Isnin, 15 Mac 2021

Apa Yang Kita Mahu Buat, Buat Sekarang, Jangan Bertangguh Lagi, Kata K Zulkifli Harrith

Tags

 



DI kalangan rakan-rakannya, beliau dikenali sebagai pekerja yang dedikasi dan komited dalam setiap kerja yang dilakukannya. Seorang pekerja yang tekun dan teliti. Kerjayanya bermula hanya sebagai seorang kerani dan kemudian memegang pelbagai jawatan sepanjang kira-kira 40 tahun berkhidmat dalam kerajaan. Jawatan terakhirnya sebelum bersara pada  Januari 2019 ialah Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

“Kalau kerja, kerjalah dengan jujur,” itulah pesan orang tua yang jadi amalannya sepanjang kerjayanya selama empat dekad dalam perkhidmatan kerajaan.Kini selepas bersara, beliau lebih banyak menumpukan masa untuk memberikan khidmat kepada masyarakat yang masih perlukan pembelaan.

K ZULKIFLI KEE HARRITH lahir pada 8 Januari 1958 di Batu 1 ½ Jalan Apas Tawau. Beliau adalah anak kedua daripada sepuluh adik beradik. Dibesarkan di Sandakan, beliau mendapat pendidikan awal di SRK Berhala Darat Sandakan dari darjah satu hingga darjah enam, kemudian melanjutkan pelajaran menengah di SMK Sandakan dari tingkatan satu hingga tingkatan empat, kemudian beliau berpindah sekolah ke SMK Sanzac Kota Kinabalu dalam tingkatan lima. Selepas lulus SPM, beliau sempat bertugas sebagai kerani di Pejabat Daerah Sandakan sebelum melanjutkan pelajaran di ITM. Selepas itu beliau bekerja sebagai kerani di Kementerian Perdagaangan dan Perindustrian (MITI) selama dua tahun. Kemudian  beliau ditukarkan ke Jabatan Perkhidmatan Haiwan selama satu tahun pada 1979. Pada tahun 1980-an hinga 1981, beliau  bekerja di Jabatan Hutan di Batu 7 Sandakan sebagai  Supernumerary Forest Ranger.

Kemudian beliau melanjutkan pelajaran di University of Wisconsin RiverFalls, USA pada tahun 1983. Bagaimanapun enam bulan kemudian beliau  berpindah ke Purdue University West Lafayette, Indiana US dan lulus ijazah dalam bidang pertanian. Sekembalinya ke tanah air, beliau sempat bertugas di Loji Penapisan Air Telibong sebelum menjadi Pegawai Penyelidik di Kementerian Pertanian dan Industri Makanan  (MAFI). Beliau diberikan pelbagai tanggunggjawab, antaranya menjadi menjadi Timbalan Setiausaha Tetap ( SUT ) di MAFI pada tahun 2016 hingga 2018. Jawatan terakhir beliau sebelum bersara ialah Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah walaupun hanya disandang  hanya empat bulan kerana memasuki usia persaraan Januari 2019.



Wartawan kanan UTUSAN BORNEO, ABD NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang mewawancara K ZULKIFLI KEE HARRITH pada satu petang yang cerah di salah sebuah premis di Jalan Pantai Kota Kinabalu. Ikuti petikan wawancara bersama beliau mengenai pelbagai pengalaman yang dilaluinya dalam hidup:



 

UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan serba sedikit latar belakang tuan?

K. ZULKIFLI KEE HARRITH: Saya lahir pada 8 Januari 1958 di Batu 1 ½ Jalan Apas TawauSetengah. Saya anak kedua daripada sepuluh adik beradik. Semua lelaki tiada perempuan. Ayah saya Kee Harrith Kee Sulaiman bekerja sebagai pembantu perubatan di Hosptal Sim Sim manakala ibu saya Anumjan Amirkhan, seorang suri rumah.  Kami sebenarya menetap di Sandakan tetapi setiap kali, ibu saya mahu melahirkan beliau akan balik ke Tawau  ke tempat keluarga.

