Jumaat, 30 Julai 2021

Sepetang bersama Dr East Mile dan buku Indahnya Hidup Seimbang

Tags

INDAHNYA hidup seimbang, bukanlah semata-mata tajuk sebuah buku Prof Dato' Dr Haji Ismail Idris atau lebih dikenali sebagai Dr East Mile. Sesiapa saja yang sedang mencari dan ingin membina kehidupan seimbang mungkin perlu buku Dr East Mile yang bakal menemui pembaca. Kehidupan bukan setakat mencari pendaparan atau pekerjaan untuk hidup.Make a life not just to make a living, katanya ketika kami melangkah ke kafetaria di Tingkat 11 Bangunan PPNS pada petang Khamis itu.

Percakapan mengenai buku memang sesuatu yang mengasyikkan. Apalah kerana persoalan yang ditimbulkan adalah sesuatu yang kita minati.

Kita perlu tahu bahawa membina hidup seimbang bukanlah sesuatu yang mudah, katanya. Ia adalah pengembaraan seumur hidup yang unik dan harus kita lalui sendiri. Tiada siapa yang mewakili kita.Bagaimana kita ingin menjalani pengembaraan itu adalah keputusan dan pilihan kita sendiri, kata Dr East Mile.

Beliau berasal dari Tawau. Pendidikan awal dan menengah ditempuhinya di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan dan SMJK St Patrick Tawau.Dr  Mile adalah pengendali beratus-ratus program latihan dan konsultansi untuk sektor awam, korporat dan swasta di Malaysia dan Negara Brunei Darussalam.

Dari soal membina hidup seimbang, hingga soal mengenal potensi diri dan menetapkan matlamat. Malahan beliau sedia menjadi pembimbing mini lab interaktif satu hari mengenai bagaimana mengenal Makna Hidup dan Mencipta Impian atau dalam bahasa Inggerisnya Discovering Your Purpose in Life and Crafting Your Dream.

Ada orang yang tidak tahu potensi dirinya. Ada orang yang tidak tahu melakar matlamat dan memurnikan matlamat mereka sehingga mereka kurang berjaya menggali potensi yang mereka punyai, kata Dr  Mile, tenaga sumber yang berkelayakan dan berpengalaman luas dalam bidang pengurusan, keusahawanan dan pembangunan kapasiti modal insan. 

Beliau juga seorang Assesor dan Auditor Sistem Pengurusan Kualiti MS ISO 9001:2000 yang bertauliah di bawah IRCA (UK) dan Sistem Akreditasi Australia an New Zealand. Seorang perunding bertauliah dan berpengalaman dalam Program Kecemerlangan Organisasi & Pembangunan Kapasiti Insan Bersepadu, Program Kepimpinan, Sinergi Pasukan dan Motivasi.

Dato' Dr Mile berkelulusan PhD Organic Reengineering, Wisconsin International University, USA 2008. Beliau juga memiliki Ijazah Sarjana Perubatan Komplementari, Universiti Terbuka Antarabangsa Perubatan Komplementari (OIUCM 1998). Selain itu, beliau juga memiliki Ijazah Sarjana Muda (Kepujian)  Pengurusan Sumber Manusia (BBA Hons) HRM Kelas Pertama. Dr Mile juga pernah mendapat Anugerah Rektor Pelajar Terbaik Universiti Teknologi MARA (1996) dan Diploma Pengurusan Perniagaan, ITM (1984).Beliau pernah berkhidmat di sektor awam (pernah mendapat Anugerah Khidmat Cemerlang)  dan  swasta selama 33 tahun sebagai Pegawai Tadbir hinggalah Eksekutif Kanan.Dr Mile aktif dalam industri pendidikan dan pernah menjadi pegawai penilai bertauliah Aromatherapist MLVK, pensyarah dan perunding untuk SPACE-UTM, UiTM, UMS, IAEWP-UN-WIU-USA dan IDS. Beliau pernah menjadi profesor di Beijing Concorde University Cawangan Sarawak

Kini beliau usahawan sepenuh masa yang dedikasi dalam profesion keusahawanannya dan seorang aktivis sosial yang aktif.

Pertemuan kami pada petang itu, berbicara soal buku Indahnya Hidup Seimbang, agak mengasyikkan, sehingga kami tidak sedar, pelayan kafe itu sedang mengemas ngemas meja sebelum berangkat pulang..

Mengenai Postingan Salam Terakhir

Tags

Sahabat blogger, Sdr Mohd Yusuf Ahmad Shukri atau dikenali Mohd Yusuf Kupang di kalangan rakannya, sempat bertanya mengenai satu posting pada yang disiar dalam blog ini pada 31 Mei 2021.

