Sabtu, 15 November 2008

Mulanya mencari Orang Menanduk Kambing

Tags

Catatan deasoka...MULANYA MENCARI ORANG MENANDUK KAMBING

Oleh ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN

Sepanjang kerjaya saya sebagai seorang wartawan, saya belum lagi melihat peristiwa orang menanduk kambing. Sewaktu di bangku sekolah, saya diberitahu bahawa untuk menjadi seorang wartawan adalah satu perkara yang bukan mudah. Katanya, kalau kambing menanduk orang, itu bukan berita tapi kalau orang menanduk kambing itulah berita.

Meskipun pada mulanya saya kurang memahami maksud cikgu saya itu, minat terhadap bidang kewartawanan bercambah sejak umur saya belasan tahun. Ada ramai orang yang berpengaruh secara langsung dan tidak langsung menyuburkan minat saya untuk menjadi seorang wartawan.

Ketika masih kanak-kanak, ayah saya, Haji Shaiddin Haji Mohd.Hashim sering melanggan surat khabar tempatan. Seingat saya, beliaulah orang yang paling banyak memiliki naskhah surat khabar di Kampung Tamau Kota Belud waktu itu. Walaupun belum pandai membacaketika itu , saya suka membelek-belek surat khabar dan antara saya ingat adalah peristiwa dimana seorang VIP ditangkap polis kerana dituduh cuba membawa Sabah keluar dari Malaysia.

Di belakang hari, barulah saya mengetahui bahawa bapa saya juga seorang penulis, seorang seniman sasterawan yang pernah menghasilkan beberapa buah buku syair, hikayat malah pernah terlibat dalam polemik di surat khabar.

Saya tinggal di rumah arwah pakcik Maning ketika menuntut di SMK Taun Gusi pada awal 80-an. Beliau merupakan seorang, yang walaupun mengecap pendidikan setakat darjah satu, tetapi celik berita dan mengetahui banyak peristiwa yang berlaku ketika itu.

Sepulangnya dari sekolah beliau sering mengajak saya berdiskusi mengenai banyak hal dan kelebihan orang tua ini ialah beliau mampu menghurai sesuatu perkara dengan butiran yang terperinci dan mendalam.

Minat saya semakin bertambah dalam bidang penulisan manakala saya menumpang di tempat cikgu Suhaindo Rambayau, selama beberapa tahun. Selepas membaca beberapa karya cerpen dan puisinya, semangat saya semakin kuat untuk menulis. Saya suka menjadi penulis sekaligus menyimpan hasrat menjadi wartawan.

Bagaimana caranya untuk menjadi wartawan? Saya tidak berani bertanya siapa-siapa ketika itu melainkan saya memerhatikan betapa cikgu mendiang BC Tan dan Wangsa, juga Cikgu Lamsyur banyak menulis berita mengenai Kota Belud. Saya membaca berita yang mereka tulis dan mengira bahawa saya juga mampu menulis.

Selepas tingkatan lima, saya ke Likas untuk mengikut sepupu saya berniaga di Pasar Malam di Pantai Tanjung Aru. Saya tinggal di Kampung Likas dan terlibat dengan pelbagai kegiatan belia dan persatuan. Ketika itulah karya saya pertama tersiar di Sabah Times. Saya belanja cikgu Alkesah makan soto kerana begitu gembira melihat karya saya tersiar.Itu sekitar tahun 1987.

Barangkali perlu juga saya nyatakan bahawa antara orang yang banyak membimbing saya
dalam bidang sastera langsung dan tidak langsung ialah Hajah Zaiton Ajamain, Jasni Matlani, Hasyuda dan lain-lain. Maka mulailah saya menulis berita, puisi, cerpen dan tersiar di akhbar tempatan, Berita Harian,Berita Minggu,dan Borneo Buletin. Tetapi antara daya tarikan menulis ketika itu ialah kerana setiap berita atau rencana yang tersiar, saya mendapat honorarium, yang walaupun jumlah kecil tetapi bermakna untuk saya.

