Ahad, 1 Julai 2018

ABDUL SABUR,SEORANG USAHAWAN BERPENGALAMAN

Tags








ABDUL SABUR,SEORANG  USAHAWAN BERPENGALAMAN
-PERNAH JUAL KAIN, HINGGA URUS TEMPAHAN  KAPAL SELURUH DUNIA
Beliau pernah membantu ayahnya menjual kain di Tawau. Selain itu, beliau pernah bekerja di sebuah kedai kasut terbesar di London. Ketika bertugas di Sabah Gas Industries (SGI), Abdul Sabur berpengalaman  mengurus tempahan kapal dari  seluruh dunia untuk eksport methanol dan HBI. Seorang yang mempunyai pengalaman luas. Abdul Sabur memiliki ciri-ciri ketokohan dan mempunyai bakat kepimpinan yang menonjol dalam politik, kemasyarakatan dan keusahawanan.
Abdul Sabur Datuk Seri Panglima Haji Ahmad dilahirkan di Tawau Sabah pada 5 Ogos 1954. Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah  St Patrick dan pendidikan menengah di Sekolah Menengah St Patrick Tawau. Selepas itu beliau berlepas ke England untuk menuntut di Plymouth University hingga mendapat BA (Hons) Perniagaan dan ijazah lanjutan dalam Pengurusan Perkapalan. Beliau juga memiliki kelulusan dari Chartered Institute of Transport (MCIT) UK, Diploma Lanjutan dalam Pemasaran di UK dan Diploma dalam Pengurusan Perindustrian , juga dari UK.
Selepas kembali ke tanahair, beliau dilantik sebagai Eksekutif Perkapalan di Gaya Shipping Sdn Bhd (sebuah syarikat pemilik kapal dan pengendali kapal) dari tahun 1981 hingga 1983. Selepas itu, Abdul Sabur bertugas sebagai Pengurus Latihan Jabatan Perkapalan, Chartering dan Terminal Sabah Gas Industries Sdn Bhd milik penuh Kerajaan negeri Sabah dari tahun 1983 hingga 1985. Kemudian beliau dilantik sebagai Timbalan Ketua Jabatan Perkapalan, Chartering dan Terminal Sabah Gas Indstries Sdn Bhd dari tahun 1985-1986. Kerjayanya meningkat naik apabila dilantik Ketua Jabatan Perkapalan, Chatering dan Terminal Sabah gas Industries dari tahun 1986 hingga 1989 dimana ketika itu, syarikat itu menghasilkan pengeluaran berskala dunia dengan mengeluarkan sebanyak 600,000 metrik tan Methanol dan 600,000 tan Hot Briquettes Iron (HBI). Selepas itu, beliau dilantik sebagai Ketua Jabatan Pemasaran Antarabangsa (USA, Eropah, Filipina dan Indonesia), Methanol Sabah Gas Industries dari tahun 1989 hingga 1990, Ketua Jabatan Pemasaran, Barang Mentah, Logistik dan Counter Trade, Energy Ricks Advisors Sdn  Bhd dari tahun 1990 hingga 1991,Pengarah Eksekutif Incofirm Sdn Bhd dan anak syarikatnya, yang terlibat dalam pembinaan dan kejuruteraan, dari tahun 1991 hingga 1995, Pengarah Urusan Dual Quest Sdn Bhd dari tahun 1995 hingga 2000 dan Pengarah Eksekutif, Centre Point Departmental & Supermarket Sdn Bhd, KK Plaza Kota Kinabalu dari tahun 2001 hingga 2010.
Beliau kini adalah Lembaga Pengarah Perkasa Trading Sdn Bhd, milik penuh Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) sejak 2004. Beliau juga adalah Pengarah Urusan Ahmad Ayid Holdings Sdn Bhd, sebuah syarikat milik penuh keluarga yang terlibat dalam pembangunan hartanah dan pemilik tanah dan perkebunan sejak 2008, dan beliau juga ada pemilik Syarikat Perusahaan Mynina yang terlibat dalam peruncitan, pemborong, pengedaran pakaian dan peralatan sukan, hadiah premium dan kraftangan sejak tahun 2000.
Dalam kegiatan NGO, Abdul Sabur juga adalah Naib Yang Di Pertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Negeri Sabah (DPMM Sabah) 2017 hingga 2020. Beliau juga pernah menjadi pegawai Pembimbing dan penasihat Program Usahawan Muda Peringkat Negeri Sabah dar Tahun 2002 hingga 2012, Ahli Jawatankuasa Persatuan Kebangsaan Kebajikan Melayu Tawau dari tahun 1991, Ahli Belia USIA Tawau dari tahun 1991, Ahli Jawatankuasa Kerja Belia pusat 1998-2008, Ahli Jawatankuasa Biro Ekonomi Belia USIA Pusat 1998-2008 dan kini Naib Presiden, World Syahadah Council (WCC) untuk ekonomi dan perdagangan.
Dalam parti, beliau pernah menjadi Bendahari Pemuda UMNO Negeri Sabah 1992 hingga 1996, Bendahari UMNO Bahagian P165 Tawau 1992 hingga 1994, Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Tawau 1995 hingga 1998,
Anak ketiga daripada tujuh adik beradik. Ayahandanya, Allahyarham Datuk Seri Panglima Haji Ahmad Ayid adalah seorang ahli perniagaan dan tokoh dakwah terkenal di Tawau dan pernah menjadi Naib Yang Di Pertua USIA dan Timbalan Pengerusi Tetap USIA manakala ibunya, Allahyarhamah Datin Seri Hajah Nekmah Hamzah pernah menjadi Ketua Wanita USIA Bahagian Tawau.
Beliau mendirikan rumah tangga dengan Naimah Osdam dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Nur Amalina, Nur Maisarah dan Abdul Qayyum.
Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang menemubual ABDUL SABUR DATUK SERI PANGLIMA HAJI AHMAD di Wawasan Plaza mengenai pengalaman beliau dalam  kerjaya yang diceburinya.



UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit latar belakang tuan? Misalnya lahir dimana? Anak ke berapa dalam keluarga?

ABDUL SABUR DSP HAJI AHMAD: Saya dilahirkan di Tawau Sabah pada 5 Ogos 1954.Saya anak ketiga dari tujuh adik beradik, 3 lelaki empat perempuan.
Ayah saya Datuk Seri Panglima Haji Ahmad Ayid manakala ibu saya, Datin Hajah Nekmah Hamzah.
UB: Di mana tuan mendapat pendidikan awal?
SABUR; Saya mendapat pendidikan awal di St Patrick Primary School dan peringkat menengah St Patrick Secondary School. Saya habis form 5 pada tahun 1973.
UB: Siapa rakan sekelas? Masih ingat nama mereka?
SABUR: Antara rakan sekelas saya di St Patrick ialah saudara Abd Samat Yunus, Jimmy Wong, Datuk Nasir Tun Sakaran, Jihek Haji Basanu, Haji Paiman Karim, Amri Ginang.. Masa itu di Semporna dan Kunak, belum ada sekolah menengah.
UB: Mungkin ada pengalaman tertentu ketika bersekolah di St Patrick?
SABUR: Masa itu, masa kami bersekolah di sana, pelajar-pelajar di larang bercakap bahasa selain bahasa Inggeris. Sesiapa yang kedapatan berbahasa Melayu akan didenda. Kalau tak silap saya 10 sen denda jika didapati bercakap bahasa Melayu.
UB: Bagaimana suasana persekolahan masa itu?
SABUR: Sangat baik. Kami boleh berkawan dengan sesiapa saja, tidak berpuak-puak. Semua harmoni.Kami tiada masalah bergaul dengan murid lain walaupun berlainan kaum dan agama.
UB: Naik apa ke sekolah?
SABUR: Saya memandu kereta ke sekolah. Sekolah terletak kira-kira 20 minit dari rumah. Masa itu belum ada lesen. Jadi terpaksa `bertapuk’ dari polis trafik. Saya buat begitu kira-kira satu tahun
UB:Lepas itu, dimana tuan bersekolah?
SABUR:Lepas itu,  Tahun 1974 saya terbang ke United Kingdom untuk menduduki A level di Walthamstow,kemudian saya meneruskan pelajaran di peringkat ijazah sarjana muda  dalam bidang  perkapalan  di  Plymouth University, tempatnya jauh kira kira dua jam setengah dari London.
UB: Bagaimana pengalaman tuan ketika pertama kali menjejakkan kaki ke Eropah?
SABUR: Pada mulanya memang kita memang mengalami culture shock, atau kejutan budaya. Kita terpaksa menyesuaikan diri dengan suasana baru. Ketika berada  di St Patrick Tawau, kami memang dalam aliran Inggeris, sehingga ia tidak begitu  sukar bagi kami berkomunikasi dalam bahasa itu . Suasana di sana memang berbeza. Cuma yang baiknya, masa itu ramai juga pelajar dari Sabah yang belajar dari sana, jadi kami rasa tidaklah begitu terasing. Kami selalu mengadakan pertemuan di Malaysia Hall dengan pelajar dari Sabah. Kalau rindu makanan melayu, kami ke Malaysia Hall. Di sana makanan agak murah berbanding di luar.
UB: Siapa antara pelajar dari Sabah yang  menuntut di sana?
SABUR: Antaranya,  Nasir Tun Sakaran (Datuk Haji) , Amran Ginang, Azizah Mohd Dun (Datuk Hajah), Joifin Mohd Dun, Johari Mohd Dun dan Arifin Mohd Dun. Datuk Seri Shafie Apdal, Datu Omar, Datuk Yeo Boon Hai.  Douglas Lind, Anifah Aman (Datuk Seri) Datuk Yong Teck Lee, Adnan Puteh, Abbas Kassaim, Ibrahim, Mansor Yasin, Iskandar Malik (Datuk), Amde Sidik, Mohamadin Ketapi.
UB: Apa yang tuan buat sewaktu cuti sekolah?
