Rabu, 26 Mei 2010

Satu petang di Utusan Borneo KK

Barangkali Amir Anuar terkejut melihat suasana di pejabat Utusan Borneo yang penuh tawa, ceria, jenaka dan gurauan. Wartawan Utusan Borneo dari Tawau ini singgah buat pertama kalinya di pejabat Editorial Utusan Borneo, pada satu petang sebelum balik ke Tawau.
Ketika itu, kebanyakan kami memang agak sibuk juga bersaing dengan waktu. Selepas memburu berita, kami duduk di meja masing-masing mencari `angle' dan memikirkan intro. Sebahagian yang lain sedang sibuk mengedit, rekaletak dan sebagainya.
Tapi kami tetap menyempatkan diri untuk bergambar kenang-kenangan sempena kunjungan saudara Amir itu.
Kebetulan kami semua berada di pejabat ketika itu.Hanya beberapa orang tak sempat hadir. Editor Eksekutif kami, Lichong Angkui duduk sementara kami masing-masing berdiri dengan gaya tersendiri.
Jangan hairan kalau staff Utusan Borneo Kota Kinabalu kelihatan awet muda belaka kerana walaupun di tengah-tengah kesibukan malah ditengah-tengah `tension' pun, mereka masih boleh tersenyum.Tahniah.

sekadar maklumat tambahan...kiri sekali, Erra, pelatih UMS yang rasanya sudah sebati dan menjadi sebahagian keluarga kami di UB.
Florieta, sub editor yang minat budaya.Dibelakangnya Willie, yang menjadi orang kuat crime desk, kemudian berbaju Hijau, Alex- pereka grafik yang hebat dan memiliki banyak pengetahuan yang luas, kemudian Jelifah, yang kini sub editor yang menangani sastera dan budaya, mariayati yang berpengalaman,kemudian Amir, rakan kami dari Tawau itu, Hashim, Editor Sukan yang suka menulis hiburan, pariwisata, Rozaini yang kalau tak ada dia, sepi sedikit di pejabat, Sahar pemberita mahkamah yang sudah banyak menghafal enakmen dan akta, Siti Aisyah yang periang,rajin dan suka menyanyi. Mana Nik Jasni?, Rozzalin, Si Bokara Chai pun tak ada . Chief Reporter, John Tambanan yang mengambil gambar kami. O rupanya, ramai lagi yang tak ada. Sdr Samsul yang selalu dipanggil bos samsul mungkin di biliknya, Masnah mungkin sibuk barangkali, Bellu-editor ruangan Kadazandusun juga tak ada, Vitalis dan Desmond di tingkat 4... Inilah warga Utusan Borneo yang menggelarkan akhbar mereka Citra Generasi Prihatin.


Rabu, 19 Mei 2010

Saya selalu terjumpa dia

"Masihkah dia bertugas sebagai guru di pulau itu?
"Tidak lagi.Dia sudah pindah," kata seseorang.
"Ooo"
Saya sering melihatnya di kotaraya ini. Boleh dikatakan hampir tiap petang.Mungkin selepas mengajar di daerahnya yang terletak kira-kira 68 km di sebelah utara Kota Kinabalu, beliau turun ke KK. Atau mungkin dia tinggal di kota ini.
Biasanya apabila berselisih di jalan, saya hanya tersenyum atau melambaikan tangan. Saya tahu, dia juga, seorang pemimpin yang memegang jawatan di peringkat kampung, yang kemudian membuat orang kampung tidak berpuas hati kerana beliau jarang menjenguk kampungnya itu walaupun dia dipilih pengerusi JKKK.
Mungkin ada anaknya di sini, atau ada urusannya. Saya tidak tahu, tetapi saya pernah melihatnya berjalan dengan seorang perempuan, mungkin isteri baru.
Yang saya kesalkan ialah kerana saya mengenali dia. Saya mengenali dia sebagai seorang guru. Seorang guru yang sepatutnya berada di sekolah untuk mengajar anak-anak muridnya dengan penuh dedikasi.
Saya tidak mahu berburuk sangka. Saya hanya terkejut ketika melihat dia, malam itu, duduk menghabiskan masanya, bermain games.

