Sabtu, 27 Februari 2021

BUNGA KEINDAHAN ANUGERAH DUNIA, PUAN KHALIDAH MENANAM BUNGA UNTUK TERAPI MATA DAN MINDA

Tags

 

BUNGA KEINDAHAN ANUGERAH DUNIA

Puan Khalidah menanam bunga untuk terapi mata dan minda


 BUNGA tidak pernah khuatir mengenai bagaimana mereka akan mekar. Bunga hanya terbuka mengarah kepada matahari dan cahaya itu membuat mereka kelihatan indah.



Bagi Puan Khalidah @Kelly Masadang, halaman yang dipenuhi bunga-bunga yang cantik, pelbagai jenis dan warna adalah impiannya  sejak kecil lagi. . Namun bila meningkat dewasa, impian itu tidak dapat direalisasikan kerana faktor pekerjaan dan masa yang terhad.

Meskipun begitu, beliau masih sempat menanam sepasu dua bunga kertas, yang popular di awal tahun 90-an, di samping tanaman keperluan sendiri seperti cili padi.

Seiring berjalannya waktu, kini puan Khalidah menetap di kampung, memiliki rumah sendiri dengan halaman yang sederhana luas.

“Sedikit demi sedikit saya menambah koleksi bunga yang ada,” kata Puan Khalidah yang kini menetap di Kampung Tamau Kota Belud.

Antara bunga yang ditanam termasuklah Air mata pengantin(Carol Vine),Bunga tahi ayam(lantana camara),Marigold.Cosmas,Zinnia,Ros Jepun. Bunga-bunga  ini juga adalah untuk lebak kelulut mencari makanannyya bagi menghasilkan madu kelulut.

Selain itu, beliau juga menanam bunga kertas(bougainvillea), dan terbaharu bunga Ati-ati(Coleus) yang sedang viral ketika ini.











Bunga-bungaan yang ditanamnya ternyata menerima sambutan yang menggalakkan. Belum ada  promosi yang terancang.  Semuanya beredar dari mulut ke mulut dan dari grup whatsApp tertentu sahaja,’ katanya yang lebih dikenali Mama Ifa di kalangan masyarakat kampung.

“Suami yang banyak membantu dengan mewar-warkan kepada rakan-rakannya..mereka kemudian membawa isteri datang ke rumah untuk melihat bunga Ati-ati dan membeli,” katanya. Suaminya Razak Haji Rakunman seorang usahawan tani, mantan Pegawai Perhutanan dan Presiden Persatuan Bekas Pelajar Yayasan Sabah (Maya).

Pembeli biasanya dari dari sekitar  daerah Kota Belud,katanya. Tetapi ada juga permintaan dari luar daerah tetapi tidak dapat dipenuhi buat masa ini atas faktor rentas daerah tidak di benarkan.

 “Pelanggan "walked in" sahaja setakat ini,memandangkan saya sendiri yang menguruskan semua ini,” katanya.

Bagi ibu kepada lima cahayamata ini, menjaga bunga setiap membuatnya rasa gembira dan sangat teruja.



“Saya mendapat suatu kepuasan melihat bunga-bunga tumbuh subur dan sihat,” katanya sambil menambah,,lagi pun saya menanam bunga sepenuh masa dari tahun 2017 lagi.

 “Lebih lagi masa sekarang ini bunga Ati-ati  mendapat tempat di kalangan peminatnya,” katanya.

Walaupun pada mulanya hanya sekadar minat dan mengisi masa lapang, ternyata menanam bunga boleh menjadi sumber pendapatan sampingan yang amat menggalakkan.

“Alhamdulillah, menanam bunga bukan saja membuat perasaan tenang  dan tenteram, tetapi juga  mendatangkan rezeki,” kata Puan Khalidah yang pernah berkhidmat sebagai petugas kesihatan sebelum bersara atas pilihan sendiri.

“Menanam bunga semestinya menenteramkan jiwa dan melapangkan data, ia juga mampu menghilangkan stress.



“Hilang penat lelah melihat hasilnya, melihat bunga tumbuh subur dan berkembang, mampu menjadi terapi mata dan minda, terutama sekali dalam musim PKP ini.

Ditanya mengenai perancangan masa depannya, Puan Khalidah berhasrat untuk membuka nurseri.

“Sudah dalam proses, tunggu sedikit masa lagi, insyaAllah,” katanya.

“Saya dalam proses mengumpul sebanyak mungkin jenis(ID) bunga Ati-ati  ini yang di anggarkan lebih 200 ID.setakat ini saya ada 110 ID,” katanya.

Selain itu, beliau juga giat  menyemai tanaman hiasan untuk lanskap sekolah.



Bunga adalah anugerah keindahan bagi dunia ini. Sebab itu, menanam bunga sentiasa membawa kegembiraan. Ia bukan saja indah dipandang bahkan boleh menjadi hadiah tidak ternilai untuk orang-orang yang istimewa.

