Ahad, 28 Mac 2021

Di Dunia Kita Tidak Perlu Takut Apa Apa, Kata Siti Khairiah

Tags

Di dunia ini tak perlu takut apa-apa, semuanya kita serah kepada Allah. Kita tak perlu gentar dan takut berhadapan dengan apa jua  di dunia ini kerana ada  Allah yang menjaga kita. Itulah pesan ibu yang selalu memberi semangat kepada saya  agar berani menempuh apa saja cabaran dalam menjayakan perjuangan, kata Siti Khairiah S Mohamad, seorang aktivis yang gigih memperjuangkan nasib kaum wanita dan masyarakat terpinggir. Beliau juga seorang yang terkenal dengan kemampuan menguasai Bahasa Mandarin dengan fasih disamping dialek cina yang lain.

KHAIRIAH @ SITI KHAIRIAH S MOHD dilahirkan pada 28 Mac 1975 di Sandakan Sabah. Anak kedua daripada sebelas adik beradik.Ayahnya, Sheikh Mohamad Sheikh Omar  keturunan Arab Suluk manakala ibunya , Salehah Abdullah @ Phang Choon Fah keturunan Cina Iban. Beliau  mendapat pendidikan di SRJK (C) Chi Hwa Sandakan (1982-1987) sebelum melanjutkan pelajaran menengah di SM Sung Siew Sandakan (1988- 1990) Kemudian beliau melanjutkan pelajaran dalam tingkatan enam di SM All Saints Kota Kinabalu (1991- 1992). Beliau sempat mengambil A Level di Sunway College sebelum terbang ke United Kingdom bagi meneruskan pelajaran dalam bidang Undang-Undang dan Pentadbiran Awam (Law & Public Administration)  di Hull University hingga tamat 1996.

Selesai menamatkan pengajian di luar negara, antara kerjaya yang diceburinya selepas pulang ke tanah air ialah pernah menjadi  Pengarah Impian Abadi Sdn Bhd 1998-2002, Unit Pentadbiran OUM, Eksekutif Pentadbiran Kanan Tan Chong Holding, Cawangan Sandakan 2005-2006. Beliau pernah menjadi Pengerusi Pusat Amanah Ikhtiar Malaysia Cawangan Sandakan 2001-2003.Beliau juga pernah bertugas sebagai  pegawai khas kepada mantan Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Seri Panglima Ghapur Salleh selama kira-kira tujuh tahun.

Dalam politik, Siti Khairiah pernah bertanding PRN ke-16 sebagai calon USNO di DUN N55 Elopura tetapi tidak berjaya. Kini beliau adalah Ketua Wanita Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) Pusat 2021-2024.



 

Wartawan kanan UTUSAN BORNEO, ABD NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang menemubual Siti Khairiah S Mohamad di salah sebuah restoran popular di Jalan Pantai.

Ikuti petikan temubual  mengenai pengalaman dan misinya dalam memajukan golongan wanita:

UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit latar belakang puan?

SITI KHAIRIAH:    Saya dilahirkan pada 28 Mac 1975 di Sandakan Sabah. Saya anak kedua daripada sebelas adik beradik. Ayah saya  Sheikh Mohamad Sheikh Omar adalah keturunan Arab Suluk , seorang tokoh politik dan pernah menjadi Setiausaha BN pada tahun 80-an, manakala ibu saya Salehah Abdullah @ Phang Choon Fah keturunan Cina Iban. Jadi saya sendiri adalah anak Borneo.



 

 UB:    Di mana puan meendapat pendidikan awal?

SITI KHAIRIAH:    Saya bersekolah rendah  di SRJK (C) Chi Hwa Sandakan (1982-1987) sebelum melanjutkan pelajaran menengah di SM Sung Siew Sandakan (1988- 1990) Selepas itu, saya  melanjutkan pelajaran dalam tingkatan enam di SM All Saints Kota Kinabalu (1991- 1992). Kemudian saya sempat  mengambil A Level di Sunway College sebelum terbang ke United Kingdom bagi meneruskan pelajaran dalam bidang Undang-Undang dan Pentadbiran Awam (Law & Public Administration)  di Hull University hingga tamat 1996.



UB:     Mungkin ada pengalaman menarik sewaktu di university, yang boleh dikongsikan kepada pembaca?

SITI KHAIRIAH:    Antara pengalaman menarik ialah ketika bekerja memetik buah epal di sebuah ladang untuk mencari duit poket semasa cuti semester. Masa itu upah memetik epal ialah lima pound (kira-kira RM30 sehari). Pengalaman yang tidak kurang menariknya ialah  menumpang sebuah keluarga orang Melayu yang sama-sama belajar tetapi belajar di universiti lain.

UB:     Masih ingat rakan-rakan seuniversiti dari Sabah?

SITI KHAIRIIAH: Tiada. Rakan seanglatan, seorang dari Pulau Pinang bernama Mr Jason Chan dan seorang lagi dar I Melaka, Ms Catherine Chua.

UB:     Di mana puan bekerja selepas pulang ke tanah air?

SITI KHAIRIAH: Selepas enamatkan pengajian di luar negara,saya pulang ke Sabah. Saya pernah bekerja sebagai  Pengarah Impian Abadi Sdn Bhd 1998-2002, Unit Pentadbiran OUM, Eksekutif Pentadbiran Kanan Tan Chong Holding, Cawangan Sandakan 2005-2006. Selain itu, saya juga pernah menjadi Pengerusi Pusat Amanah Ikhtiar Malaysia Cawangan Sandakan 2001-2003.Saya juga pernah bertugas sebagai  pegawai khas kepada mantan Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Seri Panglima Ghapur Salleh selama kira-kira tujuh tahun. Ia memberikan banyak pengalaman kepada saya untuk mengetahui selok belok proses parlimen dan lebih tahu mengenai permasalahan rakyat di lapangan.



UB:     Apa cita-cita puan ketika kecil? Pernah terlintas menceburi bidang politik?

SITI KHAIRIAH: Mulanya saya bercita-cita menjadi seorang peguam, tetapi kemudian berubah fikiran. Ketika di UK saya mengambil jurusan Law & Public Adminisration. Tak pernah terlintas di hati saya untuk menceburi bidang politik. Minat saya suka memberi khidmat kepada rakyat, minat dalam menganjurkan program amal kebajikan.

UB:     Apa yang membuat puan berubah fikiran?

