Catatan deasoka...Tentang Kak Nun, biji epal, ikan yu dan makna merdeka
i-"Kenapa kamu tanya saya tentang merdeka.Saya hanya seorang surirumah."
"Tapi apa makna kemerdekaan bagi puan?"Kak Nun tidak menjawab.
Sebaliknya beliau menceritakan kepada saya kilas-kilas ingatannya sewaktu kecil dahulu, di satu desa bernama Kampung Marimbau.
"Waktu itu saya berumur kira-kira sepuluh tahun. Saya ingat ketika itu pagi-pagi lagi kami sudah menyusuri pantai.Siapa yang terlambat bangun, dia akan ketinggalan, " katanya.
Anak-anak kecil seperti kami akan berlumba menentukan siapa yang sampai ke tepi pantai terlebih dahulu.Di sana kami akan mengutip puluhan biji epal,puluhan buah limau,puluhan bawang besar,puluhan sayur kubis dan sebagainya.
"Itulah pertama kali kami melihat buah epal. Waktu itu kami tidak tahu buah itu namanya buah epal.Kalau limau, atau bawang atau kubis itu, kami sudah tahu. Buah epal itu kami bagi-bagi. Siapa yang lambat, dia tak dapat. Kadang-kadang sampai setengah bakul kami dapat kutip untuk dibagi dengan kawan-kawan.Begitulah hal itu berlaku setiap hari dalam beberapa minggu.Kami bangun seawal pagi untuk mengutip buah epal di tepi pantai. Banyak juga barang lain yang kami dapat kutip, antaranya botol yang punya dua telinga, yang saya masih simpan sampai sekarang, kata Kak Nun.
"Dari mana buah epal itu?" Epal-epal itu hanyut ke tepi pantai setelah dibuang orang dari kapal. Mungkin terdapat ratusan, kalau tidakpun puluhan kapal berwarna putih yang berlabuh di tengah laut di sepanjang perairan Kudat.Kata orang, kapal-kapal itu kapal perang Bartis (sebutan bagi British di kalangan masyarakat kampung). Setiap petang, ada kereta kebal yang naik ke daratan dari Lemau, iaitu satu muara sungai dekat Marimbau."Kata orang tua-tua, itulah zaman merdeka", kata Kak Nun.
"Itulah apa yang saya ingat tentang merdeka," katanya lagi.
ii-" Ketika perang dipun (Perang Dunia Kedua), saya belum lahir. Tetapi ibu saya bercerita, ramai orang-orang rasa sengsara. Tapi satu peristiwa yang saya kira lucu tetapi agak mengerikan juga, bila diingat-ingat" .
"Satu hari ada orang yang mengutip benda sebesar buah pedada (mungkin besar sikit daripada buah epal) , di tepi pantai lalu dibawa ke rumah.Bentuknya cantik, tetapi bulat. Kerana tertarik dengan bentuknya yang istimewa, benda itu digantung di atas buaian.
Bayi dalam buaian rasa seronok melihat benda yang digantung itu. Maka si ibu pun membuai anaknya dengan dodoian lagu-lagu supaya si anak tadi tertidur. Tetapi gempar juga, apabila benda-benda yang digantung itu meletup.Termasuk yang menjadi mangsa ialah keluarga si Burigan. Rupa-rupanya benda yang digantung dan dijadikan mainan dalam ayunan itu ialah sebji bom.
iii. Pakcik Ulalang datang ke Likas menceritakan mengenai ketakutan para nelayan kecil di Kampung Indarason Laut tentang kemunculan beberapa ikan jerung di kampungnya.
"Kami takut turun ke laut kerana kemunculan ikan jerung itu," katanya.
Jerung itu besar macam van dan panjangnya mungkin tujuh depa. Ia muncul sejak minggu lalu bersama kemunculan ikan bilis dan bubuk. Banyak yang nampak, ikan jerung itu merah mulutnya bila menganga. Nelayan-nelayan kecil seperti kami hanya dapat menangkap ikan di tepi-tepi dekat pantai.Kami tidak berani ke tengah laut.Di tepi lautpun ada juga ikan jerung yang membahayakan para nelayan.
iv. Saya tidak bertanya apa makna merdeka kepada Pakcik Ulalang. Saya tahu beliau hanya seorang nelayan kecil, yang tidak dapat turun ke laut kerana diancam oleh ikan jerung. Saya juga tidak bertanya kepada Kak Nun apa perasaannya bila melihat kapal-kapal perang itu sengaja membuang epal ke laut untuk dikutip oleh para penduduk kampung. Lagi pula Kampung Marimbau yang terletak di Kampung Indarason dan Kaniong itu kini telah ditinggalkan orang. Saya tidak bertanya apakah itu berupa hadiah kepada kita ketika menyambut hari merdeka.
15 April 2007
Isnin, 17 November 2008
Tentang Kak Nun, Biji Epal, ikan yu dan Makna Merdeka
✔
abd naddin
Diterbitkan 6:11 PTG
Tags
Catat Ulasan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)