Tapi kata seorang pujangga, jangan menunggu seseorang membawakanmu bunga.Tanam kebunmu sendiri dan hiasi jiwamu sendiri.

Untuk menjadikan hidup sentiasa indah, maka tanamlah bunga. Setiap bunga mekar pada waktunya sendiri, begitu saja.Menanam bunga bererti percaya pada hari esok.

 tersiar di Utusan Borneo 27 Februari 2021

Isnin, 22 Februari 2021

Ketekunan ayah memberikan inspirasi, kata Noraini Osman

Tags

 

KETEKUNAN AYAH MEMBERIKAN INSPIRASI, KATA NORAINI

 

“MELIHAT arwah ayah yang tekun bekerja di kebunnya, memberikan ilham kepada saya untuk menulis,” kata Noraini Osman, seorang penulis wanita yang kini menempa nama di persada kesuasteraan di negeri ini.

 “Mengingati kerajinan ayah, subhanallah,saya rasa hendak menulis semua kisah kehidupannya”, katanya yang menyifatkan ayahnya sungguh menginspirasi.



Noraini Bt Osman @ Noorainie Bt Othman berasal dari Kuala Penyu dan kini menjadi pendidik di SK Mook Kinarut Papar Sabah sejak 2018. Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Matematik dengan Kepujian dari OUM ini menulis sejak berada di bangku sekolah.

 “Idea datang secara tiba-tiba. Saya terus catatkan dalam buku atau kertas di mana-mana saja,” Kata penulis kelahiran 4 Februari 1974 ini.  Beliau adalah anak ke-9 daripada  12 adik beradik, ayahnya bersama Othman Kari manakala ibunya Siti Zarah binti Tarip. Beliau pernah menghasilkan sebuah buku cerpen ketika berada dalam darjah lima di SK Pekan Kuala Penyu dan minatnya bersambung hingga melanjutkan pelajaran di sekolah menengah.

 Noraini bersekolah menengah di Sekolah Berasrama Penuh Tenom dari Tingkatan satu hingga tiga, dan kemudian tingkatan empat di SMK  Kuala Penyu seterusnya tingkatan lima hingga enam atas di SMK Gunsanad Keningau.

 Menurutnya, sebaik ideanya lahir, Noraini akan mencatatkan di mana-mana. Ada masa tertentu pada waktu malam, biasanya baru saya menulis sehingga tengah malam.

 “Catatan-catatan  itu saya kumpulkan dan jadikan satu karya,” katanya yang minat membaca sejak kecil.

 “Dulu Saya suka baca novel...apa saja novel, novel penulis Malaysia penulis Indonesia semua saya baca,” katanya.

 Masa kecil dahulu beliau meminati Othman Puteh. Kemudian saya minat sifu Azmah Nordin dan Ruhaini Matdarin.

 Pada tahun 1990,beliau  mengikuti Minggu Penulis Remaja yang dianjurkan oleh DBP cawangan Sabah di bawah Editor Encik Matlin Dullah dan Hajah Zaiton Ajamain. Kemudian, menghantar karya pertama sewaktu di Tingkatan Enam Atas yang bertajuk "Ayah, Keringatmu Yang mengalir".

 Tahun 1995 iaitu sewaktu menjadi guru sandaran di SMK Kuala Penyu, beliau memenangi pertandingan cerpen anjuran Perpustakaan Negeri Sabah melalui Cerpen Ayah Keringatmu Yang Mengalir.



 Kemudian pada  Disember 1999 novel bertajuk "Ayah, keringatmu Yang mengalir memenangi hadiah utama pertandingan menulis novel remaja anjuran DBP Cawangan Sabah.

 Tahun 2007 Noraini  mencatat sejarah apabila buat julung kalinya memenangi pertandingan novel peringkat kebangsaan sempena Jubli Emas di Kuala Lumpur yang bertajuk "Kembali Sebutir Mutiara".

 Novel Kanak-Kanak "Menemui Mantarissa" memenangi hadiah saguhati sedang berada di pasaran sekarang. Kumpulan Cerpen Mengejar Hujung Pelangi diterbitkan pada tahun 2014 oleh ITBM.

 Sekadar untuk rekod, Antara karyanya yang pernah memenangi anugerah selain  Cerpen bertajuk Ayah Keringatmu Yang Mengalir ( Hadiah Penghargaan Perpustakaan Negeri Sabah 1995) ialah   Cerpen - bertajuk Sindrom Teluk - Hadiah Penghargaan Tunas Cipta 2004.

 Beliau juga menang hadiah utama Peraduan Novel Remaja DBP Sabah 1999 melalui   Novel Remaja- Keringatmu Yang Mengalir - Hadiah Utama - DBP cawangan Sabah 1999 manakala Novel  Gendala  berjaya memenangi Hadiah Penghargaan - DBP Cawangan Sabah 2002,  manakala novel  Kembali Sebutir Mutiara  DBP – menang Jubli Emas DBP  2003

 Selain itu Novel Kanak-Kanak  Menemui Mantarissa  menang  Hadiah Sagu hati - DBP  2007.