SITI KHAIRIAH:    Selepas melihat masih terlalu banyak yang perlu diperjuangkan. Kita lihat masih banyak masyarakat luar Bandar yang terpinggir dalam arus pembangunan. Ramai yang masih ketinggalan dari sudut ilmu pengetahuan dan maklumat seperti celik IT. Kita juga berhadapan dengan banyak isu-isu diskriminasi gender penderaaan dan sebagainya. Agensi-agensi kerajaan berkaitan perlu bekerja kuat memastikan isu-isu berkaitan keterbelakangan kaum wanita diberikan solusi yang tepat.

UB:  Oh ya. Baru-baru ini puan dipilih sebagai Ketua Wanita Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) sesi 2021-2024. Mungkin puan boleh ceritakan apa antara misi puan sebagai Ketua Wanita?



SITI KHAIRIAH: Antara misi saya sebagai Ketua Wanita ialah ingin meningkatkan tahap pendapatan ekonomi wanita dan berdaya saing baik di peringkat daerah mahupun negeri.

Kedua, kita juga ingin membuka minda wanita, ibu-ibu  dan juga generasi muda wanita untuk melihat teknologi masa kini selain perniagaan berbentuk fizikal, tetapi perniagaan berasaskan teknologi digital juga bole meraih pendapatan lumayan. Contoh platform trading emas digital, boleh mendatangkan hasil pendapatan pasif setiap bulan. Emas adalah satu aset yang mana harga tidak mudah jatuh.



UB:     Menurut puan, apa antara cabaran yang dihadapi golongan wanita masa kini?

SITI KHAIRIAH:    Antara cabaran yang dihadapi wanita masa kini ialah mudah terpengaruh dengan isu-isu  di sekeliling tanpa usul periksa akan kesahihannya. Ketakutan masih menebal dalam diri. Tidak  berani menerokai peluang-peluang  baru. Kebergantungan masih utuh walaupun masih berada di tampuk kesusahan.

Sebenarnya banyak cara boleh yang boleh diterokai untuk meningkatkan ekonomi, termasuk apa yang saya katakan tadi iaitu kaum wanita perlu berani menjalankan peniagaan berasaskan teknologi digital terutamanya ketika era pandemik ini.

Kita lihat banyak kes keganasan rumah tangga, kes-kes penderaan, rumah tangga tidak stabil, antaranya  disebabkan tekanan dari segi ekonomi dan mental, ramai kehilangan kerja. Oleh sebab itu, kita mesti berani meneroka peluang baru. Kita perlu ubah pendekatan, jika selama ini kita cenderung untuk memberi ikan, seperti kata perumpamaan, kita beri mereka pancing, supaya mereka dapat menangkap ikan tanpa mengharap orang  lain.



Dalam menjayakan misi memperkasa wanita,, semua pihak perlu berganding bahu. NGO, kerajaan, pertubuhan siasah dan semua sektor dalam masyarakat. Sampai bila, kita kaum wanita berdiam diri. Zaman sekarang zaman teknologi, di mana cabaran hebat menanti kita. Masih banyak yang perlu diterokai misalnya  blockchain masih kurang diterokai. Penerimaan masih kurang terhadap ekonomi digital. Kita sebut ekonomi digital, dimana pengetahuan pun boleh jadi duit.

UB:     Mungkin puan boleh jelaskan sedikit mengenai teknologi blockchain?



SITI KHAIRIAH: Teknologi Blockchain sudahpun diiktiraf oleh pelbagai industri sebagai suatu teknologi hebat yang dilahirkan selepas penciptaan internet. Salah satu produknya ialah Bitcoin. Bitcoin dibangunkan dan dibina untuk tujuan kewangan tetapi teknologi blockchain ini boleh diaplikasikan dalam pelbagai bidang. Berdasarkan perkembangan pesat jalur lebar yang dijangka meliputi semua isi rumah, penduduk digital Malaysia sudah pasti memainkan peranan yang semakin penting dalam pembangunan sosioekonomi negara

 Saya fikir, dalam mengorak langkah ke hadapan, kita memerlukan usaha ke arah ekonomi digital yang inovatif. Sejak beberapa tahun ini, jika kita lihat  Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), ekonomi digital menyaksikan perkembamgan yang menakjubkan. Kita boleh saksikan sendiri dengan melihat data-data ekonomi yang ada. Kita perlu melonjakkan daya saing dalam ekonomi digital  global. Ekonomi digital mampu merangsang kreativiti manusia dengan teknologi baru, pasaran baru dan peluang-peluang baru.

Kerajaan perlu membuat perancangan rapi dan penggunaan stategi digital bagi memastikan negara terus berdaya saing dan berjaya di peringkat antarabangsa. Kita juga  boleh mewujudkan platform untuk mendapatkan pendapatan pasif, untuk meningkatkan pendapatan dan ekonomi rakyat setempat.


Perkembangan dan kemajuan teknologi informasi dan komunikasi tidak dapat lagi dipisahkan dengan aspek kehidupan masyarakat. Kemajuan internet berkembang mencipta dunia atau ruang maya atau cyber-space, menjadi sebuah tempat untuk berkomunikasi,  melakukan berbagai aktiviti ekonomi hingga melahirkan masyarakat informasi (information society), masyarakat berpengetahuan (knowledge society) dimana teori ekonomi fundamental yang lama berdasarkan faktor fizik, tenaga kerja dan modal semakin ditinggalkan. Sekarang kehidupan bergantung fator intelektual berupa ilmu pengetahuan dan teknologi, kreativiiti dan pelbagai inovasi lain.

UB: Oh ya, mengenai isu atau masalah keciciran pelajar. Saya pernah dengar puan bercakap mengenainya. Boleh ulas sedikit?

SITI KHAIRIAH: Ramai kanak-kanak  yang berstatus tempatan di mana samada salah seorang ibu atau bapa orang tempatan atau kedua-dua orang tua  mereka orang  tempatan tetapi mereka tidak mempunyai dokumen sijil lahir yang  teratur atau  diabaikan oleh orang tua mereka, mereka tercicir tidak  dapat bersekolah.

Ada juga anak-anak yang  tinggal di luar bandar dimana ibu bapa mereka tidak  begitu bijak mengurus urusan sijil lahir daftar lewat akibat sistem yang agak rumit yang membuatkan orang tua mereka merasa susah dan meninggalkan urusan tersebut tanpa penyelesaian. 

Anak-anak  ini adalah generasi pelapis yang sepatutnya tidak dibiarkan. Kita harus membantu untuk  menyelesaikan urusan dokumen mereka. Mungkin sebagai pengantara bagi membantu mereka menangani masalah.

UB:     Soalan terakhir sebelum kita menamatkan sesi temubual untuk ruangan Sembang Sabtu minggu. Apa agaknya pesan orang tua yang masih puang ingat dan amalkan?

