Ahad, 31 Oktober 2021

“Di sini, bunga keladi di jual dengan harga gila-gila,”, kata prof nik rakib

Tags

Bunga  keladi di jual dengan harga gila-gila di Thailand


“Di sini, bunga  keladi dijual dengan harga gila-gila,”, kata seorang sahabat mengenai harga bunga keladi yang dijual dengan harga yang fantastik di Thailand. Keladi atau caladium adalah sejenis tanaman hiasan yang banyak diburu oleh peminatnya kerana kelihatan cantik dan unik.

Keladi Thailand dijual dengan harga yang sangat fantastik, bermula dari  ratusan hingga ribuan ringgit kerana corak merah atau warna cerah  pada daunnya. Ada berbagai jenis keladi yang  menarik perhatian peminat bunga sehingga ia menjadi salah satu tanaman import dari Thailand.

“Meskipun dijual dengan harga `gila-gila’ atau sangat mahal tetap ada orang yang membelinya,” kata Prof Nik Rakib Nik Hassan, Pengarah Pusat Pengajian Nusantara ,Prince of Songkla University Pattani. Kegilaan terhadap bunga di kalangan warga Thailand menarik ramai orang untuk menanam bunga. Isterinya sendiri yang kebosanan kerana pandemik, mengalihkan hobinya kepada kegiatan bunga keladi. Beliau menghantar gambar beberapa jenis keladi yang mencapai harga hingga puluhan ribu ringgit.

“Harga keladi ditentukan tergantung jenisnya.Ada keladi yang dijual 25,000 Bhat (RM3,135), 90,000 bhat (RM11,288) 110,000 bhat (RM13,796), 175,000 bhat (RM21,949) dan 180,000 ( RM22,577). Nilai tukaran RM1 bersamaan dengan 7.97 bhat,” katanya.



LUMAYAN...Bunga keladi yang dijual dengan harga 25,000 bhat atau RM3,135




CANTIK TAPI MAHAL….Keladi berharga 175,000 bhat (RM21,949)



PELBAGAI CORAK…Keladi berharga 110,000 bhat (RM13,796), 





FANTASTIK…Keladi atau caladium yang dijual dengan harga 180,000 bhat atau RM22,577

Nik Rakib melihat perkara itu sebagai satu fenomena baru  bahkan turut menarik minat ramai semenjak pandemik Covid-19.“Mungkin kerana pandemik, orang tak boleh keluar, tetapi fokus kepada tanaman,” tambahnya lagi.

“Isteri saya sendiri dihinggapi rasa  bosan duduk di rumah saja sehingga menanam bunga-bunga sebagai tanaman hiasan,” katanya.Bunga keladi atau caladium sering dijadikan tanaman hiasan untuk dekorasi rumah kerana memiliki beragam bentuk dan warna yang berbeza.

 Menurutnya sebelum ini pisang yang dijadikan tanaman hiasan juga pernah melonjak harganya di pasaran Thailand.

 “Harganya pernah mencapai RM14,000 satu pokok, ada pula yang dijual RM126,000 malah pernah pernah melambung sehingga RM397,000 atau 2,900,000 bhat.


JADI PILIHAN...RM14,000 satu pokok



MAHAL…Pisang berharga kira-kira RM126,000



MELAMBUNG TINGGI…Pisang berharga RM397,000 atau 2,900,000 bhat dan pernah disiarkan dalam Thai News

“Ini harga `gila-gila, hanya orang yang ada duit sajalah yang boleh beli,” katanya.


 

Khamis, 30 September 2021

menggambar bunga

Tags






bunga mekar kerana ingin mekar. barangkali tak perlu penjelasan. Tapi bunga yang kering ataupun layu tetap akan berharga bagi seseorang yang mampu melihat nilai nilai yang keabadiannya. begitu kata orang tetapi inilah bunga di halaman rumah kami.


 

Ahad, 22 Ogos 2021

Apa yang kita harapkan daripada Datuk Seri Ismail Sabri?

Tags

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, lahir di Temerloh, Pahang kira-kira 61 tahun lalu, memulakan kerjaya politiknya sebagai Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Temerloh pada tahun 1993. Lulusan Sarjana Muda Undang-Undang (LLB) dari Universiti Malaya (UM) 1980 ini, seorang pemimpin yang tenang, sederhana dan boleh dikatakan amat bernasib baik dalam politik.

Beliau dipilih sebagai Naib Presiden UMNO pada tahun 2018 ketika parti itu kehilangan kuasa selepas kalah dalam PRU. Pada tahun 2019, beliau dilantik sebagai Ketua Pembangkang dan susulan kejatuhan Kerajaan Pakatan Harapan pada tahun 2020, Ismail Sabri dilantik sebagai Menteri Kanan Pertahanan (Kluster Keselamatan) dan sering muncul di kaca TV untuk memberikan sidang media berikutan pandemik Covid-19 yang turut melanda negara.

Pada 2021, beliau dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan. Kira-kira 45 hari kemudian, berikutan peletakan jawatan Tan Sri Muhyidin Yasin sebagai Perdana Menteri ke-8, Ismail Sabri dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9, orang pertama menjadi Perdana Menteri yang bukan mengetuai sesebuah parti.

Meskipun bermula sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Datuk Sabaruddin Chik pada 1995, namun perjalanan politik Ismail Sabri naik setangga demi setangga. Beliau bertamding sebagai Ahli Parlimen Bera pada 2004 dan kemudian dilantik Menteri Belia dan Sukan.

Selepas itu, beliau pernah menjadi Menteri Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pada 2009, dan kemudian pada 2013, menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani. Pada 2015, beliau dilantik sebagai Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sehingga kerajaan BN kalah dalam pilihanraya 2018.

Apa yag kita boleh harapkan daripada seorang Ismail Sabri?  Sebagai seorang pemimpin yang datang dari keluarga petani, beliau mungkin banyak merasai kepahitan dan penderitaan hidup sebagai rakyat miskin. Pendekatan kepimpinannya yang sederhana memungkinkan beliau untuk memainkan peranan yang lebih penting menyatupadukan  politik Melayu yang kelihatan berpecah.

Dalam partinya sendiri pun, iaitu Umno, terdapat bibit perpecahan yang jika tidak dicabut, boleh tumbuh sebagai ancaman kepada perpaduan parti. Tetapi langkah yang diambil oleh Ismail Sabri sebaik namanya dicalonkan  sebagai PM ke-9 adalah amat bijak. Beliau bertemu Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, kemudian bertemu dengan Tan Sri Muhyidin di rumahnya. Beliau juga menghubungi pemimpin-pemimpin pembangkang dan menawarkan mereka ruang kerjasama untuk turut serta dalam Majlis Pemulihan Negara dan  Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.

Katanya, ia selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong yang mahukan semua pihak melupakan perbezaan demi mencapai kesejahteraan dan kebajikan rakyat.

Dalam ucapan pertamanya sebagai PM ke-9, Ismail Sabri berkata kesemua pihak sepatutnya sedia bekerja dalam pasukan demi mengharmonikan semula suasana.Dalam erti kata lain, kita perlu mendakap erti prinsip kebersamaan.

Jika ditakdirkan beliau menjadi Perdana Menteri terpendek sebelum kemungkinan pilihan raya umum diadakan pada tahun depan, kita berharap dapat mengenang Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob sebagai pemimpin yang mampu menyatupadukan rakyat Malaysia, mampu mengharmonikan suasana,bersatu dalam prinsip kebersamaan terutamanya ketika berhadapan pandemik Covid-19.

Tetapi pemimpin yang baik, selalu mempunyai hayat yang panjang kerana sentiasa dilindungi Allah. Jika beliau mampu memerintah dengan bijaksana, rakyat akan mematuhi dan menyokongnya dengan senang hati..




Selasa, 17 Ogos 2021

Ucapan terakhir sebelum Tan Sri Muhyiddin meletak jawatan

Tags

Saya menonton perutusan khas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada jam 3.00 petang itu sambil berdiri. Bukan kerana tidak ada tempat duduk tetapi saya memilih berdiri, seperti memberikan penghormatan terakhir kepada seorang pemimpin, yang kelihatan agak sebak mengucapkan kata-kata perpisahan.