 Hadiah lain yang dimenanginya Cerpen  Maut di Hujung Peluru anjuran Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah 2013 dan  Cerpen Remaja  bertajuk  Di Bawah Pohon Kekabu Pada Suatu Senja  yang memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-Exxon Mobil 2014 (HSKU)



 

Cerpen Rahsia Emmak  pula menempatkan Noraini sebagai salah seorang penerima  Hadiah Sastera Sabah 2014/2015 manakala cerpen  Sesaat Ia Pergi  memenangi hadiah Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah 2016.



Selain berkarya, beliau juga pernah membimbing bengkel  Bengkel Penulisan Kreatif Tunas Remaja dan Tunas Muda di SMK Kuhara Tawau pada 17 - 21 Mac 2016 anjuran DBP Cawangan Sabah.

 Selain itu, beliau juga pernah menyampaikan Ceramah Teknik Penulisan Puisi Kanak-Kanak di SK Mook Kinarut 28 April 2018 dan Ceramah Teknik Penulisan Puisi Kanak-Kanak di SK Tanjung Aru II pada 6 Julai 2018.



 Noraini juga boleh dikatakan salah seorang penulis novel yang prolifik. Novel-novel yang pernah dihasilkan ialah Keringatmu Yang Mengalir - Novel Remaja. DBP 2002,Gendala (Novel Dewasa DBP 2007) Perjalanan Maisharah ( Novel Remaja. Cerdik Publication 2009), Impian Nabila  (Novel Remaja Ghost Publication 2010),Kembali Sebutir Mutiara  (Novel Dewasa DBP 2008),Menemui Mantarissa- Novel Kanak-Kanak (DBP 2008), Saiful Muluk dan Badrul Muluk ( Novel Kanak-Kanak DBP 2010) dan Sultan Nakhoda  (Novel Kanak-Kanak.DBP 2012)

 Karya-karya cerpennya juga terbit dalam Kumpulan dan Antologi Cerpen Puteri Bintang Terang (Antologi Cerita Kanak-Kanak DBP 2015),Mengejar Hujung Pelangi. (Kumpulan Cerpen ITBM 2014,)Mengintai Akifa Kumpulan Cerpen Remaja Dana DBP (Terbit sendiri2016),Runtuh. Antologi Cerpen DBPCS 2007,Rumah Kecil Mama. Utusan. Kumpulan Cerpen 2015 dan Pertelingkahan Magis (DBPCawangan Sabah 2007) .



 Walaupun sibuk sebagai ibu kepada lima cahaya mata Mieka Annisa, Maisharah, Hakimi, Putri Adawiyah dan Rabiyatul Iman, Norani terus berazam untuk menulis novel dan menerbitkan kumpulan cerpen.

 Dalam bidang penulisan, beliau juga mendapat dorongan daripada rakan-rakannya dan pegawai-pegawai DBP Sabah.

 Kini selepas ayahnya tiada, suaminya Ben Haji Aring yang banyak memberi inspirasi.

 

 


YB HASSAN A GANI PG AMIR, DARI PENGURUS LADANG KINI WAKIL RAKYAT

Tags

 

HASSAN A GANI PG AMIR, DULU PENGURUS LADANG KINI WAKIL RAKYAT

 

KALAU kita berada di pihak yang benar, jangan pernah mengalah, walaupun kita ditindas. Itu antara pesan arwah ayahnya. “Tapi sebaliknya, kalau kita merasa berada di pihak yang salah, tidak perlu kita pertahankan” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik, Yang Berhormat Tuan Hassan A Gani Pg Amir sambil mengingati pesan orang tua yang sentiasa menjadi pedomannya dalam menjalani kehidupan.





HASSAN A GANI PG AMIR dilahirkan di Luasong pada 22 Februari 1970. Beliau mendapat pendidikan awal di SRJK Luasong dari darjah satu hingga enam (1977-1982)  sebelum melanjutkan pelajaran di SMK Merotai dari tingkatan satu hingga tingkatan lima (1983-1987). Beliau sempat mengambil kursus A Level di Sabah Institute of Management (SIM)  tetapi tidak selesai kerana beliau melanjutkan pelajaran di Institut Teknologi Mara (ITM) Melaka hingga lulus Diploma Pentadbiran Awam.

