Rabu, 19 November 2008

Dalam ribuan mimpi gelisah

Tags

Catatan deasoka...dalam ribuan mimpi gelisah

Tujuh belas tahun hidup dalam ribuan mimpi gelisah, Pak Said tetap seorang yang tabah.Walaupun terpenjara sekian lamanya, Said Zahari, bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu, tidak pernah mengubah prinsip hidup.

Perjuangannya tak pernah redup meskipun menderita dalam kurungan demi satu idealisme.
"Apa pun nama diberi pada kata derita, segala ertinya sengsara," kata pak Said, dalam satu sajak yang ditulisnya pada tahun 1964. Wartawan yang juga sasterawan ini gigih menentang fitnah dan tuduhan melulu yang dibuat oleh rejim yang berkuasa di Singapura ketika itu.

Dalam memoirnya, Dalam Ribuan Mimpi Gelisah terbitan Utusan Publications & Distributors Sdn.Bhd, Said Zahari mengenang kisah silamnya dalam penjara di Outram, di Penjara Changi, sehingga di buang di Pulau Ubin. Kisah ketika beliau di`persona non grata' oleh Tunku dari Malaya dan kemudian berpuluh tahun kemudian dibenarkan oleh Dr.Mahathir untuk menjejakkan kaki di Malaysia seterusnya beliau menjadi karwayan tamu di UKM.

Bayangkan seorang lelaki yang terpenjara, berjuang melawan fitnah di satu pihak dan di lain pihak, seolah-olah mengingkari tanggungjawabnya terhadap isteri dan keluarga. Mungkin tidak ramai orangn yang sanggup melakukan seoerti apa yang Pak said lakukan. Beliau begitu terhutang budi terhadap seorang wanita, Salamah, sang isteri yang juga menanggung beban betapapun beratnya, untuk menghidupkan keluarga dan anak-anak sepanjang 17 tahun pemenjaraan suaminya.

Melalui buku ini, buku memoir keduanya selepas Meniti Lautan Gelora, kita mengenali jati diri Said Zahari sebagai wartawan dan aktivis politik yang kontroversi.

Memoir ini menceritakan bagaimna Said Zahari mengharungi lautan hidupnya dalam penjara dan juga menceritakan pengorbanan isterinya yang terpaksa berjuang bersama-samanya di luar dalam mengharungi hidup tanpa sang suami.

ii. Hidup adalah perulangan perulangan, demikian tulis Hasyuda Abadi dalam buku saya pada 7-9 Disember 1986. Saya ingat pada pagi itu, kami tidak dapat mandi kerana tinggal di asrama Dewan Masyarakat Sandakan. Tetapi berasa tetap ceria dan gembira kerana itulah untuk pertama kalinya saya- yang berusia 17 tahun masa itu, menyertai Perkampungan Sasterawan kali Kedua di Jabatan Perhutanan Sandakan di Batu Tujuh.

Apabila HA bercerita mengenai tahun 86, saya cepat teringat peristiwa saya mengenal Hasyuda yang sudahpun menang Hadiah Sastera Malaysia setahun sebelum itu.

Hidup adalah perulangan perulangan, kini Hasyuda ketua 1 IPS, saya pula jadi ketua duanya.Tak sangka pula begitulah jadinya apabila dapat berdamping dengan seorang penyair yang sudah terkenal ketika itu.

Banyak peristiwa yang mengesankan di Sandakan. Di sana pertama kali terjumpa ABM Fajeer dan Cikgu Mahmud Jahar. Antara nama penyair yang paling top ketika itu adalah seorang penyair yang bernama Zeick, yang kebetulan pula dari Sandakan. Buat pertama kalinya saya bertanya kepada audien dimana letaknya Sandakan ketika membacakan puisi di rumah Presiden MPS, Kamarudin Lingam ? tak ingat pula namanya. Mungkin saya orangnya, masih belia ketika itu, yang akan maju ke corong mikrofon pada setiap sesi pembentangan kertas kerja untuk menyoal dan berhujah dengan para pemakalah antaranya Prof Nik Safiah, Arwah Cikgu Othman Puteh dan lain-lain sehinggalah saya ditemuramah oleh Mumin Mail untuk Rancangan Salam Mesra RTM. Saya bertemu dengan Arwah Dr.Datu Bandira buat pertama kalinya di Sandakan. Bersama Cikgu Alkesah kami sempat meronda pasar malam dan makan telur penyu jam 3.00 pagi. saya juga bertemu dengan ramai sasterawan, seniman, penulis dan penyair. Setelah tiga hari, kemudian pulang ikut bas, rambut jadi perang dibaluti debu kerana jalanan Sandakan-KK masih belum diaspal ketika itu.

Tetapi melihat melihat rakaman video yang dibuat ketika itu, beberapa waktu yang lalu di ibu negeri, saya berasa malu sendiri kerana ada soalan yang ditanyakan itu tak patut ditanyakan kerana tidak relevan.

iii- Melihat diri sendiri Dalam Ribuan Mimpi Gelisah ( pinjam ungkapan Pak Said), menjadikan saya tergamam. Kita harus sentiasa memeriksa diri sendiri supaya dalam perjalanan hidup selanjutnya kita mampu memberikan erti. Kita harus menjadi seperti Pak Said yang walaupun 17 tahun dalam penjara tetapi masih mampu memberikan makna dalam perjuangannya.

16 Mac 2007