Kurang tiga jam sebelum itu, beliau menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada jam 12.30 tengahari di Istana Negara.

Dalam sesi menghadap itu, beliau menyerahkan warkah peletakan jawatan  sebagai Perdana Menteri dan seluruh Jemaah Menteri di bawah Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan disebabkan beliau kehilangan kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat. 

Katanya, Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan menyebut "jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri".

" Inilah kehendak dalam Perlembagaan dan saya mesti patuh," katanya kepada rakyat melalui perutusan khas yang disiarkan secara langsung dan ditonton jutaan rakyat Malaysia

"Rayuan ikhlas dari jutaan rakyat Malaysia agar saya meneruskan tugas saya dan tidak meletakkan jawatan saya dengari. Namun, rayuan ini tidak dapat saya sambut kerana saya telah kehilangan kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat," jelasnya yang turut menyatakan bahawa tindakan beliau  adalah selaras dengan sumpah jawatan untuk sentiasa menjunjung, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan.

Menurutnya, beliau telah melakukan pelbagai ikhtiar hingga ke saat akhir untuk menyelamatkan Kerajaan Perikatan Nasional setidaknya sehingga selesai tugas menguruskan pandemik, program vaksinasi dan pemulihan ekonomi. 

"Tetapi ikhtiar ini tidak berhasil disebabkan ada pihak yang rakus untuk merebut kuasa daripada mengutamakan nyawa dan kehidupan rakyat," tegas Tan Sri Muhyiddin.

Bagi saya, kata Tan Sri Muhyiddin, apa yang berlaku ini adalah ketentuan Allah s.w.t. yang merupakan satu episod dalam sejarah perjuangan politiknya.

Jelasnya, enam tahun lalu, beliau dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri semata-mata kerana beliau  mempertahankan prinsip untuk tidak berkompromi dalam kes penyelewengan 1MDB.

 ".Saya berjuang, saya berkorban, akhirnya Allah s.w.t. mengangkat martabat perjuangan saya sehingga saya diberikan amanah untuk memimpin negara ini sebagai Perdana Menteri. Namun, telah ditakdirkan bahawa hari ini adalah hari terakhir saya sebagai Perdana Menteri dan saya redha dengan ketentuan Ilahi," katanya.

Tan Sri Muhyiddin mengatakan jawatan yang dipikulnya bukanlah suatu kemegahan sebaliknya datang bersama bebanan tanggungjawa yang berat.

"Saya memimpin negara dalam keadaan krisis kesihatan dan ekonomi yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Pada masa yang sama saya terus digugat dari segi politik," katanya.

Menurutnya, beliau boleh mengambil jalan mudah dengan mengorbankan prinsip  untuk kekal sebagai Perdana Menteri." Tetapi itu bukan pilihan saya..Saya tidak akan sekali-kali bersekongkol dengan kumpulan kleptokrat, mengganggu kebebasan badan kehakiman dan membelakangi Perlembagaan Persekutuan semata-mata untuk kekal berkuasa"..

 Beliau berharap kerajaan baharu dapat dibentuk dengan segera supaya pentadbiran negara ini tidak terganggu dan dapat berjalan seperti biasa.

" Tempoh dua bulan ke hadapan ini adalah amat penting kerana kita dijangka mencapai imuniti kelompok pada bulan Oktober. Segala perancangan yang telah digariskan dalam Pelan Pemulihan Negara tidak boleh terbantut. Sektor-sektor ekonomi perlu dibuka semula untuk memastikan ekonomi negara dapat pulih dengan segera dan rakyat dapat menjana pendapatan untuk menyara diri dan keluarga.

 Justeru, momentum pelaksanaan program vaksinasi tidak boleh terganggu. Rekod kita mencatatkan jumlah vaksinasi harian antara yang tertinggi di dunia mesti dikekalkan, katanya.

 "Jangan bimbang, kabinet saya telah menempah lebih 87 juta dos vaksin untuk penduduk negara ini yang melibatkan perbelanjaan sebanyak 4.36 bilion ringgit. Jumlah ini adalah lebih daripada mencukupi untuk saudara dan saudari sekalian," katanya sebelum meneruskan ucapan dalam bahasa Inggeris.

Namun sambil mengucapkan terima kasih kepada seluruh  rakyat Malaysia, beliau tidak lupa menyampaikan" ucapan terima kasih paling istimewa tentunya buat isteri saya yang tercinta dan keluarga saya yang menjadi sumber inspirasi saya sejak dahulu hingga ke hari ini:

Salah satu keistimewaan beliau yang sukar dicari ganti, ialah sentiasa menadah tangan sambil  mendoakan agar Allah s.w.t. sentiasa memelihara keselamatan dan keamanan negara kita dan mengekalkan perpaduan seluruh rakyat.

Beliau sendiri yang memimpin bacaan doa.

 "Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim

 Engkau kurniakanlah kerahmatan kepada kami

 Engkau lindungilah keselamatan dan keamanan negara kami

 Engkau peliharalah kesihatan dan kesejahteraan hidup kami

Engkau lenyapkanlah penyakit Coronavirus dari muka bumi-Mu ini, Ya Allah

 Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim

 Engkaulah yang mempunyai segala kepujian

 Engkaulah yang berhak menerima segala kesyukuran

 Engkaulah yang memiliki segala pemerintahan

 Di tangan Engkau segala kebajikan

 Kepada Engkaulah kembali segala urusan".


Kami semua mengaminkannya.

 

 

 

 

 

 

 

Khamis, 5 Ogos 2021

Terima kasih Telum Media kerana menyenaraikan blog abdnaddin.com dalam PR media Asia

Tags






 Saya sangat berterima kasih kepada Telum Media, sebuah syarikat PR yang menghubungkan pengamal media dari seluruh Asia yang sudi menyiarkan kewujudan blog abdnaddin.com dalam newsletter Malaysia Media Alert pada 3 Ogos 2021.

Telum Media mengumpul dan menyiarkan perkembangan terkini mengenai pengamal media khususnya berkaitan pelantikan baharu, kenaikan pangkat, perpindahan dan sebagainya melalui newsletternya yang disiarkan seminggu sekali. Ini  merupakan platform PR Media paling komprehensif di Asia. Banyak perkembangan terkini berkaitan media, PR, pemasaran, komunikasi dengan pengamal media dan organisasi media di seluruh Asia.

Terima kasih juga kepada Denakan Mohd Azrone Sarabatin yang memberitahu mengenai Telum Media. Saya sendiri baru menyertai walaupun bog saya sebenarnya sudah wujud sejak tahun 2008 lagi.

Kini selepas 27 tahun bertugas di Utusan Borneo iaitu sejak 1994, akhirnya pada 31 Mei lepas, secara rasmi saya tidak lagi bersama mereka. Kini selain menulis blog, bersama rakan-rakan lain juga kami menubuhkan portal media Sabah360online.com yang kini semakin mendapat tempat. Antara hikmah yang saya perolehi selepas tidak lagi berkhidmat sepenuh masa dengan syarikat suratkhabar, ialah kesibukan lain menulis dan menyunting beberapa buah buku, menjadi pegawai media dan sebagainya. Saya sangat bersyukur. Namun saya terpaksa menjadualkan semula urusan harian kerana silap perkiraan. Saya fikir akan lebih selesa tidak terikat dengan deadline dan sebagainya, rupanya tidak. Saya menjadi semakin ligat dan sibuk. Tapi kalau orang boleh buat beberapa kerja atau tugasan pada sesuatu, kenapa saya tidak boleh buat. Barangkali yang perlu dibuat ialah disiplin diri dan merencanakan kembali perjalanan kehidupan.

Hidup harus jalan terus.Jalan terus.

Ahad, 1 Ogos 2021

Mengenai Sabah360online.com, Ya, kami baru mula langkah pertama

Tags


Apabila kita mahukan kejayaan, janganlah hanya mengira anak anak tangga tetapi panjatlah anak-anak tangga itu satu persatu. Aristotle pernah mengatakan begitu kira-kira 300 tahun sebelum masihi lagi.Kami fikir kami sudah mula memanjat anak-anak tangga untuk merealisasikan impian untuk mewujudkan portal berita Sabah360online.com.

