Rabu, 19 November 2008

Haji Arifin,Tiga Kuntum Bunga dan Bajet 2009

Tags

Catatan Deasoka...Haji Arifin, tiga kuntum bunga dan Bajet 2009


"Bunga sesungguhnya bahagian dari kehidupan manusia. Sebahagian dari ciri dan nilai hidup manusia dihubungkan dengan bunga. Bunga yang baik dan harum, akan memberi ketenangan jiwa. Bunga yang indah, mempunyai kuasa terapi mengubat jiwa manusia lebih daripada apa yang dapat dilakukan oleh seorang doktor," kata Ahli Dewan Undangan Negeri Membakut, Datuk Haji Mohd.Arifin Mohd.Arif.

Barangkali inilah buat pertama kalinya dalam sejarah Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah, seorang Ahli Yang Berhormat bercakap tentang bunga ketika membahaskan belanjawan negeri atau Bajet 2009.

Haji Arifin yang juga seorang penyair berkata bunga adalah lambang atau simbol atau citra yang selalu meruntun hati manusia dan selalu menjadi daya tarikan yang menjadikan hidup manusia itu lebih bermakna.

Sebab itu, kata Arifin, bunga diabadikan atau hadir dalam kehidupan manusia dalam pelbagai cara. Ada yang menjadikan bunga sebagai nama untuk anak-anak mereka. Dalam filem, malah dalam realiti kehidupan Melayu adan nama dihubungkan dengan jenis bunga, melati, melur, mawar, teratai dan sebagainya.

Arifin bukan saja seorang wakil rakyat. Beliau yang juga seorang lulusan Al-Azhar itu seorang cendikiawan Muslim yang tinggi mutu keilmuannya. Dalam ucapannya itu, beliau mengutip juga mengenai Puteri Nabi, Fathimah Az Zahra. Panggilan Az Zahra itu katanya merujuk makna bunga. Dialah bunga di kebun kehidupan junjungan Rasul SAW, dialah kembang penyeri atau kuntuman bunga di taman ummah. Az Zahra, kemudiannya diabadikan untuk sebuah gedung ilmu tertua di dunia yang diasaskan oleh Kerajaan Fatimiyyun di Mesir. Gedung ilmu itu dikenali sebagai Al-zhar yang berasal dari suku kata semarak atau bunga. Jelas kerana, kata Arifin lagi, gedung itu telah melahirkan dan menzahirkan berjuta bunga ulamak dan ilmuan untuk taman dunia.

Pemimpin yang satu ini juga menyatakan bahawa bunga turut diabadikan dalam bentuk lagu.Lagu-lagu evergreen seperti lagu Seroja dendangan S.Affendi, Sekuntum Mawar Merah Sebuah Puisi, sentuhan M.Nasir dan dinyanyikan Allleycat, Bunga Tanjung dan Teratai dinyanyikan Syarifah Aini dan banyak lagi, adalah antara lagu yang pernah diminati ramai dan menceritakan tentang bunga.

Bunga juga kata Arifin dihubungkan dengan bidalan dan peribahasa Melayu.Berburu ke peadang datar, dapat rusa belang kaki, berguru kepalang ajar, bagai bunga kembang tak jadi. Bagai bunga kembang tak jadi, katanya lagi bermakna, orang yang belajar separuh-separuh tetapi berlagak nak jadi jaguh.Ilmu baru sedikit sampai tetapi memandai-mandai, bagai bunga kembang tak jadi. Orang seperti inilah akhirnya akan menjadi sebagaimana sepotng ungkapan yang mengandung kata bunga iaitu kera seperti kera mendapat bunga.

Demikian juga, apabila kita menyebut Pantun Melayu, puisi rakyat yang paling popular ini turut banyak menyelitkan bunga dalam pelbagai bentuk ungkapan, sebagai pembayang pantun, sehingga ada yang berkata, sesungguhnya, sebahagian besar pantun-pantun Melayu yang indah itu, diperkayakan dengan perbendaharaan kata yang berkaitan atau sinonim dengan bunga.

Pohon Kemboja dahan bercantum,
Tempat jentayu membuat sarang
semalam sahaja baru berkuntum
sekarang layu bilakah kembang?