SITI KHAIRIAH: Banyak. Tapi yang sangat berkesan ialah pesanan atau nasihat ibu saya. Katanya, di dunia ini tak perlu takut apa-apa, semuanya kita serah kepada Allah. Kita tak perlu gentar dan takut berhadapan dengan apa jua  di dunia ini kerana ada  Allah yang menjaga kita.

Isnin, 15 Mac 2021

Apa Yang Kita Mahu Buat, Buat Sekarang, Jangan Bertangguh Lagi, Kata K Zulkifli Harrith

Tags

 



DI kalangan rakan-rakannya, beliau dikenali sebagai pekerja yang dedikasi dan komited dalam setiap kerja yang dilakukannya. Seorang pekerja yang tekun dan teliti. Kerjayanya bermula hanya sebagai seorang kerani dan kemudian memegang pelbagai jawatan sepanjang kira-kira 40 tahun berkhidmat dalam kerajaan. Jawatan terakhirnya sebelum bersara pada  Januari 2019 ialah Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

“Kalau kerja, kerjalah dengan jujur,” itulah pesan orang tua yang jadi amalannya sepanjang kerjayanya selama empat dekad dalam perkhidmatan kerajaan.Kini selepas bersara, beliau lebih banyak menumpukan masa untuk memberikan khidmat kepada masyarakat yang masih perlukan pembelaan.

K ZULKIFLI KEE HARRITH lahir pada 8 Januari 1958 di Batu 1 ½ Jalan Apas Tawau. Beliau adalah anak kedua daripada sepuluh adik beradik. Dibesarkan di Sandakan, beliau mendapat pendidikan awal di SRK Berhala Darat Sandakan dari darjah satu hingga darjah enam, kemudian melanjutkan pelajaran menengah di SMK Sandakan dari tingkatan satu hingga tingkatan empat, kemudian beliau berpindah sekolah ke SMK Sanzac Kota Kinabalu dalam tingkatan lima. Selepas lulus SPM, beliau sempat bertugas sebagai kerani di Pejabat Daerah Sandakan sebelum melanjutkan pelajaran di ITM. Selepas itu beliau bekerja sebagai kerani di Kementerian Perdagaangan dan Perindustrian (MITI) selama dua tahun. Kemudian  beliau ditukarkan ke Jabatan Perkhidmatan Haiwan selama satu tahun pada 1979. Pada tahun 1980-an hinga 1981, beliau  bekerja di Jabatan Hutan di Batu 7 Sandakan sebagai  Supernumerary Forest Ranger.

Kemudian beliau melanjutkan pelajaran di University of Wisconsin RiverFalls, USA pada tahun 1983. Bagaimanapun enam bulan kemudian beliau  berpindah ke Purdue University West Lafayette, Indiana US dan lulus ijazah dalam bidang pertanian. Sekembalinya ke tanah air, beliau sempat bertugas di Loji Penapisan Air Telibong sebelum menjadi Pegawai Penyelidik di Kementerian Pertanian dan Industri Makanan  (MAFI). Beliau diberikan pelbagai tanggunggjawab, antaranya menjadi menjadi Timbalan Setiausaha Tetap ( SUT ) di MAFI pada tahun 2016 hingga 2018. Jawatan terakhir beliau sebelum bersara ialah Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah walaupun hanya disandang  hanya empat bulan kerana memasuki usia persaraan Januari 2019.



Wartawan kanan UTUSAN BORNEO, ABD NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang mewawancara K ZULKIFLI KEE HARRITH pada satu petang yang cerah di salah sebuah premis di Jalan Pantai Kota Kinabalu. Ikuti petikan wawancara bersama beliau mengenai pelbagai pengalaman yang dilaluinya dalam hidup:



 

UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan serba sedikit latar belakang tuan?

K. ZULKIFLI KEE HARRITH: Saya lahir pada 8 Januari 1958 di Batu 1 ½ Jalan Apas TawauSetengah. Saya anak kedua daripada sepuluh adik beradik. Semua lelaki tiada perempuan. Ayah saya Kee Harrith Kee Sulaiman bekerja sebagai pembantu perubatan di Hosptal Sim Sim manakala ibu saya Anumjan Amirkhan, seorang suri rumah.  Kami sebenarya menetap di Sandakan tetapi setiap kali, ibu saya mahu melahirkan beliau akan balik ke Tawau  ke tempat keluarga.

Ayah saya lebih dikenali sebagai doktor Harrith. Kebetulan beliau bekerja sebagai pembantu perubatan di Hospital Sim Sim yang dikenali sebagai hospital untuk pesakit jiwa.Sebenarnya beliau bukanlah seorang doktor walaupun mempunyai pengetahuan yang luas dalam bidang perubatan.

Beliau terkenal sebagai Doktor Harrith  di kalangan orang Sandakan  kerana beliau juga tukang khatan atau tukang sunat untuk kanak-kanak Islam yang memasuki usia baligh . Sebab itu beliau terkenal.Mungkin ribuan orang di Sandakan yang pernah beliau khatan.Selain itu, pula beliau seorang yang disenangi ramai dan boleh  bercakap hailam, kantonis, hakka

 

UB:     Di mana tuan mendapat pendidikan awal?

K ZULKIFLI:  Saya bersekolah rendah di SRK Berhala Darat dari darjah satu hingga darjah enam. Kemudian saya melanjutkan dari tingkatan satu di SMK Sandakan, sempat bersekolah di SMK St Michael tetapi tidak lama, berpindah semula meneruskan pelajaran di SMK Sandakan hingga tingkatan empat Kemudian saya berpindah ke SMK Sanzac ketika berada dalam tingkatan lima.

UB:     Siapa antara rakan sekolah di SMK Sandakan yang tuan masih ingat?

K ZULKIFLI:           Antaranya Dr Ismail Osir, Sardul Singh, Saimah Ahmad, YB Saddi Abd Rahman.

UB:     Selepas tamat tingkatan lima, dimana tuan melanjukan pelajaran?

K ZULKIFLI: Saya bekerja terlebih dahulu  sebagai kerani di Pejabat Daerah Sandakan.Antara tugas yang diberikan kepada saya adalah penyelia banci pendatang tanpa izin (PTI). Antara rakan saya ialah Rashid Kamsiran dan lain-lain. Selepas itu, barulah saya melanjutkan pelajaran pra sains di iTM dalam selama satu tahun. Kemudian saya bekerja sebagai kerani di Kementerian Perdagaangan dan Perindustrian (MITI). Saya bertugas di sana selama dua tahun.