Selepas itu beliau bekerja dalam sektor perladangan, bermula semula Cadet Planter, Penolong Pengurus Ladang dan kemudian menjadi Pengurus ladang sebelum menceburkan diri dalam bidang perniagaan dan kemudian aktif dalam bidang politik. Beliau pernah menjadi Ahli Jawatankuasa Pemuda PBS Bahagian Tawau sebelum menyertai UMNO dan menjadi Ahli UMNO di Kampung Titingan Tawau. Selepas itu, beliau kurang aktif tetapi kembali semula ke arena politik dan menjadi Setiausaha Bahagian Parti Warisan Sabah Kalabakan. Dalam pilihanraya 2018, beliau bertanding DUN Sebatik tetapi kalah tipis namun dalam PRN ke-16, beliau menang dengan majoriti meyakinkan untuk kerusi Sebatik. Beliau mendirikan rumah tangga bersama paun Adizah Matusop dan dikurniakan lima cahaya mata.





Wartawan kanan UTUSAN BORNEO, ABD NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang mewawancara beliau di ibu negeri untuk berkongsi pengalamannya sehingga menjadi wakil rakyat. Ikuti petikan wawancara bersama beliau:



UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit latar belakang YB. Lahir dimana? Anak ke berapa dalam keluarga?

YB HASSAN A GANI PG AMIR: Saya dilahirkan di Luasong pada 22 Februari 1970. Saya anak pertama daripada sepuluh orang adik beradik. Ayah saya A Gani Pengiran Amir bekerja di NBT manakala ibu saya, Saidah Abdul Hamid seorang suri rumah.





UB:     Di mana YB mendapat pendidikan rendah dan menengah?

YB:     Saya mendapat pendidikan awal di SRJK Luasong pada 1977 hingga 1982. Kemudian melanjutkan pelajaran di SMK Merotai dari tahun 1983 hingga 1987 hingga tamat tingkatan lima.

UB:     Selepas itu, di mana YB melanjutkan pelajaran?

YB:     Selepas itu saya sempat memasuki  Sabah Institute Of Management untuk mengambil kursus A Level tetapi tidak selesai.

Saya tidak menghabiskan kursus A Level kerana kebetulan menerima tawaran untuk bersekolah di Institut Teknologi Mara (ITM) Melaka. Saya kuliah di sana hingga lulus Diploma Pentadbiran Awam (DPA).

UB:  Dimana YB bekerja selepas itu?

YB:  Selepas lulus Diploma Pentadbiran Awam (DPA), saya bekerja di sebuah syarikat konsultan untuk Kerajaan Negeri yang bergiat dalam kajian sosial ekonomi, masa itu di bawah pimpinan Datuk Claudius Sundang Alex. Kemudian saya bekerja di Sapi Plantation Sdn Bhd,selama satu tahun, berpindah lagi IOI (Lee Pang Estate), Hap Seng (Jeroco Estate) dan pernah bekerja di Payamas Estate di Beaufort,Kenso (Kemabong Estate Bukit Garam) dan Merotai Estate (Sungai Burung)

Saya bermula sebagai Kadet Planter, Penolong Pengurus dan kemudian bertugas sebagai pengurus ladang di Merotai. Saya mungkin antara lulusan pentadbiran awam yang menceburkan diri dalam dunia perladangan.

UB:     Tentu banyak cabaran yang dilalui ketika bertugas di ladang.Boleh ceritakan sedikit?

YB:     Sebagai pengurus, sudah pasti antara cabarannya ialah cabaran mengurus pekerja ladang yang terdiri dari pelbagai kerenah dan  latar belakang. Namun itulah antara asam garam sebagai pengurus di ladang.

Selain itu, ketika bekerja di Merotai Estate, saya sempat mengikuti kursus dalam bidang bioteknologi selama dua bulan di National Agriculture Workshop di Chantanaburi Thailand.



UB: Bila YB mula berjinak dalam bidang politik?

YB: Saya berjinak dalam politik kira-kira pada tahun 1994. Masa itu saya terpilih sebagai Ahli Jawatankuasa Pemuda PBS Bahagian Tawau. Ketika itu, saya menjalankan perniagaan dan berpolitik secara tidak serius.

Kemudian saya menyertai UMNO tetapi di peringkat cawangan. Cawangan saya di UMNO Cawangan Titingan bersama Syed Idrus, arwah Omar Jamal dan banyak lagi.  Saya sentiasa ikut perkembangan politik meskipun tidak terlalu aktif.

Ketika  Parti Warisan Sabah (PWS) ditubuhkan, saya menjadi Jawatankuasa Penaja Bahagian dan kemudian menjadi Setiausaha Penaja Bahagian Kalabakan. Dalam PRU ke-14, saya pernah bertanding di DUN Sebatik tetapi sebanyak 193 undi sahaja.

 


Sejak itu saya terus aktif dalam politik . Walaupun kalah tetapi saya terus bekerja untuk parti. Bahkan dalam PRN-16 yang lalu, saya tidak menyangka dipilih sebagai calon lagi. Saya tidak melobi. Saya terus bergiat saja untuk menambahkan sokongan kepada parti. Bagaimanapun,Presiden Datuk Seri Panglima Shafie Haji Apdal, soal calon biarlah beliau yang menentukan.  Serahkan soal calon kepada pucuk pimpinan.Beliau cuma minta tolong pastikan agar calon yang dipilih menang di kawasan itu.

