Selasa, 7 Januari 2020

SINTAM HAMPIR DITELAN ULAR KETIKA BERTUGAS DALAM HUTAN

Tags

SINTAM  HAMPIR  DITELAN  ULAR KETIKA BERTUGAS DALAM HUTAN

“SAYA sedikit lagi mati ditelan ular. Mulanya saya rasa lain. Terasa ada hembusan dingin di belakang kepala.  Padahal saya rasa panas pula di depan saya. Malam itu gelap gelita. Saya tidak dapat menahan sakit perut yang amat sangat. Itu sebabnya saya berlari ke sungai kecil itu lalu bertenggek di atas titian untuk membuang hajat. Nasib baiklah, seorang rakan saya datang membawa lampu picit. Ketika  beliau menyuluh ke arah saya, maka terlihatlah olehnya seekor ular besar sedang mengangakan mulutnya untuk menelan saya,” kata veteran tentera, Sintam Manggong menceritakan salah satu detik detik cemas dalam hidupnya ketika bertugas dalam hutan menentang pengganas komunis di Karangan, dalam daerah Kulim Kedah .

SINTAM BIN MANGGONG dilahirkan di Kampung Wakap Kota Belud pada 3 Februari 1957. Beliau mendapat pendidikan awal di GPS Pandasan dari Darjah Satu hingga Darjah Lima kemudian berpindah  di GPS Taun Gusi dari Darjah 5 hingga Darjah Enam. Selepas itu, beliau meneruskan pelajaran di GJSS Taun Gusi. Ketika berada dalam Bridge Class 2. Sintam menerima tawaran untuk mengikuti latihan rekrut  di Kem Lok Kawi pada Oktober 1971. Enam bulan kemudian, beliau dihantar bertugas di Kem Kukusan Tawau dari tahun 1972 hingga 1973. Pada 1974, beliau berpindah ke Kem Langkasuka Sandakan hingga hujung 1975. Selepas itu,mereka dipindahkan di  kem tentera di Pulau Pinang hingga 1976. Beliau bersara dari perkhidmatan tentera pada tahun yang sama lalu kemudian kembali ke Sabah dan bertugas sebagai Pegawai di Koperasi Rakyat Sabah (KORAS) . Selepas itu, beliau bertugas sebagai Pembantu Operasi di Jabatan Ketua Menteri. Pada masa yang sama, Sintam berkhidmat di Perkhidmatan Sukarelawan Polis sebagai Penyelia berpangkat Sarjan selama kira-kira 19 tahun sebelum bersara dari perkhidmatan polis pada 1988. Namun beliau terus bertugas sebagai pembantu operasi di JKM sehingga bersara selepas 39 tahun dalam perkhidmatan kerajaan.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN berpeluang menemubual beliau bagi berkongsi pengalaman menarik ketika bertugas sebagai anggota tentera dan selepas itu berkhidmat dalam perkhidmatan polis dalam Sukarelawan Simpanan Polis sambil bertugas sebagai Pembantu Operasi di Jabatan Ketua Menteri. Ikuti petikan temubual bersama beliau yang diadakan di salah sebuah restoran  popular di Jalan Pantai:



UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit latar belakang tuan?
SINTAM BIN MANGGONG: Saya dilahirkan di Kampung Wakap Kota Belud pada 3 Februari 1957. Selepas itu, saya bersekolah rendah di Government Primary School (GPS) Pandasan dari Darjah Satu hingga Darjah 5 dan kemudian  berpindah ke GPS Taun Gusi dari darjah  lima hingga darjah enam. Selepas itu saya melanjutkan pelajaran di Government Junior Secondary School (GJSS) Taun Gusi tetapi hanya sempat bersekolah dalam bridge class 1 dan bridge class 2.

UB: Siapa antara rakan sekolah tuan pada masa itu?
SM: Antaranya Saudara Jaminan Haji Asong, arwah Kadri Haji Nanti, Salam Haji Gibang dan lain-lain lagi.
UB: Selepas Bridge Class, tuan sekolah dimana?
SM: Saya memohon untuk memasuki tentera.Masa itu, sebelum memasuki Form One atau tingkatan satu, pelajar dari aliran Melayu dikehendaki mengikuti kelas peralihan yang disebut bridge class dalam bahasa Inggeris. Jika gagal bridge class 1, pelajar dikehendaki mengikuti  brdge class 2 sebelum diterima ke Form One. Tetapi saya tidak melanjutkan pelajaran dalam Form One sebaliknya saya memohon jadi anggota tentera.

UB: Bagaimana tuan boleh diterima masuk jadi tentera sedangkan usia tuan masa itu masih belasan tahun?
SM; Tarikh kelahiran saya diawalkan agar saya diterima masuk dalam tentera. Masa itu agak mudah bagi kita mengubah usia sebenar kita. Mungkin kerana terlalu minat untuk menjadi anggota tentera dan polis, saya mencari ikhtiar untuk diterima masuk dalam tentera.

