Rabu, 24 Jun 2009

Kalau kau lama tidak pulang

Tags

Walaupun selalu tersembunyi, apa saja yang namanya kampung, selalu menarik. Apatahlagi kalau kau lama tidak pulang, hatimu akan digamit kerinduan yang teramat sangat.Kau menjadi rindu kepada kehijauan, sawah padi, kau menjadi rindu kepada kelapa muda, kau menjadi teringat mangga muda, kau menjadi teringin makan ubi dan kau tercari-cari ikan bungkaung atau ikan langging. Tapi yang paling kau ingat ialah siager, sejenis makanan tradisi yang barangkali amat dekat dengan lingkunganmu.
Apapun yang namanya kampung selalu membuat kita rindu. Apalagi kerana kita lama tidak kembali. Alasan yang selalu kita ada ialah kita selalu dipeluk oleh kesibukan-kesibukan duniawi sehingga kita tidak berdaya untuk sekedar pulang sebentar menjenguk ibu bapa. Juga keluarga kita.
Minggu-minggu yang lalu, musim karepa-repa atau ketam surih kata orang. Kalau kau masih ingat, orang-orang di kampung selalu pergi ke laut membawa lampung pam (lampu )untuk menyuluh dan menagkap ketam, kalau tidak dengan tangan, dengan gintur yang dibawa bersama.
Kalau sawah yang kau rindukan, simpanlah rindu mu sekarang kerana ramai orang kampung kita, kini tak dapat lagi bersawah padi kerana kurang atau lemahnya sistem pengairan. Orang kampung kita yang dulunya pengeluar padi, kini banyak yang jadi pembeli. Kau pernah bertanya, sambil mengulang-ulang multatuli, bahawa bukankah petani yang menanam, memberi makan orang lain, dan orang yang makan nasi, seringkali tidak mengenal orang yang menanamnya.
Apa saja yang bernama kampung tentu istimewa. Kalau kau masih ingat, waktu kecil kau mengaji di rumah pak guru, seronok sekali. Tapi kau cepat sekali pulang untuk melihat tayangan gambar P.Ramlee atau melihat filem Combat, The Six Million Dollar man, dan sebagainya dan kerananya ada orang di kampungmu dipanggil desik oleh ayahnya.
Lambaian pokok nyiur sama seperti dahulu.Sudah tentu kau berbangga kerana kampungmu indah.Cuma yang tak indahnya bila banyak juga yang menjadi penagih, walaupun lebih ramai lagi anak-anak yang menjejakkan kaki ke universiti.
Banyak nilai-nilai luhur dan murni yang menghilang ditiup angin dari kampungmu. Tapi kau boleh berbangga kerana di antara banyak kampung di daerahmu, kampungmu bolehlah dikatakan ada sedikit maju.
Apa saja yang tersembunyi selalu indah kan? sehingga kau tergesa-gesa menuliskan catatanmu, sehingga kata-katamu jadi celaru dan tak menentu. Tentu banyak yang ingin kau tuliskan, menulislah. Kalau tidak, mari kita makan ikan bakar. Seda a Tiapa tidak ada di sini. Yang ada ialah ikan yang buncit perutnya terkena bom ikan.
Segalanya tiada yang asli di sini. Dan kau merindukan segala yang serba tersembunyi. Asal kau jangan bersembunyi dari apa yang kau namakan, hati nurani.

2 comments

Satu nuikilan yang nostalgik. Belum tercantum mencari tilapia, getik.bibi etc.

Salam ziarah Sdr,,

Satu coretan yg cukup menggamit rasa...Terasa mau pulng ke kg pula..walhal bru minggu lepas saya ke sana...siager tu memang sedap..kalau di sini 'sagul' tapi dibuat dri isi ikan...sedap lagi lah siager tu..ha..ha..

'Tiapa' jgn cerita sbb hampir setiap minggu..menu itu mesti ada...

Teruskan coreten sdr...