berkarya.