360 bukan saja bererti 360 darjah, atau liputan seluruh Sabah tetapi 360 juga bererti sepenuh jiwa kami. Demi perjuangan, serahkanlah jiwa ragamu secara mutlak kerana Tuhan membenci sifat yang setengah-setengah, kata Cipto Mangunkusumo. Kami tidak setengah-setengah. Kami sepenuhnya menyerahkan jiwa dan komitmen kami untuk mewujudkan sebuah portal berita yang mampu memberikan liputan yang menyeluruh, adil seimbang, benar dan demi kesejahteraan kerana tidak ada kebahagiaan yang lebih besar melainkan berjuang demi kepentingan orang ramai.

Tanpa perjuangan, tidak ada kemenangan, kata pendaki gunung Everest yang pertama, Sir Edmund Hillary. Tapi tangga yang kami daki tidaklah setinggi mana.Perjuangan baru ada ertinya apabila terlebih dahulu dimulai dengan diri sendiri.

Bersama saudara Hassim Haji Othman, kami memulakan portal Sabah360online.com, mencari webmaster, membeli domain dan mengisikannya dengan berita-berita, laporan dan sebagainya. Bersama rakan-rakan lain seperti Mariayati Mursidi, Drs Henry Bating, juga saudara  Vitalis Bingkasan dan Yusop Teppo, dan rakan-rakan lain  yang menyatakan sedia berjuang, tentu kami juga berani menanggung risiko. Hidup bererti berjuang. Hidup nikmat tanpa badai taufan adalah laksana laut yang mati.Lebih baik diterjang dan diserang oleh nasib daripada dipermainkannya.

Kerana tidak mahu duduk terperap di rumah lebih lama, sebahagiannya kerana PKP, kami kemudian memilih satu waktu untuk `kupi-kupi' selepas makan dalam restoran dibenarkan. Sambil duduk menikmati pisang goreng kami melihat semua tangga-tangga yang perlu dinaiki.

Perlu perancangan dan strategi yang teratur supaya tidak mudah tersungkur.  Sesuatu yang belum dikerjakan, seringkali nampak mustahil.Kita baru yakin apabila kita sudah berjaya melakukannya.. Tidak ada hal yang  mustahil kalau anda tidak befikir mustahil, kata-kata ini kami tujukan kepada diri kami sendiri.

Keinginan adalah seperti api, makin diberi kayu, makin besar nyalanya. Untuk memastikan api keinginan sentiasa menyala-nyala, kami perlu mencari kayu.

Kayu? Sekarang mana perlu kayu lagi. Pisang goreng atau teh atau kopi o , dipanaskan menggunakan  gas!, Saya tersenyum memikirkan analogi dalam kepala. Yang pasti Sabah360online.com kini makin diminati meskipun kami baru memulakan langkah pertama.Alhamdulillah. Moga api semangat ini terus bernyala.



Jumaat, 30 Julai 2021

Sepetang bersama Dr East Mile dan buku Indahnya Hidup Seimbang

Tags

INDAHNYA hidup seimbang, bukanlah semata-mata tajuk sebuah buku Prof Dato' Dr Haji Ismail Idris atau lebih dikenali sebagai Dr East Mile. Sesiapa saja yang sedang mencari dan ingin membina kehidupan seimbang mungkin perlu buku Dr East Mile yang bakal menemui pembaca. Kehidupan bukan setakat mencari pendaparan atau pekerjaan untuk hidup.Make a life not just to make a living, katanya ketika kami melangkah ke kafetaria di Tingkat 11 Bangunan PPNS pada petang Khamis itu.

Percakapan mengenai buku memang sesuatu yang mengasyikkan. Apalah kerana persoalan yang ditimbulkan adalah sesuatu yang kita minati.

Kita perlu tahu bahawa membina hidup seimbang bukanlah sesuatu yang mudah, katanya. Ia adalah pengembaraan seumur hidup yang unik dan harus kita lalui sendiri. Tiada siapa yang mewakili kita.Bagaimana kita ingin menjalani pengembaraan itu adalah keputusan dan pilihan kita sendiri, kata Dr East Mile.

Beliau berasal dari Tawau. Pendidikan awal dan menengah ditempuhinya di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan dan SMJK St Patrick Tawau.Dr  Mile adalah pengendali beratus-ratus program latihan dan konsultansi untuk sektor awam, korporat dan swasta di Malaysia dan Negara Brunei Darussalam.

Dari soal membina hidup seimbang, hingga soal mengenal potensi diri dan menetapkan matlamat. Malahan beliau sedia menjadi pembimbing mini lab interaktif satu hari mengenai bagaimana mengenal Makna Hidup dan Mencipta Impian atau dalam bahasa Inggerisnya Discovering Your Purpose in Life and Crafting Your Dream.

Ada orang yang tidak tahu potensi dirinya. Ada orang yang tidak tahu melakar matlamat dan memurnikan matlamat mereka sehingga mereka kurang berjaya menggali potensi yang mereka punyai, kata Dr  Mile, tenaga sumber yang berkelayakan dan berpengalaman luas dalam bidang pengurusan, keusahawanan dan pembangunan kapasiti modal insan. 

Beliau juga seorang Assesor dan Auditor Sistem Pengurusan Kualiti MS ISO 9001:2000 yang bertauliah di bawah IRCA (UK) dan Sistem Akreditasi Australia an New Zealand. Seorang perunding bertauliah dan berpengalaman dalam Program Kecemerlangan Organisasi & Pembangunan Kapasiti Insan Bersepadu, Program Kepimpinan, Sinergi Pasukan dan Motivasi.

Dato' Dr Mile berkelulusan PhD Organic Reengineering, Wisconsin International University, USA 2008. Beliau juga memiliki Ijazah Sarjana Perubatan Komplementari, Universiti Terbuka Antarabangsa Perubatan Komplementari (OIUCM 1998). Selain itu, beliau juga memiliki Ijazah Sarjana Muda (Kepujian)  Pengurusan Sumber Manusia (BBA Hons) HRM Kelas Pertama. Dr Mile juga pernah mendapat Anugerah Rektor Pelajar Terbaik Universiti Teknologi MARA (1996) dan Diploma Pengurusan Perniagaan, ITM (1984).Beliau pernah berkhidmat di sektor awam (pernah mendapat Anugerah Khidmat Cemerlang)  dan  swasta selama 33 tahun sebagai Pegawai Tadbir hinggalah Eksekutif Kanan.Dr Mile aktif dalam industri pendidikan dan pernah menjadi pegawai penilai bertauliah Aromatherapist MLVK, pensyarah dan perunding untuk SPACE-UTM, UiTM, UMS, IAEWP-UN-WIU-USA dan IDS. Beliau pernah menjadi profesor di Beijing Concorde University Cawangan Sarawak

Kini beliau usahawan sepenuh masa yang dedikasi dalam profesion keusahawanannya dan seorang aktivis sosial yang aktif.

Pertemuan kami pada petang itu, berbicara soal buku Indahnya Hidup Seimbang, agak mengasyikkan, sehingga kami tidak sedar, pelayan kafe itu sedang mengemas ngemas meja sebelum berangkat pulang..

Mengenai Postingan Salam Terakhir

Tags

Sahabat blogger, Sdr Mohd Yusuf Ahmad Shukri atau dikenali Mohd Yusuf Kupang di kalangan rakannya, sempat bertanya mengenai satu posting pada yang disiar dalam blog ini pada 31 Mei 2021.

Apakah ia satu postngan juga? tanyanya.  Posting itu terdiri daripada enam perkataan saja.

"Salam terakhir, kata Sudirman, salam teristimewa".

Saya memberitahunya bahawa itu adalah satu postingan juga. Ia menandakan satu peristiwa penting dalam hidup saya. Cuma pada ketika posting blog itu dibuat, saya sebenarnya masih agak sibuk sehingga tidak dapat berpanjang panjang menulis. Tapi bagi saya  peristiwa itu harus ditandai.