Ayah saya lebih dikenali sebagai doktor Harrith. Kebetulan beliau bekerja sebagai pembantu perubatan di Hospital Sim Sim yang dikenali sebagai hospital untuk pesakit jiwa.Sebenarnya beliau bukanlah seorang doktor walaupun mempunyai pengetahuan yang luas dalam bidang perubatan.

Beliau terkenal sebagai Doktor Harrith  di kalangan orang Sandakan  kerana beliau juga tukang khatan atau tukang sunat untuk kanak-kanak Islam yang memasuki usia baligh . Sebab itu beliau terkenal.Mungkin ribuan orang di Sandakan yang pernah beliau khatan.Selain itu, pula beliau seorang yang disenangi ramai dan boleh  bercakap hailam, kantonis, hakka

 

UB:     Di mana tuan mendapat pendidikan awal?

K ZULKIFLI:  Saya bersekolah rendah di SRK Berhala Darat dari darjah satu hingga darjah enam. Kemudian saya melanjutkan dari tingkatan satu di SMK Sandakan, sempat bersekolah di SMK St Michael tetapi tidak lama, berpindah semula meneruskan pelajaran di SMK Sandakan hingga tingkatan empat Kemudian saya berpindah ke SMK Sanzac ketika berada dalam tingkatan lima.

UB:     Siapa antara rakan sekolah di SMK Sandakan yang tuan masih ingat?

K ZULKIFLI:           Antaranya Dr Ismail Osir, Sardul Singh, Saimah Ahmad, YB Saddi Abd Rahman.

UB:     Selepas tamat tingkatan lima, dimana tuan melanjukan pelajaran?

K ZULKIFLI: Saya bekerja terlebih dahulu  sebagai kerani di Pejabat Daerah Sandakan.Antara tugas yang diberikan kepada saya adalah penyelia banci pendatang tanpa izin (PTI). Antara rakan saya ialah Rashid Kamsiran dan lain-lain. Selepas itu, barulah saya melanjutkan pelajaran pra sains di iTM dalam selama satu tahun. Kemudian saya bekerja sebagai kerani di Kementerian Perdagaangan dan Perindustrian (MITI). Saya bertugas di sana selama dua tahun.

Kemudian saya ditukarkan ke Jabatan Perkhidmatan Haiwan selama satu tahun pada 1979. Pada tahun 1980-an hingga 1981, saya bekerja di Jabatan Hutan di Batu 7 Sandakan sebagai  Supernumerary Forest Ranger.

UB:     Apa yang tuan lakukan selepas itu?

K ZULKIFLI: Saya melanjutkan pelajaran diUniversity of Wisconsin RiverFalls, USA pada tahun 1983. Bagaimanapun enam bulan kemudian saya berpindah ke Purdue University West Lafayette, Indiana US dan lulus ijazah dalam bidang pertanian.






UB:     Mungkin boleh cerita sedikit pengalaman ketika belajar di Amerika Syarikat?

K. ZULKIFLI: Banyak pengalaman sepanjang berada di Amerika. Antara saya pernah terlibat dalam kemalangan langgar lari ketika beada di Chicago. Saya kejar kereta itu tapi tidak boleh ingat nombor flatnya hingga saya tersesat dan terpaksa  minta bantuan polis yang akhirnya menghantar saya ke jalan besar.

UB:     Pernah bekerja sewaktu jadi pelajar sebagaimana lazimnya yang dilakukan pelajar Malaysia di luar Negara?

K ZULKIFLI: Ya, saya pernah bekerja di sebuah kafetaria dengan gaji USD 8 dolar sejam. Saya cari pendapatan tambahan untuk perbelanjaan, apatah lagi saya membawa keluarga. Tapi saya agak berasib baik kerana mendapat dermasiswa daripada Purdue Uiversity selain Biasiswa Kerajaan Negeri.

UB: Sekembalinya ke Sabah, di mana tuan bekerja?

K ZULKIFLI: Saya sempat berkerja  di Loji Penapisan Air Telibong  tetapi tidak lama. Selepas itu,  saya bekerja sebagai Pegawai Penyelidik di Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) . Kemudian saya menjadi Timbalan Setiausaha Tetap (SUT) pada tahun 2016 hingga 2018. Jawatan terakhir saya sebelum bersara pada 8 Januari 2019  ialah Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah walaupun hanya empat bulan, tapi saya sempat melaksanakan tugas SUT di MAFI. Ketika bertugas, saya sempat menjadi Penasihat Projek di MAFI.

