Rabu, 17 Oktober 2018

MEREDAH DINGIN SUBUH KE PASAR TERAPUNG LOK BAINTAN

Tags
MEREDAH DINGIN SUBUH KE PASAR TERAPUNG LOK BAINTAN

Hari bermula di atas kelotok yang bergerak menyusuri sungai Martapura. Suasana masih gelap dan kerlipan lampu kelihatan di rumah rumah di sepanjang siring sungai. Namun ada juga yang menyalakan api di atas tungku, menjerang air atau mungkin menyediakan sarapan, malah ada juga yang berkira-kira untuk mandi sementara beberapa orang  mendayung jukung, sejenis perahu, yang digunakan sebagai alat pengangkutan di kawasan yang terkenal sebagai kota seribu sungai itu. Dari jauh kelihatan konvoi jukung perlahan ke Lok Baintan.


Sebaik selesai menunaikan solat Subuh di Banua Anyar, kami berjalan kaki ke Depot Soto Bang Amat. Mas Eko Wahyudi, sahabat lama,Manager Grapari Banjarmasin, mengajak saya untuk menyaksikan pasar terapung, pasar tradisional di mana acil acil atau makcik makcik berjualan beraneka jenis buah-buahan, barangan keperluan harian, ikan kering dari atas perahu mereka.



Saya tidak ingat jam berapa kami sampai di Lok Baintan.  Perjalanan mengambil masa kira-kira 30 minit menggunakan kelotok, jenis perahu besar  yang menggunakan enjin dari pusat kota. Untuk menyewa kelotok yang boleh memuatkan lebih 10 orang itu, kita hanya perlu membayar Rp300,000 (RM82.00) . Tapi hari itu, hanya kami berdua saja dengan Mas Eko. Beliaupun jarang ke pasar itu kecuali jika menemani tamu dari Jakarta.

Pagi masih menggeliat dengan lambat tapi saya menikmati perjalanan itu. Perlahan-lahan matahari terbit memberikan cahayanya kepada puluhan peniaga yang membawa barang dagangan mereka untuk dipasarkan.



Kami adalah antara tetamu yang pertama sampai ke lokasi pasar terapung di sungai itu.Penjual penjual datang berkerumun menjajakan barangan mereka. Melihat betapa ramainya mereka, dan betapa beranekanya barang jualan, saya melupakan hasrat untuk membeli sebaliknya mengeluarkan pen dan buku catatan untuk menemuramah mereka.



“Pasar ini sudah lama, iaitu sejak saya masih kanak-kanak lagi. Ia bermula sejak jam 6.00 pagi hingga menjelang 9.30 pagi. Begitulah setiap hari, tak pernah sepi kecuali hari raya,” kata Bu Tia. Beliau sendiri sudah sepuluh tahun berjualan di atas perahu.






Ramai yang menawarkan buah-buahan untuk dicicipi secara percuma atau istilahnya Indonesianya gratis. Tapi saya menolak dengan sopan, supaya tidak dikatakan mengambil kesempatan, dan khuatir kalau ramai orang datang menyodorkan buah-buahan mereka untuk dicuba, sebagai bukti betapa `nyaman’ atau enaknya.

“Lagi pantunnya acil. Saya mahu mencatatnya. Cuba ulang pantunnya tadi!” Saya meminta acil atau makcik itu mengulang semula pantunnya. Bu Ipah mengulang pantunnya.

“Dari mana hendak ke mana/Dari Jawa ke Surabaya/Bolehkah tuan kami bertanya/
’pakcik yang ganteng siapa yang punya?” Saya balik bertanya, kalau dijual pantun begini, bagaimana cara menjawapnya? Mereka tertawa mendengar pertanyaan itu.

Kebanyakan mereka menjual barangan tani itu dari kebun mereka sendiri.. Ada juga yang membelinya dari petani. Kebanyakan penduduk itu, datang dari kampung-kampung berdekatan.

Hajah Bustan, seorang lagi penjual menawarkan buah-buahan, yang menurutnya hanya ada di Banjarmasin.Saya tidak pernah melihatnya. Ini epal Kalimantan, tahan empat hari, katanya. Selain epal kalimantan itu, pelbagai barangan di jual di pasar terapung itu, malah termasuk pulsa (kredit telefon) dan bahkan sate juga ada dijual. Ada juga ikan haruan, di Banjarmasin tidak disebut ikan gabus, seperti umumnya di Indonesia. Buah Limau juga disebut buah limau dan bukan jeruk seperti di kebanyakan tempat di pulau Jawa.

“Ikan sepat jemur sehari/Jangan kau sangka ikan saluang/Kalau tak bertemu barang sehari/Jangan disangka aku membuang” ini pantun Ibu Reptia, 40. Saya tertarik dengan kebolehan mereka berpantun. Di kota Banjarmasin ini juga memang terkenal dengan Madihin, sejenis puisi rakyat  masyarakat Banjar di Kalimantan Selatan. Madihin, kemungkinan sekali dari kata Madah dari bahasa Arab yang bererti nasihat. Dalam bahasa Banjar, papadah bererti memberi nasihat atau petunjuk. Bapadah pula ertinya memberitahu, ini menurut pak Samsuni Sarman, Budayawan Banjarmasin.

“Ini bukan bahafal ya, iaitu memberitahu tapi tak jelas sumbernya,  Ulun (saya)  tak ada maksud bermaksud begitu”, saya berkata kepada diri sendiri.

Saya lihat memang di pasar itu ada dijual ikan sepat kering, ikan haruan kering dan berbagai barangan lain.

“Tapi kalau mahu beli kain sasirangan, tempatnya bukan  di sini,” kata penjual itu. Kain Sasirangan adalah kain tradisional Banjar yang dibuat dengan teknik jahit jelujur dan celup warna.

“Jadi, pasar terapung ini sudah ada sejak zaman dahulu?
“Inggih, pak. Sejak zaman kesultanan Banjar lagi, “ katanya. Inggih bermaksud ya dalam bahasa Banjar.

