Isnin, 25 Mei 2020

HAJI ABDUL GARI HAJI ITAM, UTAMAKAN DISIPLIN DALAM KEHIDUPAN

Tags

HAJI ABDUL GARI HAJI ITAM,  UTAMAKAN DISIPLIN DALAM KEHIDUPAN


HIDUP berdisiplin, itulah motto hidupnya. Beliau sentiasa jujur dan tegas serta menjunjung tinggi prinsip akauntabiliti sepanjang menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya. Kerjayanya bermula dari bawah, pernah menjadi kerani dan berpengalaman menjawat pelbagai jawatan sebelum dilantik sebagai Pegawai Daerah Kota Belud pada Jun 2010 sehingga bersara pada 12 Mei 2019. Tetapi tiada siapa yang pernah membayangkan bagaimana seorang murid yang agak `nakal’ ketika kecilnya  akhirnya menjadi salah seorang pegawai kanan kerajaan yang disegani dan dihormati.



HAJI ABDUL GARI HAJI ITAM dilahirkan di Kampung Kota Peladok Kota Belud pada 12 Mei 1959.  Mendapat pendidikan awal di SRK Peladok dari darjah satu hingga enam kemudian meneruskan pelajaran menengah di SMK Arshad Kota Belud. Beliau sempat bekerja selama empat tahun sebelum meneruskan pengajian dalam bidang ekonomi di University of Toledo, Ohio, USA pada 1982.  Pada tahun 1996, beliau mendapat tawaran Biasiswa Kerajaan Negeri untuk melanjutkan pelajaran di Middlesex University, London, United Kingdom dalam bidang Pentadbiran Perniagaan (MBA). Sebelum ditukarkan ke Pejabat Daerah Kota belud, beliau pernah bertugas di beberapa jabatan antaranya Jabatan Keretapi, Jabatan Perhutanan, JKR, Unit Perancang Perancang Ekonomi dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah. Beliau bertugas sebagai Pegawai Daerah Kota Belud bermula 14 Jun 2010 hingga bersara pada 12 Mei 2019. Semasa di universiti, beliau pernah aktif dalam Malaysian Islamic Study Group (MISG) dan Islamic Society of North America (ISNA).
Sebagai mengiktiraf jasa baktinya, beliau pernah dikurniakan pingat kebesaran Ahli Darjah Kinabalu (ADK) dan Ahli Setia Darjah Kinabalu (ASDK)  sempena Hari Jadi Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri Sabah.

Wartawan kanan UTUSAN BORNEO,ABD NADDIN HAJI  berpeluang mewawancara HAJI ABDUL GARI HAJI ITAM  mengenai pengalaman sewaktu musim persekolahan dari bangku sekolah rendah hingga melangkahkan kaki ke menara gading. Beliau juga menceritakan secebis pengalaman ketiga menjadi Pegawai Daerah Kota Belud selama hampir 9 tahun. Wawancara dilakukan melalui surat elektronik dan whatsApp.  Ikuti petikan wwancara bersama beliau:
UTUSAN BORNEO: Bolehkah ceritakan serba sedikit latar belakang tuan? Lahir di mana, Tahun berapa? Anak ke berapa dalam keluarga
HAJI ABDUL GARI HAJI ITAM: Saya dilahirkan di Kampung Kota Peladok, Kota Belud pada tahun 12 Mei 1959  Saya merupakan anak kedua daripada tiga orang adik beradik seibu sebapa. Saya juga mempunyai seorang kakak seibu dan seorang adik perempuan sebapa.
UB: Di manakah bersekolah rendah? Tahun berapa?Berapa jarak sekolah dari rumah?
HAGHI: Saya memulakan alam persekolahan di Sekolah Rendah Kerajaan Peladok pada tahun 1967. Sekolah ini dekat saja dengan rumah saya yang hanya dipisahkan oleh sebatang sungai.
UB: Masih ingat nama-nama cikgu di SRK Peladok masa itu?
HAGHI: Antaranya Cikgu Masri, Cikgu Jamilan Muhammad, Cikgu Andin Haji Omar, Cikgu Asmuing. Cikgu Lahim Santis, Cikgu Astain, Cikgu Masumun, Cikgu Abd Rahim, Cikgu Rajikan KK Raup, Cikgu Unchang.
UB: Naik apa ke sekolah? Berjalan kaki? Berapa bekal ke sekolah pada ketika itu?
HAGHI: Waktu itu sudah ada jambatan gantung tapi sering rosak, jadi ada kalanya kami pergi ke sekolah hanya menggunakan perahu. Disebabkan bilangan perahu terhad yang saya ingat hanya sebuah perahu saja digunakan, kami sering berenang saja. Lagipun sebagai pelajar darjah satu tidak banyak peralatan digunakan ada waktu itu, kami hanya buka seluar baju terus berenang ke seberang. Belanja ke sekolah pada waktu itu tidak lebih dari 10 sen. Selalunya  5 sen sudah mencukupi.Harga sebiji kueh pau saiz besar hanya 5 sen. Kami hanya beli kueh dan tidak membeli minuman waktu rehat.Kami hanya minum air sungai yang kebetulan hanya lebih kurang 100 meter saja dari sekolah.
Ada lagi kisah semasa darjah satu bertumbuk dengan kawan. Saya gigit keningnya sambai bersembur darah. Seluruh sekolah riuh. Parut sebesar 10 sen masih kekal sampai sekarang. Dan kisah inu masih diingati oleh orang   kampung generasi saya sampai sekarang.
Waktu SRK ada guru menggalakkan murid menyanyi mungkin untuk memberanikan diri tampil di depan khalayak. Siapa menyanyi boleh pulang awal. Saya tak pernah ketinggalan. Lagu yang sering saya nyanyikan  ialah Sebentuk Cincin Permata Berlian nyanyian Salim I. Liriknya saya masih hafal sampai sekarang.
UB: Siapa rakan sepersekolahan yang berjaya?
HAGHI: Di antara rakan sepersekolahan yang berjaya ialah YBhg. Datuk(Datu) Rosmadi Datu Sulai, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah. Seorang lagi rakan iaitu Tuan Serbini Haji Jadin, Pengarah INSAN.
UB: Dimana tuan bersekolah menengah? Siapa rakan sekolah?
HAGHI: Saya bersekolah menengah di SMK Arshad Kota Belud.  Di antara rakan yang pernah sekelas dengan saya ialah Tuan Kibin Haji Samad , Mantan Setiausaha Politik, Tuan Itong Terang Mantan Pengarah Kebajikan Sabah, Tuan Musli Oli Penganalisis Politik dan Usahawan , Hajah Tunganai Datu Alang, mantan Pengarah Akauntan Negara.