Kemudian saya ditukarkan ke Jabatan Perkhidmatan Haiwan selama satu tahun pada 1979. Pada tahun 1980-an hingga 1981, saya bekerja di Jabatan Hutan di Batu 7 Sandakan sebagai  Supernumerary Forest Ranger.

UB:     Apa yang tuan lakukan selepas itu?

K ZULKIFLI: Saya melanjutkan pelajaran diUniversity of Wisconsin RiverFalls, USA pada tahun 1983. Bagaimanapun enam bulan kemudian saya berpindah ke Purdue University West Lafayette, Indiana US dan lulus ijazah dalam bidang pertanian.






UB:     Mungkin boleh cerita sedikit pengalaman ketika belajar di Amerika Syarikat?

K. ZULKIFLI: Banyak pengalaman sepanjang berada di Amerika. Antara saya pernah terlibat dalam kemalangan langgar lari ketika beada di Chicago. Saya kejar kereta itu tapi tidak boleh ingat nombor flatnya hingga saya tersesat dan terpaksa  minta bantuan polis yang akhirnya menghantar saya ke jalan besar.

UB:     Pernah bekerja sewaktu jadi pelajar sebagaimana lazimnya yang dilakukan pelajar Malaysia di luar Negara?

K ZULKIFLI: Ya, saya pernah bekerja di sebuah kafetaria dengan gaji USD 8 dolar sejam. Saya cari pendapatan tambahan untuk perbelanjaan, apatah lagi saya membawa keluarga. Tapi saya agak berasib baik kerana mendapat dermasiswa daripada Purdue Uiversity selain Biasiswa Kerajaan Negeri.

UB: Sekembalinya ke Sabah, di mana tuan bekerja?

K ZULKIFLI: Saya sempat berkerja  di Loji Penapisan Air Telibong  tetapi tidak lama. Selepas itu,  saya bekerja sebagai Pegawai Penyelidik di Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) . Kemudian saya menjadi Timbalan Setiausaha Tetap (SUT) pada tahun 2016 hingga 2018. Jawatan terakhir saya sebelum bersara pada 8 Januari 2019  ialah Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah walaupun hanya empat bulan, tapi saya sempat melaksanakan tugas SUT di MAFI. Ketika bertugas, saya sempat menjadi Penasihat Projek di MAFI.

UB:     Apa kegiatan tuan selepas bersara?

K ZULKIFLI: Saya bergerak aktif dalam kegiatan kemasyarakatan dan menceburi bidang politik?




UB:     Apa yang menyebabkan tuan tertarik dalam bidang politik?

 K ZULKIFLI: Saya tertarik dengan  politik semata-mata untuk  membela nasib rakyat dan ingin membawakan kemajuan minda. Selama lebih 40 tahun berkhidmat dalam  kerajaan, saya nampak kebanyakan ahli politik tidak fokus untuk  melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai wakil Rakyat.



Saya adalah juga Mantan penasihat projek di Kementerian Pertanian dan Industri Makanan ( MAFI) jadi saya nampak apa yang  berlaku. Kerajaan meluluskan projek-projek pembangunan dalam masa setiap 5 tahun program pembangunan namun kebanyakannya tidak dapat dilaksanakan 100% atau kurang berkesan dan  tidak menepati sasaran. Kehidupan rakyat terutama di luar bandar masih juga sama. Menyedari hakikat inilah maka saya bertekad untuk  mengubah cara pelaksanaan program-program pembangunan yang lebih mesra rakyat.

 Sememangnya saya tidak banyak pengalaman dalam  politik sebenar tetapi setelah melihat selama puluhan tahun corak pemerintahan yang tidak fokus kepada program-program pembangunan maka saya ingin mencebur diri dalam  politik agar perubahan dapat dibuat.



UB:     Mungkin boleh ceritakan pengalaman bertanding dalam PRN yang lalu?

K ZULKIFLI: Saya  bertanding di Sungai Manila dalam PRN yang lalu atas tiket Usno Kemenangan bagi saya adalah bonus sekiranya saya menang tetapi tujuan sebenar saya hanya mahu bertapakd dan memperkenalkan Usno yang ditidurkan lebih 20 tahun.

Walaupun dalam masa singkat berkempen namun sambutan itu memang ada cuma rakyat masih ragu-ragu  tentang kewujudan semula Usno.




Kini kewujudan Usno mula dirasakan dan Usno sudah mula aktif dalam  politik untuk memperjuangkan nasib rakyat SABah . Dengan keyakinan YAB Ketua Menteri terhadap perjuangan Usno dalam Gabungan Rakyat Sabah ( GRS) memberikan Usno  nafas baru uuntuk  berjuang dan melangkah bersama untuk  memartabatkan negeri Sabah ke arah Sabah Maju Jaya

Bagi pemahaman saya, YAB Ketua Menteri mempunyai hasrat yang murni untuk menyatupadukan rakyat Sabah. Maka sebab itulah, saya menggunakan platform politik dalam  parti Usno untuk  merealisasikan hasrat murni ini. Usno akan bekerjasama dengan semua parti dalam GRS untuck  mencapai matlamat Sabah Maju Jaya.

 

UB:     Oh ya? Apa cita-cita tuan sewaktu kecil?

K ZULKIFLI: Saya bercita-cita menjadi seorang doktor atau pakar psikiatri tetapi tidak kesampaian. Saya kerja dalam bidang lain. Mulanya minat menjadi seorang ahli dalam bidang perhutanan tetapi di universiti ambil pengajian dalam pertanian.

UB:     Apa nasihat ibu bapa yang tuan paling ingat?

K ZULKIFLI: Saya selalu diberikan nasihat oleh ayah saya, paling saya ingat ialah , kalau kerja, kerjalah dengan jujur

 



UB:     Apa hobi tuan di masa lapang

K ZULKIFLI: Saya suka memancing , paling suka menjala atau memuat ikan selain itu suka bermain bowling.



UB:     Oh ya. Soalan terakhir. Apa prinsip tuan dalam bekerja?

K ZULKIFLI: Apa pun yang kita mahu buat, do it now, buat sekarang, jangan bertangguh lagi. Sebaliknya kalau buat keputusan,jangan buat keputusan tergesa-gesa. Fikirkan dulu.

