Sabtu, 23 Februari 2013

Belajar dari kearifan Ma' Tegab

Tags



BELAJAR DARI KEARIFAN  MA’ TEGAB

PERNAH dulu ketika menunggang kuda mengelilingi kampung, khabarnya Ma’ Tegab turut membawa batu yang disimpannya dalam karung guni.

Untuk apa batu-batu itu?. Batu-batu itu ditaburkan di tempat laluan yang berlumpur supaya ia mudah dilalui.

Inilah antara keunikan Ma’ Tegab, salah seorang tokoh masyarakat di daerah kami pada tahun-tahun 50-an. Ketika itu tidak ada jalan raya aspal yang boleh menghubungkan antara kampung-kampung yang berjauhan. Di daerah Kota Belud, penduduk kampung hanya menggunakan kuda atau kerbau, atau berjalan kaki dari kampung ke kampung.

Seperti yang diceritakan arwah ayah saya, dan turut diberitahu oleh salah seorang cucu saudaranya, Ma’ Tegab pernah meramalkan bahawa tidak lama lagi `ular’ akan menjalar dari kampung Lebak Moyoh hingga Kesapang. Ketika itu, kira-kira tahun 50, ramai orang tak percaya. Jarak antara kampung kampung itu agak jauh. Penuh dengan hutan kecil, sawah padi dan sungai-sungai. Tetapi kemudian terbukti ‘ular’ yang dimaksudkannya itu –iaitu jalanraya-menjalar juga di kampung-kampung itu, malah lebih jauh lagi. Beliau menyebutnya ular mungkin kerana jalan yang dibina itu berliku-liku dan sebagainya.

Pada masa itu satu-satunya cara untuk mendengar dan mendapatkan berita ialah melalui radio. Tetapi Ma’ Tegab meramalkan bahawa akan ada orang-orang yang akan keluar dari kotak itu. Ternyata kemudian, masyarakat mulai menonton siaran berita atau melihat filem atau drama melalui peti televisyen.

Banyak lagi ramalan Ma’ Tegab yang menjadi kenyataan. Seorang tokoh kampung yang alim tetapi bersahaja. Malah ada di kalangan masyarakat memanggilnya Imam Madi-sesuai dengan lidah orang Bajausama yang tidak dapat menyebut Mahdi- kerana ramalan-ramalannya yang sering kali tepat walaupun penuh dengan simbol-simbol dan perlambangan.

Namun yang menarik perhatian saya, dari kutipan cerita yang saya dengar, kerana saya sendiri tidak sempat bertemu Ma’ Tegab, ialah tingkat kepedulian dan keprihatinannya yang tinggi terhadap kebajikan masyarakat atau orang-orang di sekelilingnya.

Misalnya, beliau suka menanam atau membiarkan keladi hutan tumbuh di tepi jalan. Untuk apa? Supaya orang-orang kampung yang ditimpa hujan dalam perjalanan boleh menebang atau memotong keladi hutan itu untuk dijadikan semacam paying supaya tidak kehujanan. Selain itu, keladi hutan juga boleh digunakan sebagai alat pembungkus makanan.

Mungkin kisah Ma’Tegab ini tidak lagi relevan pada zaman sekarang ketika orang orang hanya suka memikirkan kepentingan diri sendiri tanpa perlu memikirkan kepentingan orang lain. Lagi pula, sekarang jalan bertar dan orang tidak perlu lagi berjalan kaki dan kalaupun hujan, mereka boleh membeli sekaki payung dari kedai.

Tapi begitulah suasana zaman pada ketika itu. Saya tertarik kepada Ma’ Tegab yang selalu peduli akan kebajikan dan kepentingan orang lain walaupun hanya dengan menanam keladi hutan.

Bukan saja kepada insane sesamanya, Ma’ Tegab juga prihatin terhadap makhluk-makhluk Tuhan yang lain. Misalnya semut. Semut, haiwan yang agak kecil itu sering terinjak-injak atau terpijak kaki manusia.Padahal Tuhan tidak menjadikan sesuatu makhluknya dengan sia-sia.

Ma’ Tegab tahu bahawa semut selalu berkerumun di tempat yang manis. Semut selalu mengerumuni gula. Apa yang dilakukan Ma’ Tegab ialah membeli gula dan diberikannya kepada semut-semut itu. Kerana itu Ma’ Tegab, menurut ceritanya tidak pernah diganggu oleh semut-semut.

Banyak pelajaran yang kita boleh perolehi dengan mempelajari sikap Ma’ Tegab, seorang tokoh kampung, yang bukan saja disegani dan dihormati kerana dianggap tetua yang mampu meramal dengan tepat masa depan tetapi juga kerana keprihatinannya terhadap masyarakat di sekelilingnya. Bukan saja masyarakat, malah kepada semut, makhluk yang kecilpun dia sangat mengasihaninya.

Sungguh. Kita boleh bercermin dari kearifan dan kebijaksanaan yang diberikan oleh Ma’ Tegab.