Saya terus mengasah minat menjadi wartawan. Jika arwah K.Bali masih hidup, mungkin beliau dapat menceritakan bagaimana beliau berjumpa seorang anak muda yang tidak keruan tetapi berminat dalam bidang penulisan. Perlu dicatatkan juga antara yang membuka pintu kepada saya untuk memasuki bidang kewartawanan ialah Emin Madi, Lokman Sunggim, Kak Salbiah, walaupun tidak pernah mengenal secara peribadi ketika itu kerana sebagai pemberita sambilan saya hanya menulis berita-berita kampung dan sebagainya.

Ruang semakin terbuka manakala saya berjumpa dengan saudara Lichong di Berita Harian. Beliau sering memberi galakan kepada saya untuk menghantar berita dan membuka ruang untuk saya menulis di akhbar nasional sekitar 1988. Saya menulis berita dan rencana mengenai sastera dan budaya di akhbar itu walaupun kurang produktif. Seorang lagi rakan yang membimbing saya secara tidak langsung ialah Ailin Nor, yang sering mengajak saya ke Borneo Mail, tempat beliau bekerja ketika itu.Namun peranan Haji Hussain Qassau dalam membentuk minat saya dalam bidang kewartawanan tidak kurang pentingnya. Tidak dilupakan jasa arwah Dr.Datu Bandira, saudara Ladim, Laliman yang menjadi rakan diskusi, sepupu saya Parsat yang sering membelikan saya buku,dan ramai lagi yang tidak dapat disebutkan di sini. Kepada mereka, saya ucapkan terima kasih.

Saya pernah bertugas sebagai pegawai pembanci di Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) 1987-1989. Selepas itu, membantu Haji Hussain di Haykal Associates dimana saya ditugaskan ke arkib untuk membuat penyelidikan surat khabar lama. Antara tahun 1992-1994, saya bertugas sebagai pembantu tadbir di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah.
Apabila ternampak iklan kekosongan wartawan di The Borneo Post pada April 1994, saya terus mengajukan permohonan untuk menjadi pemberita. Orang pertama yang saya jumpa tentulah Amy, operator yang baik hati. Kemudian saya berjumpa Miss Yong untuk mengisi borang dan menyerahkan dokumen-dokumen sokongan.Keesokan harinya saya dipanggil berjumpa Mr.Edward Lau, AGM ketika itu.

Beliau membelek-belek berita-berita yang saya pernah tulis sebelumnya sebagai `wartawan bebas'. Saya merasa terkejut apabila tanpa banyak soal jawab seperti sesi temuduga yang lain, saya mendapat pertanyaan, bilakah saya boleh memulakan kerja. Esok boleh? Saya meminta tempoh dua minggu kerana belum memberi notis berhenti di DBP Sabah.

Tugasan pertama saya ialah membuat liputan sidang Dewan Undangan Negeri Sabah yang sedang berlangsung ketika itu. Saya berterima kasih dengan Daniel Yap yang banyak memberi kebebasan. Rakan-rakan saya juga banyak memberi ruang, antara yang penting dicatat ialah Mohd.Amin Yahya, Beiti Sabing, Samsul Ali Maran dan lain-lain.

Selepas bertugas sebagai pemberita selama setahun, saya ditugaskan di bahagian editorial selama lima tahun dari tahun 1995 hingga 1999.Kemudian selepas itu, saya kembali semula sebagai wartawan iaitu orang di lapangan. Saya belajar daripada rakan-rakan senior seperti Ripin Mintow, Roy Goh, Yong Ted Phen, Nancy Lai, juga Eddy Lok yang sudi memberi komen dan tunjuk ajar.

Saya juga sangat terhutang budi dan amat menghargai pengertian dan pengorbanan isteri saya, Fauziyah dan anak-anak saya, Sitti Mehran Yasmine, Ahmad Fawzan dan Ahmad Aliff Farhan yang masih kecil kerana merekalah yang membantu memperkuatkan keazaman saya untuk menjadi juru bicara masyarakat di sekeliling saya.