Salam terakhir itu ditujukan kepada satu episod dalam kehidupan yang segera berlalu. Tepat pada 31 Mei itu, adalah hari terakhir saya berkhidmat sebagai wartawan di Utusan Borneo. Sebelumnya, setelah melalui beberapa perbincangan saya memilih tarikh 16 April 2021 untuk menulis surat pengunduran diri, iaitu tepat 27 tahun saya berkhidmat sebagai wartawan di Utusan Borneo, sesuatu kerjaya yang sudah mendarah daging dalam hidup saya. 

Syarikat mengalami sedikit goncangan ekonomi kerana  berhadapan dengan cabaran digital sehingga terpaksa distruktur semula. Kami yang terdiri kalangan senior diberikan pilihan, dan kerana ruang gerak yang makin terbatas, dimana suratkhabar Utusan Borneo kembali ke asalnya, iaitu menjadi akhbar sisipan di The Borneo Post, kami dengan berat hati terpaksa memberi salam terakhir.

Memanglah banyak kenangan bersama akhbar dimana kami menumpahkan seluruh komirmen dan kesetiaan. Sehingga kemudian  saya diberi tanggungjawab untuk menangani beberapa kolum, antaranya Sastera Budaya, yang masih saya tangani,  lebih kepada satu obligasi moral dan sosial.

Selain itu, saya menangani ruangan Sembang Sabtu, temuramah dengan tokoh-tokoh dari pelbagai kalangan yang disiarkan setiap Sabtu. Saya juga menangani ada kolum Nota Hujung Minggu yang disiarkan setiap Ahad dan kemudiannya Sabtu. 

Selain itu, saya juga menulis untuk ruangan Nusantaraku Berkisahlah, travelogue perjalanan ke seluruh alam Nusantara setiap hari Khamis. Hari Jumaat saya mengelola Ruangan Jejak Perpaduan manakala hari Khamis, saya mengelola ruang dari Kampus, berisi berita-berita dari UMS.

Saya sangat bersyukur kerana bos saya, Sdr Lichong Angkui, yang juga mentor saya, memberikan banyak kebebasan dan kepercayaan penuh untuk saya menulis dan berkarya . Saya sangat menghargainya.  Bahkan itulah sebabnya saya menolak beberapa tawaran lain di tempat lain. Saya berasa cukup selesa dan sangat berterima kasih atas kebebasan yang diberikan itu.

Tetapi waktu bergerak. Cabaran baru tiba. Mahu tidak mahu kita terpaksa berubah. Yang kekal hanyalah perubahan. Saya yakin bila satu pintu tertutup, pintu lain akan terbuka untuk kita.  Kini bersama beberapa rakan kami mengasas portal berita Sabah360online.com. Sekali menjadi wartawan, terus dan tetap jadi wartawan.

Itulah sebabnya, kata Sudirman, Salam terakhir salam teristimewa..

Salam takzim 

Khamis, 29 Julai 2021

Bersama Bung Hussain, kupi kupi di Sinar Mustika

Tags


Pertemuan dengan Bung Hussain sentiasa diharapkan dan ditunggu-tunggu. Saya memanggilnya pak atau bapak. Tapi diantara rakan-rakan, kami akrabnya memangilnya Bung Hussain. Padahal nama lengkapnya ialah Datuk Haji Hussain Kassau.

Siapa Bung Hussain? Orang yang kami sangat kami hormati. Beliau bermula sebagai salah  seorang penulis, salah seorang penulis terbaik Sabah pada awal 1970-an.  Dalam dunia persuratkhabaran, beliau pernah menjadi pengarang di suratkhabar tempatan seperti Daily Ekspress dan Kinabalu Sabah Times. Selain itu, beliau pernah mejadi pengarang Sinar USIA, majalah terbitan Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) yang terkenal.  Beliau pernah bertugas di Kuala Lumpur dan sempat menjadi pengarang Majalah Sarina, Keluarga, Suaa Rakyat, Suara Merdeka dan Kisah Cinta.
Sebagai penulis, beliau menghasilkan kira-kira 41 cerpen, sebuah naskha drama, 25 puisi dan 15 esei kritikan serta novel Deru dan Debu.
Beliau juga menghasilkan beberapa buku biografi seperti biografi Datuk Abu Bakar Titingan, Datuk Karim Ghani, travelogue Nusantara dan menerbit sepuluh buah koleksi ucapan mantan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman ketika beliau berkhidmat sebagai Setiausaha Perhubungan Awam Ketua Menteri tahun 2003 hingga 2013.

Bung Hussain adalah seorang tokoh yang banyak terlibat dalam perkembangan sejarah di negeri ini.
Sebagai wartawan, beliau pernah membuat liputan di Korea, Pattani, Arab Saudi dan sebagainya. Belaiu berkawan rapat dengan Tokoh Wartawan Negara,  Tan Sri A Samad Ismail, Sasterawan Negara, Dato A Samad Said, Sutan Shahril Lembang, Haji Subky Latif. Beliau juga pernah berkenalan dengan Mochtar Lubis, A Hashimy, HB Jassin, Tun Abd Rahman Yakub, pernah menemuramah Muhammad Ali, jaguh tinju dan ramai lagi.

Pertemuan dengan beliau sangat bermakna. Banyak kisah kisah menarik kerana beliau kaya pengalaman. Walaupun banyak juga yang off the record, tetapi cerita yang dikisahkannya memberikan kita perspektif baru dalam melihat sesuatu peristiwa.

Beliau  antara orang yang banyak menginspirasi saya, meneguhkan semangat untuk terus menulis dan menulis

Sekadar update di penghujung Julai

Tags


Banyak perkara yang mungkin boleh dikongsikan khusus untuk pengunjung blog ini yang sentiasa menunggu kemaskini. Tetapi agak menarik ialah kenyataan Datuk Seri Bung Moktar Radin mengenai jumlah pemberian vaksin di Sabah setakat ini yang agak rendah dengan kira-kira 30,000 dos sehari dan meminta ia dipertingkatkan.

Beliau meminta kerajaan memastikan bulan-bulan seterusnya, "bekalan vaksin itu jangan dihentikan, tapi tambahkan, sebab Sabah ini unik, ada rakyat tempatan, ada pekerja asing, ada pendatang tanpa izin ada macam-macam", katanya pada sesi perbahasan di Dewan Rakyat sebagaimana yang dilaporkan Bernama yang turut disiarkan dalam portal sabah360.online.com

Bung Moktar, yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah juga membangkitkan semula keperluan untuk vaksin jenis dos tunggal diberikan kepada penduduk di kawasan pedalaman, berikutan kesukaran untuk sampai ke kawasan berkenaan dan mengurangkan risiko penduduk terlepas dos kedua vaksin.

Menurut laman sesawang Jawatankuasa Khas Jaminan Akes Bekalan Vaksin COVID-19, seramai 701,759 atau 18 peratus penduduk Sabah menerima dos pertama vaksin hingga semalam.

Kebetulan pagi ini ketika menaiki grab ke pejabat,  saya sempat menemubual pemandunya, yang kebetulan sudah menerima dua dos suntikan.

Beliau memberikan beberapa tip untuk membolehkan mendapat suntikan dos pertama. Katanya, selalulah update permohonan di Mysejahtera. 

Saya beritahu sebenarnya saya terlepas suntikan dos pertama vaksin pada 7 Mei kerana kebetulan ketika ditelefon, masa yang diberikan agak singkat dan saya berada di kampung. Kalau dimaklumkan lebih awal,saya pasti datang atau mungkin ada yang memaklumkan tetapi makluman itu tidak sampai kepada saya.

Pelbagai cerita mengenai pkp, pkpd dan kesukaran yang dialami oleh penduduk di sesuatu kawasan ang dikenakan perintah PKPD.

Agak memprihatinkan juga kerana kehidupan rakyat terjejas. Saya menjangka, kata pemandu grab itu, Covid-19 mungkin mengambil masa lama untuk kembali pulih. Kita hidup dalam normal baru, dimana semua tidak menentu, fikiran buntu untuk menuliskan sesuatu. sesuatu

Khamis, 1 Julai 2021

dari abdnaddin.blogspot.com kepada abdnaddin.com

Tags


 Assalammualaikum wm wbr,

pembaca blog yang budiman,

Kita percaya kepada perubahan. Hari ini saya membuat sedikit perubahan kepada blog saya.

drpd abdnaddin.blogspot.com kepada abdnaddin.com.


banyak manfaatnya.

