MELIHAT PESONA ALAM DI TANJUNG SILAR
BOLAANG MONGONDOW TIMUR (Boltim) terpahat dalam ingatan manis bukan saja kerana keramahan dan kebaikan bupatinya, Pak Sehan Landjar SH tetapi terkenal dengan tempat-tempat pelancongan yang menarik, antaranya Tanjung Silar, yang terletak di Desa Jiko, kira-kira 30 minit dari Tutuyan atau kira-kira empat jam dari Manado.
Selepas meninggalkan rumah dinas Bupati, dan melambaikan tangan perpisahan, kami langsung menuju Desa Jiko.
Setibanya kami di Desa Jiko, kami dibawa menaiki perahu katinting untuk ke Tanjung Silar. Di Tanjung Silar yang terkenal kerana keindahan pasirnya yang putih dan lautnya yang jernih, kami melihat pesona alam yang masih terjaga.
Selepas mendaki bukit yang tidaklah begitu tinggi, kami sampai ke sebuah teluk kecil yang dihimpit tebing batu karang setinggi kira-kira 20 meter.
“Tempatnya seperti dalam filem,” kata seorang pengunjung yang menyamakannya dengan Pantai Navagio, Pulau Zakynthos, Kepulauan Ionia, di Greece yang pernah jadi lokasi penggambaran filem drama Korea, Descendants of the Sun.
Tanjung Silar tidak kalah cantiknya. Kini ia menjadi pilihan bagi pelancong dan pengunjung dari luar dan dalam negeri untuk berkunjung ke tempat itu. Setiap hari, terdapat banyak tamu yang berkunjung ke Tanjung Silar. Bahkan, jumlah pengunjung semakin bertambah dari hari ke hari.
“Pernah satu hari jumlah pengunjung mencapai kira-kira 3,000 orang, “ kata Mas Ata, staf dari Dinas Pariwasata Boltim yang mengiringi kami. Hari hari biasa, jumlah pengunjung ke tempa wisata itu kira-kira 200 orang.
Menurutnya, Tanjung Silar memiliki daya tarik yang mampu menggamit pengunjung untuk berlibur di Boltim.
Cuma barangkali yang perlu dipertingkatkan lagi ialah kemudahan untuk pengunjung berkunjung ke tempat itu.
Kepala Dinas Pariwisata Boltim, Rizky Lamaluta seperti dipetik media tempatan memberitahu, pihaknya sentiasa memastikan perahu mencukupi untuk mengangkut pelancong ke Tanjung Silar.
Terdapat kira-kira 50 perahu katinting yang bersedia mengangkut pengunjung ke Tanjung Silar. Biaya tiketnya hanya Rp30,000 (RM8.50) untuk seorang. Perjalanan memakan masa 20 minit untuk sampai. Di sana terdapat banyak gerai menjual makanan dan minuman. Anda tak perlu ragu kerana ia juga menyajikan makanan halal dengan pelbagai jenis menu yang pasti menyelerakan.
Tempat yang menjadi tumpuan, antaranya teluk kecil yang sentiasa penuh dengan pengunjung.Ada yang mandi manda, ada yang membuat terjunan dari tebing yang tinggi, menceburkan diri ke dalam laut. Sungguh suatu pengalaman yang mengasyikkan.
Kata pak Rizky, Tanjung Silar adalah salah satu ikon pelancongan di Boltim. “Selain itu, ada Danau Mooat dan Gunung Ambang. Ada beberapa danau,, ada air terjun, ada banyak pantai pasir putih, ada lokasi diving atau menyelam, ada pulau Nenas dan sebagainya,”” katanya lagi.
“Kalau ke Sulawesi Utara, anda boleh singgah di Boltim. Tempatnya tidak jauh, hanya kira-kira empat jam dari Manado,” katanya.
Di Tutuyan, “kami punya kamar yang kelas melati, ada 80 kamar, masih sangat kurang memang, tetapi setakat ini masih boleh menampung kedatangan pengunjung”.
Selepas melihat keindahan Tanjung Silar, Boltim, Rombongan Fam Trip dari Sabah Malaysia menaiki perahu semula ke Desa Jiko sebelum melanjutkan perjalanan ke Kota Kotamobagu.
Selain Tanjung Silar, satu tempat lagi yang agak terkenal di Boltim ialah Danau Mooat, yang terbentuk dari gunung purba. Dalam bahasa Mongondow, Mooat bererti Tanah yang timbul di tengah air.
Ia sebahagian dari kawasan Cagar Alam Gunung Ambang yang terlerat di ketinggian 1,100 meter dari aras laut.Luas danaunya sekitar 617 hektar. Kawasannya dingin dengan suhu sekitar 14 hingga 19 darjah celcius.
Danau Mooat kini menjadi salah satu ikon wisata di Boltim. Pemandangannya yang mengagumkan, udara yang segar dan air danau yang jernih pastilah membuat fikiran jadi segar. Panoramanya indah sekali, kata Pak Mario, pemandu pelancong kami tetapi sayang sekali, kami tidak dapat singgah kerana hari sudah gelap.
Kami terpaksa meneruskan perjalanan ke Kota Kotamobagu.