Catatan tentang nama yang unik

Bila teringat rakan kami tertawa lucu, saya pula terasa lucu melihatnya ketawa kelucuan itu.
Barangkali dia tidak selalu mendengar nama-nama yang kedengaran aneh itu.Tetapi tentu ada sebab musabab mengapa orang-orang tua kita dahulu menamakan anak mereka dengan nama yang luar biasa itu.
Kalau minggu lalu, rakan kami-Aishah namanya, terbaca nama Haji Kampung Baru, dua tiga hari lalu sekali lagi beliau dikejutkan dengan nama Encik Liar Sungguh.
Sebenarnya banyak lagi nama yang kami jumpai sewaktu bertugas sebagai pengamal media ini. Ada yang namanya Usno, kerana ia dilhahirkan ketika parti Usno ditubuhkan. Ada yang namanya, Malaysia dilahirkan pada 16 September 1963 iaitu ketika pembentukan Malaysia, dan banyak lagi nama yang istimewa.
Di kalangan masyarakat Lundayeh, mereka memilih nama binatang misalnya buaya, harimau, dan sebagainya untuk diletakkan sebagai nama mereka. Tentu ada sebab mengapa mereka menamakan anak-anak mereka seperti itu.

Selasa, 18 Mei 2010

Pengalaman didatangi Bahaya

Tanpa disangka, saya didatangi Bahaya petang tadi.
Bahaya dibawa oleh Masidar yang datang dari Kampung Koromoko, jauh di Kota Marudu. Beliau datang untuk mengadukan halnya kepada Suhakam, dan juga, kalau boleh, persoalan itu disiarkan di media.
Masidar terpaksa meredah hujan. Beliau yang biasanya berbaju batik, kalau turun ke KK itu, kelihatan basah kuyup. Saya kasihan melihatnya tetapi beliau berusaha datang tepat pada waktunya. Kami berjanji untuk bertemu jam 4.00 petang tetapi ketika itu, hujan turun menyiram ibu kota yang mengantuk menanti sinar matahari.
Masidar datang membawa Bahaya. Kemudian kami minum di Restoran Asrin,(dulunya Restoran Banu) di Jalan Gaya.
"Siapa nama pakcik tadi?" Saya bertanya.
"Nama Saya Bahaya.Tentu Tuan tidak percaya, nama saya Bahaya," katanya sambil menunjukkan intikatnya. Intikat sebenarnya yang bermaksud kad pengenalan, berasal dari perkataan identity card (ID) yang akhirnya disebut intikat di kalangan masyarakat kampung.
"Nama saya yang sebenarnya Bayah," katanya. "Tetapi dalam intikat saya, dia orang eja Bahaya.Saya bukan orang yang bahaya," kata Bahaya bin Unggus, yang berusia kira-kira 84 tahun, tetapi kelihatan masih kuat lagi.
"Oooo," hanya itulah yang saya dapat luahkan, ketika dia cuba berjenaka, bahawa kalau tidak masuk news, ini tentu bahaya!.

Sambil berbincang masalah sempadan tanah di Kampung Koromoko dan tanah pakcik Bahaya di kampung Samparita, yang dijual orang tertentu kepada syarikat, saya mempelawa mereka makan. Masidar berkata mereka belum sempat makan sejak pagi tadi.

Saya perhatikan Masidar makan dengan berselera tetapi Pakcik Bahaya hanya makan nasi, tanpa lauk. Beliau hanya meminta mangkuk, dan makan nasi berlaukkan air. Perbuatan ini dipanggil `dsabak' dalam bahasa Iranun, tetapi saya lupa bertanya, apa padanan kata itu dalam bahasa mereka, bahasa mereka.
"Banyak lauk di sana pakcik.Pakcik tak makan lauk," saya bertanya. Pakcik Bahaya berkata beliau tidak makan lauk kerana tidak mahu makan ajinomoto.

Saya bemaksud untuk belanja mereka makan tetapi Pakcik Bahaya beria-ia mahu membayar. "Semuanya 12 ringgit 50 sen," kata pelayan itu.
"Ini berapa?" Pakcik Bahaya menunjukkan gelas. "Ini berapa harganya?" katanya. Pelayan itu terpinga-pinga sebab belum pernah ada orang mahu membayar dengan harga minuman tetapi dengan harga gelasnya sekali.
Saya memanggil Hakim dan berkata, pakcik Bahaya mahu membeli gelas metal itu kerana beliau berkenan untuk memilikinya.
Hakim memberitahu, beliau tidak mempunyai gelas yang banyak seperti itu. Akhirnya dia menghadiahkan gelas itu secara percuma kepada Pakcik Bahaya.