UB: Kemudian? Bagaimana cerita seterusnya?
SM: Saya dipanggil untuk menjalani latihan rekrut selama enam bulan di Kem Lok Kawi pada 10 Oktober 1971. Selepas itu, kami dihantar ke Ke Kukusan, Tawau.

UB: Mungkin masih ingat siapa antara rakan yang turut dihantar ke kem Kukusan?
SM: Antara rakan setugas saya ialah Saip Dalam, Rabani Nuid dan Seriganang Alibasah.  Rakan-rakan lain dalam tentera ialah Adrin Haji Dullah, Bakrim Haji Omar senior satu tahun. Begitu juga dengan Arwah Samsun, Tambaku, Siting, itu masuk dalam grup pertama.

UB: Berapa lama bertugas di Kem Kukusan?
SM:  Kami bertugas di sana dari tahun 1972 hingga 1973.

UB: Apa kisah yang boleh dikongsikan ketika bertugas di Kem Langkasuka?
SM: Ketika meronda di pulau Sebaat, tiba-tiba kompas kami tidak berfungsi. Kami berjalan meranduk sungai sebatas pinggang. Airnya sejuk sekali. Kami tidak menemui jalan pulang. Akhirnya kami memutuskan untuk berehat sahaja dan tidur di atas pokok. Kami terlelap dalam keadaan yang sangat letih dan lapar. Akhirnya kami terlantar di sana. Mujur Ketua kami masa itu, Sarjan Hendrik Upay ada ikut, jadi mudahlah proses perjalanan kami. Di  Pulau Libaran juga saya rasa agak ketakutan juga kerana ada buaya. Saya sedikit lagi dibaham buaya.  Sebenarnya banyak juga pengalaman  menarik Ketika di pulau Libaran, bersama seorang rakan bernama Bakrim kami pernah memasang pukat yang dipinjam daripada Sharif Amang. Kami memukat dan berenang hingga tengah laut. Kemudian kami terlihat , benda sebesar batang kayu balak sedang mengeliligi kami. Kami terus ke darat dan selepas itu melihat objek itu yang kelihatan seperti buaya atau mungkin juga makhluk lain. Kami cepat cepat menarik pukat. Hasilnya lumayan.Masa itu juga kami dapat kira-kira dua karung ikan.

 Selain itu, kami pernah di pulau Selingan. Saudara Bakrim seorang tahu bagaimana cara penyu bertelur. Bila melihat jejaknya saja, beliau tahu ada penyu baru bertelur. Hari itu kami dapat menjejaki sebanyak lima ekor penyu yang bertelur.

UB: Selepas bertugas di Sandakan, di mana tuan berpindah?
SM: Selepas  bertugas di Kem Langkasuka, Sandakan dari 1974 hingga penghujung 1975. kami dihantar bertugas di Pulau Pinang dari tahun 1975 hingga 1976. Di sini un banyak pengalaman juga yang saya alami.

UB: Mungkin ada kenangan yang tidak dapat dilupakan ketika bertugas Kem Sungai Ara di Pulau Pinang?
SM: Antara peristiwa yang tidak dapat dilupakan ialah ketika diarahkan bertugas di Karangan, dekat Kulim.kami sedikit lagi mati. Ceritanya begini.  Malam itu, kami sepatutnya mengadakan serangan untuk menentang pengganas komunis. Tapi siang hari itu, hati saya rasa tak sedap hati lalu mengajak seorang rakan, Kopral Juplin  untuk membuat rondaan memerhati keadaan. Sesampainya di sana, alangkah terperanjatnya kami melihat `claymore mine’ dipusing dan dialihkan. Nasib baik kami mengadakan rondaan awal. Kalau tidak, claymore mine yang dipasang itu akan memuntahkan pelurunya ke arah kami dan bukan ke arah musuh. Melihat situasi itu, kami menyedari bahawa pengganas komunis sudah masuk ke kawasan itu. Sebaik mengetahui hal itu, ketua kami terus mengarahkan kami untuk berundur ke Check Point pada masa itu juga.’

UB: Masa itu tuan tidur dalam hutan?
SM: Ya, kami terpaksa tidur dalam hutan di Karangan yang kini terletak dalam kawasan Sungai Petani Kulim Kedah.