UB: Apa perasaan YB ketika dipilih semula sebagai calon?

YB: Saya tidak menyangka. Tapi saya memang bertekad untuk menang.Saya berdepan cabaran yang sukar. Apatahlagi, saya terlibat dalam pertandingan tujuh penjuru. Akhirnya, dengan izin Allah, saya menang dengan majoriti 522 undi.  Walaupun menang, saya menang dalam pembangkang.



UB:     Tentu cabarannya lebih sukar?

YB:     Saya diberi mandat sebagai wakil rakyat di kawasan DUN Sebatik. Sebagai wakil kepada rakyat, saya akan bawa apa saja permasalahan dan keperluan rakyat untuk diketengahkan  kepada pihak kerajaan.  Kita berharap kerajaan tidak melihat siapa wakil rakyat, kerana bukan soal siapa wakil rakyat tetapi apa permasalahan dan keperluan rakyat, itu yang patut diutamakan.

UB:     Tapi banyak masa terbuang kerana politiking?

YB:     Masa kita berpolitik ialah sewaktu kita ambil kuasa. Sudah dapat kuasa, tibalah masanya pula kita bekhidmat dan mengetepikan fahaman politik demi untuk rakyat. Kita pastikan rakyat tetap dapat pembelaan tan mengira fahaman politik. Apa apa perancangan dan idea yang perlu diteruskan.



UB:     Apa antara isu rakyat di kawasan Sebatik?

YB:     Kawasan DUN Sebatik kini semakin besar. Ada kawasan yang dulu masuk dalam kawasan DUN Tanjung Batu kini masuk dalam DUN Sebatik seperti Kalabakan, Luasong dan Felda Ums..  DUN Sebatik merangkumi Daerah Mengundi Sungai Udin, Berantian, Felda Umas, Kalabakan, Luasong dan Serudin Laut. Dulu kawasan Jumlah pengundi seramai 10,218 pengundi.

Masalah utama yang dihadapi penduduk ialah masalah air. Penduduk Sebatik memerlukan perhatian yang serius daripada kerajaan. Pernah berlaku masalah air pada tahun 2018. Penduduk terpaksa bergantung bekalan air mineral yang walaupun banyak yag dihantar berlori-lori, masih tidak dapat menampung keperluan rakyat.

Ketika masa pemerintahan kerajaan lalu, kerja mendalamkan kawasan takungan air sudah diluluskan di kawasan Wallace Bay tetapi belum sempat dilaksanakan.



Ketika sidang DUN yang lalu, saya ada bangkitkan mengenai apa kaedah alternatif  perlu dibuat bagi mengatasi masalah bekalan air bersih ini.

Selain itu, peruntukan untuk membina Klinik Kesihatan di Pulau Sebatik sudah diluluskan sebanyak RM20 juta tetapi ada masalah teknikal hingga menyebabkan ia tertangguh.



UB: Selain itu apa masalah dan peluang  yang YB lihat?

YB: Sebatik adalah kawasan yang penting di Sabah. Ia memiliki dua kawasan persempadan antarabangsa iaitu di Sungai Haji Kuning dan di kawasan Serudong-Simanggaris. Terdapat beberapa pos kawalan iaitu Sungai Melayu, Wallace Bay, Bergusong .

Isu lain adalah isu penyeludupan yang selalu dikaitkan dengan kawasan sempadan. Untuk mengatasi masalah ini, memerlukan kerjasama semua pihak. Kita harap setiap JKKK yang dilantik kerajaan perlu memainkan peranan masing masing dan mendaftar penduduk dan senaraikan keperluan mereka. Berapa kepala keluarga, berapa keperluan setiap bulan. Ini sedikit sebanyak membantu mengurangkan penyeludupan gas. Kawasan sempadan Malaysia Indonesia adalah sangat panjang kira-kira 36 km dan menyukarkan untuk membanteras penyeludupan secara tuntas.

Kawasan infrastruktur juga perlu dibaiki seperti jalan utama dan sebagainya. Keperluan dan permasalahan rakyat perlu diitangani.

UB:     Sekadar ingin tahu, apa cita-cita YB di masa kecil?

YB:     Sebenarnya saya bercita-cita menjadi peguam tetapi terhalang kerana kemiskinan.Sebab itulah saya belajar hingga A Level. Apabila ada tawaran dari ITM, saya terus menerimanya.

UB:     Oh ya, apa hobi YB di kala ada kelapangan?

YB::    Saya suka berburu dan memancing. Dengan memancing kita belajar kesabaran dan ketenangan. Dengan memancing, kita berjaya memperdayakan ikan, terutama bila guna umpan palsu seperti casting jigging dan trolling.

UB: Selalunya memancing di laut dalam?

YB:     Saya suka memancing di kawasan muara, kerana lebih seronok.

