MELIHAT HARI MALAYSIA DARI TEPI PADANG MERDEKAOleh ABD.NADDIN HJ SHAIDDINabdnaddin@yahoo.com
SAYA berdiri di tepi padang ketika sambutan Perayaan Hari Malaysia itu diadakan di Padang Merdeka pada malam 16 September lepas.Orang terlalu ramai dan gembira.Semua orang tidak mahu terlepas dengan peristiwa bersejarah itu, apatahlagi ia diadakan buat pertama kali selepas 47 tahun kelahiran Malaysia.
Buat pertama kalinya, Hari Malaysia disambut dan dijadikan cuti umum di seluruh negara. Jika sebelum ini, tarikh 16 September setiap tahun merupakan cuti umum sempena Hari Jadi TYT tetapi kini, 16 September akan terus diperingati sebagai Hari Malaysia manakala Hari Jadi TYT Yang Di Pertua Negeri Sabah akan diadakan pada minggu pertama bulan Oktober.
Setiap tahun pada tarikh 16 September juga, suratkhabar tempatan sentiasa laris dan laku di pasaran dan kadang-kadang tidak bersisa, bukan kerana pada hari itu, ada pengumuman keputusan nombor ekor atau peristiwa-peristiwa penting, tetapi lazimnya, suratkhabar pada 16 September menyiarkan senarai penerima bintang-bintang anugerah kebesaran.
Saya sengaja berdiri di tepi padang pada malam itu. Melihat orang ramai bersesak-sesak untuk menyaksikan sambutan Hari Malaysia. Orang-orang bertepuk tangan mendengar ucapan demi ucapan. Sebaik-baik Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menyampaikan perutusan dan amanatnya, suasana bertukar gemerlapan dengan pelbagai persembahan dan letusan bunga api.
Empat tokoh negara, Tan Sri Ghani Gilong (mantan Menteri Kerja Raya), Tun Datuk Patinggi Abdul Rahman Ya'kub (mantan Ketua Menteri Sarawak), Datuk Seri Yuen Yuet Leng (mantan Pesuruhjaya Polis Sarawak) dan Tan Sri Zainal Abidin Sulong (mantan Ketua Setiausaha Kementerian Luar) dianugerahi anugerah Tokoh Malaysia kerana jasa mereka dalam proses pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.
Persembahan selama 47 minit, dengan dijayakan 470 artis dari seluruh negara bagi melambangkan usia 47 tahun pembentukan Malaysia berjaya menarik minat hadirin yang dianggarkan lebih 20,000 orang. Kehadiran artis terkenal seperti Stacy, Adam, Adira, Atama, Den Bisa dan Claire Petrus menyerikan acara persembahan teater muzikal 1 Malaysia yang dibahagikan kepada lima segmen iaitu Detik merdeka sebelum Malaysia, Pembentukan Malaysia, Keharmonian Malaysia, Gemilang Malaysia dan Gagasan 1 Malaysia. Turut tidak ketinggalan ialah aneka tarian dari Sumazau, ngajat, hingga joget, bukan saja menyerlahkan kepelbagaian malah keistimewaan Malaysia.
Walaupun terdapat masalah teknikal,yang mungkin tidak ketara, tetapi ia tidak mencacatkan sambutan Hari Malaysia itu. Padang Merdeka tetap meriah dengan kebanjiran warga Malaysia berbilang bangsa, fahaman dan agama.
Saya menyaksikan kemeriahan Hari Malaysia yang disambut pada malam itu. Saya membayangkan bagaimana pemimpin bangsa dan negarawan kita berdiri di tengah padang, kepanasan, disengat terik matahari, 47 tahun yang lalu. Tun Datu Mustapha, Tun Fuad Stephens, Tun Razak (kini ketiga-tiganya sudah pergi mendahului kita) bersama pemimpin-pemimpin lain, dengan semangat yang berkobar-kobar menyambut kelahiran negara Malaysia.
Masyarakat dari jauh dan dekat, anak-anak sekolah sanggup berjalan kaki untuk menghadiri Hari Malaysia itu. Ada yang tidak dapat melupakan peristiwa mendapat hadiah cawan bersejarah bertulis Malaysia Day 1963 State Of Sabah. Ketika itu, rakyat Sabah gembira kerana terlepas dari cengkaman penjajah dan kuku kukunya mencakar hampir semua hasil mahsul negeri ini.
Keputusan bapa-bapa pemimpin bangsa, kira-kira 47 tahun lalu, hasil daripada idea yang dicetuskan almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dalam satu pertemuan dengan wartawan di Adelphi Hotel Singapura pada tahun 1961, wajar disyukuri. Dunia pada ketika itu, ketika banyak negara lahir dan merdeka, memang merupakan satu dekad yang penuh persaingan, pertentangan juga prasangka.
Hasrat membentuk negara baru itu, memang mendapat tentangan daripada Filipina yang membuat tuntutan terhadap Sabah dan Indonesia, yang mendakwa pembentukan Malaysia sebagai neo-kolonialisme. Oleh kerana itu, rakyat Sabah yang memilih untuk bersama sama Sarawak, Singapura dan Malaya untuk pembentukan Malaysia melalui pungutan suara yang diadakan oleh Suruhanjaya Cobbold telah membuat pilihan yang tepat.
Sejarah kemudian mencatatkan kelahiran negara Malaysia pada 16 September 1963. Peristiwa itulah yang kini diperingati buat pertama kali secara rasmi, sebagai sambutan Hari Malaysia dengan cuti umum di seluruh negara. Jika sebelum ini, Hari Malaysia disambut bersekali dengan Hari Jadi TYT di Sabah dan Sarawak, kini sambutan Hari Malaysia itu, dirasai rakyat dari Kangar hingga Kudat, dari Langkawi hingga Tigabu.
Di tepi padang itu, saya juga mendengar ramai orang merungut dan bersungut. Ramai juga yang kecewa, sambutan Hari Malaysia yang disiarkan secara langsung oleh RTM itu, berjalan kurang lancar kerana sedikit masalah teknikal.
Selain itu, ramai juga yang mempersoalkan mengapa peranan Tun Mustapha seperti kurang diperkatakan, padahal beliau merupakan instrumen penting ke arah kelahiran Malaysia itu. Begitu juga dengan peranan yang dimainkan oleh pemimpin-pemimpin Sabah dan Sarawak yang lain, yang telah berjuang menjayakan gagasan Malaysia.
Sambutan Hari Malaysia itu sepatutnya diserikan dengan pelbagai program yang boleh meningkatkan kesedaran bernegara di kalangan rakyat. Generasi muda wajar diberikan kefahaman sejarah yang tepat supaya mereka tidak dikelirukan sentimen yang sempit lantaran kurang pengetahuan terhadap asas-asas pembentukan negara Malaysia tercinta.
Seperti yang saya saksikan dari tepi Padang Merdeka pada malam itu, Hari Malaysia memang disambut gemilang dan meriah. Ada yang mengibar-ngibarkan bendera.Tetapi andai kata, acara sambutan pada malam 16 September itu, disambut tanpa kehadiran penyanyi, tanpa hiburan dan bunga api, berapa ramaikah di antara mereka sanggup datang untuk melaungkan merdeka?
Dirgahayu Malaysiaku.
Sabtu, 18 September 2010
Melihat Hari Malaysia di tepi Padang Merdeka
✔
abd naddin
Diterbitkan 9:03 PTG
Tags
Catat Ulasan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)