 

Sabtu, 6 Mac 2021

Haji Ag Damit, Kegigihan dan Ketabahannya Wajar Dicontohi

Tags

KEGIGIHAN dan ketabahan yang dimilikinya wajar dicontohi.  Walaupun bermula dari peringkat bawah, beliau meniti kerjaya setingkat demi setingkat hingga akhirnya bersara sebagai  Ketua Penolong Setiausaha (KPSU), suatu jawatan yang boleh dianggap tinggi. Satu ketika beliau sanggup meninggalkan jawatan kanan semata-mata mahu memenuhi cita-cita melanjutkan pelajaran di Santa Fe, New Mexico. Di celah-celah kesibukannya sebagai seorang pelajar, beliau masih sanggup bekerja sebagai pencuci piring, tukang potong rumput, menyusun buku di perpustakaan untuk menambahkan sumber pendapatan bagi menampung kekurangan kerana biasiswa tidak mencukupi. Akhirnya cita-cita untuk meningkatkan tahap pendidikan tercapai bagi membolehkannya berkhidmat dengan lebih baik kepada masyarakat.



Haji Ag Damit @ Hj Sahzain Pg Hj Abd Razak dilahirkan pada 7 Mac 1956 di Kampung Takis Papar. Anak ketiga daripada lapan adik beradik ini mendapat pendidikan awal di SRK Pekan  Papar dari darjah satu hingga enam kemudian dari tingkatan satu hingga tiga di SMK Majakir Papar dan tingkatan empat dan lima di Maktab Sabah.

Beliau memulakan kerjaya dalam perkhidmatan awam sebagai pembantu kerani di Jabatan Keretapi Negeri Sabah pada 1974. Kemudian berpindah ke Jabatan Komputer Negeri Sabah sebelum bertugas sebagai Penolong Pegawai Luar Jabatan Kemajuan Negeri Sabah. Selepas itu beliau bertugas sebagai Penolong Pegawai Perkeso dan kemudian menjadi Ketua Kerani di Kementerian Kewangan.



Haji Awang Damit kemudian melanjutkan  pelajaran dalam bidang Pentadbiran Perniagaan di College of Santa Fe, New Mexico, Amerika Syarikat. Sekembalinya ke Sabah, beliau bertugas sebagai Penolong Pengarah, di Biro Pengaduan Awam Jabatan Ketua Menteri. Selepas itu, beliau dilantik sebagai  Pegawai Tadbir Jabatan Air Negeri Sabah dan selanjutnya Penolong Pegawai Daerah Kuala Penyu, Penolong Pegawai Daerah Kecil Menumbok. Kerjayanya meningkat naik sebagai Ketua Penolong Setiausaha (bahagian Keusahawanan ) Kementerian Perindustrian dan kemudian sebagai Ketua Penolong Setiausaha (Bahagian Kemiskinan Luar Bandar) Kementerian Pembangunan Luar Bandar pada 2016.

Selain berkecimpung dalam politik dan pernah bertanding sebagai calon Usno N29 Pantai Manis dalam Pilihan raya lepas (PRN 16) tetapi kurang bernasib baik,beliau juga adalah Ahli Jawatankuasa Pusat Persatuan Masyarakat Brunei Negeri Sabah, dan Timbalan Pengerusi koperasi Komani Berhad Sabah.

Beliau mendirikan rumah tangga dengan Iris Voo @ Iriza Abdullah dan dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Dayang Zarish Shafinaz,(akauntan di Kementerian Kewangan) Dr Dayang Zarin Nabilah, Dr Awang Jarip Aminuddin dan Awang Zahir Aimanuddin.



Wartawan kanan UTUSAN BORNEO, ABD NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang mewawancara HAJI AWANG DAMIT @ HAJI SAHZAIN PG HAJI ABD RAZAK di salah sebuah premis di Jalan Pantai Kota Kinabalu mengenai pengalamannya sejak zaman persekolahan , pengalaman dalam kerjaya hinggalah bersara. Ikuti petikan wawancara bersama beliau:

 

UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit latar belakang tuan haji?

HAJI AWANG DAMIT (HAD):    Saya lahir di Kampung Takis pada 7 Mac 1956. Saya anak ketiga daripada lapan orang adik beradik, seorang sudah meninggal. Ayah saya ,  Pengiran Haji Abd Razak bin Pengiran Nasaruddin manakala ibu saya Hajah Samsiah binti OKK Majakir. Nama SMK Majakir diambil sempena nama nenek lelaki kami, ayah arwah emak saya,  OKK Majakir, Ketua Daerah di Papar.

UB:     Di mana tuan haji mendapat pendidikan awal?

HAD: Saya bersekolah rendah di SRK Pekan Papar, yang terletak hanya suku batu dari rumah. Saya pergi ke sekolah dengan berjalan kaki sahaja.

UB:     Siapa antara rakan-rakan sekolah sewaktu di sekolah rendah? Masih ingat?

HAD:  Antaranya Datuk Ahmadshah Talip, Mohd Noh Bostamam, Japarudin Haji Zulkifli ,Datuk Haji Abu Bakar Abs dan ramai lagi. Saya bersekolah dari darjah satu hingga darjah enam  di sekolah itu. Saya tamat sekolah rendah tahun 1969.

UB:     Kalau boleh tahu, berapa bekal ke sekolah ketika itu?

HAD:  Kadang-kadang 20 sen,50 sen, satu ringgit. Itu sudah cukup ketika itu. Masa itu, ayah saya bekerja di Lembaga Tabung Getah dan sering bertugas  di beberapa daerah seperti Papar, Keningau, Kudat, Kota Belud dan sebagainya.

UB:     Selepas itu, di mana tuan haji melanjutkan pelajaran menengah?

HAD:  Saya melanjutkan pelajaran di SMK Majakir Papar dari tahun 1970 hingga 1972 . Antara rakan sekolah masa itu yang saya ingat ialah Aliasah Awang, Aliudiin Musa dan Sani Matusin. Kemudian  selepas lulus SRP, saya melanjutkan pelajaran  dalam tingkiatan empat dan lima di Maktab. Di Maktab Sabah pula, antara rakan sekolah saya waktu itu ialah Abdillah Abdul Hamid, Amir Ali, Haji Ahmad Bakia, dan Datuk Siti Sapoo Ahok, Amir Manap, Saleh Mohd Noh dan Mohd Hekam Terimoh.

UB:     Sebaik tamat tingkatan lima, di mana tuan haji melanjutkan pelajaran?

HAD:  Saya bekerja dahulu sebelum melanjutkan pelajaran ke luar Negara. Pada Julai 1974, saya mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran di ITM. Pada masa sama, ada panggilan temuduga untuk jawatan inspektor polis, tetapi ibu saya agak keberatan melepaskan saya. Padahal sejak kecil saya sudah meminati untuk memasuki pasukan beruniform. Akhirnya, hanya rakan saya, Datuk Awang Sahari Haji Nazir yang menjadi polis dan pernah menjawat jawatan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah.



