JAINAB KOMITED HADAPI CABARAN MEMBANGUN KARAMBUNAI
MESKIPUN sentiasa sibuk dengan jadual kerja yang padat, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Hajah Jainab Datuk Seri Panglima Haji Ahmad Ayid sudi memenuhi permintaan untuk diwawancara. Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.12 Karambunai menjawab beberapa pertanyaan mengenai Karambunai dan mengenai isu-isu pembangunan wanita.
Datuk Hajah Jainab Datuk Seri Panglima Haji Ahmad Ayid dilahirkan di Tawau, Sabah. Anak kedua daripada tujuh adik beradik ini mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Tawau sebelum melanjutkan pendidikan menengah di SM St Patrick Tawau hingga MCE. Beliau sempat bersekolah di Sabah College selama tiga bulan seelum melanjutkan pelajaran di peringkat A-Level d Walthamstow, di timur laut London.. Selepas itu, beliau meneruskan pengajian dalam bidang undang-undang sehingga mendapat BA Law dan seterusnya Barrister at Law di Lincoln Inns, London.
Beliau ditauliahkan sebagai peguam di Mahkamah Tinggi Borneo pada 1982 dan kemudian di Mahkamah Tinggi Malaya pada 1986. Pada 1994, beliau diterima sebagai peguam syariah.Selain Jainab juga memiliki ijazah MBA dari UTM. Selepas membina kerjaya yang membanggakan di Kuala Lumpur, Jainab kembali ke Sabah dan menceburkan diri dalam politik. Sejak terpilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Karambunai pada 2004, beliau adalah seorang pemimpin wanita yang sentiasa prihatin dan sentiasa turun padang menemui rakyat. Hubungannya yang mesra dengan golongan akar umbi menjadikannya seorang pemimpin wanita yang disayangi. Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah ini juga adalah Ketua Wanita UMNO Sepanggar, Naib Ketua Wanita UMNO Sabah dan Exco Wanita UMNO Pusat. Sebelum dilantik menjadi Menteri, beliau adalah Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat.
Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang menemubual Datuk Hajah Jainab Datuk Seri Panglima Haji Ahmad Ayid di sebaliknya jadual kerjanya yang padat di salah sebuah restoran malam kelmarin. Ikuti petikan temubual bersama beliau:
UTUSAN BORNEO: Terima kasih kerana Datuk sudi memenuhi permintaan kami untuk sesi temuramah ini walaupun saya difahamkan jadual kerja datuk amat sibuk dan padat. Soalan pertama, sepanjang perkhidmatan Datuk sebagai wakil rakyat di Karambunai, apa antara pembangunan yang dilaksanakan di kawasan ini?
DATUK HAJAH JAINAB:: Sepanjang saya mewakili Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai sejak 2004, banyak pembangunan yang dilaksanakan di Karambunai. Antara yang paling membanggakan ialah di kawasan ini terdapat 14 buah Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) menjadikan kawasan ini sebagai hub pendidikan., menjadi tumpuan pendidikan.
Sebenarnya banyak kejayaan yang kita capai. Antara kejayaan yang kita capai di kawasan DUN Karambunai ialah kita dapat membina rumah-rumah PPRT tidak kurang 100 buah, baik pulih rumah-rumah warga miskin tidak kurang daripada 250 buah. Kita juga membina, membaik pulih dan menaik taraf jalan-jalan kampung, membina dan membaik pulih jambatan, dan sebagainya. Kita juga membina dan membaikpulih masjid, surau, balai raya. Kita juga mendaftarkan warga emas, golongan kurang berkemampuan, golongan miskin untuk mendapatkan bantuan kebajikan, bantuan zakat dan bagi golongan nelayan, kita menyediakan skim bantuan nelayan. Itu antaranya.
UB: Apa rancangan pembangunan yang datuk laksanakan di Karambunai?