Jika difikir-fikirkan, idealisme saya sebagai seorang wartawan banyak dibentuk minat saya membaca. Melalui pembacaan, saya berkenalan dan banyak terpengaruh dengan Abdullah Hussain yang menjadi idola saya. Saya terpengaruh dengan gaya penulisan A.Samad Said, A.Samad Ismail, Ahmad Boestamam, Rustam A.Sani, juga Subky Latif. Saya juga terpengaruh Mochtar Lubis, Rosihan Anwar, Goenawan Mohamad. Saya banyak belajar dari buku Dr.Otman Puteh, Mansor Ahmad Saman, Sulaiman Masri, Jeniri Amir dan sebagainya.

Saya tahu bahawa menjadi wartawan bukanlah mudah. Get it first, but first get it right, saya lupa siapa yang mengatakannya. Truth is supreme.It's not who is right but what is right.Urusan dan tanggungjawab kita yang utama adalah kebenaran.Kita berurusan dengan fakta dan mengolah fakta supaya dapat difahami dan dimengerti khalayak pembaca.Katakan apa yang benar kerana kamu akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.Jangan sebarkan khabar angin atau berita yang anda sendiri tidak mengetahuinya.Inilah antara ungkapan yang banyak mempengaruhi saya dalam menjalankan tugas sebagai wartawan.

Ketika menulis banyak pertimbangan yang melintas di kepala kita. Kriteria sesuatu berita bergantung kepada siapa khalayak pembaca kita, berapa ramai yang mendapat kesan daripada berita yang kita tulis.Adakah berita yang kita tulis dekat dengan kita, adakah ia terkini dan bukan berita basi. Adakah ia melibatkan orang yang terkenal atau mahsyur, adakah ia melibatkan sengketa seperti sengketa politik, dan sebagainya. Adakah ia kejadian yang biasa atau ia luar biasa.

Itulah yang memenuhi kepala ketika mula menjadi pemberita dahulu. Peristiwa kambing menanduk orang, biasa kita dengar tetapi sampai sekarang, saya belum mendengar lagi orang yang menanduk kambing. Saya belum bertemu peristiwa yang luar biasa. Itulah sebabnya saya katakan saya hanya pemberita biasa, yang menulis cerita-cerita dan kisah biasa dalam masyarakat.Saya berasa ada satu kepuasan jika saya dapat menuliskan permasalahan masyarakat saya.Saya berasa bahagia jika dapat membantu mereka, atau sekurang-kurangnya menulis mengenai permasalahan mereka.

Kalau ditanya, apa pengalaman pahit manis saya selama 14 tahun menjadi wartawan, tentulah masih sedikit berbanding rakan-rakan saya yang lain.Saya menerima pelawaan untuk menulis dalam ruangan ini pun setelah beberapa kali menolaknya. Ada sedikit keengganan kerana saya masih belum pasti apa yang akan saya tulis. Tetapi kemudian saya terfikir bahawa inilah satu cara untuk saya merenung diri sendiri, introspeksi diri, peluang untuk bermuhasabah dan sebagainya mengenai saya sebagai wartawan.

Lalu saya terfikir apakah peranan wartawan sekadar pencatat, atau sekadar pelapor, atau apakah wartawan seorang pemikir, pembentuk fikiran masyarakat atau sekadar orang yang makan gaji semata-mata. Pertanyaan itu penting bagi saya kerana kadang-kadang saya terfikir, selama 14 tahun menjadi wartawan, apakah saya sudah layak menjadi wartawan atau tidak lebih daripada seekor kambing yang mengembek apabila perutnya lapar.Saya sentiasa berdoa semoga saya diberi keberanian untuk menuliskan hanya fakta dan kebenaran, dapat menjalankan tugas dengan lebih baik, jujur dan mulia supaya saya dapat menjalani kehidupan dengan tenang.


Nota:
Rencana ini tersiar dalam ruangan Nota Seorang wartawan di Utusan Borneo pada 14 Julai 2008