Pasar terapung ini terletak di Sungai Pinang atau Lok Baintan, kecamatan Sungai Tabuk. Beragam dagangan hasil pertanian, kebun, ikan dan sebagainya dijual di atas jukung. Kebanyakan penjual dan petani yang menjual hasil pertanian mereka berasal dari desa yang teretak di beberapa anak Sungai Martapura, antaranya sungai Lenge, Sungai akung, Sungai Paku Alam, Sungai Saka Bunut, Sungai Madang, dan Sungai Lok Baintan sendiri.

“Lok Baintan belakangan terkenal walaupun tumbuhnya sejak lama juga,” kata Pak Zulfaisal. “Yang duluan terkenal adalah Pasar Terapung Kuin di Muara Sungai Barito.Pasar terapung ini menjadi destinasi wisata utama saat ini kerana memang banyak sekali acil berperahu yang berjualan.,” jelasnya Pak Zulfaisal Putra, Kepala Bidang Kebudayaan, Dinas Kebudayaan dan Pariwisata Kota Banjarmasin.
Hanya dua pasar terapung? Kuin dan Lok Baintan? Di daerah lain masih ada? “ saya bertanya kepada Pak Zul lagi.
“Hanya dua yang alamiah. Seiring berkembangnya infrastruktur darat, pasar terapung Kuin mulai sepi.Untuk mengantisipasi itu,Disbudpar Banjarmasin membuatkan pasar terapung buatan (semi terapung) di Siring Jalan Pierre Tandean Tandean.Ternyata, yang di Siring Tandean itu mendaat kunjungan luar biasa.Setiap Sabtu sore atau sampai minggu sore, dikunjungi 5,000 hingga 7,500 orang,” tambahnya.

Selain menggunakan wang rupiah,pedagang yang kebanyakannya wanita, ada yang memakai tanggui, penutup kepala dari daun nipah, atau salungkui, kain penutup kepala juga menjalankan transaksi menggunakan sistem tukar barang atau sistem barter, dan biasanya, barangan yang tukar itu ialah sayur-sayuran dan buah-buahan manakala jumlahnya adalah dari kesepakatan dua belah pihak.
Mereka menyusun buah-buahan yang dijual itu di atas tampi, atau nyiru. Atau kadang dalam bakul. Sebenarnya ia pengalaman yang sangat menarik.
Saya teringat wawancara dengan Pak H Ibnu Sina, Walikota Banjarmasin sehari sebelum itu. Beliau bertekad mahu menjadikan  Banjarmasin sebagai kota sungai yang terindah dan terbaik di Indonesia. Kota Banjarmasin yang juga dikenali sebagai Kota Seribu Sungai itu kini berusia 492 tahun.
Pasar terapung itu sudah wujud sejak abad ke-18 lagi ketika era kesultanan Banjar dan sejak itu, pasar terapung itu menjadi daya tarikan tersendiri bagi kota itu.
Selepas kira-kira dua jam, kami memutuskan untuk mengakhiri kunjungan ke Lok Baintan. Dalam perjalanan pulang itu, saya melihat orang menjaring ikan dengan ringgi,jaring nilon yang dibentangkan di sungai.

Ketika mendengar percakapan di Banjarmasin, Saya jadi terbiasa dengan beberapa perkataan yang juga  digunakan di pulau Borneo, seperti ringgi (pukat), nyaman (enak), siring (tepi atau tebing ),bapadah (memberitahu), ulun (hamba atau saya),jujuran (hantaran), ingar (hingar atau bising), barasih (bersih), bamban( sejenis bambu yang biasanya digunakan untuk anyaman) kuriding, sejenis alat muzik di Borneo. Menarik sekali jika dikaji dari aspek bahasa.
Saya pernah terbaca dari segi linguistik, bahasa Melayu banjar tergolong sama dengan bahasa melayu Brunei. Bahkan banyak pengaruh Banjar di Nusantara. Di Sabah sendiri, terdapat beberapa kampung Banjar, di Sandakan, Beluran, Kudat, Keningau dan sebagainya.

Selain itu, di Tawau Pantai Timur Sabah dahulu, terkenal dengan  mamanda, sejenis teater bangsawan, yang mendapat sambutan ramai dan dimainkan pada tahun-tahun 50-an, 60-an dan 70-an.

Tapi yang paling berpengaruh di tanah Borneo, barangkali ialah kitab sabilal muhtadin, karangan Sheikh Arshad Al Banjari, seorang ulama terkenal dari Martapura. Peranan ulama banjar banyak memainkan peranan dalam gerakan dakwah Islamiah. Selain itu, mereka juga banyak terlibat dalam perniagaan. Itulah antara butir percakapan kami dengan Mas Eko,  dalam perjalanan pulang ke Depot Soto Banjar Bang Amat, warung soto banjar yang terkenal di kota yang berpenduduk paling padat di Kalimantan. Sayang sekali hari itu,  Soto Bang Amat tidak beroperasi kerana kebetulan hari Jumaat. Akhirnya kami ke Warung Nasi Kuning Bang Rahmat di Jalan Perintis Kemerdekaan, salah satu penjual nasi kuning terbaik di Banjarmasin. Saya sangat berterima kasih kepada Mas Eko, yang memberikan layanan yang cukup istimewa, budi baiknya sukar dibalas.

Sambil menikmati sarapan, saya teringat pantun mengenai ikan sepat, yang jangan disangka ikan saluang. Bukan maksud untuk mengenang, saya hanya dapat membayangkan betapa enaknya  menikmati `ikan sepat jemur sehari’, yang mahu dicicipi walau sekali. Lok Baintan, ceritamu tentu banyak episodnya.


KESAN KENANGAN DALAM KUNJUNGAN KE KOTA TARAKAN

Tags
KESAN KENANGAN DALAM KUNJUNGAN KE KOTA TARAKAN

KUNJUNGAN ke Kota Tarakan awal bulan lalu, meninggalkan banyak kesan kenangan yang menarik. Walaupun hanya sekejap. Kunjungan ilmiah itu diisi dengan pelbagai program bermanfaat. Banyak kesepakatan dicapai dalam pelbagai bidang khususnya pembangunan dakwah di antara Sabah Malaysia dan Kalimantan Utara Indonesia.