Salam hormat

Selasa, 1 Jun 2021

salam terakhir, kata sudirman, salam teristimewa

Tags

 salam terakhir, kata sudirman, salam teristimewa

Rabu, 26 Mei 2021

Ketika orang orang sibuk mengucapkan Selamat Hari Guru, saya teringat guru guru saya

Tags


Ketika orang orang sibuk mengucapkan Selamat Hari Guru, saya teringat guru guru saya di sekolah menengah SMK Taun Gusi Kota Belud  yang paling banyak mempengaruhi jalan hidup dan membentuk keperibadian saya. Kepada mereka saya sangat terhutang budi.

Perkenalan saya kepada dunia sastera dipengaruhi oleh cikgu Suhaindo Rambayau bahkan saya pernah menumpang di rumahnya sewaktu sekolah.Kecintaan dan minat saya terhadap sejarah dan gerakan Islam, paling banyak dipengaruhi oleh Ustaz Talha Abd Aziz  dan kemudian cikgu Mustaffar Abd Majid selain allahyarham cikgu Ripin Haji Soud mengenai sejarah nusantara. Kecintaan dalam bahasa Melayu dibentuk antaranya oleh cikgu Abdul Rahman Haji Pulah dan cikgu Jeniar Subeh.

Saya juga sangat terhutang kepada cikgu Ismail Abu Bakar ,  guru kelas kami, cikgu Lokman Asmak yang mengizinkan saya menumpang di rumahnya sewaktu tingkatan dua dan sebenarnya ramai lagi. Saya juga sangat terhutang budi kepada guru guru saya di sekolah rendah, SRK Tamau Kota Belud  cikgu Hujud @ Haji Hanafiah Haji Ali, Ustaz Aziz Rejab, Cikgu Maslin Jari,arwah cikgu Lalim @Abd Halim Haji Ahmad yang memperkenalkan saya sejarah dan perjuangan bangsamoro khususnya Iranun, guru English saya arwah cikgu Masmor Payas, Cikgu Norbainah yang pernah mandikan saya di sungai kerana terlalu comot, dan sesungguhnya ramai lagi.Kerana cita cita saya sejak kecil mahu menjadi penyelidik dan terkenal supaya berguna bagi banyak  orang, saya akhirnya menjadi seorang wartawan dan menulis.Menjadi penulis dan kemudiannya wartawan membawa cakerawala baru dalam kehidupan saya dan mempertemukan saya dengan ramai lagi guru guru baru.

Antara yang pernah membimbing saya dalam penulisan ialah puan Izzah Abd Aziz dalam bengkel penulisan pertama yang saya hadiri di SMK Taun Gusi anjuran Biro Kreatif Pisba,dan Datuk Hajah Zaiton Haji Ajamain yang selalu saya kunjungi di DBP Sabah untuk belajar menulis puisi dan cerpen.Kemudian dua orang guru saya,Prof Dr Haji Othman Puteh dan Prof Dr Sahlan Mohd Saman, kedua- duanya kini sudah tiada, yang banyak membimbing saya.Juga Prof Rahman Shaari dan Pak Dharmawijaya, Pak Amil Jaya @ Datuk Haji Ismail Abbas, Pak K Bali, Pak Samad @SN Datuk A Samad Said. Dalam penyelidikan bahasa, saya banyak terhutang budi kepada prof Dr Asmah Haji Omar dan prof Nik Safiah Karim, juga kepada Prof Howard Mc Kaughan.Dalam bidang kewartawanan pula, yang paling banyak membimbing saya secara tidak langsung ialah Datuk Haji Hussain Kasau   ketika saya membantu beliau di syarikatnya Haikal Associates, dan saudara Lichong Angkui  sewaktu menjadi Ketua Biro Berita Harian di Sabah dan kemudian menjadi bos saya di Utusan Borneo. Bang Emin Madi dan bang Lokman Sunggim, Kak Salbiah Jabrin  di New Sabah Times juga saya anggap guru.Saya belajar hampir secara otodidak ketika mula menceburkan diri dalam bidang kewartawanan. Juga kepada Datuk A Kadir Jasn, Dato Dr Chamil Wariya, arwah Datuk Baharom Mahusin,Mohd Faizal Zakaria,Hj Mohammed Hazli Hassan (mobile journalism) dan ramai lagi.

Saya minat hampir segala hal berkaitan sastera,  penyelidikan sejarah, bahasa dan budaya. Kebetulan saya rajin mengikuti seminar, bengkel, persidangan, konvensyen, pertemuan dan sebagainys Perkenalan saya dengan beberapa sahabat, yang saya anggap guru, membawa saya ke dunia yang lebih luas lagi. Prof Haji Inon Shaharuddin Abdul Rahman yang membawa untuk mrmberikan semacam ceramah dan membimbing bengkel di UKM kampus Sabah dan kemudian UMS , Prof Nik Rakib Nik Hassan III  yang membawa saya ke Universiti Prince of Songkhla Pattani untuk seminar anjuran Nusantara Studies, Pak Andika Bambang Supeno yang mengajak saya berwacana di Universiti Slamet Riyadi Surakarta. Perkenalan saya dengan mentor saya arwah Dr Datu Bandira Datu Alang, banyak merangsang saya untuk menyelidik sejarah dan budaya Iranun, Prof Ahmad Jun Alonto, Prof Hassan Cana Datu Casan Cana , Prof Nagasura Madale, Prof Abhoud Syed Lingga memberi perspektif baru dalam sejarah perjuangan Muslim Mindanao. Dalam pemahaman dan pemikiran agama, saya perlu berterima kasih kepada Ustaz Abuhuraira Abdurrahman Udasan kini mufti besar BARMM Mindanao, Allahyarham Ustaz Abdullah Mahdi Leonardo Villar, Allahyarham Ustaz Yazeed Abbas, Ustaz Soeharto Soekarni, Ustaz JM Ikhwan Ikhwan Asngadi , Ustaz Masduki Omar, dan ramai lagi.Tidak lupa juga kepada guru mengaji saya, pakcik saya Haji Mohd Salleh @Sebang Mantar dan Allahyarham Haji Manshor Jali.

Mulanya saya hanya berniat untuk menulis pendek, tetapi saya terkenang dengan sekian ramai guru yang pernah memberikan andil dalam perjalan hidup saya yang kini 52 tahun ini.  Saya sangat terhutang dan sangat berterima kasih.Selamat Hari Guru. Saya juga mengucapkan selamat hari guru kepada sahabat, rakan dan kenalan fb yang bergelar guru.

Abd Naddin Hj Shaiddin Wartawan kanan Utusan Borneo
16 Mei 2021

Ahad, 28 Mac 2021

Di Dunia Kita Tidak Perlu Takut Apa Apa, Kata Siti Khairiah

Tags

Di dunia ini tak perlu takut apa-apa, semuanya kita serah kepada Allah. Kita tak perlu gentar dan takut berhadapan dengan apa jua  di dunia ini kerana ada  Allah yang menjaga kita. Itulah pesan ibu yang selalu memberi semangat kepada saya  agar berani menempuh apa saja cabaran dalam menjayakan perjuangan, kata Siti Khairiah S Mohamad, seorang aktivis yang gigih memperjuangkan nasib kaum wanita dan masyarakat terpinggir. Beliau juga seorang yang terkenal dengan kemampuan menguasai Bahasa Mandarin dengan fasih disamping dialek cina yang lain.

KHAIRIAH @ SITI KHAIRIAH S MOHD dilahirkan pada 28 Mac 1975 di Sandakan Sabah. Anak kedua daripada sebelas adik beradik.Ayahnya, Sheikh Mohamad Sheikh Omar  keturunan Arab Suluk manakala ibunya , Salehah Abdullah @ Phang Choon Fah keturunan Cina Iban. Beliau  mendapat pendidikan di SRJK (C) Chi Hwa Sandakan (1982-1987) sebelum melanjutkan pelajaran menengah di SM Sung Siew Sandakan (1988- 1990) Kemudian beliau melanjutkan pelajaran dalam tingkatan enam di SM All Saints Kota Kinabalu (1991- 1992). Beliau sempat mengambil A Level di Sunway College sebelum terbang ke United Kingdom bagi meneruskan pelajaran dalam bidang Undang-Undang dan Pentadbiran Awam (Law & Public Administration)  di Hull University hingga tamat 1996.