DHJ: Kita berusaha membina lebih banyak perumahan mampu milik bagi membantu golongan berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri. Kita juga sentiasa berusaha menanamkan kesedaran di kalangan masyarakat khususnya berkaitan kebersihan, mengenai pentingnya perpaduan dan keharmonian antara masyarakat berbilang kaum. Selain itu, kita juga berusaha meningkatkan kesedaran mengenai langkah-langkah keselamatan terutamanya ketika berlaku kebakaran, ekonomi dan banyak lagi.
Salah satu keutamaan kita ialah memastikan pembangunan kampung dan perumahan mengikut prosedur dan mempunyai profil yang lengkap.
Seperti yang saya sebut tadi, dari segi ekonomi kita juga perkasakan industri kampung agar kita dapat membantu rakyat mengurangkan kos sara hidup. Kita juga menyediakan peluang pekerjaan kepada mereka yang benar-benar berminat, berintegriti dan mempunyai wawasan untuk bekerja di KKIP dalam membantu industri kecil dan sederhana. Kita dapat saksikan betapa kerajaan berusaha membina banyak pembangunan untuk kepentingan rakyat secara keseluruhan dan bukan setakat untuk masyarakat di Karambunai. Kerajaan tidak pernah mengetepikan kepentingan rakyat dengan membina Jalan Raya Bertingkat (flyover), Terowong Sepanggar dan sebagainya. Terdapat juga pertambahan kawasan perumahan dan sekaligus pertambahan penduduk dan Karambunai menjadi kawasan tumpuan. Kita juga dapat menjalin kerjasama yang baik bersama TLDM dalam menjaga perairan.
Selain itu, kerajaan juga sedang giat melebarkan dan mendalamkan Sungai Kampung Rampayan dan Bandar Sierra bagi mengelakkan kejadian banjir kilat.
UB: Apa antara isu-isu yang masih menjadi cabaran kepada Datuk?
DHJ: Antara isu-isu yang kita hadapi ialah isu setinggan, kesesakan jalan raya, isu banjir,isu penyalahgunaan bekalan air/ elektrik dan kekurangan bangunan bangunan PPR, isu masalah sosial dan sebagainya.
Usaha yang kita lakukan untuk mengatasi masalah ini ialah mengenalpasti tapak-tapak tanah untuk dibangunkan sebagai kawasan perumahan-perumahan kos rendah, rumah PPR dan dengan adanya rumah PPR kita boleh memindahkan penduduk-penduduk setinggan ke rumah rumah bangunan yang dibina.
Untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas pula, kita membina-jalan jalan bertingkat. Selain memperbaiki jalan raya yang sedia ada dengan kerjasama agensi-agensi berkaitan.
Mengenai isu banjir pula, kita memastikan sistem perparitan dibina dengan baik dan sungai dijaga dan diselenggara. Sekarang kita sudah dapat menangani isu banjir dengan lebih baik, tidak seperti dahulu. Sekarang banyak sungai sudah diselenggara manakala sistem perparitan sudah kita perbaiki.
UB: Apa kagi cabaran yang dihadapi?
DHJ: Salah satu cabaran yang kita hadapi ialah masalah sosial termasuklah penyalahgunaan najis dadah di kawasan hotspot dan penempatan setinggan di kawasan tertentu.
UB: Sekiranya diberikan peluang untuk mempertahankan kerusi DUN Karambunai dalam PRU ke-14, apa perancangan datuk di Karambunai dalam tempoh lima tahun akan datang?
DHJ: Kita akan meneruskan usaha-usaha mendampingi, mendekati rakyat, mendidik dan menanamkan sikap kesedaran kepada masyarakat mengenai pelbagai peluang seperti peluang menambahkan pendapatan dan meningkatkan taraf hidup melalui skim-skim bantuan kerajaan selain berusaha secara berterusan untuk mewujudkan peluang pekerjaan kepada generasi baru dan sebagainya.
Kita akan berusaha mengadakan kerjasama dengan agensi-agensi berkaitan mengenai peluang menambahkan pendapatan dan sebagainya.