Apakah ia satu postngan juga? tanyanya.  Posting itu terdiri daripada enam perkataan saja.

"Salam terakhir, kata Sudirman, salam teristimewa".

Saya memberitahunya bahawa itu adalah satu postingan juga. Ia menandakan satu peristiwa penting dalam hidup saya. Cuma pada ketika posting blog itu dibuat, saya sebenarnya masih agak sibuk sehingga tidak dapat berpanjang panjang menulis. Tapi bagi saya  peristiwa itu harus ditandai.

Salam terakhir itu ditujukan kepada satu episod dalam kehidupan yang segera berlalu. Tepat pada 31 Mei itu, adalah hari terakhir saya berkhidmat sebagai wartawan di Utusan Borneo. Sebelumnya, setelah melalui beberapa perbincangan saya memilih tarikh 16 April 2021 untuk menulis surat pengunduran diri, iaitu tepat 27 tahun saya berkhidmat sebagai wartawan di Utusan Borneo, sesuatu kerjaya yang sudah mendarah daging dalam hidup saya. 

Syarikat mengalami sedikit goncangan ekonomi kerana  berhadapan dengan cabaran digital sehingga terpaksa distruktur semula. Kami yang terdiri kalangan senior diberikan pilihan, dan kerana ruang gerak yang makin terbatas, dimana suratkhabar Utusan Borneo kembali ke asalnya, iaitu menjadi akhbar sisipan di The Borneo Post, kami dengan berat hati terpaksa memberi salam terakhir.

Memanglah banyak kenangan bersama akhbar dimana kami menumpahkan seluruh komirmen dan kesetiaan. Sehingga kemudian  saya diberi tanggungjawab untuk menangani beberapa kolum, antaranya Sastera Budaya, yang masih saya tangani,  lebih kepada satu obligasi moral dan sosial.

Selain itu, saya menangani ruangan Sembang Sabtu, temuramah dengan tokoh-tokoh dari pelbagai kalangan yang disiarkan setiap Sabtu. Saya juga menangani ada kolum Nota Hujung Minggu yang disiarkan setiap Ahad dan kemudiannya Sabtu. 

Selain itu, saya juga menulis untuk ruangan Nusantaraku Berkisahlah, travelogue perjalanan ke seluruh alam Nusantara setiap hari Khamis. Hari Jumaat saya mengelola Ruangan Jejak Perpaduan manakala hari Khamis, saya mengelola ruang dari Kampus, berisi berita-berita dari UMS.

Saya sangat bersyukur kerana bos saya, Sdr Lichong Angkui, yang juga mentor saya, memberikan banyak kebebasan dan kepercayaan penuh untuk saya menulis dan berkarya . Saya sangat menghargainya.  Bahkan itulah sebabnya saya menolak beberapa tawaran lain di tempat lain. Saya berasa cukup selesa dan sangat berterima kasih atas kebebasan yang diberikan itu.

Tetapi waktu bergerak. Cabaran baru tiba. Mahu tidak mahu kita terpaksa berubah. Yang kekal hanyalah perubahan. Saya yakin bila satu pintu tertutup, pintu lain akan terbuka untuk kita.  Kini bersama beberapa rakan kami mengasas portal berita Sabah360online.com. Sekali menjadi wartawan, terus dan tetap jadi wartawan.

Itulah sebabnya, kata Sudirman, Salam terakhir salam teristimewa..

Salam takzim 

Khamis, 29 Julai 2021

Bersama Bung Hussain, kupi kupi di Sinar Mustika

Tags


Pertemuan dengan Bung Hussain sentiasa diharapkan dan ditunggu-tunggu. Saya memanggilnya pak atau bapak. Tapi diantara rakan-rakan, kami akrabnya memangilnya Bung Hussain. Padahal nama lengkapnya ialah Datuk Haji Hussain Kassau.

Siapa Bung Hussain? Orang yang kami sangat kami hormati. Beliau bermula sebagai salah  seorang penulis, salah seorang penulis terbaik Sabah pada awal 1970-an.  Dalam dunia persuratkhabaran, beliau pernah menjadi pengarang di suratkhabar tempatan seperti Daily Ekspress dan Kinabalu Sabah Times. Selain itu, beliau pernah mejadi pengarang Sinar USIA, majalah terbitan Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) yang terkenal.  Beliau pernah bertugas di Kuala Lumpur dan sempat menjadi pengarang Majalah Sarina, Keluarga, Suaa Rakyat, Suara Merdeka dan Kisah Cinta.
Sebagai penulis, beliau menghasilkan kira-kira 41 cerpen, sebuah naskha drama, 25 puisi dan 15 esei kritikan serta novel Deru dan Debu.
Beliau juga menghasilkan beberapa buku biografi seperti biografi Datuk Abu Bakar Titingan, Datuk Karim Ghani, travelogue Nusantara dan menerbit sepuluh buah koleksi ucapan mantan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman ketika beliau berkhidmat sebagai Setiausaha Perhubungan Awam Ketua Menteri tahun 2003 hingga 2013.

