Jumaat, 14 November 2008

bila bercermin jangan lupa lihat wajahmu

Tags

Catatan deasoka....bila bercermin jangan lupa lihat wajahmu.

Kalau tidak silap saya menemui ungkapan ini dalam buku puisi A.Ghafar Ibrahim. Ini menjadikan saya berfikir, pernahkah ada orang yang bercermin tetapi lupa melihat wajahnya sendiri. Saya fikir AGI punya maksud yang lain.
Bercakap tentang cermin, saya kira ada macam-macam cermin. Tingkahlaku kita adalah cermin hati budi kita. Orang tua cermin bagi anak-anaknya. Orang lain boleh menjadi cermin bagi diri kita.
Mungkin kita pernah mendengar pertanyaan siapa tokoh yang kamu minati ? Siapa role model kamu? Atau siapa idola kamu. Bagi orang Islam, personaliti yang sebaik-baiknya jadi ikutan ialah Nabi.
Selain itu? tentu ramai lagi. Beberapa waktu yang lepas, ketika balik kampung, saya rasa begitu terharu. Bapa menyerahkan beberapa buah buku latihan bertulisan tangan berisi cebisan kisah hidupnya. Ayah saya sudah tua. Tinggal di kampung. Kadang seorang diri beliau itu menghabiskan hari-hari yang berlalu. Ibu sering turun untuk memotong tebu dari `mini estet' tebu kami. Jadi bapa tinggal sendirian. Untuk menghindari sepi, saya menyarankan agar beliau menulis kisah hidupnya yang pernah jadi polis boy, guru, buruh ladang, pegawai pertanian, Lembaga Padi sabah, malaria, guru kemas. Saya minta beliau menuliskan kisahnya waktu bersekolah dulu, keperitannya, kepedihannya, kesukaran dan pengalaman pahit manisnya. Bagaimana beliau pernah jadi juara pantun, runsai, kalang, jadi penulis polimek di surat khabar dan akhirnya jadi seniman rakyat.
Pada mulanya saya tidaklah berapa serius tetapi kemudian apabila bapa memberitahu buku autobiografinya itu sudah siap ditulis, walaupun masih bertulis tangan dan dalam ejaan lama, saya berasa cukup gembira dan terharu.
Saya kira membaca dan mendengar pengalaman orang lain amatlah mengasyikkan.Kita boleh belajar dan mengambil iktibar daripadanya. Pengalaman orang lain boleh memberikan kita motivasi, semangat dan sebagainya.
Minat saya membaca karya autobiografi, biografi, memoir dan sebagainya mula timbul sejak di sekolah rendah. Ketika itu saya membaca kisah nabi dan para sahabatnya.
Saya memang suka mendengar orang bercerita. Barangkali, antara buku yang paling berkesan dalam hidup saya ialah autobiografi Pak Lah (Abdullah Hussain Sasterawan Negara). Saya banyak membaca buku-bukunya. Mungkin saya termasuk orang yang `rakus' membaca yang kadang-kadang juga boleh merimaskan orang lain. Pengalaman tokoh-tokoh besar ini boleh dijadikan pedoman kita menjalani kehidupan. Kisah-kisah hidup Bung Hatta, Bung Karno, Ahmad Bostamam, Mustapha Hussain, Datu Onn, Mochtar Lubis, A.Samad Ismail, A.Samad Said, Pramoedya Ananta Toer, Nelson Mandela,Dr. Martin Luther King, Aung San Suu Kyi, Ibu Inggit,Hoegeng, Kemal Idris, Awaludin Djamin, Midain Sirait, Tunku Abd.Rahman Putra, Tun Razak, Aziz Ishak, Wee Kim Wee,King Hussein, Adam Malik, Asri Muda dan lain-lain cukup memberikan kita teladan untuk dijadikan tauladan.
Kiranya tradisi menulis biografi apatahlagi autobiografi di Sabah masih langka. Kita hanya pernah ada biografi Tun Datu Mustapha, Tun Fuad Stephens, Datuk Harris Salleh, Tan Sri Richard Lind, Pak Shuhaibun Yussuf, K.Bali dan terkini Datuk Haji Awang Sahari Abd.Latiff. Sayang sekali kerana saya belum (sempat) membaca karya Datuk RM Jasni.
Masih ramai lagi tokoh-tokoh yang belum ditulis. Buku tentang Tan Sri Hamid Egoh, Tan Sri Simon Sipaun, Dr.Hasbollah Haji Taha, Toh Puan Rahimah Stephens, Arwah Datuk Dzulkifli Hamid, bahkan masih ramai lagi yang belum ditulis orang. Tun DSP Haji Sakaran Dandai pun masih dalam buku bergambar. Tidak lagi kita minta-minta, kalau dia orang meninggal ini, sebahagian daripada `perpustakaan kita' hilang.
Saya teringat arwah Haji Ahmad Duraman di kampung saya. Beliau hanya orang biasa yang sebenarnya luar biasa kerana beliau menyimpan dan pakar dalam aspek-aspek budaya Iranun.Apabila beliau kembali ke rahmatullah, barulah orang-orang menyedari bahawa masyarakat Iranun kehilangan `satu perpustakaannya yang berharga'.
Terlalu panjang pula catatan saya kali ini. Saya teringat ungkapan Penyair Sufi terkenal Saadi dari Shiraz yang menyatakan kepada seorang pengembara bahawa beliau tidak akan sampai ke Mekah kerana perjalanannya sedang menghala ke Turkestan.
Mungkin saya juga begitu.