Program kunjungan ilmiah itu boleh dikatakan berjaya mencapai matlamatnya. Tahniah kepada penganjurnya, Majlis Perbandaran Tawau dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Zon Sabah di bawah Jawatankuasa Kerja Sosial Ekonomi Malaysia-Indonesia (SOSEK MALINDO).
Selepas mengadakan pertemuan dengan Walikota Tarakan, Ir Sofian Raga, kami berkunjung ke Dewan Masjid Baitul Izzah, Pusat Islam Tarakan. Pak Rohadi, Kepala Kesra Kalimantan Utara yang mewakili Gubernur Kalimantan Utara turut hadir dalam majlis itu.
Forum Silaturrahmi dan Diskusi Bersama Rombongan Delegasi dari Sabah itu berjaya meleraikan beberapa persoalan dan isu mengenai produk makanan yang diragui aspek logo halalnya.
Kehadiran Ketua Majlis Ulama Indonesia (MUI) Kota Tarakan, Dr H Muhammad Anas dan beberapa tokoh agama di Kota Tarakan menjadikan acara itu sarat dengan ilmu. Selepas sesi forum itu, kami dibawa berkunjung ke beberapa organisasi yang berpejabat di Pusat Islam Kota Tarakan itu, antara MUI Kaltara,Sekretariat LPPTKA-BKPRMI dan Depot Iqro Kota Tarakan dan sebagainya

Selepas itu, kami.berkunjung ke Yayasann Pondok Pesantren Hidayatullah. Selepas menikmati jamuan makan malam dan seterusnya meenunaikan solat di masjid, Mufti Negeri Sabah, Sahibussamahah Datuk Haji Ustaz Bungsu Aziz Jaafar memberikan tazkirah kepada jemaah.
Beliau juga sempat menjelaskan tujuan lawatan ilmiah itu. Selain itu, Mufti memberitahu mengenai sejarah perkembangan Islam di Sabah dan sumbangan golongan ustaz dan pendakwah dari Indonesia dalam menyebarkan agama Islam di Sabah.

Sepanjang lawatan itu, rombongan dari Sabah dapat mempelajari mengenai aspek pembangunan dakwah da bertukar tukar pandangan dengan beberapa agensi serta jabatan yang berperanan dalam pembangunan dakwah di kedua-dua wilayah demi kemaslahatan ummah.

Selepas itu, pada hari kedua kami ke Gunung Lingkas.Berkunjung ke Pondok Pesantren Raudhatul Quran. Di sana kami sudah kedatangan kami sudah dinantikan oleh pengetua sekolah itu, Ustaz Ayub Handrihadi.

Paling menarik ialah penampilan pelajar kanak-kanak yang menyampaikan persembahan yang mampu membuatkan hadirin tertegun termasuk rombongan dari Sabah yang diketuai oleh Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Alijus Haji Sipil dan turut disertai  Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Hajah Maimunah Haji Suhaibul, Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah (YADIM) Zon Sabah, Haji Samin Haji Ongki, Ketua Pegawai Eksekutif MASwings, Aminuddin Zakaria.

Kemudian kami berkunjung pula ke Selumit, Tarakan Tengah, lokasi Kantor Badan Zakat Nasional (BAZNAS)
Di sana , rombongan kami diberi taklimat oleh Wakil Ketua Baznas, H Eddy Djasmani SE.M.Ap.

Selepas makan tengahari di RM turi Ikan Bakar, kami sempat singgah di Baloy Mayo Adat Tidung Tarakan.Kepala Adat Besar Tidung Kalimantan, Adji Pengiran H Mochtar Basry Idris  menyambut kedatangan kami. Beliau juga menjelaskan mengenai sejarah dan budaya sukukaum Tidung, salah satu etnik besar di Kota Tarakan.

Pada malamnya, kami  sempat menghadiri  Majlis Pengajian Akbar yang disampaikan Mufti Negeri Sabah di Masjid Baiturrahim Gunung Lingkas.

Sebaik selesai, sebelum pulang ke hotel, MPT sekali lagi menjadi hos jamuan di Warung Teras jalan Yos Sudarso. Restoran ini amat terkenal di Kota Tarakan malahan pernah dikunjungi oleh Presiden Indonesia, Joko Widodo ketika membuat lawatan rasmi ke Kaltara.

Sesungguhnya Kunjungan ke Kota Tarakan mampu memberikan dimensi baru dalam hubungan Sabah dan Kalimantan Utara khususnya Kota Tarakan dalam aspek pembangunan dakwah di kedua-dua wilayah.

Sejenak di Kota Tarakan

Tags
WALAUPUN tempoh Kunjungan Ilmiah ke Kota Tarakan hanya tiga hari, tapi dalam waktu sesingkat itu, banyak kesepakatan dicapai dalam pelbagai bidang khususnya dalam pembangunan dakwah di antara Sabah Malaysia dan Kalimatan Utara Indonesia.
Program Kunjungan Ilmiah Kota Tarakan Sosek Malindo itu dianjurkan oleh Majlis Perbandaran Tawau dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Zon Sabah di bawah Jawatankuasa Kerja Sosial Ekonomi Malaysia-Indonesia (SOSEK Malindo)
Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Alijus Haji Sipil yang mengetuai rombongan seramai  18 orang berkata beberapa perkara dibincangkan dalam kunjungan  ilmiah itu berkaitan sosial budaya, tatacara perkahwinan, zakat, pendidikan agama dan sebagainya.

Beliau berkata, beberapa agensi serta jabatan yang berperanan dalam pembangunan dakwah di kedua-dua wilayah bertukar-rukat pandangan mengenai kemaslahatan ummah. Rombongan juga dibawa berkunjung ke Pusat Islam Kota Tarakan, Maahad Tahfiz, Pesantren, Masjid serta sekolah.

Rombongan itu juga disertai Mufti Negeri Sabah, Sahibus samahah  Ustaz Datuk Haji Bungsu Aziz Jaafar, Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Hajah Maimunah Haji Suhaibul, Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah (YADIM) Zon Sabah, Haji Samin Haji Ongki, Ketua Pegawai Eksekutif MASwings, Aminuddin Zakaria.