UB:     Jadi tuan haji tak jadi masuk perkhidmatan polis. Apa yang tuan haji lakukan selepas itu?

HAD: Saya mula bekerja sebagai pembantu kerani dengan gaji RM175.. Sebenarnya saya tidak menyangka dapat bekerja di Jabatan Keretapi. Ceritanya begini. Ada seorang pakcik saya, Pakcik Adnan namanya bekerja sebagai Timbalan Penguasa Trafik. Bila dia nampak saya, dia bertanya di mana saya bekerja. Saya jawab, saya bekerja tidak menentu. Kalau begitu lebih baik kerja daripada berjalan-jalan tak tentu hala, kata pakcik saya.Masa itu sebenarnya masih mudah untuk mendapat pekerjaan.

UB:     Sudah biasa  dengan keretapi masa itu?

HAD:  Kami berulang alik dari Papar ke Kota Kinabalu, naik keretapi. Tambangnya sekitar 70 sen masa itu, jika tidak silap saya.



UB:     Apa antara peristiwa-peristiwa penting yang berlaku ketika itu?

HAD:  Pada masa itu, adalah tempoh di mana jiwa anak-anak menggelora.Jiwa muda memberontak. Ketika itu, orang-orang muda tidak dibenarkan berambut panjang, bahkan ditangkapjika berambut  panjang. Sesiapa yang berambut panjang akan digunting. Kita ikut berkempen agar tindakan itu dihentikan.

UB:     Selepas Stesen keretapi Tanjung Aru, di mana tuan haji ditugaskan?

HAD:  Saya ditugaskan di Stesen Keretapi Membakut selama bebepa bulan  berpindah lagi ke Jabatan Perkhidmatan Komputer sebagai kerani. Jabatan Komputer baru ditubuhkan masa itu.

UB:     Kemudian selepas itu di mana tuan bertugas?

HAD:  Saya pernah bertugas di berbagai tempat antaranya sebagai Penolong Pegawai Kemajuan Negeri Sabah, Penolong Pegawai Perkeso dan kemudian Ketua Kerani di Kementerian Kewangan Negeri Sabah.



UB:     Banyak sekali pengalaman tuan haji. Apa cerita seterusnya?

HAD:  Lepas itu saya memohon biasiswa kerajaan negeri. Akhirnya saya dapat melanjutkan pelajaran sehingga lulus Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan di College of Santa Fe New Mexico, Amerika Syarikat.



UB:     Apa yang mendorong tuan haji belajar lagi sehingga sanggup tinggalkan gaji yang tinggi sedangkan masa itu tuan haji  sudah memegang jawatan yang boleh dikatakan baik?

HAD:  Saya fikir masa depan yang baik dapat diraih dengan ilmu dan pelajaran. Saya terdorong untuk belajar lagi apabila melihat ada rakan rakan sekolah yang berpendidikan tinggi. Saya terdorong untuk belajar lagi, apatah lagi masa itu masih agak mudah untuk mendapatkan biasiswa ke luar negeri.

UB:     Siapa antara rakan seuniversiti masa itu?

HAD:  Antara yang saya ingt, Haji Arif Hassan, Azd Aziz Haji Wasli, Tahir Mohd Talip, Suhaimi Haji Matdon, Shaufi Miraj Datuk Haji Musali.

 

UB:     Mungkin ada pengalaman yang tidak dapat dilupakan  ketika belajar di Amerika Syarikat?

HAD:  Banyak sekali. Saya pernah bekerja di sebuah restoran Cina sebagai pencuci piring. Upahnya agak lumayan masa itu iaitu USD1.75 sejam. Sesi bekerja dari jam 11.00 pagi hingga 6.00 petang dan darijam 7..00 petang hingga 12.00 malam. Saya tidak pernah memilih kerja. Saya cuci tandas dan sebagainya.

Saya pernah jadi tukang potong rumput. Upah potong rumput ialah  USD6.00 dolar sejam. Bolehlah menampung perbelanjaan sepanjang belajar di Amerika.





Saya sempat juga bekerja susun buku di perpustakaan. Apa saja yang boleh mendatangkan pendapatan terutamanya di musim cuti sekolah.Ini semua dilakukan untuk menambah pendapatan kerana duit biasiswa tidak mencukupi. Terlebih lagi bagi kami yang membawa keluarga. Saya mendirikan rumah tangga pada bulan November 1983. Namun selepas itu, saya terpaksa berangkat ke Amerika Syarikat untuk belajar. Isteri saya menyusul kemudian untuk belajar perakaunan.

UB:     Selepas pulang dari Amderika dimana tuan haji ditugaskan?

HAD:  Sekembalinya ke Sabah, saya ditugaskan sebagai Penolong Pengarah..Biro Pengaduan Awam Jabatan Ketua Menteri, kemudian dilantik sebagai Pegawai Tadbir di Jabatan Air Sabah.

UB:     Seterusnya?

HAD:  Seterusnya saya dilantik sebagai Penolong Pegawai Daerah Kuala Penyu dari tahun 2001 hingga 2003, kemudian  Penolong Pegawai Daerah , Daerah Kecil Menumbok.  Selepas itu, saya dilantik sebagai Ketua Penolong Setiausaha, Bahagian Keusahawanan, Kementerian Perindustrian  dari 2004 hingga 2011 dan kemudian dilantik sebagai Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Kemiskinan Luar Bandar.Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah dari tahun 2011 hingga saya bersara tahun  2016.

UB:     Apa hobi tuan jika ada kelapangan?

HAD:  Hobi saya jika ada masa lapang ialah melancong. Saya pergi melancong bersama keluarga ke luar Negara seperti Jordan, Turki, India, Mesir dan sebagainya. Cuma sekarang agak terhenti kerana wabak Covid-19 yang menghalang pergerakan kita.

 


UB:     Apa pesan ibu bapa yang masih diingati?

HAD:  Ayah saya berpesan agar bekerja dengan baik, ikut peraturan, sentiasa bersikap baik, jangan menyakiti orang. Kalau sudah memegang jawatan, jangan mengecilkan hati orang. Jangan berjanji jika tidak boleh ditepati.

UB:     Apa kegiatan selepas bersara?

HAD:  Saya banyak menumpukan dalam kegiatan kemasyarakatan. Selain itu, saya berkecimpung dalam kegiatan politik secara aktif kerana mahu memperjuangkan nasib dan masa depan rakyat yang masih belum terbela sepenuhnya.

UB:     Terima kasih banyak kerana sudi berkongsi pengalaman bersama pembaca Utusan Borneo.