Selesai menamatkan pengajian di luar negara, antara kerjaya yang diceburinya selepas pulang ke tanah air ialah pernah menjadi  Pengarah Impian Abadi Sdn Bhd 1998-2002, Unit Pentadbiran OUM, Eksekutif Pentadbiran Kanan Tan Chong Holding, Cawangan Sandakan 2005-2006. Beliau pernah menjadi Pengerusi Pusat Amanah Ikhtiar Malaysia Cawangan Sandakan 2001-2003.Beliau juga pernah bertugas sebagai  pegawai khas kepada mantan Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Seri Panglima Ghapur Salleh selama kira-kira tujuh tahun.

Dalam politik, Siti Khairiah pernah bertanding PRN ke-16 sebagai calon USNO di DUN N55 Elopura tetapi tidak berjaya. Kini beliau adalah Ketua Wanita Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) Pusat 2021-2024.



 

Wartawan kanan UTUSAN BORNEO, ABD NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang menemubual Siti Khairiah S Mohamad di salah sebuah restoran popular di Jalan Pantai.

Ikuti petikan temubual  mengenai pengalaman dan misinya dalam memajukan golongan wanita:

UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit latar belakang puan?

SITI KHAIRIAH:    Saya dilahirkan pada 28 Mac 1975 di Sandakan Sabah. Saya anak kedua daripada sebelas adik beradik. Ayah saya  Sheikh Mohamad Sheikh Omar adalah keturunan Arab Suluk , seorang tokoh politik dan pernah menjadi Setiausaha BN pada tahun 80-an, manakala ibu saya Salehah Abdullah @ Phang Choon Fah keturunan Cina Iban. Jadi saya sendiri adalah anak Borneo.



 

 UB:    Di mana puan meendapat pendidikan awal?

SITI KHAIRIAH:    Saya bersekolah rendah  di SRJK (C) Chi Hwa Sandakan (1982-1987) sebelum melanjutkan pelajaran menengah di SM Sung Siew Sandakan (1988- 1990) Selepas itu, saya  melanjutkan pelajaran dalam tingkatan enam di SM All Saints Kota Kinabalu (1991- 1992). Kemudian saya sempat  mengambil A Level di Sunway College sebelum terbang ke United Kingdom bagi meneruskan pelajaran dalam bidang Undang-Undang dan Pentadbiran Awam (Law & Public Administration)  di Hull University hingga tamat 1996.



UB:     Mungkin ada pengalaman menarik sewaktu di university, yang boleh dikongsikan kepada pembaca?

SITI KHAIRIAH:    Antara pengalaman menarik ialah ketika bekerja memetik buah epal di sebuah ladang untuk mencari duit poket semasa cuti semester. Masa itu upah memetik epal ialah lima pound (kira-kira RM30 sehari). Pengalaman yang tidak kurang menariknya ialah  menumpang sebuah keluarga orang Melayu yang sama-sama belajar tetapi belajar di universiti lain.

UB:     Masih ingat rakan-rakan seuniversiti dari Sabah?

SITI KHAIRIIAH: Tiada. Rakan seanglatan, seorang dari Pulau Pinang bernama Mr Jason Chan dan seorang lagi dar I Melaka, Ms Catherine Chua.

UB:     Di mana puan bekerja selepas pulang ke tanah air?

SITI KHAIRIAH: Selepas enamatkan pengajian di luar negara,saya pulang ke Sabah. Saya pernah bekerja sebagai  Pengarah Impian Abadi Sdn Bhd 1998-2002, Unit Pentadbiran OUM, Eksekutif Pentadbiran Kanan Tan Chong Holding, Cawangan Sandakan 2005-2006. Selain itu, saya juga pernah menjadi Pengerusi Pusat Amanah Ikhtiar Malaysia Cawangan Sandakan 2001-2003.Saya juga pernah bertugas sebagai  pegawai khas kepada mantan Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Seri Panglima Ghapur Salleh selama kira-kira tujuh tahun. Ia memberikan banyak pengalaman kepada saya untuk mengetahui selok belok proses parlimen dan lebih tahu mengenai permasalahan rakyat di lapangan.



UB:     Apa cita-cita puan ketika kecil? Pernah terlintas menceburi bidang politik?

SITI KHAIRIAH: Mulanya saya bercita-cita menjadi seorang peguam, tetapi kemudian berubah fikiran. Ketika di UK saya mengambil jurusan Law & Public Adminisration. Tak pernah terlintas di hati saya untuk menceburi bidang politik. Minat saya suka memberi khidmat kepada rakyat, minat dalam menganjurkan program amal kebajikan.

UB:     Apa yang membuat puan berubah fikiran?

SITI KHAIRIAH:    Selepas melihat masih terlalu banyak yang perlu diperjuangkan. Kita lihat masih banyak masyarakat luar Bandar yang terpinggir dalam arus pembangunan. Ramai yang masih ketinggalan dari sudut ilmu pengetahuan dan maklumat seperti celik IT. Kita juga berhadapan dengan banyak isu-isu diskriminasi gender penderaaan dan sebagainya. Agensi-agensi kerajaan berkaitan perlu bekerja kuat memastikan isu-isu berkaitan keterbelakangan kaum wanita diberikan solusi yang tepat.

UB:  Oh ya. Baru-baru ini puan dipilih sebagai Ketua Wanita Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) sesi 2021-2024. Mungkin puan boleh ceritakan apa antara misi puan sebagai Ketua Wanita?



SITI KHAIRIAH: Antara misi saya sebagai Ketua Wanita ialah ingin meningkatkan tahap pendapatan ekonomi wanita dan berdaya saing baik di peringkat daerah mahupun negeri.

Kedua, kita juga ingin membuka minda wanita, ibu-ibu  dan juga generasi muda wanita untuk melihat teknologi masa kini selain perniagaan berbentuk fizikal, tetapi perniagaan berasaskan teknologi digital juga bole meraih pendapatan lumayan. Contoh platform trading emas digital, boleh mendatangkan hasil pendapatan pasif setiap bulan. Emas adalah satu aset yang mana harga tidak mudah jatuh.



UB:     Menurut puan, apa antara cabaran yang dihadapi golongan wanita masa kini?

SITI KHAIRIAH:    Antara cabaran yang dihadapi wanita masa kini ialah mudah terpengaruh dengan isu-isu  di sekeliling tanpa usul periksa akan kesahihannya. Ketakutan masih menebal dalam diri. Tidak  berani menerokai peluang-peluang  baru. Kebergantungan masih utuh walaupun masih berada di tampuk kesusahan.

Sebenarnya banyak cara boleh yang boleh diterokai untuk meningkatkan ekonomi, termasuk apa yang saya katakan tadi iaitu kaum wanita perlu berani menjalankan peniagaan berasaskan teknologi digital terutamanya ketika era pandemik ini.

Kita lihat banyak kes keganasan rumah tangga, kes-kes penderaan, rumah tangga tidak stabil, antaranya  disebabkan tekanan dari segi ekonomi dan mental, ramai kehilangan kerja. Oleh sebab itu, kita mesti berani meneroka peluang baru. Kita perlu ubah pendekatan, jika selama ini kita cenderung untuk memberi ikan, seperti kata perumpamaan, kita beri mereka pancing, supaya mereka dapat menangkap ikan tanpa mengharap orang  lain.



Dalam menjayakan misi memperkasa wanita,, semua pihak perlu berganding bahu. NGO, kerajaan, pertubuhan siasah dan semua sektor dalam masyarakat. Sampai bila, kita kaum wanita berdiam diri. Zaman sekarang zaman teknologi, di mana cabaran hebat menanti kita. Masih banyak yang perlu diterokai misalnya  blockchain masih kurang diterokai. Penerimaan masih kurang terhadap ekonomi digital. Kita sebut ekonomi digital, dimana pengetahuan pun boleh jadi duit.