Program Kunjungan Ilmiah itu berjaya menjalin hubungan dan kerjasama antara Sabah dan Kalimantan Utara khususnya Kota Tarakan.

Mufti Negeri Sabah, Ustaz Datuk Haji Bungsu @Aziz Haji Jaafar menyifatkan kunjungan itu berjaya merintis hubungan yang lebih bermakna pada masa hadapan dalam merancang kerjasama dalam pembangunan dakwah.

“Banyak yang boleh kita pelajari antaranya kejayaan mereka mendirikan banyak institusi Islam tanpa banyak bergantung kepada bantuan kerajaan, agihan dan pengurusan zakat serta komitmen mereka yang tinggi dalam menjalankan kerja-kerja dakwah tanpa mengharapkan imbalan dan hanya bergantung kepada keredaan Allah,” katanya.

Sebaik tiba di Bandara Internasional Juwata di Kota Tarakan, rombongan disambut di Bilik VIP oleh Wali Kota Tarakan, Bapak Ir Sofian Raga Msi. Rombongan kemudian mendaftar masuk di Tarakan Plaza Hotel, Jalan Yos Sudarso.
Selepas solat Zohor, rombongan dijamu di kantor Walikota Tarakan dan seterusnya  menghadiri taklimat sejarah dan pembangunan Kota Tarakan oleh Bapak Walikota, Ir Sofian Raga..

Rombongan Kunjungan Ilmiah itu kemudian mengadakan Forum Silaturrahim dan Diskusi di Dewan Masjid Baitul Izzah, Pusat Islam Tarakan.

Dalam majlis forum yang turut dihadiri Ketua Majlis Ulama Indonesia (MUI) Kota Tarakan, Drs H Muhammad Anas, banyak isu yang dibincangkan termasuk soal sijil halal beberapa produk makanan yang diragukan aspek halalnya.

Selain itu, rombongan juga dibawa berkunjung ke beberapa organisasi yang berpejabat di Pusat Islam Kota Tarakan itu, antara MUI Kaltara,Sekretariat LPPTKA-BKPRMI dan Depot Iqro Kota Tarakan dan sebagainya.

Dari sana, rombongan dibawa ke Yayasan Pondok Pesantren Hidayatullah untuk menikmati jamuan makan seterusnya menunaikan solat maghrib di sana. Mufti  Negeri Sabah, Sahibus Samahah Datuk Ustaz Bungsu Aziz Jaafar juga diberi peluang untuk menyampaikan tazkirah kepada jemaah.

Pada hari kedua, rombongan berkunjung ke Pondok Pesantren Raudhatul Quran di Gunung Lingkas. Ustaz Ayub Handrihadi menyampaikan taklimat mengenai pembangunan ponpes Raudhatul Quran itu.

Dari sana, rombongan Kunjungan Ilmiah itu berangkat menuju Badan Zakat Nasional (BAZNAS) yang terletak di Selumit, Tarakan Tengah. Rombongan diberi taklimat oleh Wakil Ketua Baznas, H Eddy Djasmani SE.M.Ap.

Selepas itu, rombongan kunjungan ilmiah itu menikmati makan tengahari di RM Turi Ikan Bakar. Sebelum pulang ke hotel, rombongan sempat berkunjung ke Baloy Mayo Adat Tidung Tarakan. Kepala Adat Besar Tidung Kalimantan, Adji Pengiran H Mochtar Basry Idris berbesar hati untuk menyambut kedatangan tamu dari Sabah itu.

Pada sebelah malamnya, Mufti Negeri Sabah dijemput untuk mengadakan pengajian akbar di Masjid Baiturrahim Gunung Lingkas Kota Tarakan, yang menjadi acara penutup kunjungan ilmiah i di Kota Tarakan. Sebelum pulang ke hotel, rombongan sempat singgah makan malam di warung Teras, sebuah restoran yang pernah dikunjungi Presiden Jokowi sewaktu berada di Tarakan.
Kunjungan Ilmiah selama tiga hari itu, walaupun singkat berjaya mencapai kesepakatan dalam bidang sosial dan budaya khususnya pembangunan dakwah di antara kedua negara.

JADILAH INSAN YANG BERMANFAAT BAGI ORANG LAIN, KATA DATUK DR NASHUHA

Tags
JADILAH INSAN YANG BERMANFAAT BAGI ORANG LAIN, KATA DATUK DR NASHUHA


Jadilah insan yang banyak bermanfaat kepada orang lain, itulah antara pesan ayahbondanya yang banyak memotivasi dan memberi kesan kepada Budayawan Nusantara, Datuk Dr Mohd Nashuha Jamidin. Beliau mewakili Malaysia memberikan orasi budaya sempena Hari Puisi Indonesia Internasional di Banjarmasin, Kalimantan Selatan Indonesia pada 5 hingga 7 Oktober lepas.

Datuk Dr. Mohd Nashuha Jamidin atau nama Penanya  Nashuha Jamidin AlPontiani dilahirkan di  Kampung Permatang Sepang, Benut Pontian Johor pada 9 Mei 1959 . Anak ke sembilan dari 12 adik beradik ini mempunyai minat membaca dan menulis sejak di bangku sekolah lagi.  Ayahnya, Jamidin bin Parman dan ibunya Suminah Sungip kerja sebagai petani. Berlatarbelakangkan pendidikan sains  dan memulakan kerjaya beliau sebagai seorang guru Sains (Biologi) selama 5 tahun.   Beliau berkelulusan Ijazah  Sarjana Muda Pendidikan Sains dan Sarjana dalam Bidang Kurikulum dari Universiti Sains Malaysia. Banyak waktu beliau dimanfaatkan sebagai seorang Pensyarah Sains dan Pensyarah Pendidikan Sains di IPGM (Institut Pendidikan Guru Malaysia) selama 28 tahun sebelum memilih untuk bersara awal secara pilihan ketika berusia 57 tahun. Beliau sempat menjadi pensyarah di empat buah IPG iaitu Maktab Perguruan Seri Pinang,  IPG Kampus Tuanku Bainun, IPG Kampus Sultan Abdul Halim dan IPG Kampus Darulaman.
Pernah menyandang jawatan sebagai Ketua Jabatan Sains di IPG Kampus Sultan Abdul Halim selama 8 tahun sebelum menjadi Pensyarah Kanan di Jabatan Sains jawatan terakhir beliau sebelum bersara pilihan.
Pernah menulis buku Kemahiran Berfikir Dan Belajar yang diulangcetak sebanyak lima kali terbitan Fajar Bakti pada tahun 1993. Selain itu beliau juga telah menulis Buku Perubatan Komplimentari Sufi berjodol Jihad Melawan Penyakit yang dijadikan rujukan oleh para pengamal Perubatan Komplementeri Sufi.  Beliau juga mempunyai kelulusan Ijazah Perubatan Homeopati dan Fitobiofizik dari Institute of Phytobiophysic  UK.