SABUR:Di London, saya pernah bekerja secara sambilan  di sebuah kedai kasut di Selfridges, sebuah gedung yang agak besar setinggi 14 tingkat. Pekerjanya saja tiga shif. 500 orang setiap shif, jadi bermakna terdapat 1,500 pekerja semuanya yang bekerja di kapal itu. Kami dilatih teknik pemasaran. Sehingga saya mahir dalam teknik menjual sesuatu barangan dan teknik memujuk pelanggan agar menambahkan pembelian. Aktiviti berjualan ini tidak asing bagi saya kerana di Tawau dulu, setiap masa terluang, di penghujung minggu , saya sering membantu ayah berjualan di kedainya. Biasanya jualan sekitar RM4,000 hingga RM5,000 tetapi ketika saya terapkan teknik jualan yang saya pelajari di Selfrdges, jualan mencecah dua kali ganda.
UB: Sekembalinya ke tanah air, dimana tuan bekerja?
SABUR: Mulanya saya bekerja sebagai Eksekutif Perkapalan di Gaya Shipping Sdn Bhd (sebuah syarikat pemilik kapal dan pengendali kapal) dari tahun 1981 hingga 1983.
UB: Lepas itu, dimana tuan bekerja?
SABUR: Seterusnya, saya   bertugas sebagai Pengurus Latihan Jabatan Perkapalan, Chartering dan Terminal Sabah Gas Industries Sdn Bhd milik penuh Kerajaan Negeri Sabah dari tahun 1983 hingga 1985. Kemudian saya  dilantik sebagai Timbalan Ketua Jabatan Perkapalan, Chartering dan Terminal Sabah Gas Indstries Sdn Bhd dari tahun 1985-1986. Selepas itu, saya  dilantik Ketua Jabatan Perkapalan, Chartering dan Terminal Sabah Gas Industries dari tahun 1986 hingga 1989 dimana ketika itu, syarikat itu menghasilkan pengeluaran berskala dunia dengan mengeluarkan sebanyak 600,000 metrik tan Methanol dan 600,000 tan Hot Briquettes Iron (HBI).
 Saya berpengalaman dalam mengurus tempahan kapal dari  seluruh dunia. Mencari kapal untuk ditempah bagi mengangkut methanol dan HBI ke Australia, Eropah, Amerika dan negara-negara Asean. Selain itu, ketika bertugas di  ketika bertugas di Sabah Gas Industries sebagai Ketua Jabatan Perkapalan, saya juga mengatur keluar masuk kapal ke terminal.
Kemudian saya dipertanggungjawabkan  sebagai Ketua Jabatan Pemasaran Antarabangsa (USA, Eropah, Filipina dan Indonesia), Methanol Sabah Gas Industries dari tahun 1989 hingga 1990. Saya juga  pernah mengikuti seminar dan persidangan antarabangsa mengenai petrolium di Monte Carlo, San Antonio
UB: Kemudian, dimana tuan bekerja?
SABUR:   Selepas 8 tahun bertugas di SGI,  saya berpindah lagi ke sebuah syarikat lain dan dilantik sebagai Ketua Jabatan Pemasaran, Barang Mentah, Logistik dan Counter Trade, Energy Ricks Advisors Sdn  Bhd dari tahun 1990 hingga 1991,Pengarah Eksekutif Incofirm Sdn Bhd dan anak syarikatnya, yang terlibat dalam pembinaan dan kejuruteraan, dari tahun 1991 hingga 1995, Pengarah Urusan Dual Quest Sdn Bhd dari tahun 1995 hingga 2000 dan Pengarah Eksekutif, Centre Point Departmental & Supermarket Sdn Bhd, KK Plaza Kota Kinabalu dari tahun 2001 hingga 2010.
UB: Sejak bila tuan minat dalam bidang perniagaan?
SABUR: Sejak kecil saya dilatih dalam bidang perniagaan. Saya sering bantu ayah menjual kain dan songkok, saya pernah bekerja di kedai kasut ketika menuntut di London dan saya pernah terlibat dalam perniagaan antarabangsa ketika bertugas di Sabah Gas Industries (SGI).
Saya boleh duduk 24 jam di kedai setiap hari kerana memang saya dilatih dalam bidang perniagaan, yang memang saya minat sejak dahulu.
UB: Apa cita-cita tuan ketika kecil dahulu?
SABUR: Ketika kecil, kita memang dipenuhi banyak cita-cita. Berubah-ubah. Saya pernah bercita-cita jadi Presiden Amerika. Ha ha.

Utusan Borneo 30 Julai 2018