HAD:  Terima kasih banyak

 

 

Pandikar Amin, Semangat Juang Dan Kepimpinan Baru USNO 2021-2024

Tags

KOTA KINABALU: Kalau almarhum Tun Datu Haji Mustapha Datu Harun masih ada, beliau pasti akan  gembira melihat semangat perjuangannya hidup semula dalam parti USNO atau Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu yang mengadakan Mesyuarat Agung Sesi 2021-2024 di Dewan ITCC, Penampang pada Ahad.

Kebangkitan semangat Usno, sebuah parti yang kecil dan kerdil, seperti yang dikatakan Presidennya yang baru, Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia, adalah sesuatu yang luar biasa.

Meskipun kalah dalam kesemua kerusi yang ditandinginya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke 16 yang lalu, tetapi obor semangat juang di kalangan ahli dan penyokongnya masih tetap menyala.

Pandikar Amin memulakan kerjaya politiknya dalam Usno dengan kekalahan sebagai calon Parlimen di Kota  Belud pada tahun 1982, tetapi pada usia 27 tahun beliau menjadi wakil rakyat Usno bagi DUN Usukan dari tahun 1982 hingga 1985. Beliau dilantik sebagai Speaker Dewan Undangn Negeri Sabah dari tahun 1986 hingga 1988 dan menjadi speaker termuda di Komanwel ketika itu.



Beliau juga pernah dilantik sebagai Senator dan kemudian apabila BN mengambil alih tampuk pemerintahan pada 1994, beliau dilantik sebagai salah seorang Jemaah Kabinet Negeri Sabah selepas menang kerusi Tempasuk pada 1994. Pada 1999, beliau sekali lagi dilantik sebagai Senator dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri hingga 2002. Selepas PRU ke12, beliau dilantik sebagai Yang Di Pertua Dewan Rakyat selama dua penggal hingga 2018.

Kerjaya politiknya penuh warna dan menggelora. Beliau mengasaskan Parti Bersih, turut mengasaskan dan kemudian Parti Angkatan Keadilan Rakyat (AKAR), pernah menjadi Ketua Bahagian UMNO Kota Marudu tetapi melepaskan jawatan selepas terpilih sebagai Speaker Parlimen.

Agak mengejutkan apabila beliau kembali menerajui USNO dalam PRN ke-16 hanya beberapa hari selepas dilantik sebagai Ketua Umum namun partinya tidak berjaya memperolehi sebarang kerusi malah tewas teruk di sebalik kekurangan jentera kempen dan kekangan kewangan yang menyebabkan ‘Rundingan Baru’ yang ditawarkan parti itu tidak sampai kepada rakyat.

Dalam keadaan `cedera parah’ ,dan hentaman kiri kanan itu, semangat juang Usno tetap membara malah semakin giat pula menyusun gerakan dan jentera parti di setiap bahagian.

Daripada 18 bahagian Usno yang diiktiraf ROS, sebelas diantaranya berjaya mengadakan mesyuarat agung bahagian.

Dalam ucapannya, Pandikar Amin berkata, gandingan orang lama, muka baru dan pemimpin pelapis pasti mampu melonjakkan Usno untuk terus memperjuangkan kepentingan rakyat.

Beliau mengajak semua pemimpin dan ahli Usno supaya bermuhasabah dan sentiasa bercermin, dan mengingatkan bahawa perjuangan bukan semata-mata bertujuan menjadi calon sebaliknya jika persefahaman dan penyatuan fikrah serta daya kesabaran dan toleransi yang tinggi, tidak mustahil, kebangkitan Usno akan dapat dijayakan.

Pandikar juga secara terbuka mengajak semua ahli, baik yang lama atau yang baru agar sama-sama memajukan dan berjuang bersama Usno.

Katanya, “politik campur campur yang menang, manakala politik tolak-tolak pasti kalah”.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada mantan Presiden Usno, Ibrahim Linggam dan setiausaha Agung Usno, Matbee Haji Ismail dan barisan kepimpinan yang bertungkus lumus menghidupkan nafas Usno dan menunjukkan kesabaran yang luar biasa dalam menghadapi kerenah sepanjang kepimpinannya.

Selain itu, beliau juga mengingatkan pemimpin Usno agar menjaga etika dan perlakuan sekiranya permohonan parti itu untuk menjadi anggota GRS diterima.

Pandikar Amin menekankan hala tuju kepimpinan Usno yang baru adalah berteraskan Rundingan Baru yang menjadi Manifesto Parti itu dalam PRN16.

Sementara itu, kepimpinan baru Usno kini diterajui oleh Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia sebagai Presiden (menang tanpa tanding), Matbee @ Matbeh Haji Ismail  sebagai Timbalan Presiden juga menang tanpa tanding manakala Dato Hamzah Sundang menang Naib Presiden, juga tanpa tanding.

Profesor Dato Dr Ismail Idris dilantik sebagai Naib Presiden manakala Ibrahim Linggam dilantik Setiausaha Agung. Laliman Ahmad dilantik semula sebagai Timbalan Setiausaha Agung dan Ng Chu Hing dilantik semula sebagai Bendahari Agung manakala Adam Chal (mantan calon Usno Karamunting) dilantik Timbalan Bendahari Agung.

Ketua Penerangan Usno diamanahkan kepada Dato Nani Sakam manakala Timbalannya ialah Hisham Ampongou Abdullah.

Jawatan Ketua Pemuda disandang oleh Iskandar Zulkarnain Ramli manakala Siti Khairiah S Mohd (mantan calon Usno Elopura)  dilantik sebagai Ketua Wanita.

Ahli Majlis Tertinggi yang menang tanpa tanding ialah Sazali Justi (mantan calon Usno Melalap), Sallehudin Kasau. K Zulkifli Harrith (mantan calon Usno Sungai Manila), Haji Ahmad Haji Kenajaan,(mantan Calon Usno Bugaya) Daniel Isaac Hoong (mantan calon Usno Likas) dan Hassan Ibrahim (mantan calon Usno Sebatik).