UB:     Soalan akhir. Apa pesanan orang tua yang masih diingati?

YB: Kalau kita berada di pihak yang benar, jangan pernah mengalah, walaupun kita ditindas. Itu antara pesan arwah ayah saya.Tapi sebaliknya, kalau kita merasa berada di pihak yang salah, tidak perlu kita pertahankan

 

 

Selasa, 16 Februari 2021

Bonsai Kelapa mampu beri pulangan lumayan

Tags

 

BONSAI KELAPA, MAMPU BERI PULANGAN LUMAYAN

Oleh ABD NADDIN BIN SHAIDDIN

 Di celah celah kesibukannya sebagai seorang usahawan dan pemimpin masyarakat, Razak Haji Rakunman masih sempat memberikan waktu untuk menyuburkan hobi barunya. Bonsai kelapa. Minatnya untuk membuat  bonsai kelapa semakin marak sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac tahun lalu.


“Mulanya, isteri saya minta kupaskan beberapa biji kelapa dengan cermat supaya akar dan tunas yang tidak rosak atau cedera,” katanya. “Saya buat dengan baik kerana memang saya sudah biasa kupas kelapa,” kata Razak.

“Bila saya tanya untuk apa, isteri saya beritahu, ini untuk dibuat bonsai kelapa,” jelasnya ketika mengimbas semula bagaimana minat untuk membuat bonsai ini mula timbul.

Ini berlaku hujung tahun 2019. “ Tetapi ternyata, kelapa yang saya kupas, layu dan mati kerana tidak mendapat penjagaan seperti yang sepatutnya.”

Dalam bulan Disember tahun yang sama, saya pergi ke Temerloh, Pahang bersama rombongan Ahli Persatuan Graduan Iranunn Sabah (PAGISA). “Kami ke Temerloh kerana tidak mahu melepaskan peluang menikmati masakan ikan patin yang memang terkenal di sana.

“Tanpa dirancang, kawan saya bawa kami ke rumah kawan dia. Di rumah kawannya itulah, pertama kali saya nampak bonsai kelapa Tanpa segan silu, saya bertanya cara membuat bonsai kelapa itu, Saya minta tip cara membuat bonsai, Alhamdulillah, teknik itulah yang saya kembangkan.



“Saya terus usaha membuat bonsai kelapa ini sejak awal Februari 2020. Saya mencari rujukan di Youtube dan sebagainya. Alhamdulillah, kini ia semakin membuahkan hasil,” katanya.






Bonsai adalah sebuah teknik untuk mengerdilkan tanaman. Teknik ini berasal dari Jepun. Tapi sebelum Jepun, teknik ini sudah muncul di era Dinasti Han pada tahun 206 sebelum masihi. Ia tersebar ke Jepun ketika masa kecemerlangan Dinasti Yuan tahun 1280-1368 dimana ketika itu di Jepun adalah era Kamakura (1185-1333)

Berasal dari negara China, bonsai menyebar ke Jepang pada masa kejayaan dinasti Yuan tahun (1280-1368) yang pada masa itu di Jepang adalah era Kamakura (1185-1333).

Kata Bonsai adalah sebutan Jepun yang berasal dari perkataan Cina iaitu penzai yang maksudnya pokok dalam bekas. `Bon’ bererti bekas kecil manakali `sai’ bererti pokok. Meskipun seni membuat bonsai ini dikaitkan dengan masyarakat Cina dan Jepun, tetapi kini minat membuat bonsai ini juga berkembang di kalangan masyarakat tidak kira kaum.

Buktinya, Razak sendiri berasal dari sukubangsa Iranun dari Kampung Tamau Kota Belud.  Anak kampung yang lahir pada 15 Februari 1964 ini adalah anak kedua daripada enam adik beradik.

Mantan Pegawai Perhutanan Daerah Tambunan, Sook dan Keningau ini adalah lulusan Southern Illinois University (SIU) at Carbondale, Amerika Syarikat. Sebagai lulusan perhutanan, sudah pasti kehidupannya tidak boleh dipisahkan dengan kayu dan tumbuh-tumbuhan. Sebab itu, walaupun sibuk sebagai usahawan tani, selain tugasnya dalam pelbagai NGO sperti Presiden Persatuan Graduan Iranun Sabah (PAGISA), Presiden Bekas Pelajar SK Tamau (BETA), Pengerusi KRT Kampung Tamau Kota Belud dan Presiden Persatuan Mantan Pelajar Tajaan Yayasan Sabah (MAYA) kehidupan hariannya tidak dapat dipisahkan dengan tanamm-tanaman. Kini beliau juga diamanahkan dengan tugas baru sebagai Ketua Kampung Tamau, sekadar ingin berbakti untuk membantu proses pembangunan dan tata kelola di peringkat masyarakat akar umbi.

Menceritakan pengalamannya membuat bonsai kelapa, Razak selalu memilih bibit yang belum tumbuh.





