Jumaat, 11 Oktober 2019

SABAH KAYA KEARIFAN TEMPATAN, KATA PROF MADYA DR A HALIM ALI

Tags

SABAH KAYA KEARIFAN TEMPATAN, KATA PROF MADYA DR A HALIM ALI


“Saya rasa negeri Sabah kaya dengan kearifan tempatan. Banyak sumber kearifan tempatan,kepelbagaian etnik, tidak diterokai dengan mendalam. Kalau kita berkarya, sumber kearifan tempatan yang kaya ini boleh dimanfaatkan. Misalnya khazanah budaya, seperti busana,makanan, adat istiadat pelbagai etnik di Sabah. Ini adalah kelebihan Sabah dan Sarawak berbanding negeri negeri lain di Malaysia, kata Prof Madya Dr Abdul Halim Ali, ketika ditemui di Kota Kinabalu , baru-baru ini.

Prof Madya Dr Abdul Halim Ali atau nama penanya A Halim Ali berkelulusan Doktor Falsafah dalam bidang Kesusasteraan Melayu Moden, Dilahirkan di Merchang, Terengganu, beliau kini bertugas sebagai Profesor Madya Kesusasteraan Melayu  di Fakulti Bahasa dan Komunikasi Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim Perak. Sebelum ini, beliau pernah bertugas sebagai guru di Sarawak, Terengganu dan Pahang.
Dr A Halim Ali banyak menghasilkan karya ilmiah dan kreatif dan banyak terlibat dalam kerja kerja penyuntingan buku-buku umum. Selain aktif dalam mengendalikan bengkel dan fasilitator, beliau juga aktif membentangkan kertas kerja dalam pelbagai seminar, dalam dan luar negera. Beliau pernah menjadi fasilitator Program Penghayatan Sastera dan Budaya DBP untuk PLKN. Sepanjang penglibatannya dalam pentadbiran, beliau pernah menjawat jawatan sebagai Setiausaha Sekretariat Kursi Za’ba, UPSI (2001-2002, Penyelaras Program Bahasa dan Kesusasteraan Melayu (Sept 2001- Okt 2002), Ketua Jabatan Kesusasteraan Melayu (Nov 2002-Okt 2003) dan Timbalan Dekan Pengurusan dan Penyelidikan, Fakulti Bahasa (Sept 2003-Sept 2005), Universiti Pendidikan Sultan Idris, Felo Institut Peradaban Melayu (2007-2009), Pangarah Pusat Perhubungan Alumni, UPSI (2011-2017).Selain tugas rasmi sebagai pensyarah, Abdul Halim juga adalah  Presiden Persatuan Penulis Budiman Malaysia (BUDIMAN), Presiden Rangkaian Ahli Akademik & Profesional Anak Terengganu (PERAPAT) Malaysia, Ahli Jawatankuasa Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) dan Ahli Jawatankuasa Persatuan Sasterawan NUMERA Malaysia.

Wartawan kanan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN SHAIDDIN berpeluang mewawancara beliau di Kota Kinabalu sewaktu berkunjung ke ibu negeri baru-baru ini. Ikuti petikan temubual bersama beliau:

UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit latar belakang prof?
PROF MADYA DR A HALIM ALI: Saya dilahirkan di Merchang Terengganu pada tahun 1964. Kemudian saya bersekolah rendah di SK Merchang dari tahun 1971 hingga 1976. Selepas itu, saya melanjutkan pelajaran menengah di Sekolah Menengah Marang dari tahun 1977 hingga 1981. Pada tahun 1982 hingga 1983, saya melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Tengku Intan Zaharah di Dungun Terengganu.
UB:  Berapa jauh jarak antara rumah dengan sekolah?
PROF: Jarak dari rumah ke sekolah sejauh kira-kira 4 kilometer. Saya berjalan kaki sejauh 8 kilometer berulang alik dari rumah ke sekolah. Begitulah setiap hari.

UB: Anak ke berapa dalam keluarga?
PROF; Saya anak bungsu dari empat adik beradik.

UB: Bagaimana situasi persekolahann prof pada masa itu?
PROF: Saya suka belajar.  Kalau tak ada baju pun, saya tetap ke sekolah pakai baju biasa. Tak ada basikal, saya berjalan kaki saja ke sekolah.

UB: Siapa yang paling berpengaruh dalam kehidupan prof?
PROF: Emak saya. Emak saya orangnya tegas. Dia seorang yang rajin. Bekerja sebagai penoreh getah tetapi  dapat menyara kehidupan kami.Semua anak duduk dengan emak saya.

UB: Selepas itu, di mana prof melanjutkan pengajian?
PROF: Saya melanjutkan pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam jurusan pengajian Geografi tahun 1985 hingga 1989.

UB: Apa cita-cita prof sewaktu masih kecil dulu?
PROF: Sejak kecil dulu, saya memang nak jadi cikgu. Itu sebabnya saya terus memilih bidang perguruan. Saya juga pernah bercita-cita menjadi pegawai polis . Selepas peperiksaan STPM, saya pernah menghadiri  temuduga menjadi pegawai polis tetapi kurang bernasib baik masa itu. Ketika berada dalam tahun 1 di Universiti Kebangsaan Malaysia, tiba tiba saya mendapat tawaran pelantikan sebagai Kerani di Jabatan Polis dengan gaji sebanyak RM370, satu jumlah besar masa itu, tetapi saya terpaksa menolaknya.

