Saya terasa ingin mencari Lintang di Pulau Belitung. Si genius yang tidak dapat meneruskan sekolahnya kerana miskin. Saya ingin mencari Ikal yang mengisahkan Laskar Pelangi mengenai sepuluh orang- sebelas dengan kehadiran Flo, anak-anak yang bersekolah Muhamadiyah di Pulau Belitung, jauh di hujung Sumatera Selatan sana.
Saya mengaku bahawa saya memang agak terlambat membaca buku Laskar Pelangi karya Andrea Hirata ini. Saya hanya berkesempatan membeli buku ini di Gramedia di Jalan Matraman, sewaktu kunjungan ke Jakarta Oktober lalu. Saya tidak sempat menonton filem Laskar Pelangi, yang waktu itu ditayangkan di pawagam di Taman Ismail Marzuki kerana tiketnya habis dijual.
Novel Laskar Pelangi memang istimewa. Saya banyak membaca novel Indonesia, dan saya meletakkan buku ini sebagai salah satu novel Indonesia terbaik yang pernah saya baca. Buku ini menambahkan pengetahuan saya kerana pengarangnya mengadun novel ini dengan menarik. Tingkat intelektualnya tinggi sehingga buku ini boleh dijadikan rujukan yang baik untuk meningkatkan mutu pendidikan kita.
Saya seolah-olah ternampak A Kiong, dan, Mahar, Kucai, Nur Zaman, Sahara, Flo, Samson, Trapani,Harun dan semua anggota Laskar Pelangi itu. Ibu Mus dan Pak Harfan. Juga Ikal yang akhirnya mengembara jauh dan melukis wajahnya dengan gotik, rias wajah yang serbagelap, mata hitam dengan wajah yang dipucatkan- yang disifatkan ibunya sebagai sama seperti wajah orang yang tak pernah shalat.
Sayang sekali, saya belum memiliki buku-bukunya yang lain seperti Sang Pemimpi, Edensor dan Maryamah karpov.
Andrea Hirata lahir di Belitong. Meskipun majornya ekonomi, ia menggemari Sains, Fizik, Biologi, Kimia, Astronomi juga sastera. Beliau mendapat sarjana ekonomi dari Universiti Indonesia, MSc dari Universite de Paris, Sorbonne Perancis dan Sheffield Hallam University, United Kingsom. Andrea boleh dihubungi melalui http://www.sastrabelitong.multiply.com/
Selasa, 23 Disember 2008
Sedikit catatan mengenai Laskar Pelangi
✔
abd naddin
Diterbitkan 12:35 PTG
Tags
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
2 comments
Jika mencari, ajak saya sekali. ha ha
Mari kita samasama mencarinya. Mungkin Lintang tidak lagi berada di Belitung,tetapi kisah yang dipaparkan Andrea Hirata dalam Laskar Pelangi sangat mengesankan. Saya kira bukan hanya seorang lintang tetapi lebih banyak lintang lagi yang tidak meneruskan pendidikan kerana dihimpit kemiskinan dan kemelaratan. Salam