Dari seorang yang berlatarbelakangkan pendidikan sains, beliau telah melakukan anjakan paradigma yang luar biasa apabila Mengasaskan Perubatan Komplementeri Sufi sejak tahun 2000.  Selain itu beliau mula menulis puisi mulai tahun 2012 setelah berhijrah ke IPDA (Institut Pendidikan Guru Darulaman ) sebagai Pensyarah Kanan Jabatan Sains .   Kini beliau aktif melalui persatuan  Numera-Nusantara Melayu Raya.  Selain itu beliau sangat aktif mendeklamasikan puisi-puisi tulisan beliau samada di peringkat nasional maupun internasional dan sering menghadiri  seminar peringkat internasional dalam bidang motivasi , perubatan dan sains serta Sastera Nusantara. Kini masa beliau banyak ditumpukan mengendalikan Pusat Rawatan An Nasihah selain menulis. Beliau uga banyak mencipta lagu-lagu puisi dan dirakam di youtube dengan nama Nashuha Jamidin Al-Pontiani. Beliau mendirikan rumahtangga dengan Datin Azziah Abu Othman dan dikurniakan sembilan cahaya mata.


Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN sempat mewancara beliau di celah-celah acara Hari Puisi Indonesia Internasional di Banjarmasin, Kalimantan Selatan Indonesia. Ikuti petikan wawancara bersama beliau yang diadakan d sebuah cafe di Jalan Pierre Tandean,Banjarmasin dan dilanjutkan dengan wawancara melalui aplikasi messenger dan whatsApp.

UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit dimana datuk dilahirkan?

DATUK DR MOHD NASHUHA JAMIDIN: Saya dilahirkan di Kampung Permatang Sepang, Benut Pontian Johor. Itulah sebabnya saya gunakan nama pena Nashuha Jamidin Al Pontiani. Saya anak kesembilan dari 12 adik  beradik. Ayah saya, Jamidin bin Parman dan ibu saya, Suminah Sungip, bekerja sebagai petani.

UB: Di mana datuk mendapat pendidikan awal ?
NJ:  Saya mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Seri Jaya, kampung Permatang Sepang, Benut Johor. Masa itu, kami ke sekolah berjalan kali. Jalan lecah sejauh kira-kira dua kilometer. Pergi balik 4 kilometer. Kasut terpaksa di bimbit saja, tiba di sekolah baru basuh kaki dan pakai kasut.

UB: Berapa duit bekal masa itu datuk?
NJ: Bawa bekal nasi dalam bungkus upih dan air dalam botol. Saya jarang bawa duit. Kalau pun bawa 10 sen saja.

 Selepas itu saya bersekolah menengah di Sekolah Menengah Parit Betak dari Tingkatan 1 hingga 3. Kemudian tingkatan 4 hingga 5 di Sekolah Menengah Dato Penggawa Barat Pontian  di Johor. Di sini saya berjumpa ramai pelajar Yayasan Sabah. Antaranya Siti Aminah, Siti Ameh. Siti Muzainah,. Prof Dr Awang Bomo, pensyarah di UMS, rakan sekelas saya yang jadi profesor.

UB: Selepas itu, di mana datuk bersekolah?
NJ:Kemudian saya menuntut di Sekolah Menengah Sultan Ismail, Johor Bahru.
Sebelum itu, selepas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, saya terpilihnmengikuti program pertukaran pelajar ke Minnesota, USA.
UB: Apa pengalaman ketika berada di Minnesota?
NJ: Sewaktu di USA, saya tinggal bersama keluarga angkat orang putih, Amerika. Setiap minggu kena bagi ceramah, bergaul dengan berbagai pelajar dari negara-negara lain, dan mempersembahkan kebudayaan negara masing-masing.

UB: Di mana datuk melanjutkan pengajian tinggi?
NJ: Saya mendapat diploma di Universiti Pertanian  Malaysia (Kini Universiti Putra Malaysia). Selepas itu saya melanjutkan pelajaran di Universiti Sains Malaysia hingga lulus Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sains dan Sarjana Dalam bidang Kurikulum dari Universiti Sains Malaysia (USM).
UB: Selepas itu, dimana datuk bertugas? Boleh ceritakan serba ringkas?
NJ: Oleh kerana saya berlatarbelakangkan pendidikan sains, saya memulakan kerjaya sebagai seorang guru Sains (Biologi) selama 5 tahun di Sekolah Menengah Air Tawar Kota Tinggi Johor.
  Kemudian saya menjadi  Pensyarah Sains dan Pensyarah Pendidikan Sains di IPGM (Institut Pendidikan Guru Malaysia) selama 28 tahun sebelum memilih untuk bersara awal secara pilihan ketika berusia 57 tahun. Saya  sempat menjadi pensyarah di empat buah IPG iaitu Maktab Perguruan Seri Pinang,  IPG Kampus Tuanku Bainun, IPG Kampus Sultan Abdul Halim dan IPG Kampus Darulaman. Selain itu, saya juga menjadi pensyarah sambilan di USM.
Saya juga pernah menyandang jawatan sebagai Ketua Jabatan Sains di IPG Kampus Sultan Abdul Halim selama 8 tahun sebelum menjadi Pensyarah Kanan di Jabatan Sains  sebelum bersara pilihan.