UB: Selepas tamat pengajian di UKM, ke mana langkah kaki prof seterusnya?
PROF: Saya mengikuti pengajian Kursus Pengajian Lepasan Ijazah (KPLI) untuk mendapatkan diploma pendidikan pada 1989 hingga Mei 1990.

UB: Di mana prof ditugaskan selepas itu?
PROF: Saya ditempatkan di Sarikei Sarawak iaitu di Sekolah Menengah St Anthony.

UB: Apa perasaan prof ketika mendapat tahu ditempatkan di Sarawak?
PROF: Saya rasa seronok. Kebetulan daripada 60 orang, kumpulan pertama yang mengikuti KPLI , 30 orang daripadanya dihantar berkhidmat di Sarawak. Saya bersyukur kerana dapat berkhidmat selama empat tahun di Sarawak.

UB: Bagaimana caranya ke Sarikei masa itu?
PROF: Turun di Lapangan Terbang Kuching, terus ke Stampin. Dari Stampin ke Sarikei mengambil masa empat hingga lima jam. Jalan masa itu tak elok.

UB: Boleh ceritakan pengalaman berkhidmat di Sarawak?
PROF: Banyak pengalaman ketika bertugas di Sarawak. Antara cabaran yang saya hadapi ialah mengajar kira-kira 80 pelajar dari suku kaum Cina. Pengalaman yang sangat bermanfaat bagi saya. Kerjaya cikgu sangat dihormati. Semua orang panggil kita Cikgu. Ketika bertugas di Sarawak lah, minat menulis timbul. Saya sempat menghasilkan beberapa buah sajak, yang ada diantaranya  kemudian terpilih memenangi Hadiah Hari Guru Peringkat Sarawak.

UB: Bila prof mula menulis?
Sebenarnya, saya mula menulis ketika bersekolah di Sekolah Menengah Intan Zaharah.Masa itu, ramai penulis dan kami dibimbing antaranya oleh Cikgu Awang Abdullah. Jadi, apabila bertugas mengajar di Sarawak, berhadapan dengan masyarakatnya, banyak menggalakkan saya untuk menulis.

UB: Prof bermula sebagai orang geografi kemudian berubah jadi pemuisi?
PROF: Masa itu ramai penulis yang bertugas di Sarikei Itu juga yang mendorong saya untuk menghasilkan puisi. Antara mereka ialah Jais Sahok, Jeniri Amir, Awangku Merali yang bertugas di SK Meradong dan banyak lagi. Suasana yang menyeronokkan ketika bertugas di Sarawak, banyak membantu saya menjadi seorang penulis.

UB: Selepas habis masa bertugas di Sarawak, dimana prof ditugaskan?
PROF: Saya kembali ke Terengganu dan mengajar di Dungun dari 1 Mei 1994 hingga November 1995. Kemudian saya ditempatkan ke Maktab Perguruan Rejang tapi tak jadi. Dari Dungun saya ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Felda Awah. Ketika itu saya saya sudah aktif menulis. Saya mengajar di sekolah itu kira-kira lima tahun. Selepas itu, saya mengikuti pengajian sarjana di UKM. Tiap-tiap minggu saya berulang alik dari Felda Awah ke UKM. Saya kembali aktif menulis lagi setelah bertemu dengan ramai ilmuan. Penyelia saya Prof Dr Shafie Abu Bakar. Di sinilah saya berkenalan dengan  Dr Siddiq Fadhil, Dr Solehah Ishak, Mana Sikana, Ramli Isin, Dr Sahlan Mohd Saman, Dr Othman Puteh dan sebagainya.

UB: Kenapa memilih sastera?
PROF: Melalui sastera, kita dapat menyampaikan pendapat, perasaan kita, protes, kritikan dan sebagainya dengan indah dan puitis. Itu salah satu sebabnya.

UB: Apa pendapat prof mengenai sastera di Sabah?
PROF: Saya rasa negeri Sabah kaya dengan kearifan tempatan. Banyak sumber kearifan tempatan,kepelbagaian etnik, tidak diterokai dengan mendalam. Kalau kita berkarya, sumber kearifan tempatan yang kaya ini boleh dimanfaatkan. Misalnya khazanah budaya, seperti busana,makanan, adat istiadat pelbagai etnik di Sabah. Ini adalah kelebihan Sabah dan Sarawak berbanding negeri negeri lain di Malaysia.

UB: Apa nasihat prof kepada penulis Sabah?
PROF: Kekalkan jati diri, jangan terikut-ikut dengan orang lain. Penulis Sabah mampu menunjukkan kelainan dengan memanfaatkan lebih banyak kearifan tempatan, yang menjadi kelebihan dan keistimewaan mereka, yang tidak ada di negeri lain. Manfaatkan kearifan tempatan sepenuhnya. Saya yakin Sabah akan lebih jauh ke hadapan.