UB: Mungkin ada lagi kenangan menarik?
SM: Ada lagi satu peristiwa. Petang itu bersama Lans Koperal Muluk kami cari rebung. Kemudian kami cari bambu untuk membina jambatan kecil atau titian. Selepas itu, kami pulang. Kira-kira jam 1.00 awal pagi , perut saya memulas mulas kerana  sakit perut yang amat sangat . Kepada rakan yang bertugas di pos kawalan , saya minta izin untuk melepaskan hajat.
Kemudian ditengah-tengah situasi ketika meneran itu, saya rasa lain. Di bahagian depan rasa panas, manakala di belakang kepala saya, terasa ada hembusan dingin. Masa itu gelap gelita. Nasib baik, dua minit kemudian, rakan saya Jefri Otoh datang menyusul membawa lampu picit. Alangkah terkejutnya kami melihat seekor ular besar, seperti ular anaconda, sedang mengangakan mulutnya ke arah saya. Saya sedikit lagi berkubur dalam perut ular.

UB: Siapa rakan-rakan yang pada masa itu?
SM: Antara yang masih saya ingat ialah Jefri Otoh, Jumla dan sebagainya.

UB: Tentu banyak pengalaman tuan. Tolong ceritakan lagi kalau boleh?
SM: Saya pernah terlibat dalam kemalangan ketika hari pertama bertugas di Kem Kukusan. Selepas turun dari pelabuhan Tawau, kami terpaksa berjalan kaki ke Kem Kukusan sebagai bentuk salam perkenalan. Selepas rekrut , kami lapor diri di Kem Kukusan.Kemudian dalam perjalanan itu,belum lagi sempat lapor diri  kami dilanggar kereta dari belakang. Seorang rakan, Sinjan tercedera. Begitu juga pemandu turut tercedera. Kereta rosak teruk. Alhamdulillah saya terselamat dalam peristiwa itu. Itulah antara peristiwa yang tidak dapat dilupakan.Seluruh kem tahu mengenai peristiwa ini.


UB: Bagaimana ceritanya tuan masuk dalam perkhidmatan polis pula?
SM: Selepas bersara dari perkhidmatan tentera, kerana  saya mencari kerja lain. Saya dapat kerja sebagai pemandu di rumah Tan Sri Suffian Koroh. Satu hari, bodyguardnya Naim dan pemandu,Budi Maidin bercuti. Akhirnya saya yang ditugaskan untuk menghantar beliau menghadiri mesyuarat di Winner Hotel masa itu.Mesyuarat dengan pelabur Jepun itu kalau tak silap habis kira-kira jam 12,30 pagi. Selepas itu kami pulang.Sesampainya di rumah di Likas, kami terus tidur. Kira-kira jam 1.00 pagi terasa ada orang masuk. Rupanya perompak yang mahu merompak. Saya tidur di bilik bawah. Namun Allah selamatkan saya. Mereka tidak nampak saya. Selepas mereka keluar rumah, saya terus meluru ke bilik atas, dimana arwah Tan Sri Suffian tidur dan beritahu ada cubaan merompak.Akhirnya beliau telefon polis dan sindiket itu berjaya diberkas.

UB: Kemudian selepas itu?
SM: Saya ditawarkan untuk bertugas sebagai Pegawai Koperasi Rakyat (KORAS) pada 1976.. Saya juga jadi jurulatih Rela. Saya juga sempat menjadi pembantu operasi di Jabatan Ketua Menteri.


UB: Apa bidang tugas dalam perkhidmatan polis?
SM: Saya bertugas sebagai sukarelawan simpanan  polis selama 19 tahun sebelum bersara pada 1988. Tugas saya sebagai Ketua Penyelia SSP di Balai Polis Karamunsing. Masa itu saya berpangkat sarjan. Sepanjang tempoh itu, saya sempat jadi jurulatih dan sebagainya. Saya bertugas di Balai Polis Kota Kinabalu dan bertugas sebagai jurulatih di Kepayan. Dulu saya hanya berpangkat sarjan. Saya jadi ketua penyelia polis di balai polis KK. Bertugas setiap hari, siang malam, tidak ubah seperti polis biasa

UB; Apa cita-cita ketika masih kecil?
SM: Saya bercita-cita jadi askar dan polis. Kedua-duanya telah tercapai.
UB: Apakah mungkin kerana ada keluarga yang berkhidmat sebagai tentera?
SM: Tidak. Ayah saya Manggong bin Rajah @ Haji Abd majid hanya seorang petani begitu juga ibu saya, Nurani binti Sadah @ Haji Mad Taib.

UB: Sepanjang berkhidmat dalam kerajaan , mungkin tuan dapat penghargaan dari mana-mana?
SM: Saya dianugerahkan Pingat Perkhidmatan Am (PPA) , Pingat Bintang Kinabalu (BK) Bintang Setia Kinabalu (BSK) dan Pingat Jasa Malaysia (PJM)

UB: Terima kasih banyak kerana sudi ditemubual untuk ruangan Sembang Sabtu Utusan Borneo.
SM: Terima kasih banyak atas peluang yang diberikan.Semoga bermanfaat.