Isnin, 17 November 2008

Jalan Lapan Belas

Tags

Catatan deasoka...jalan lapan belas

i. Rasa-rasanya tidak ramai yang tahu mana letaknya Jalan Lapan Belas di ibu negeri. Saya pun hampir melupakan nama jalan itu kalau bukan kerana beberapa hari yang lepas, saya melewati lagi Jalan Lapan Belas.

Jalan Lapan Belas terletak berhampiran persimpangan jalan. Terdapat beberapa lampu isyarat untuk mengawal lalu lintas. Kenderaan bertali arus. Untuk melalui jalan itu, seseorang perlu berhati-hati dan terpaksa menoleh kanan dan kiri untuk menyeberang.

Apa istimewanya Jalan Lapan Belas?. Sebenarnya tak ada apa-apa kecuali di pembahagi Jalan Lapan Belas itulah, percambahan idea untuk menubuhkan Ikatan Penulis Sabah (IPS) terjadi.
Kami hanya bertiga ketika itu. Saya yang paling muda, berusia dua puluh satu. JM berusia 28 dan Ailin baru 23. Biasanya ketika tengahari atau petang, kami sering melalui pembahagi Jalan Lapan Belas itu untuk ke Kantin di Tingkat Tiga Bangunan Pejabat Pos.

Mungkin kami anak muda yang bersemangat. Era penghujung 80-an dan awal 90-an itu ditandai oleh kegelisahan kami sebagai penulis muda untuk turut sama mewarnakan dunia sastera di negeri ini. Lagi pula ketika itu, timbul semacam persaingan antara penulis di ibu negeri dengan rakan-rakan di Kudat untuk berlumba-lumba menghasilkan karya sastera yang bermutu. Waktu itu nama-nama seperti Mohamed Hadie Nor D (kini Allahyarham), A.Karim Kadir, Jair Sulai, Saik DS, Masrani Madun, Ailin Nor, Norjannah MA, Sharifah AM Noordin, Aida AR, Ali Karim, Mila, Agus M, NR Rahim, Masdini Mohamad, Shukri Shaifudin, Ariff Osman, Agus M, Mabulmaddin Shaiddin,dan deretan banyak lagi nama mewarnai lanskap sastera Sabah.

Bahawa tidak ramai penulis muda yang pada era selepas kami, juga menimbulkan persoalan. Ketika nama mereka yang lebih senior seperti Hasyuda Abadi, Jasni Matlani, Saibil Madun, Mohd.Zain AH, Siba Nita AS. Arifin Arif, ABM Fajeer, Zeick, R.Hamzah Dua, Juri Durabi sudah pula mencipta masing-masing.

ii- Rupa-rupanya 17 tahun sesudah itu, Jalan Lapan Belas masih sibuk dengan lalu lintas. Pohonan di pembahagi jalan itu masih lagi ada di situ seperti biasa. Ketika melintas di Jalan Lapan Belas ini, saya terkenang rakan-rakan dan sahabat dahulu. Ada yang masih menulis dan terus menulis. Ada yang memang sudah dapat menempatkan diri dalam alam kesusasteraan kita. Ada juga yang berhenti, ada juga yang sedang berada dalam peristirehatan yang panjang.

Hanya kami masih tidak dapat menentukan di mana kami berada. Kalau di laut, berapa nautika, kalau di darat berapa kilometer. Namun yang pasti kami berada di satu tempat, yang mungkin tidak terlalu jauh tetapi di tempat lain.

20 Julai 2007