“Perkara pertama yang perlu dibuat ialah bersihkan sabut kelapa pada batok atau kulit tempurungnya. Sabut perlu dibersihkan ketika mula bertunas, tetapi jangan sampai terkena tunas atau akarnya yang baru tumbuh. Batok kelapa itu juga hendaklah dihilangkan bulu halusnya supaya tampilannya lebih cantik dan menarik.

 “Selepas dua atau tiga bulan bertunas, saya melakukan pemangkasan sebelum memindahkan bonsai kelapa itu ke pasu kekal,” katanya.




Bagi memastikan bonsai kelapa itu kekal kecil, Razak memangkas selaput tumbuhan itu secara berkala untuk menghalangnya daripada membesar.

“Ini perlu dilakukan secara berhati hati kerana kalau terkena pada tunas muda, ia boleh menyebabkan bonsai kelapa itu mati.

Kini bonsai kelapa semakin popular. Ia menjadi satu hobi yang mendatangkan pulangan lumayan. Pengusaha bonsai kelapa boleh menjual bonsai kelapa bermula dari RM100 ke aras bergantung keunikan tanaman bonsai kelapa itu.

Bonsai kelapa boleh hidup belasan atau puluhan tahun bergantung kepada penjagaannya.,Bagai manapun, bonsai kelapa yang kerdil ini  tidak boleh berbuah. Namun ia tetap menarik ramai peminat. Bonsai Kelapa yang dibuat oleh Razak kini sudah dimiliki oleh pelbagai kalangan termasuk kalangan VVIP dan sudahpun dijual di seluruh Sabah.



Ramai yang membeli bonsai kelapa walaupun Razak membuatnya sekadar hobi di masa lapang. Namun kini berdasarkan permintaan yang semakin banyak, beliau menekuninya dengan lebih serius lagi. Beliau berusaha untuk menghasilkan bonsai kelapa yang unik dan memiliki nilai keindahan yang tinggi.

Bagi yang ingin memiliki bonsai kelapa, cara penjagaannya tidaklah sesukar yang dibayangkan. Siram setiap hari.Perbanyak air ketika musin kemarau supaya bonsai tidak mudah kering tapi jangan pula biarkan airnya terlampau banyak kerana ia boleh membahayakan akarnya. Berikan baja setiap 15 hari sekali, supaya tetap subuh dan terhindar dari hama penyakit.

Tanaman bonsai kelapa ini boleh tumbuh 25 hingga 100 cm. Dahulu, ramai peminat bonsai kelapa ini membelinya dari Indonesia, tetapi kini semakin ramai orang tempatan yang mampu membuat bonsai kelapa yang unik dan menarik.




Walaupun masih tergolong baru, tanaman bonsai kelapa milik Razak kini semakin mendapat perhatian penggemarnya. Setakat ini , promosi hanya melalui media sosial seperti whatsApp kerana ia mulanya sekadar hobi menghabiskan waktu tersisa di masa pandemik.

Selain memastikan tubuh badan sentiasa sihat, pemikiran lebih tenang  dan teliti, sebenarnya membuat bonsai kelapa ini memiliki potensi besar untuk dipasarkan secara lebih meluas.

Hidup ini sebenarnya hanya berlangsung singkat, namun waktu yang singkat itu, perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya.


Tersiar di Utusan Borneo 16 Februari 2021

Ahad, 14 Februari 2021

Menikmati Makanan Tradisi Iranun di Sakabakauan

Tags

"Kalau kebetulan limpas di  Kampung Warisan, hari ini menu tilapia pialapaan, lauk makan tengahari di gerai kami Sakabakauan."

Di mana lokasinya? Di kawasan bakau, di belakang rumah kami, kata Saudara Ahmad Jaidi.

Jam berapa buka?

"Buka jam 9.00 pagi hingga jam 5.00 petang." 

Selain tilapia, apa lagi menu yang ada?

"Ikan liking. Tapi liking baru mahu beli.Sudah habis. Harap-harap ada ini hari. Lepas PKP, baru mahu buat semua jenis makanan Iranun," katanya yang lebih dikenali dengan nama Maarof di kampungnya.

"Kalau bukan hari ini, mungkin hari lain boleh datang", saya memberitahunya.

"Ok pagari. Esok lauk tengahari, kami sediakan tubpuk dan siager".

Lama tidak mencicipi tubpuk dan siager,  saya mengajak sahabat baik, sahabat sekampung, Aningan atau nama sebenarnya Zakaria untuk mencari gerai Sakabakauan itu. 

Lorong 24, Lot No 4.

Selepas tersasar, kami akhirnya menemui lokasi yang dimaksudkan.

Ikut jalan depan rumah saya, katanya. Gerai Sakabakauan itu terletak di kawasan di belakang rumah.

Sesampainya di sana, sudah banyak meja yang terisi. Tapi kerana penjarakan sosial, di mana hanya dua orang dibenarkan duduk di satu meja dengan jarak satu meter, kami duduk di satu meja yang masih kosong.


