Jumaat, 11 Oktober 2019

DI CIREBON, TERINGAT BEBERAPA PERIBAHASA SUNDA

Tags

DI CIREBON, TERINGAT BEBERAPA PERIBAHASA SUNDA
Saya baru saja kembali dari Cirebon untuk memenuhi undangan menghadiri West Java Travel Mart pada 10-12 September, yang dihadiri seluruh penggiat pelancongan dari hampir semua wilayah Indonesia. Turut hadir ialah agen dan wakil syarikat dan agensi pelancongan dari Malaysia, Singapura dan negara-negara Asean dan juga India.

Cirebon adalah sebuah daerah di Jawa Barat. Penduduknya terdiri dari pelbagai suku bangsa dan majoritinya adalah dari suku Sunda dan Jawa.

Ketika singgah di Rumah Makan Klapa Manis, Jalan Raya Cirebon Kuningan Gronggong, melihat pemandangan kota Cirebon dari kejauhan, saya cuba mengingat beberapa peribahasa Sunda yang saya pernah baca.

Peribahasa Sunda itu terkandung dalam buku Peribahasa Nusantara Mata Air Kearifan Bangsa yang disusun dan dikumpulkan oleh Iman Budhi Santosa dan diterbitkan DPP PDI Perjuangan pada tahun 2016.

Kata orang Sunda, `Sadom araning braja, sakunang araning geni.’ Ertinya jarum yang yang kecilpun dapat jadi senjata.sekecil kunang-kunangpun tetaplah api. Apabila setiap masalah dibiarkan begitu saja tanpa diatasi, akhirnya ia dapat membesar dan membawa bencana.

`Selenting bawaning angin, kolepat bawaning kilat’. Tiupan angin sekejap mata terbawa-bawa oleh petir. Informasi atau khabar berita yang belum dapat dipercayai kebenarannya kerana bukti kenyataannya belum diketahui dengan pasti.

Oleh sebab itu, kita harus `Leuleus jeujeur liat tali’. Artinya kita harus banyak pertimbangan, tidak tergesa-gesa dalam mengambil suatu keputusan. Kita harus mempertimbangkan dulu masak-masak apa yang akan dikerjakan  untuk mengelakkan kekeliruan dan kesalahan yang mungkin terjadi.

Ada lagi peribahasa lain mengenai sebelum membuat sesuatu itu mesti menimbangkan terlebih dahulu.

`Landung kandungan laer aisan’. Ertinya memanjang ke bawah kandungan jauh gendongan. Ini gambaran dari sifat orang-orang bijak yang banyak memiliki pertimbangan. Dalam menyelesaikan persoalan tidak menggelabah kerana dalam bertindak selalu mempertimbangkan banyak aspek.

Oleh itu , lebih baik bicaralah apa adanya. `Manan leweh mending waleh’. Daripada susah sendiri, lebih baik bicara apa adanya. Inilah adalah sikap yang baik dan terpuji. Misalnya jika membuat kesalahan, ia tidak ditutupi melainkan diakui dengan terus terang sehingga tidak berpanjangan di kemudian hari.
Kerana itu, jika bersalah lebih baik kita berserah diri.`Nyanggakeun beuheung teukteukuen, suku genteng belokeun.’
Ertinya berserah diri kerana merasa bersalah. Ini wujud dari sikap seorang kesatria dan bertanggungjawab terhadap apa yang diperbuatnya. Walauun perbuatannya salah, tidak perlu ditutup tutupi dan dia sedia menerima hukuman terhadap apa yang diperbuatnya.

Saya hanya membaca dan mengambil iktibar dari peribahasa Sunda itu. Banyak faedahnya. Kebetulan ketika itu saya baru tiba di Cirebon, setelah menempuh perjalanan tiga jam dari Bandung.

Banyak pemandangan alam sekeliling yang amat menarik hati. Saya cuba menelusuri alam fikiran Sunda melalui beberapa peribahasa yang saya baca.

Orang Sunda kaya dengan peribahasa, yang kalau direnung dan difikirkan, apatahlagi kalau diikuti pastilah membawa banyak manfaatnya.

Tetapi saya hanya hingga sebentar. Tiga hari di Cirebon, tidak memadai untuk dapat menghayati kearifan tempatan khususnya melalui peribahasa Sunda.

Saya teringat satu lagi peribahasa. “Cikaracak ninggang batu laun laun jadi legok”. Titis air yang jatuh terus menerus di atas batu, lambat laun akan membuat lubang. Jika kita rajin berlajar, lama-lama kita akan menjadi pintar.

Hatur Nuhun, kata orang Sunda, yang bermakna `terima kasih’ kerana membaca.