Bung Hussain adalah seorang tokoh yang banyak terlibat dalam perkembangan sejarah di negeri ini.
Sebagai wartawan, beliau pernah membuat liputan di Korea, Pattani, Arab Saudi dan sebagainya. Belaiu berkawan rapat dengan Tokoh Wartawan Negara,  Tan Sri A Samad Ismail, Sasterawan Negara, Dato A Samad Said, Sutan Shahril Lembang, Haji Subky Latif. Beliau juga pernah berkenalan dengan Mochtar Lubis, A Hashimy, HB Jassin, Tun Abd Rahman Yakub, pernah menemuramah Muhammad Ali, jaguh tinju dan ramai lagi.

Pertemuan dengan beliau sangat bermakna. Banyak kisah kisah menarik kerana beliau kaya pengalaman. Walaupun banyak juga yang off the record, tetapi cerita yang dikisahkannya memberikan kita perspektif baru dalam melihat sesuatu peristiwa.

Beliau  antara orang yang banyak menginspirasi saya, meneguhkan semangat untuk terus menulis dan menulis

Sekadar update di penghujung Julai

Tags


Banyak perkara yang mungkin boleh dikongsikan khusus untuk pengunjung blog ini yang sentiasa menunggu kemaskini. Tetapi agak menarik ialah kenyataan Datuk Seri Bung Moktar Radin mengenai jumlah pemberian vaksin di Sabah setakat ini yang agak rendah dengan kira-kira 30,000 dos sehari dan meminta ia dipertingkatkan.

Beliau meminta kerajaan memastikan bulan-bulan seterusnya, "bekalan vaksin itu jangan dihentikan, tapi tambahkan, sebab Sabah ini unik, ada rakyat tempatan, ada pekerja asing, ada pendatang tanpa izin ada macam-macam", katanya pada sesi perbahasan di Dewan Rakyat sebagaimana yang dilaporkan Bernama yang turut disiarkan dalam portal sabah360.online.com

Bung Moktar, yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah juga membangkitkan semula keperluan untuk vaksin jenis dos tunggal diberikan kepada penduduk di kawasan pedalaman, berikutan kesukaran untuk sampai ke kawasan berkenaan dan mengurangkan risiko penduduk terlepas dos kedua vaksin.

Menurut laman sesawang Jawatankuasa Khas Jaminan Akes Bekalan Vaksin COVID-19, seramai 701,759 atau 18 peratus penduduk Sabah menerima dos pertama vaksin hingga semalam.

Kebetulan pagi ini ketika menaiki grab ke pejabat,  saya sempat menemubual pemandunya, yang kebetulan sudah menerima dua dos suntikan.

Beliau memberikan beberapa tip untuk membolehkan mendapat suntikan dos pertama. Katanya, selalulah update permohonan di Mysejahtera. 

Saya beritahu sebenarnya saya terlepas suntikan dos pertama vaksin pada 7 Mei kerana kebetulan ketika ditelefon, masa yang diberikan agak singkat dan saya berada di kampung. Kalau dimaklumkan lebih awal,saya pasti datang atau mungkin ada yang memaklumkan tetapi makluman itu tidak sampai kepada saya.

Pelbagai cerita mengenai pkp, pkpd dan kesukaran yang dialami oleh penduduk di sesuatu kawasan ang dikenakan perintah PKPD.

Agak memprihatinkan juga kerana kehidupan rakyat terjejas. Saya menjangka, kata pemandu grab itu, Covid-19 mungkin mengambil masa lama untuk kembali pulih. Kita hidup dalam normal baru, dimana semua tidak menentu, fikiran buntu untuk menuliskan sesuatu. sesuatu

Khamis, 1 Julai 2021

dari abdnaddin.blogspot.com kepada abdnaddin.com

Tags


 Assalammualaikum wm wbr,

pembaca blog yang budiman,

Kita percaya kepada perubahan. Hari ini saya membuat sedikit perubahan kepada blog saya.

drpd abdnaddin.blogspot.com kepada abdnaddin.com.


banyak manfaatnya.

Salam hormat