UB:     Apa kegiatan tuan selepas bersara?

K ZULKIFLI: Saya bergerak aktif dalam kegiatan kemasyarakatan dan menceburi bidang politik?




UB:     Apa yang menyebabkan tuan tertarik dalam bidang politik?

 K ZULKIFLI: Saya tertarik dengan  politik semata-mata untuk  membela nasib rakyat dan ingin membawakan kemajuan minda. Selama lebih 40 tahun berkhidmat dalam  kerajaan, saya nampak kebanyakan ahli politik tidak fokus untuk  melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai wakil Rakyat.



Saya adalah juga Mantan penasihat projek di Kementerian Pertanian dan Industri Makanan ( MAFI) jadi saya nampak apa yang  berlaku. Kerajaan meluluskan projek-projek pembangunan dalam masa setiap 5 tahun program pembangunan namun kebanyakannya tidak dapat dilaksanakan 100% atau kurang berkesan dan  tidak menepati sasaran. Kehidupan rakyat terutama di luar bandar masih juga sama. Menyedari hakikat inilah maka saya bertekad untuk  mengubah cara pelaksanaan program-program pembangunan yang lebih mesra rakyat.

 Sememangnya saya tidak banyak pengalaman dalam  politik sebenar tetapi setelah melihat selama puluhan tahun corak pemerintahan yang tidak fokus kepada program-program pembangunan maka saya ingin mencebur diri dalam  politik agar perubahan dapat dibuat.



UB:     Mungkin boleh ceritakan pengalaman bertanding dalam PRN yang lalu?

K ZULKIFLI: Saya  bertanding di Sungai Manila dalam PRN yang lalu atas tiket Usno Kemenangan bagi saya adalah bonus sekiranya saya menang tetapi tujuan sebenar saya hanya mahu bertapakd dan memperkenalkan Usno yang ditidurkan lebih 20 tahun.

Walaupun dalam masa singkat berkempen namun sambutan itu memang ada cuma rakyat masih ragu-ragu  tentang kewujudan semula Usno.




Kini kewujudan Usno mula dirasakan dan Usno sudah mula aktif dalam  politik untuk memperjuangkan nasib rakyat SABah . Dengan keyakinan YAB Ketua Menteri terhadap perjuangan Usno dalam Gabungan Rakyat Sabah ( GRS) memberikan Usno  nafas baru uuntuk  berjuang dan melangkah bersama untuk  memartabatkan negeri Sabah ke arah Sabah Maju Jaya

Bagi pemahaman saya, YAB Ketua Menteri mempunyai hasrat yang murni untuk menyatupadukan rakyat Sabah. Maka sebab itulah, saya menggunakan platform politik dalam  parti Usno untuk  merealisasikan hasrat murni ini. Usno akan bekerjasama dengan semua parti dalam GRS untuck  mencapai matlamat Sabah Maju Jaya.

 

UB:     Oh ya? Apa cita-cita tuan sewaktu kecil?

K ZULKIFLI: Saya bercita-cita menjadi seorang doktor atau pakar psikiatri tetapi tidak kesampaian. Saya kerja dalam bidang lain. Mulanya minat menjadi seorang ahli dalam bidang perhutanan tetapi di universiti ambil pengajian dalam pertanian.

UB:     Apa nasihat ibu bapa yang tuan paling ingat?

K ZULKIFLI: Saya selalu diberikan nasihat oleh ayah saya, paling saya ingat ialah , kalau kerja, kerjalah dengan jujur

 



UB:     Apa hobi tuan di masa lapang

K ZULKIFLI: Saya suka memancing , paling suka menjala atau memuat ikan selain itu suka bermain bowling.



UB:     Oh ya. Soalan terakhir. Apa prinsip tuan dalam bekerja?

K ZULKIFLI: Apa pun yang kita mahu buat, do it now, buat sekarang, jangan bertangguh lagi. Sebaliknya kalau buat keputusan,jangan buat keputusan tergesa-gesa. Fikirkan dulu.

 

Artikel Terkait