Info terbaru untuk pengguna viagra

"Saya kenal orang tua itu", katanya ketika kami melintasi lorong itu.
"Orang tua yang mana?"
"Yang menjual viagra itu," katanya sambil menunjuk kepada seorang lelaki yang duduk di sudut kedai itu untuk menjual segala jenis ubat yang diperlukan oleh orang yang ghairah nafsunya luar biasa, hingga tidak dapat lagi membezakan mana yang dilarang dan mana yang dibenarkan.
"Macam mana kenal?' saya bertanya Amai Shafiq, yang memandu kereta selepasa kami menyantap ikan bakar di kedai Lilok.
Menurutnya, setiap kali ke Keningau, beliau sering dipesankan untuk membeli viagra kerana di Keningau ia dijual dengan harga RM14.00. Harga biasanya ialah RM8.00 manakala di tempat orang tua itu, ia dijual dengan harga RM4.00.
"Jadi saya menjualnya kepada mereka dengan harga RM12.00," katanya sambil memberitahu, viagra itu dikatakan boleh meningkatkan rangsangan berahi.
Saya tersenyum mendengarnya kerana tidak menjangka bagaimana Amai Shafiq begitu kreatif dan cepat menyambar peluang untuk menjual viagra kepada kenalannya yang mencari viagra.
Lain di Keningau, lain lagi di Beaufort, katanya yang membuat saya terus tertarik mencdengar ceritanya.
"Di Beaufort, ada orang menggunakan viagra untuk menegangkan leher ayam jantan," katanya.
"Biasanya jika ayam sabung diberi makan viagra, lehernya akan tegang dan kuat dan boleh memenangi pertandingan sabung ayam," katanya lagi.
"Jadi viagra bukan saja untuk menegangkan `anu' tetapi boleh juga digunakan untuk menegangkan leher ayam," katanya yang membuat saya tertawa kerana mendapat info terbaru itu.

Sabtu, 15 Mei 2010

Catatan mengenai seorang bekas guru

Kehidupan bekas guru itu,bagi saya amat memprihatinkan. Selepas bersara, ternyata beliau dicengkam derita terus menerus.
Mengenangkannya saya selalu ditimpa dukacita. Tapi apakan daya saya tak mampu membantunya.
Cikgu itu, sebutlah namanya Cikgu A, merupakan seorang guru yang pernah memegang jawatan di Jabatan Pelajaran. Selepas pencen, wang pencennya itu dilaburkan untuk satu skim yang kemudian terbukti merupakan skim penggandaan wang yang menyalahi peraturan yang ditetapkan Bank Negara.
Cikgu A yang melaburkan banyak wangnya tertipu dan kehilangan wangnya. Tidak cukup dengan itu, dia juga ditipu kawan sendiri berkaitan pembelian kereta.
Cikgu A sebenarnya boleh bekerja secara sambilan dengan menggunakan kepakarannya dalam bahasa Inggeris tetapi isterinya pula kuat cemburu. Apatahlagi sebelum itu, Cikgu A pernah kedapatan mainmain dengan perempuan oleh isterinya.
Jadi Cikgu A tidak banyak melakukan kegiatan lain untuk menambahkan penghasilan selain wang pencennya yang sedikit itu.
"Mungkin dia ketulahan," kata seorang cikgu yang menjadi kawan rapatnya.
"Kenapa pula Cikgu? "saya bertanya.
"Dia tidak peduli ibunya hingga ibunya meninggal," katanya.

"Tapi sekarang, syukurlah Cikgu A selalu ke masjid," kata kawannya lagi.

Jumaat, 14 Mei 2010

eyan mengkak, eyan mengkulung

Situasi yang hampir serupa dan tidak mempunyai perbezaan yang terlalu ketara, dalam masyarakat Bajau Kota Belud dapat digambarkan dengan peribahasa ini. Eyan mengkak, eyan mengkulung.

