Isnin, 17 November 2008

Tentang seorang tua yang lupa ditanya namanya

Tags

Catatan deasoka...tentang seorang tua yang lupa ditanya namanya

Saya lupa bertanya nama orang tua itu.Tetapi dia duduk di sebelah saya dalam perjalanan dari Tawau ke Kota Kinabalu.Katanya, itulah pertama kali dalam masa sembilan tahun beliau menaiki bas ke KK. Kali ini ibu tua itu ke ibu negeri untuk mengunjungi anaknya yang bekerja sebagai jururawat.

Anaknya enam orang. Dia mengaku berasal dari negara tetangga. Datang ke Tawau, pada zaman negeri ini masih bernama Borneo Utara iaitu setahun selepas Perang Dunia Kedua.

"Pada waktu itu, barangkali bapamu dengan mamapun belum kahwin lagi," katanya. Umurnya kini 82 tahun.Tapi kelihatan masih kuat lagi.

Saya tidak menyangka bahawa orang tua yang memakai kain yang agak lusuh itu menyimpan pelbagai pengalaman dalam hidupnya.

Ibu tua ini berkahwin pada umur 13 tahun. "Tapi saya dan suami baru diramaikan kembali (disatukan) setelah lima tahun kemudian"."Dulu hidup susah sekali," katanya sambil menceritakan betapa payahnya mengambil air menggunakan buluh. Tidak seperti orang sekarang, katanya waktu dulu ramai orang merana dan menderita.

Kampung saya dekat desa gelupini, iaitu kira-kira tiga jam perjalanan dari Pare-Pare. Saya tidak pasti sama ada ejaannya betul tetapi orang tua ini punya mitos tersendiri mengenai kampungnya.

"Orang kami dari desa gelupini, macam mana kaya pun, tidak boleh pergi Mekah.Kalau mereka pergi, mereka tidak akan balik lagi dan akan meninggal di Mekah," katanya.Kerana itu, tak ada seorangpun yang berasal dari kampung itu yang naik haji walaupun mereka mampu.Tetapi ini katanya, hanya terbatas kepada penduduk asli kampung itu.Mereka yang datang bermukim tetapi bukan berasal dari kampung itu, boleh pergi ke tanah Mekah tanpa sebarang halangan.

Entah ya entah tidak, saya kurang pasti kebenaran cerita orang tua ini.
Orang tua ini kuat berjalan, mengikut suaminya kembara dari satu tempat ke satu tempat. Beliau pernah tinggal di Manila dan Cebu , juga Cotabato. Menurut pengakuannya, beliau juga pernah sampai ke negeri orang putih, Holland.Waktu mudanya, beliau juga pernah tinggal di Jakarta dan Surabaya.Ketimbang tinggal di PulaunJawa, beliau merantau hingga ke Tawau.

Kesemua anaknya, kecuali seorang dilahirkan di Sabah.Yang paling tua usianya 60 tahun.
Sebenarnya banyak juga kisah yang diceritakan oleh orang tua ini kepada saya sepanjang perjalanan lapan jam dari Tawau ke KK itu. Ada yang menarik, yang menyedihkan, yang menyeronokkan. Cuma silap saya, saya lupa bertanya namanya.

ii. Sebuah buku kisah perjalanan I.J Backs, sekali lagi saya lupa nama pengarang ini, dalam bukunya The Head Hunters of Borneo, menuliskan kisah perjalanannya ke tengah Kalimantan sekitar tahun 1867.
Katanya, ada satu suku yang tidak boleh memberi nama kepada anaknya yang baru lahir, kecuali jika dia dapat memenggal kepala musuhnya. Untuk memberi nama kepada seorang anak, diperlukan satu upacara tradisi yang sakral bagi suku itu.

iii. Kata Shakespeare, Bunga mawar, apa pun namanya, tetap harum baunya

20 Julai 2007