Serta merta saya merasai suasanna seperti di kampung. Kebetulan hampir semua pelanggan di gerai itu, kami kenal. Kalau tidak satu kampung, satu sekolah.

Gerai itu memang didirikan di tepi sungai, dikelilingi pohonan bakau. Suasananya sangat menarik. Apatah lagi angin sepoi bertiup, segar rasanya.

Selepas bertanya khabar dan bertukar sapa, sambil mengingat serpihan kenangan sewaktu kecil di kampung, kami bertiga akhirnya larut dalam diskusi mengenai apa yang sepatutnya dilakukan untuk memajukan lagi tempat itu sebagai tempat kunjungan pelancong.


Banyak idea yang diberikan oleh Zakaria, saya lebih suka menyapanya Dr, kerana kebetulan beliau sedang menyiapkan Phd dalam bidang taksonomi semut di UMS. Hasil pengalaman kunjungannya ke Vietnam, bagaimana masyarakat di sana memulihara alam semula jadi dan menjadikan tumpuan pelancong. Saya pula teringat beberapa kunjungan ke Indonesia, betapa kreatif mereka mengolah alam sebagai destinasi wisata.'

Tak lama kemudian, pelayan datang membawa dua piring nasi, dua piring siager, dua mangkuk tubpuk, kacang bendi dan sambal dan kopi susu.


Oh ya, mungkin ada yang bertanya apa yang dikatakan siager? Siager dibuat daripada ikan yu, yang direbus terlebih dahulu kemudian ditumbuk hingga lumat, dicampur dengan bahan-bahan seperti kelapa, kunyit, lada biar pedas, sakurab (daun bawang) dan pelbagai rempah lain.Siager hampir sama, walaupun sebenarnya cara membuatnya berbeza, dengan siagul, sinagul dan sebagainya.

Tubpuk pula ialah sejenis siput yang hanya hidup di kawasan paya bakau. Memang sedap rasanya jika dimasak dengan kuah santan.



Gerai Sakabakauan itu memiliki potensi untuk dimajukan. Lokasinya yang terletak di pinggir bandar, tidak berapa jauh dari bandaraya Kota Kinabalu, boleh menjadi pilihan bagi mereka yang rindukan makanan tradisi Iranun khususnya mereka yang berada di sekitar ibu negeri, dan kekurangan masa untuk masak. Bahkan lokasi itu boleh dijadikan sebagai tarikan pelancong dengan mengadakan satu dua acara kesenian, atau lakonan dari mitos dan dongengan Iranun, yang pasti menarik pengunjung.

Selain itu, boleh juga ditunjukkan cara menangkap ketam, cara menjala ikan kepada pengunjung dan sebagainya.. Mungkin juga boleh diadakan permainan-permainan, acara berkayak dan lain-lain.

Apa yang menjadi kerisauan Ahmad Jaidi ialah isu kebersihan. Bagaimana mendidik masyarakat untuk tidak membuang sampah mereka di sungai. Bagaimana mengurangkan pencemaran alam sekitar dan sebagainya.




Tempat itu memang agak cantik kalau sentiasa dijaga kebersihannya. Cuma perlu difikirkan cara-cara yang lebih kreatif untuk mengajak masyarakat agar menjadikan kebersihan satu keutamaan dan tidak membuang sampah mereka sewenang-wenangnya.

Ahmad Jaidi sudah lama menceburi bidang perniagaan makanan. Sama ada sebagai peniaga makanan  di bazaar ramadan, pemborong makanan, kantin dan kini gerai makanan.

Idea untuk membuka gerai itu timbul ketika melayan kebosanan di rumah kerana PKP. Kebetulan di  belakang rumah, ada kawasan kosong yang kemudian dibersihkan dan dijadikan gerai.

"Saya belum berani mewarwarkan dengan lebih meluas. Saya khuatir tak dapat memenuhi permintaan," katanya sambil menambah, setakat ini, beliau memilih hari Sabtu dan hari Minggu untuk menjual makanan tradisi Iranun," katanya.

Kalau ramai yang tahu, pasti ramai yang datang. Sekarangpun, sebaik kerajaan membenarkan orang ramai makan di restoran, dengan syarat dua orang satu meja dengan penjarakan satu meter, sudah ramai yang berkunjung ke Sakabakauan. 

Bayangkan betapa nikmatnya makan , (Terima kasih juga kepada pagari yang membayarkan makanan kami) dengan pelbagai lauk resipi tradisional, di kelilingi pohonan bakau,sungai yang mengalir  perlahan, dan angin yang bertiup nyaman, saya segera teringat  ayat 13,surah Ar Rahman.

" Maka Nikmat Tuhanmu yang manakah kamu dustakan? yang diulang sebanyak 31 kali dalam surah yang mengandungi 78 ayat itu.

Nikmat Tuhan, jangan kita dustakan.