UB: Khabarnya datuk juga menulis buku? Apa tajuknya?
NJ: Saya pernah menulis buku Kemahiran Berfikir Dan Belajar yang diulangcetak sebanyak lima kali terbitan Fajar Bakti pada tahun 1993. Selain itu saya  juga menulis Buku Perubatan Komplimentari Sufi berjodol Jihad Melawan Penyakit yang dijadikan rujukan oleh para pengamal Perubatan Komplementeri Sufi.  Selain ijazah PhD dari Universiti Sains Malaysia, saya  juga mempunyai kelulusan Ijazah Perubatan Homeopati dan Fitobiofizik dari Institute of Phytobiophysic  United Kingdom (UK)

UB: Sejak bila timbul minat datuk terhadap sastera?
NJ: Minat terhadap sastera bermula sejak zaman sekolah rendah lagi. Ketika zaman remaja , saya suka baca novel. Tetapi disebabkan kekurangan guru sains dari kalangan orang Melayu waktu itu, guru-guru dan sekolah meminta kami masuk aliran sains, agar boleh jadi guru sains waktu itu.

UB: Selepas tamat universiti, di mana datuk mula bertugas?
NJ: Selepas tamat pengajian di universiti, saya berkhidmat sebagai guru sains selama lima tahun dan kemudian menjadi pensyarah sains dan juga ilmu pendidikan iaitu di lima buah Insitut Pendidikan Guru (IPG) iaitu Maktab Perguruan Seri Pinang, IPG Kampus Tuanku Bainun Pulau Pinang, IPG Kampus Sultan Abdul Halim, IPGK, IPGA dan kembali semula ke IPGK Sultan Abdul Halim.

UB: Apa jawatan terakhir datuk sebelum bersara?
NJ: Sebelum bersara pilihan sebagai pensyarah kanan Jabatan Sains. Saya juga pernah menjawat sebagai Ketua Jabatan Sains selama tujuh tahun.


UB: Apa pandangan datuk terhadap perkembangan sastera dan budaya di Nusantara?
NJ: Semakin memberangsangkan. Jika sering dianjurkan program program membaca,mendeklamasi dan musikalisasi serta penghayatan puisi se Nusantara, ia adalah sesuatu yang amat baik. Semakin banyak cabaran dan tantangan dalam kehidupan, saya lihat dunia seni,puisi dan sastera semakin terserlah peranannya.

UB: Datuk pernah ke Sabah? Apa yang menarik mengenai Sabah?

NJ: Saya pernah lakukan kembara sufi ke Negara Brunei Darussalam dan Sabah.
Kalau ditanya, tempat yang paling saya suka, saya katakan saya suka Sabah. Sabah adalah sebuah negeri yang kaya dengan pelbagai khazanah flora dan fauna. Sabah cuacanya ksejuk erana di kelilingi laut dan bergunung tinggi. Orang-orangnya sangat peramah dan mudah mesra.Yang penting ramai tokoh tokoh sastera dan seni yang berbakat dan minat puisi.Selain adanya kepelbagaian budaya  dari pelbagai suku kaum dan etnik yang berada di sabah, sesuatu yang sangat menarik.

UB: Apa kegiatan Datuk selepas bersara?
NJ: Selepas bersara, saya banyak menumpukan kegiatan dalam menjalankan kerja kerja merawat pesakit di Klinik Perubatan saya, perubatan Islam komplimentari sufi. Klinik perubatan saya ialah Pusat Rawatan An Nasihah yang beroperasi setiap hari dari jam 10.00 pagi hingga jam 6.00 petang kecuali hari Jumaat cuti. Kira-kira 80 peratus pesakit yang datang adalah yang bermasalah kanser, tumor, jantung dan penyakit kronik serta spritiual seperti santau, sihir dan rasukan jin.

Sebelah malam saya banyak menulis, mencipta lirik dan menggubah lagu lagu puisi.Kini saya dah mula menulis cerpen dan novel. Di samping itu saya juga menyiapkan Buku Perubatan Melayu Islam.

UB: Sebagai seorang yang rajin berkeliling Nusantara, dimana tempat yang paling datuk gemar dan mengapa?

NJ: Saya suka  berkunjung ke tempat-tempat bersejarah dan Indonesia menjadi pilihan utama saya. Sebabnya kerana sejarah dan budaya serta banyak ilmu yang boleh ditimba. Selain kecantikan pantai dan pergunungan yang unik, para ulama dan pejuang pejuang kemerdekaan juga menjadi sumber ispirasi saya berkarya dan belajar erti kehidupan. Wali songo misalnya, banyak rahsia kehebatan yang perlu digali.

UB: Sepanjang menghadiri HPI di Banjarmasin, apa objek wisata yang datuk sempat kunjungi seperti tempat bersejarah, misalnya?
NJ: Semasa di Banjarmasin, kehebatan wali Allah Sheikh Muhammad Arsyad Al Banjari dan Abah Guru Sekumpul adalah menjadi tarikan hati saya. Saya sempat mengunjung makam mereka dan bersolat di masjid dimana mereka mencurahkan ilmu.

UB: Saya tertarik dengan pidato yang datuk sampaikan sewaktu menyampaikan pidato utamandi Hari Puisi Indonesia Internasional HPI Banjarmasin? Bolehkah Datuk nyatakan secara ringkas, apa nota nota penting dalam pidato itu?
NJ: Di Banjarmasin, saya menyampaikan pidato mengenai sungai kota dan alam. Sungai itu adalah lingkungan yang amat besar pengaruhnya kepada kehidupan dan tamadun manusia berkembang.
Adanya sungai bermakna ada kehidupan dan kebahagian. Sebab itu dalam kitab suci Al-Quran, banyak digambarkan mengenai syurga dan sungai-sungai yang mengalir di bawahnya. Di mana ada sungai akan berdirilah kota-kota yang indah. Allah SWT jadikan alam ini sebagai ayat ayat dan tanda tanda yang perlu difikirkan  mengenai kebesaran dan kehebatan Allah, sambil berdiri, duduk dan sambil berbaring. Kita akan tunduk insaf  bahawa semua yang Allah jadikan bukan sia-sia.