Orang Bajau di Bandau pula memerikan mengenai keadaan yang hampir sama dengan peribahasa ini. Eyan bida' ni baa ngko kalimbubut.

Kalimbubut ialah perkataan Bajau untuk bisul. Tetapi jika di Kota Belud, Kalimbubut adalah Bisul yang tumbuh dari bawah pusat ke ke kaki. Bisul yang tumbuh dari bahagian Puat ke atas dipanggil Biring.

Tetapi Bisul yang tumbuh di dalam bahagian dalam organ tubuh kita dipanggil `Baa'. Jadi apa bezanya Baa ngko kalimbubut? Jika kedua-duanya bermakna bisul, yang satu bisul di luar manakala yang satu lagi bisul dalaman.

Tak ada bezanya.Kedua-duanya bernanah, kata ayah saya.

Petua menjadi pemimpin dari sudut pandangan seorang Iranun

Ketika Daranda ingin berlayar meninggalkan kampung halamannya, Inayunan a Bembaran memberikan beberapa pesan atau petua kepadanya supaya sentiasa menjaga diri.

Pesan ini mungkin boleh dilihat dalam konteks yang lebih luas, bukan setakat pesan kepada Daranda tetapi sebagai sebuah pesan yang mengandungi pesan moral supaya kita sentiasa menjaga hatibudi, sentiasa menggunakan akal fikiran dan kebijaksanaan dalam membuat sesuatu perkara.

Nasihat ini merupakan salah satu nasihat yang terkandung dalam Darangen iaitu cerita epik masyarakat Iranun, yang kini hampir dilupakan.

Jika ingin dihormati, seseorang mestilah membuat satu keputusan yang tidak berdolak dalik, sentiasa bercakap benar, sentiasa menjadikan akal sebagai pedoman dan mengambil tindakan yang bijaksana.

Pemimpin yang baik sentiasa cintakan kedamaian dan tidak sukakan sengketa. Jika ada yang boleh dijernihkan , maka ia hendaklah mengambil langkah untuk menjernihkan suatu perkara. Pemimpin haruslah sentiasa mencari jalan yang damai buat orang-orang yang dipimpinnya.

"ya aki' kandatu',
su di' ta aked a inged
mangindulung su akal
mangulin su ungagen
paluba' su pandapat
begkes su kira-kira.

terjemahan bebasnya ialah,
Jika ingin dihormati di rantau orang,
akal dijadikan pedoman,
kebijaksanaan dijadikan haluan,
pendapat dipersatukan,
fikiran diperkukuhkan.

Untuk menjadi orang yang dihormati, atau menjadi seorang pemimpin, maka si Daranda hendaklah menjadikan akalnya sebagai pedoman dalam perjalanan hidupnya. Daranda juga dinasihatkan Sultan supaya sentiasa menjadikan bijaksana dalam membuat keputusan, mempunyai pendirian yang teguh, menyatukan pendapat dan supaya `paluba su pandapat, begkes su kira-kira'. Penyatuan pendapat dan pertimbangan hendaklah dijadikan keutamaan oleh sesorang yang ingin menjadi `datu' atau ketua ketika berada di perantauan.


makapitu i sandar
i karampana a dar
ugkabalui a rinau
baluien den a rinau


makapitu i sandar
ikaridu' a siri'
ugkbalui a linanu
baluien den a linanu'


tujuh kali didatangkan
kedukaan jiwa
jika dapat dijernihkan
maka jernihkanlah ia

tujuh kali dipandang
dengan rasa sengketa
jika boleh didamaikan
maka damaikanlah dia.

"Ugkabalui a rinau, baluien a rinau
ugkabalui a linanu, baluien a linanu".Ungkapan ini membawa pengertian yang mendalam dan membawa pesan yang boleh difikirkan masyarakat kita. Walaupun didatangi kedukaan jiwa dan rasa sengketa, kita haruslah memilih `yang jernih' dan `yang damai'.
Jika dapat dijernihkan, maka jernihkanlah ia.Jika boleh didamaikan maka damaikanlah ia.

Salah satu episid dalam Darangen, iaitu epik Iranun seperti yang dituturkan Tuan Haji Asmah Haji Ibrahim kepada Sdr Mabulmaddin Haji Shaiddin.