UB: Mungkin ada kenangan pahit yang tidak dapat dilupakan?
HAGHI: Di antara kenangan pahit di SMK ialah ketika berada dalam tingkatan 3 dalam tahun 1974 dimana saya pernah terlibat dengan perbuatan ponteng kelas dan keluar bersama rakan-rakan merokok semasa pembelajaran berlangsung. Akhirnya saya gagal SRP dan terpaksa mengambil semula peperiksaan pada tahun berikutnya.
UB: Siapa  nama cikgu sekolah menengah?
HAGHI: Antaranya yang saya ingat ialah Cikgu Abdullah Nawawi, Cikgu Khairuddin (YB Pulau Manis Pahang), Cikgu Ali Mohd, Cikgu Roslan Ismail, Cikgu Mokhtar, Cikgu Julia Safuan, Cikgu Razali Abd Wahab, Cikgu Faridah Mohd Shah


UB: Apa cita-cita tuan semasa kecil?
HAGHI: Sewaktu kecil saya hanya bercita-cita menjadi askar. Pada tahun 60 an siaran TV belum ada di Sabah yang ada waktu itu adalah wayang pacak yang dikendalikan oleh Jabatan Penerangan. Banyak ditayangkan cerita perang dan dari situlah mula timbul cita-cita mahu jadi askar. Namun hasrat ini tidak menjadi kenyataan kerana ibu kurang setuju waktu itu.
UB: Selepas Sekolah Menengah, di manakah tuan melanjutkan pelajaran? Mungkin ada pengalaman yang masih diingati sampai kini?
HAGHI: Selepas sekolah menengah, saya tidak terus melanjutkan pelajaran. Sebaliknya menimba pengalaman bekerja selama lebih kurang  4 tahun. Sambil bekerja saya belajar sendiri untuk menduduki Sijil Tinggi Persekolahan (STP). Pada tahun 1982 saya mendapat tawaran melanjutkan pelajaran di University of Toledo, Ohio, USA atas biayaan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah.


Selepas tamat pengajian dalam bidang ekonomi, saya balik ke Sabah bertugas di beberapa jabatan. Pada tahun 1996 saya mendapat tawaran Biasiswa Kerajaan Negeri sekali lagi untuk melanjutkan pelajaran di Middlesex University, London, United Kingdom dalam bidang Pentadbiran Perniagaan (MBA).



Sewaktu belajar di USA saya menggabungkan diri dengan persatuan pelajar islam di sana iaitu Malaysian Islamic Study Group (MISG). Program yang ditunggu-tunggu ialah Winter Gathering (Muktamar Tahunan) yang dibuat dalam bulan Disember dan Summer Training Camp yang biasanya dibuat dalam bulan Julai.
Salah satu peristiwa yang tidak dapat saya lupakan ialah pelancaran kapal angkasa Challenger(kalau tak silap saya) di Cape Canaveral, Florida pada akhir bulan Disember 1985 ataupun awal Januari 1986(tak berapa ingat tarikh yang tepat). Kami menyaksikan dari jarak yang agak jauh pada waktu subuh.Pada saya ini sangat istimewa kerana selama ini peristiwa seperti hanya dapat disaksikan melalui siaran TV. Pengiraan dibuat daripada 10 hingga 1. Namun apabila kiraan sampai kepada 1 kapal tersebut tidak terbang. Melalui radio dimaklumkan terdapat masalah teknikal. Walau bagaimanapun kapal tersebut dilancarkan semula pada akhir bulan Januari 1986 dan meletup di angkasa beberapa saat selepas pelancaran.