UB:     Mungkin puan boleh jelaskan sedikit mengenai teknologi blockchain?



SITI KHAIRIAH: Teknologi Blockchain sudahpun diiktiraf oleh pelbagai industri sebagai suatu teknologi hebat yang dilahirkan selepas penciptaan internet. Salah satu produknya ialah Bitcoin. Bitcoin dibangunkan dan dibina untuk tujuan kewangan tetapi teknologi blockchain ini boleh diaplikasikan dalam pelbagai bidang. Berdasarkan perkembangan pesat jalur lebar yang dijangka meliputi semua isi rumah, penduduk digital Malaysia sudah pasti memainkan peranan yang semakin penting dalam pembangunan sosioekonomi negara

 Saya fikir, dalam mengorak langkah ke hadapan, kita memerlukan usaha ke arah ekonomi digital yang inovatif. Sejak beberapa tahun ini, jika kita lihat  Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), ekonomi digital menyaksikan perkembamgan yang menakjubkan. Kita boleh saksikan sendiri dengan melihat data-data ekonomi yang ada. Kita perlu melonjakkan daya saing dalam ekonomi digital  global. Ekonomi digital mampu merangsang kreativiti manusia dengan teknologi baru, pasaran baru dan peluang-peluang baru.

Kerajaan perlu membuat perancangan rapi dan penggunaan stategi digital bagi memastikan negara terus berdaya saing dan berjaya di peringkat antarabangsa. Kita juga  boleh mewujudkan platform untuk mendapatkan pendapatan pasif, untuk meningkatkan pendapatan dan ekonomi rakyat setempat.


Perkembangan dan kemajuan teknologi informasi dan komunikasi tidak dapat lagi dipisahkan dengan aspek kehidupan masyarakat. Kemajuan internet berkembang mencipta dunia atau ruang maya atau cyber-space, menjadi sebuah tempat untuk berkomunikasi,  melakukan berbagai aktiviti ekonomi hingga melahirkan masyarakat informasi (information society), masyarakat berpengetahuan (knowledge society) dimana teori ekonomi fundamental yang lama berdasarkan faktor fizik, tenaga kerja dan modal semakin ditinggalkan. Sekarang kehidupan bergantung fator intelektual berupa ilmu pengetahuan dan teknologi, kreativiiti dan pelbagai inovasi lain.

UB: Oh ya, mengenai isu atau masalah keciciran pelajar. Saya pernah dengar puan bercakap mengenainya. Boleh ulas sedikit?

SITI KHAIRIAH: Ramai kanak-kanak  yang berstatus tempatan di mana samada salah seorang ibu atau bapa orang tempatan atau kedua-dua orang tua  mereka orang  tempatan tetapi mereka tidak mempunyai dokumen sijil lahir yang  teratur atau  diabaikan oleh orang tua mereka, mereka tercicir tidak  dapat bersekolah.

Ada juga anak-anak yang  tinggal di luar bandar dimana ibu bapa mereka tidak  begitu bijak mengurus urusan sijil lahir daftar lewat akibat sistem yang agak rumit yang membuatkan orang tua mereka merasa susah dan meninggalkan urusan tersebut tanpa penyelesaian. 

Anak-anak  ini adalah generasi pelapis yang sepatutnya tidak dibiarkan. Kita harus membantu untuk  menyelesaikan urusan dokumen mereka. Mungkin sebagai pengantara bagi membantu mereka menangani masalah.

UB:     Soalan terakhir sebelum kita menamatkan sesi temubual untuk ruangan Sembang Sabtu minggu. Apa agaknya pesan orang tua yang masih puang ingat dan amalkan?

SITI KHAIRIAH: Banyak. Tapi yang sangat berkesan ialah pesanan atau nasihat ibu saya. Katanya, di dunia ini tak perlu takut apa-apa, semuanya kita serah kepada Allah. Kita tak perlu gentar dan takut berhadapan dengan apa jua  di dunia ini kerana ada  Allah yang menjaga kita.

Isnin, 15 Mac 2021

Apa Yang Kita Mahu Buat, Buat Sekarang, Jangan Bertangguh Lagi, Kata K Zulkifli Harrith

Tags

 



DI kalangan rakan-rakannya, beliau dikenali sebagai pekerja yang dedikasi dan komited dalam setiap kerja yang dilakukannya. Seorang pekerja yang tekun dan teliti. Kerjayanya bermula hanya sebagai seorang kerani dan kemudian memegang pelbagai jawatan sepanjang kira-kira 40 tahun berkhidmat dalam kerajaan. Jawatan terakhirnya sebelum bersara pada  Januari 2019 ialah Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

“Kalau kerja, kerjalah dengan jujur,” itulah pesan orang tua yang jadi amalannya sepanjang kerjayanya selama empat dekad dalam perkhidmatan kerajaan.Kini selepas bersara, beliau lebih banyak menumpukan masa untuk memberikan khidmat kepada masyarakat yang masih perlukan pembelaan.

K ZULKIFLI KEE HARRITH lahir pada 8 Januari 1958 di Batu 1 ½ Jalan Apas Tawau. Beliau adalah anak kedua daripada sepuluh adik beradik. Dibesarkan di Sandakan, beliau mendapat pendidikan awal di SRK Berhala Darat Sandakan dari darjah satu hingga darjah enam, kemudian melanjutkan pelajaran menengah di SMK Sandakan dari tingkatan satu hingga tingkatan empat, kemudian beliau berpindah sekolah ke SMK Sanzac Kota Kinabalu dalam tingkatan lima. Selepas lulus SPM, beliau sempat bertugas sebagai kerani di Pejabat Daerah Sandakan sebelum melanjutkan pelajaran di ITM. Selepas itu beliau bekerja sebagai kerani di Kementerian Perdagaangan dan Perindustrian (MITI) selama dua tahun. Kemudian  beliau ditukarkan ke Jabatan Perkhidmatan Haiwan selama satu tahun pada 1979. Pada tahun 1980-an hinga 1981, beliau  bekerja di Jabatan Hutan di Batu 7 Sandakan sebagai  Supernumerary Forest Ranger.

Kemudian beliau melanjutkan pelajaran di University of Wisconsin RiverFalls, USA pada tahun 1983. Bagaimanapun enam bulan kemudian beliau  berpindah ke Purdue University West Lafayette, Indiana US dan lulus ijazah dalam bidang pertanian. Sekembalinya ke tanah air, beliau sempat bertugas di Loji Penapisan Air Telibong sebelum menjadi Pegawai Penyelidik di Kementerian Pertanian dan Industri Makanan  (MAFI). Beliau diberikan pelbagai tanggunggjawab, antaranya menjadi menjadi Timbalan Setiausaha Tetap ( SUT ) di MAFI pada tahun 2016 hingga 2018. Jawatan terakhir beliau sebelum bersara ialah Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah walaupun hanya disandang  hanya empat bulan kerana memasuki usia persaraan Januari 2019.



Wartawan kanan UTUSAN BORNEO, ABD NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang mewawancara K ZULKIFLI KEE HARRITH pada satu petang yang cerah di salah sebuah premis di Jalan Pantai Kota Kinabalu. Ikuti petikan wawancara bersama beliau mengenai pelbagai pengalaman yang dilaluinya dalam hidup:



 

UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan serba sedikit latar belakang tuan?

K. ZULKIFLI KEE HARRITH: Saya lahir pada 8 Januari 1958 di Batu 1 ½ Jalan Apas TawauSetengah. Saya anak kedua daripada sepuluh adik beradik. Semua lelaki tiada perempuan. Ayah saya Kee Harrith Kee Sulaiman bekerja sebagai pembantu perubatan di Hosptal Sim Sim manakala ibu saya Anumjan Amirkhan, seorang suri rumah.  Kami sebenarya menetap di Sandakan tetapi setiap kali, ibu saya mahu melahirkan beliau akan balik ke Tawau  ke tempat keluarga.

Ayah saya lebih dikenali sebagai doktor Harrith. Kebetulan beliau bekerja sebagai pembantu perubatan di Hospital Sim Sim yang dikenali sebagai hospital untuk pesakit jiwa.Sebenarnya beliau bukanlah seorang doktor walaupun mempunyai pengetahuan yang luas dalam bidang perubatan.