Tetapi manusia harus belajar bahawa jika mereka derhaka dan berbuat maksiat kepada Allah.Allah akan hancurkan dan hukum dengan seberat-berat hukuman. Sebagaimana kota Iram kaum Aad, Kota Sodom, kota Phompie, Atlantis dan sebagainya. Maka jagailah  sungai dan alam.

UB: Apa pandangan datuk terhadap penganjuran Hari Puisi Indonesia Internasional di Banjarmasin? Bagaimana sambutan masyarakat terhadap kegiatan puisi di Banjarmasin dan Indonesia pada umumnya. Komen Datuk?
NJ: Penganjuran Hari Puisi seperti ini di Banjarmasin amat dialu-alukan dan memberi impak kepada masyarakat  yang begitu mendalam kerana ia dibuat di tempat terbuka  di pinggir Sungai Martapura yang dapat dikunjungi oleh ramai pengunjung pengunjung sama sama menghayati puisi-puisinyang ditampilkan.
Kita kena libatkan sekolah dan universit, pesantren dan pelbagai golongan agar libatkan diri untuk belajar dan apresiasi hasil sastera. Sehingga masyarakat celek seni dan sastera. Ia mesti bersifat nusantara dan global.


UB: Apa perancangan datuk pada masa depan?
NJ: Di masa depan saya berazam untuk mendirikan Hosital Islam Komplemenari Sufi, selain terus menulis dan menghasilkan buku-buku berguna. Saya akan terus berpuisi dan menyebarluaskan sastera Melayu ke peringkat antarabangsa.

UB: Apakah datuk punya perancangan untuk mengembangkan perubatan Islam ke Sabah?

NJ: Saya memamg berhasrat membuka sayap perubatan Islam komplementari sufi ke Sabah dan Indonesia secepat mungkin. InsyaAllah asal tahun depan 2019, kita akan ada cawangan di Kota Kinabalu dan Banjarbaru.

UB: Apa hobi datuk di masa lapang?
NJ: Berkebun, memelihara ayam jenis ratu, memelihara burung berbagai jenis, udang galah air tawar dan ikan.

UB: Oh ya, siapa yang paling banyak memberi galakan kepada datuk dalam bidang pelajaran?


NJ: Ayah, bonda, abang-abang, kakak dan isteri yang menjadi penggalak kepada saya.
UB: Apa pesan orang tua yang masih diingat sampai sekarang?
NJ: Pesan orang tua, jadilah insan yang banyak bermanfaat kepada orang lain.


CATATAN KETIKA BERKUNJUNG KE BANJARMASIN

Tags
CATATAN KETIKA BERKUNJUNG KE BANJARMASIN
SEBENARNYA saya tidak menyangka Pak Zulfaisal Putra menunggu di Bandara Internasional Syamsudin Noor pada petang 3 Oktober itu. Sebabnya kerana acara Hari Puisi Antarabangsa Indonesia (HPI) sempena Ulang Tahun Kota Banjarmasin kali ke 492  hanya akan bermula pada 5 hingga 7 Oktober. Saya hanya memberitahu bahawa kemungkinan saya tiba pada Rabu, 3 Oktober,  kerana penerbangan terus dari Kota Kinabalu ke Jakarta hanya dua kali seminggu iaitu setiap Rabu dan Ahad.
Sebaik tiba di Bandara Soekarno Hatta dengan pesawat Batik Air ID7168 pada jam 7.55 pagi selepas dua jam 55 minit penerbangan dari Kota Kinabalu, saya terus ke Terminal 1 A untuk melanjutkan perjalanan ke Banjarmasin dengan pesawat Lion Air. Penerbangan dijadualkan 11.20 pagi WIB dan tiba di Banjarmasin pada jam 2.05 petang. Waktu Banjarmasin sama waktu dengan Malaysia.
Pesawat mendarat agak jauh dan kami terpaksa diangkut dengan bas bandara ke Terminal. Sambil menunggu bagasi, saya terbaca mesej Pak Zul memberitahu beliau menunggu di luar.
Walaupun ini pertama kali saya ke Banjarmasin, tetapi saya tidak  merasa risau dan asing. Sebelum itu, ketika singgah di Jakarta, saya sempat menempah hotel melalui KAHA di lapangan terbang. Saya berfikir, selepas keluar dari bandara saya akan naik teksi saja ke hotel Amaris.
Tetapi Pak Zulfaisal, penganjur acara HPI, penulis dan penyair sekaligus Kepala Bidang Kebudayaan Dinas Kebudayaan dan Pariwisata Banjarmasin, itu sudah menunggu di Bandara bersama kak Ony yang tiba kira-kira sejam lebih awal dengan Batik Air. Dari Kota Kinabalu, kami satu pesawat ke Jakarta tetapi jadual penerbangan ke Banjarmasin berbeza kerana saya memilih waktu yang lebih selesa agar tidak terlalu terburu-buru.
Banjarmasin adalah bandaraya terpadat di Kalimantan. Penduduknya sekitar 700,000 orang. Saya pernah terbaca kota Banjarmasin melahirkan banyak tokoh-tokoh ulama. Salah satunya yang terkenal ialah Sheik Arshad Al Banjari yang terkenal dengan kitab Sabilal Muhtadin.
Kota Banjarmasin yang sudah berusia 492 tahun juga adalah muara peradaban dan terkenal di Nusantara sejak dahulu, Kebanyakannya penduduknya dari suku melayu Banjar. Suku Melayu Banjar ini juga tersebar di Nusantara. Selain di Kalimantan, orang Banjar juga terdapat di Sulawesi, di Sumatera seperti Riau dan Jambi, di Semenanjung Malaysia seperti di Johor, Selangor dan Perak, bahkan di Sabah sendiri, terdapat beberapa kampung yang dihuni orang Banjar seperti di Keningau, Kudat, Sandakan dan sebagainya.
Saya tidak menyangka dapat ke Banjarmasin, tapi berkat sokongan  Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) di Kota Kinabalu dan beberapa rakan yang banyak membantu, perjalanan ke Kota Banjarmasin dapat direalisasikan.
Tanpa disedari, kami sudah berada di Jalan Ahmad Yani, jalanraya terpanjang di Banjarmasin iaitu sepanjang 230 km melintasi dua kota dan 7 kabupaten.  Selepas singgah di rumah pak Zul, beliau menghantar saya ke Hotel Amaris kerana saya perlu menghantar artikel melalui emel ke pejabat di Kota Kinabalu.
Setibanya di hotel, saya terus saja menulis dan menghantar emel sebelum deadline jam 5.00 petang.
Namun selepas itu, saya tidak ke mana-mana kerana terpaku melihat siaran tv. Beberapa saluran tv seperti tvone, kompas tv, dan beberapa saluran lain menayangkan proses pencarian mangsa-mangsa gempa bumi di Palu, Sigi dan Donggala pada 26 September yang mengorbankan hampir 2000 orang.
Selepas jam 8.30 malam, baru saya teringat belum makan. Tapi saya tidak bimbang kerana banyak warung di depan hotel. Selain itu, ada juga khidmat Grab. Namun kemudian Pak Gusti Ardiansyah dan Kak Ony datang menjemput membawa makan di Rumah Makan Acan Raja Banjar.
Di sana kami sempat mencicipi ikan patin dan ikan nila atau ikan tilapia. Ada beberapa jenis lauk, yang menarik ialah mandai, yang dibuat dari cempedak.