Bunga melur bunga melati
ketiga dengan bunga kertas
dari telur lagi dinanti
inikan pula sudah menetas.

Sampai disini, wakil-wakil rakyat yang menghadiri sidang DUN itu mungkin masih tertanya-tanya apakah ucapan wakil rakyat Membakut itu hanya membicarakan mengenai definasi bunga semata-mata?

"Ada tiga kategori bunga yang akan saya fokuskan menerusi perbahasan Bajet 2009 ini iaitu pertama Bunga Hakiki, Kedua Bunga Bangsa dan ketiga bunga seni.

Negeri Sabah kini sudah terkenal di peringkat gobal sebagai negeri yang dikurniakan kekayaan biodiversity.Kawasan tanah hutan kita dilindungi, sekurang-kurangnya menjadi tempat tumbuh lebih 5,000 jenis spesis bunga.Lebih 1,000 jenis daripadanya adalah bunga orkid liar, yang mana 800 jenis terdapat di kawasan Taman Kinabalu.

Inilah yang saya maksudkan dengan Bunga Hakiki. Bunga Hakiki ini, adalah bunga pelbagai jenis yang tumbuh di bumi kita. Sesungguhnya ia boleh dimanfaatkan sebaik mungkin, bukan sahja untuk tujuan melestarikan alam sekitar kita supaya sentiasa kelihatan cantik, indah dan mapan, bukan sahaja menganugerahkan persekitaran udara yang bersih dan selesa tetapi juga, ia boleh diekploitasi untuk meningkatkan industri pelancongan, sebagai salah satu daya tarikan pelancongan di negeri kita ini.

Bunga kata Haji Arifin boleh dijadikan sumber perniagaan. Industri bunga boleh berkembang serta memberikan pulangan yang besar, jika sekiranya ia diusahakan secara bersungguh-sungguh dan menggunakan kaedah yang betul.

Kita mengenali Thailand sebagai antara pengeluar bunga dunia yang untung kerana industri bunga, demikian juga Singapura. Kata Arifin, seorang usahawan bumiputera di negara ini maju dan berjaya dalam industri bunga sehingga beliau memiliki pusat semaian bunga di Dubai.Seorang lagi usahawan bunga dari Selangor mendapat kontrak berpuluh juta untuk membina lanskap dan taman di Vietnam. Ertinya bunga itu memberi wang dan wangi, bukan saja menampung keindahan tetapi menampung kehidupan.

Arifin mencadangkan agar kerajan negeri atau sektor swasta, individu atau kumpulan semuanya memainkan peranan yang penting menjadikan negeri Sabah sebagai Negeri Taman. Beliau juga mencadangkan agar kita mengwujudkan Lintasan Taman Borneo, dimana sepanjang jalan bandaraya Kota Kinabalu terus terhias dengan pelbagai jenis bunga. Arifin juga meminta supaya kajian R& D ditingkatkan lagi bagi memajukan industri bunga-bungaan. Kerajaan juga perlu membantu peniaga-peniaga kecil-kecilan di kampung-kampung khususnya dalam empat aspek penting iaitu keilmuan, latihan, atau bimbingan, modal yang penting dari segi pasaran.

Saya teringat kunjungan kami Ke Bandung yang disebut Kota Kembang itu. Bandung, benar-benar maju dengan Kota Kembang. Bahkan sepanjang perjalan kami dari Bandung Ke Cisarua, kiri kanan jalan dipenuhi dengan bunga-bunga, pelbagai jenis bunga. Menarik sekali. Barangkali patut juga dicadangkan supaya pekebun bunga kita diajak untuk melawat Kota Bandung dan melihat bagaimana Petani disana memajukan industri bunga-bungaan.

Bunga Kedua yang diperkatakan Arifin dalam ucapannya ialah Bunga Bangsa yang merujuk kepada generasi muda atau generasi belia.Katanya sambil memetik penulis Cina, Ba Jin yang pernah mengatakan Belia adalah harapan manusia, demikian hebatnya peranan belia dalam membina ketamadunan bangsa dan ketamadunan manusia.