Beliau terkenal sebagai Doktor Harrith  di kalangan orang Sandakan  kerana beliau juga tukang khatan atau tukang sunat untuk kanak-kanak Islam yang memasuki usia baligh . Sebab itu beliau terkenal.Mungkin ribuan orang di Sandakan yang pernah beliau khatan.Selain itu, pula beliau seorang yang disenangi ramai dan boleh  bercakap hailam, kantonis, hakka

 

UB:     Di mana tuan mendapat pendidikan awal?

K ZULKIFLI:  Saya bersekolah rendah di SRK Berhala Darat dari darjah satu hingga darjah enam. Kemudian saya melanjutkan dari tingkatan satu di SMK Sandakan, sempat bersekolah di SMK St Michael tetapi tidak lama, berpindah semula meneruskan pelajaran di SMK Sandakan hingga tingkatan empat Kemudian saya berpindah ke SMK Sanzac ketika berada dalam tingkatan lima.

UB:     Siapa antara rakan sekolah di SMK Sandakan yang tuan masih ingat?

K ZULKIFLI:           Antaranya Dr Ismail Osir, Sardul Singh, Saimah Ahmad, YB Saddi Abd Rahman.

UB:     Selepas tamat tingkatan lima, dimana tuan melanjukan pelajaran?

K ZULKIFLI: Saya bekerja terlebih dahulu  sebagai kerani di Pejabat Daerah Sandakan.Antara tugas yang diberikan kepada saya adalah penyelia banci pendatang tanpa izin (PTI). Antara rakan saya ialah Rashid Kamsiran dan lain-lain. Selepas itu, barulah saya melanjutkan pelajaran pra sains di iTM dalam selama satu tahun. Kemudian saya bekerja sebagai kerani di Kementerian Perdagaangan dan Perindustrian (MITI). Saya bertugas di sana selama dua tahun.

Kemudian saya ditukarkan ke Jabatan Perkhidmatan Haiwan selama satu tahun pada 1979. Pada tahun 1980-an hingga 1981, saya bekerja di Jabatan Hutan di Batu 7 Sandakan sebagai  Supernumerary Forest Ranger.

UB:     Apa yang tuan lakukan selepas itu?

K ZULKIFLI: Saya melanjutkan pelajaran diUniversity of Wisconsin RiverFalls, USA pada tahun 1983. Bagaimanapun enam bulan kemudian saya berpindah ke Purdue University West Lafayette, Indiana US dan lulus ijazah dalam bidang pertanian.






UB:     Mungkin boleh cerita sedikit pengalaman ketika belajar di Amerika Syarikat?

K. ZULKIFLI: Banyak pengalaman sepanjang berada di Amerika. Antara saya pernah terlibat dalam kemalangan langgar lari ketika beada di Chicago. Saya kejar kereta itu tapi tidak boleh ingat nombor flatnya hingga saya tersesat dan terpaksa  minta bantuan polis yang akhirnya menghantar saya ke jalan besar.

UB:     Pernah bekerja sewaktu jadi pelajar sebagaimana lazimnya yang dilakukan pelajar Malaysia di luar Negara?

K ZULKIFLI: Ya, saya pernah bekerja di sebuah kafetaria dengan gaji USD 8 dolar sejam. Saya cari pendapatan tambahan untuk perbelanjaan, apatah lagi saya membawa keluarga. Tapi saya agak berasib baik kerana mendapat dermasiswa daripada Purdue Uiversity selain Biasiswa Kerajaan Negeri.

UB: Sekembalinya ke Sabah, di mana tuan bekerja?

K ZULKIFLI: Saya sempat berkerja  di Loji Penapisan Air Telibong  tetapi tidak lama. Selepas itu,  saya bekerja sebagai Pegawai Penyelidik di Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) . Kemudian saya menjadi Timbalan Setiausaha Tetap (SUT) pada tahun 2016 hingga 2018. Jawatan terakhir saya sebelum bersara pada 8 Januari 2019  ialah Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah walaupun hanya empat bulan, tapi saya sempat melaksanakan tugas SUT di MAFI. Ketika bertugas, saya sempat menjadi Penasihat Projek di MAFI.

UB:     Apa kegiatan tuan selepas bersara?

K ZULKIFLI: Saya bergerak aktif dalam kegiatan kemasyarakatan dan menceburi bidang politik?




UB:     Apa yang menyebabkan tuan tertarik dalam bidang politik?

 K ZULKIFLI: Saya tertarik dengan  politik semata-mata untuk  membela nasib rakyat dan ingin membawakan kemajuan minda. Selama lebih 40 tahun berkhidmat dalam  kerajaan, saya nampak kebanyakan ahli politik tidak fokus untuk  melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai wakil Rakyat.



Saya adalah juga Mantan penasihat projek di Kementerian Pertanian dan Industri Makanan ( MAFI) jadi saya nampak apa yang  berlaku. Kerajaan meluluskan projek-projek pembangunan dalam masa setiap 5 tahun program pembangunan namun kebanyakannya tidak dapat dilaksanakan 100% atau kurang berkesan dan  tidak menepati sasaran. Kehidupan rakyat terutama di luar bandar masih juga sama. Menyedari hakikat inilah maka saya bertekad untuk  mengubah cara pelaksanaan program-program pembangunan yang lebih mesra rakyat.

 Sememangnya saya tidak banyak pengalaman dalam  politik sebenar tetapi setelah melihat selama puluhan tahun corak pemerintahan yang tidak fokus kepada program-program pembangunan maka saya ingin mencebur diri dalam  politik agar perubahan dapat dibuat.



UB:     Mungkin boleh ceritakan pengalaman bertanding dalam PRN yang lalu?

K ZULKIFLI: Saya  bertanding di Sungai Manila dalam PRN yang lalu atas tiket Usno Kemenangan bagi saya adalah bonus sekiranya saya menang tetapi tujuan sebenar saya hanya mahu bertapakd dan memperkenalkan Usno yang ditidurkan lebih 20 tahun.

Walaupun dalam masa singkat berkempen namun sambutan itu memang ada cuma rakyat masih ragu-ragu  tentang kewujudan semula Usno.




Kini kewujudan Usno mula dirasakan dan Usno sudah mula aktif dalam  politik untuk memperjuangkan nasib rakyat SABah . Dengan keyakinan YAB Ketua Menteri terhadap perjuangan Usno dalam Gabungan Rakyat Sabah ( GRS) memberikan Usno  nafas baru uuntuk  berjuang dan melangkah bersama untuk  memartabatkan negeri Sabah ke arah Sabah Maju Jaya

Bagi pemahaman saya, YAB Ketua Menteri mempunyai hasrat yang murni untuk menyatupadukan rakyat Sabah. Maka sebab itulah, saya menggunakan platform politik dalam  parti Usno untuk  merealisasikan hasrat murni ini. Usno akan bekerjasama dengan semua parti dalam GRS untuck  mencapai matlamat Sabah Maju Jaya.

 

UB:     Oh ya? Apa cita-cita tuan sewaktu kecil?

K ZULKIFLI: Saya bercita-cita menjadi seorang doktor atau pakar psikiatri tetapi tidak kesampaian. Saya kerja dalam bidang lain. Mulanya minat menjadi seorang ahli dalam bidang perhutanan tetapi di universiti ambil pengajian dalam pertanian.

UB:     Apa nasihat ibu bapa yang tuan paling ingat?

K ZULKIFLI: Saya selalu diberikan nasihat oleh ayah saya, paling saya ingat ialah , kalau kerja, kerjalah dengan jujur

 



UB:     Apa hobi tuan di masa lapang

K ZULKIFLI: Saya suka memancing , paling suka menjala atau memuat ikan selain itu suka bermain bowling.



UB:     Oh ya. Soalan terakhir. Apa prinsip tuan dalam bekerja?

K ZULKIFLI: Apa pun yang kita mahu buat, do it now, buat sekarang, jangan bertangguh lagi. Sebaliknya kalau buat keputusan,jangan buat keputusan tergesa-gesa. Fikirkan dulu.