Selain itu, banyak juga cerita yang dapat dikongsikan dengan Pak Gusti, yang berlatarkan biologi itu, dan kini setelah pensiun punya kebun limau sendiri. Banyak yang dapat didiskusikan mengenai budaya antara Kalimantan Selatan dan Sabah, dari segi kesamaan budaya dan bahasa, kerana biar bagaimanapun, Banjarmasin dan Sabah masih tetap berada di daratan dan pulau yang sama.
Selepas pulang ke hotel, saya tidak ke mana-mana lagi selain menikmati buah mangga yang dibeli di luar hotel. Keesokan harinya, selain menyiapkan beberapa tugasan yang belum selesai, saya menunggu panggilan Pak Zul. Saya meminta beliau untuk mengatur sesi wawancara eksklusif dengan Walikota Banjarmasin, H Ibnu Sina.
Wawancara itu hanya dapat dilakukan kira-kira jam 3.00 petang setelah menunggu beberapa ketika pak walikota menerima banyak tamu.

Alhamdulillah, selepas itu, saya diberi kesempatan untuk  menemuramah pak Walikota mengenai Banjarmasin yang menyambut ulangtahun yang ke 492.
“Saya  ingin menjadikan Banjarmasin sebagai kota sungai yang terindah dan terbaik di Indonesia,” katanya.

Walikota Banjarmasin, H Ibnu Sina dilahirkan  pada 4 Januari 1975.  Beliau dibesarkan di kalangan keluarga yang taat beragama.Lulusan Universiti  Lampung Mangkurat (UNLAM)terpilih sebagai Walikota, Banjarmasin bagi tempoh 2016 hingga 2021.Sebelum itu, pada 2004,beliau pernah terpilih sebagai anggota Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) termuda di Kalimantan Selatan.






 Kota Banjarmasin adalah salah satu paling tua, ia sudah ada sejak Indonesia berdiri.Ia juga adalah satu provinsi daripada lapan provinsi yang awal didirikan sejak Indonesia mereka, katanya. Di sini semboyan kita   “Banjarmasin baiman, Banjarmasin yang bersih dan nyaman.Baiman itu barasih dan nyaman atau bersih dan nyaman dan bisa memberikan kenyamanan atau memudahkan aspek perkhidmatan kepada rakyat.
Beliau berkata,  masih ada yang kerja yang perlu dilakukan iaitu  perkembangan ekonomi kreatif dengan membentuk wira usaha baru, serta smart city yang masih belum tercapai seperti yang kita harapkan,

“Kendati demikian, kami berharap ke depannya ekonomi kreatif dan smart city berkembang pesat, dan signifikan demi tercapainya Banjarmasin menjadi kota sungai berbasis ekonomi kreatif dan smart city,” kata H Ibnu Sina.
Selepas itu, kami meminta diri. Pak Zul membawa saya ke Restoran di Banua Anyar. Hari sudah petang sebenarnya, dan kami agak kelaparan kerana belum makan. Banyak lauk pauk yang menyelerakan.
Alhamdulillah, selepas itu kami ke pejabatnya sebelum saya dihantar pulang ke Hotel Amaris.Saya sudah berjanji untuk menunggu Mas Eko Wahyudi. Mas Eko, abang kepada Indra suami arwah Nunung, sepupu kepada isteri saya. Saya pernah bertemu Mas Eko di Tanjung Selor pada tahun 2004. Kebetulan pula beliau sudah dua tahun bertugas sebagai pengurus di Telkomsel.
Saya agak terharu dan gembira dengan pertemuan dengan mas Eko. Lama tidak berjumpa, mungkin sudah berbelas tahun lamanya. Sempat juga kami bercerita sewaktu makan soto banjar tidak jauh dari lapangan terbang banjarbaru.
Kami memilih tempat itu kerana selepas itu saya ingin berkunjung ke rumah Hajah Indri, di jalan Bumi Berkat 5, di depan Gardu Pln Cempaka. Ibu Hajah sepupu Bang Nanang. Bang Nanang pula adalah keluarga isteri saya.

Sebelum itu, saya sempat singgah di Mingguraya, banjarbaru. Di sana rakan-rakan dari komuniti penulis banjarbaru sedang menunggu untuk kopi bersama.


Mungkin hanya di sana, satu satunya tempat di dunia, di mana kita dimestikan malah diwajibkan membaca puisi. Tidak kira anda siapa, orang sastera atau orang biasa, asalkan pertama kali berkunjung ke Mingguraya, anda dimestikan membaca puisi.
Puisi itulah yang mempertemukan kami. Mungkin kerana puisilah yang membawa saya berkunjung ke Banjarmasin.