Kategori bunga ketiga yang diperkatakan Haji Arifin ialah Bunga Seni. Bunga Seni, katanya berkaitan dengan usaha melestarikan bahasa, sastera dan budaya.

Beliau mencadangkan agar Kerajaan Negeri mempertimbangkan untuk menubuhkan sebuah lembaga atau Majlis Bahasa dan sastera supaya dengan wujudnya lembaga atau majlis itu nanti, yang setaraf dengan beberapa lembaga yang sedia ada seperti Lembaga Kebudayaan, Lembaga Sukan atau seperti Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (MHEANS) dan ditadbir sebagai sebuah agensi kerajaan dan diletakkan di bawah Kementerian yang dipertanggungjawabkan, maka usaha untuk mendokumentasikan hal yang berkaitan dengan bahasa dan sastera dapat dilaksanakan dengan lebih baik dan berkesan.

Kata Arifin, (juga kata kita semua), jika Kerajaan boleh menubuhkan Lembaga Kebudayaan, untuk hal-hal yang berkaitan dengan sukan, maka mesti ada sebuah lembaga yang ditubuhkan untuk menjaga bahasa dan sastera di negeri kita ini agar khazanah sastera negeri terus terpelihara.

Lebih-lebih, kata Arifin lagi, sastera kita di sabah, kini semakin berkembang dan setaraf, malah mungkin lebih baik, sama ada dari segi kualiti dan kuantiti dengan perkembangan yang berlaku di negeri lain di negara ini.

"Dengan tertubuhnya lembaga atau majlis itu nanti, penulis-penulis negeri ini boleh bernaung di bawah satu badan.Ia juga boleh menjadi pemersatu dan pemangkin perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di negeri ini.

"Berapa banyakkah sastera rakyat, cerita rakyat yang telah dapat kita dokumentasikan, berapa buah kamus bahasa sukuan yang telah kita hasilkan, berapa banyakkah bahasa sukuan yang berjaya diserapkan ke bahasa Melayu sebagai khazanah penting negara. Segala persoalan ini, kata Haji Arifin perlu terus kita renungkan agar khazanah seni dan warisan yang paling berharga itu tidak pupus dimamah zaman.

"Bagi saya kewujudan Majlis Bahasa dan Sastera sekurang-kurangnya dapat mendukung usaha melestarikan dan memartabatkan bahasa dan sastera di Sabah.Majlis atau lembaga itu akan menjadi tempat bernaung para sasterawan, seniman, budayawan, penyelidik termasuk para wartawan.

Menurut Haji Arifin, sepanjang separuh abad kita merdeka, hanya 54 buah buku berkaitan bahasa, sastera, budaya dan warisan yang telah dihasilkan. "Tetapi apa maknanya 54 buah buku yang diterbitkan selama separuh abad kita merdeka berbanding dengan berjuta naskah buku yang diterbitkan di dunia dalam masa sehari?

Melalui penubuhan lembaga dan majlis itu, Anugerah Sasterawan Borneo juga dapat diwujudkan sebagai landasan untuk penulis negeri ini menerima penghargaan yang lebih prestij di peringkat serantau seperti Anugerah Sea Write Award di Thailand.

"Dengan membahaskan tiga kuntum bunga iaitu bunga hakiki dengan ribuan jenis flora yang menjanjikan masa depan, dengan bunga bangsa generasi pelapis yang perlu digembeling untuk kelangsungan masa depan dan dengan bunga seni bahasa dan sastera khazanah paling berharga sebagai warisan bangsa dan citra negara perlu didepankan, sesuai baja segar dan subur Bajet 2009 prihatin terhadap masa depan, maka saya mohon menyokong," kata Haji Arifin mengakhiri ucapan perbahasannya.

Saya fikir beliau sengaja mengulang-ulang kata masa depan dalam perenggan akhir ucapannya itu. Menjanjikan masa depan, kelangsungan masa depan, prihatin terhadap masa depan.

Semoga kita dan sastera kita punya masa depan dan bunga-bunga itu tetap mekar dan menguntum.

Beri Aku Bunga Melati, Yang Mekar Di Sudut Hati, kali ini saya mengutip kata-kata Kartini.

Artikel ini juga boleh dibaca di www.abdnaddin.blogspot.com