Sementara itu, antara AMT lantikan ialah Mohammad Hamdan Abdullah (mantan calon Usno Silam), Awang Karim Kadir (mantan calon Usno Tanjung kapor), Ricky Sedomon (peguam), Ali Dad Fazal Elahi (mantan calon Usno Lumadan, Shaffic Riasib Shah (mantan calon Usno Tanjung Aru)

Senarai Ketua bahagian yang menang tanpa tanding pula ialah Dato Nani Sakam ( P168 Kota Marudu) Dato Hamzah Sundang (P169 Kota Belud), Liam bin Tawil (P170 Tuaran),Ibrahim Linggam (P171 Sepanggar), Ng Chu Heng (P172 Kota Kinabalu), Sharif Perais Sharif Baba (P173 Putatan), Azmih Junaidi (P175 Papar), Seniati Abd Ghani (P176 Kimanis), Amsir Dani (P177 Beaufort), Ali Dad Fazal Elahi (P178 Sipitang), K.Zulkifli Harrith (P184 Libaran), Haji Ahmad Kenajaan (P189 Semporna), Ismail Idris (P190 Tawau) dan Hassan Ibrahim (P191 Kalabakan).






Seramai 99 perwakilan dan 14 daripada Ahli Majlis Tertinggi menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Sesi 2021-2024 yang diadakan bermula jam 10.00 pagi. Turut hadir dalam majlis itu ialah pemerhati dari bahagian Usno dari seluruh Sabah dengan pematuhan SOP yang ketat.



Dalam majlis perasmian mesyuarat agung Usno yang diadakan pada sebelah pagi, turut hadir wakil-wakil dari komponen parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS).






Antaranya ialah  Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee, Naib Presiden SAPP, Chong Pit Fah,Setiausaha GRS, Razali Haji Razi yang juga Setiausaha PPBM Sabah , Setiausaha Agung PBS, Datuk Joniston Bangkuai, Ketua Pemuda UMNO Sabah, Ir Abd Aziz Zulkarnain, Pesuruhjaya Pas Sabah, Haji Aminuddin Aling da Setiausaha Perhubungan Pas Sabah,YB Dr Aliakbar Gulasan, Timbalan Presiden STAR, Jalumin Bayugoh.

Sabah Negeri Yang Indah, kata Mayor Inf Aditya Susanto

Tags

 

SABAH NEGERI YANG INDAH, KATA MAYOR INF ADITYA SUSANTO

 

Berbuat yang  terbaik, berani, tulus dan ikhlas adalah motto yang menjadi pegangan Mayor INF Aditya Susanto, ILO atau Indonesian Liason Officer TNI di Kota Kinabalu yang mengakhiri masa tugasnya ada 28 Februari lalu selepas  dua tahun bertugas di Sabah.



Sabah negeri yang indah, rakyatnya tertib dan berdisiplin, masyarakatnya prhatin dan patuh terhadap peraturan dan undang-undang, katanya ketika ditanya mengenai pengalamannya bertugas di negeri ini.

Aditya Susanto lahir di Surabaya pada 14 Ogos 1984. Ayahnya pesara Angkatan Laut berasal dari Boyolali Jawa Tengah.Anak pertama dari dua bersaudara ini mendapat pendidikan awal di SD Hang Tuah 3, kemudian ke SMP Negeri 27 dan kemudian ke SMA 19 Surabaya. Kemudian beliau memasuki Akademi Militer (AKMIL) Angkatan 2006.

Selepas itu, beliau bertugas di Kopassus selama 9 tahun sebelum berpindah ke Kodam 6 Mulawarman di Balikpapan. Tugasnya sebagai ILO TNI di Kota Kinabalu adalah penugasan pertamanya.

Beliau tidak pernah berkunjung ke Sabah sebelum itu.“Dulu kami hanya sampai Nunukan, terletak bersebelahan dengan Bandar Tawau,” katanya.

“Ternyata Sabah adalah sebuah negeri yang sangat indah, “ katanya.

Ketika ditanya mengenai Sabah, Mayor Inf Aditya berkata, negeri ini memiliki potensi yang luar biasa dalam bidang ekonomi.

Beliau sudah berkeliling Sabah kecuali Kudat dan Labuan kerana kekangan pandemic Covid-19, katanya. Salah satu makanan kegemarannya ialah nasi lemak.

“Tetapi saya sangat bahagia kerana pernah menawan Gunung Kinabalu, gunung tertinggi di Borneo dan salah salah ikon di negeri ini.



Beliau juga suka mendaki bukit.  Inilah salah satu hobi kegemarannya.Sebutlah nama-nama bukit di negeri ini, bukit janggut, kopungit, bukit botak, bukit bongol, nulu lapai dan sebagainya, beliau pernah mendaki dan menikmati keindahan di puncak bukit.





Selain itu, antara sukan terbaru yang diminatinya ialah sukan golf dan sukan memanah.

Pengagum Jenderal Soedirman ini berkata, beliau seorang yang sangat menghormati  dan mengamalkan petua ibu bapa.

Antara pesannya adalah jangan lupa solat, dan hormati adat istiadat di tempat yang baru.

 



 Aditya juga berkata sepanjang bertugas di Sabah beliau memiliki hubungan dan kerjasama yang baik daripada semua pihak. Kerjasama antara Tentera Nasional Indonesia khususnya KODAM 6 Mulawarman dan 5 Briged adalah sangat baik dan sering mengadakan  sesi latihan bersama dan rondaan bersama.






Kedudukan ILO TNI Kota Kinabalu berada di Kota Kinabalu dan bertugas sebagai penghubung TNI dan ATM antara Markas 5 DIVISYEN Kem lok Kawi- Markas 5 Briged kota  belud dan TDM dengan Kodam VI/Mlw Balikpapan dan Korem 091/ASN Samarinda yang adalah counterpart dari Malaysia Military Liaison Officer (MMLO) yang berada di Balikpapan dan Samarinda.

ILO TNI KK dibawah komando  Panglima TNI - Asisten operasi TNI  dengan Panglima ATM bertujuan untuk mewadahi bentuk kerja sama dan hubungan militer kedua negara yang terjalin baik dan sangat erat sejak tahun 1968.






ILO TNI KK selain menjalankan tugas pokok juga aktif dalam membantu perwakilan KJRI KK dalam bidang non militer meliputi protokoler, sosial dan kemanusiaan dan keamanan serta membantu SIKK dalam bidang pendidikan kepada anak-anak Indonesia di sabah mengenai wawasan kebangsaan dan cinta tanah air,  serta ikut serta membantu pemerintah Negeri Sabah dalam menjaga stabilitas keamanan dan hadir dalam jemputan pemerintah Sabah.



ILO TNI KK  diketuai  Mayor Inf Aditya bersama 1 Bintara  Sertu Firdaus Dati Sampe

Pada kesempatan ini ILO TNI KK mengucapkan "selamat Hari Tentera Darat Ke-88   1 mac 2021"

Semoga hubungan yang terjalin dengan baik dapat terus kita pertahankan dan tingkatan demi keamanan dan keselamatan kedua negara.