Semasa di USA saya pernah bekerja di stesen minyak dan kebanyakan pekerja di situ adalah warga Negara Jamaica. Mereka bercakap sesama mereka dalam bahasa Inggeris yang telah diubahsuai struktur dan sebutannya. Sebagai contoh apabila mereka memaki atau menyumpah mereka sebut Bluud Klaat. Rupanya itu sebutan bagi Blood Cloth. Lain komuniti lain lapaz sumpahan dan makiannya!
Satu lagi kenangan yang tidak dapat saya lupakan ialah semasa menuntut di United Kingdom. Pada waktu itu saya baru mendirikan rumah tangga dan isteri saya melahirkan anak pertama di salah sebuah hospital di London. Suami wajib bersama isteri di bilik persalinan sehinggalah isteri dan bayi dipindahkan di wad. Suami diminta memberi semangat kepada isteri ketika sedang melahirkan. Apabila bayi sudah lahir sebelum pindah ke wad, jururawat akan menyediakan minuman dan meninggalkan pasangan bersama bayi untuk beberapa ketika. Itulah saat yang paling manis bagi pasangan yang baru menimang cahaya mata.
UB: Di manakah tuan bekerja selepas tamat sekolah?
HAGHI: Selepas tamat sekolah menengah, saya bekerja sebagai buruh binaan di tapak binaan bangunan Yayasan Sabah. Selepas keputusan SPM diumumkan saya memohon jawatan di dalam perkhidmatan awam. Pada 24 April 1978 saya melaporkan diri bertugas di Jabatan Perubatan Sabah sebagai Kerani dengan gaji permulaan RM220.00.

UB: Bolehkah tuan nyatakan pengalaman pahit manis ketika pengajian di Universiti?
HAGHI: Pengalaman manis sudah tentulah peluang bergaul dengan masyarakat antara bangsa. Saya merasa beruntung kerana diberi peluang menimba ilmu di dua buah Negara barat yang maju. Seperti juga mahasiswa di IPT, masa di kampus adalah indah semuanya walaupun pada watku waktu tertentu kita merasa tertekan dengan beban tugasan dan peperiksaan. Namun selepas meninggalkan kampus semua kenangan pahit bertukar menjadi kenangan manis. Saat yang paling manis sudah tentu ketika berjaya mengharungi dunia pelajar dan menerima ijazah.Saat pahit sudah tentu ketika mendapat markah yang kurang memuaskan untuk subjek wajib dan terpaksa diulang untuk semester berikutnya.
UB: Di manakah tuan bekerja sebelum dilantik sebagai Pegawai Daerah?Mungkin ada pengalaman yang boleh dikongsikan ketika menjadi pegawai daerah?
HAGHI: Sebelum ditukarkan ke Pejabat Daerah Kota belud, saya pernah bertugas di beberapa jabatan antaranya Jabatan Keretapi, Jabatan Perhutanan, JKR, Unit Perancang Perancang Ekonomi dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah.




Jawatan Pegawai Daerah memang cukup mencabar. Cabaran biasanya datang apabila sesuatu projek kerajaan mendapat bantahan rakyat setempat. Dalam situasi ini DO lah yang paling ke hadapan untuk menyelesaikan masalah ini. Salah satu contoh ialah Projek Pembetungan Kota Belud yang dilaksanakan oleh JKR yang mendapat bantahan penduduk setempat. Ia memakan masa bertahun untuk diselesaikan setelah melalui beberapa siri dialog dan perbincangan.
Satu lagi pengalaman yang amat mencabar ialah apabila berlaku beberapa siri banjir di Kota Belud pada tahun 2017. Pada waktu itu Kota Belud dilanda banjir sebanyak 86 kali walaupun tidak semuanya melibatkan pemindahan mangsa. 






Ada ketikanya pagi kita benarkan mangsa balik ke rumah masing-masing sebelah petang terpaksa kita pindahkan semula ke pusat pemindahan sementara kerana banjir melanda semula.
UB: Bila tuan bersara? Apa kegiatan selepas bersara?
 HAGHI: Saya  bersara pada bulan Mei 2019. Selepas bersara , saya hanya melakukan riadah di samping mengikuti aktiviti rakan rakan melawat beberapa lokasi di luar negara yang ada kaitan sejarah dengan etnik Iranun.



UB: Apa motto tuan ?
HAGHI: Hidup Berdisiplin
UB: Terima kasih kerana sudi diwawancara untuk mengisi ruangan Sembang Sabtu Utusan Borneo.
HAGHI: Terima kasih kembali. Moga ada manfaatnya.

Artikel Terkait