Seperkara yang perlu kita beri keutamaan juga ialah kita haruslah bersama-sama mendidik serta menanamkan semangat bencikan tabiat-tabiat buruk yang mendatangkan kemudaratan dan tidak berfaedah. Kita juga mesti teruskan usaha agar masyarakat menjauhi penyalahgunaan najis dadah, yang menjadi ancaman kepada keutuhan sesebuah keluarga dan masyarakat.
UB: Berapa jumlah kampung dan kawasan perumahan di Karambunai?
DHJ: Bilangan kampung yang diwartakan ialah sebanyak 26 buah. Selain itu, terdapat hampir 20 kawasan taman perumahan di Sepanggar. Bangunan-bangunan perniagaan pula, antaranya Alamesra, 1B, Kingfisher, Vijaya Park di Darau, Pekan Menggatal, Sulaman Central, Indah Permai, KKIP dan Inanam.
UB: Beralih kepada soalan berkaitan pembangunan wanita.Dalam Bajet 2018 baru-baru ini, kerajaan memberikan perhatian untuk memastikan wanita cemerlang dalam pelbagai bidang. Sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap pembangunan wanita, mungkin datuk boleh komen sedikit?
DHJ: Kita berterima kasih kepada kerajaan khususnya kepada YAB Perdana Menteri, kerana dalam pembentangan Bajet 2018, banyak memberikan impak kepada wanita malah beliau mengumumkan bahawa tahun ini dijadikan sebagai Tahun Memperkasa Wanita. Usaha kerajaan dalam pemerkasaan wanita ini menunjukkan komitmen kerajaan dalam memastikan wanita memperolehi peluang dan tidak ketinggalan dalam semua bidang.
Dalam usaha memperkasa wanita ini, kita mewujudkan 5 kluster yang akan diberikan penumpuan iaitu Kluster Wanita dan Kesihatan (gaya hidup, kecantikan dan sukan), Kluster Wanita dan Keselamatan, Kluster Wanita dan Ekonomi, Kluster Wanita dan pendidikan (latihan dan pembangunan kapasiti) Kluster Wanita da Budaya (Kesenian dan Media). Semua kluster ini bakal memberi banyak manfaat kepada wanita.
Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna yang saya terajui melalui Jabatan Hal Ehwal Wanita (JHEWA) akan lebih banyak memberi penumpuan kepada usaha melahirkan usahawan wanita selain meneruskan program pembangunan Ibu Tunggal.
Pada tahun ini juga kita mewujudkan inisiatif baru iaitu menyedikan Perkhidmatan Bantuan Guaman Wanita. Program-program kesedaran dari segi kesihatan, seminar-seminar serta kursus dalam bidang ekonomi, latihan dan media akan tetap diteruskan seperti biasa.
UB: Apa harapan datuk terhadap semua wanita?
DHJ: Harapan saya bagi semua wanita yang bekerjaya untuk mengimbangi antara keluarga dan kerjaya.Meskipun saya tahu ia satu tugas yang sukar.Tanggungjawab sebagai ibu dan wanita bekerjaya tentunya memberi tekanan dan membuat kita keletihan dari segi fizikal, mental dan emosi.
Untuk mengurangkan tekanan dan meningkatkan produktiviti, kerajaan memperkenalkan beberapa inisiatif baharu menerusi Bajet 2018 yang memberi manfaat kepada wanita dalam sektor awam dan swasta. Sebagai contoh, cuti bersalin dari 60 ke 90 hari bagi sektor swasta dan jumlah cuti bersalin dari 300 kepada 360 hari dengan maksimum 90 hari setahun bagi sektor awam. Tahun 2018 dinamakan sebagai Tahun Pemerkasaan Wanita,kerajaan menggalakkan agar wanita kembali bekerja semula. Untuk memastikan perkara ini dapat dijalankan, kerajaan akan memberi pengecualian cukai selama 12 bulan kepada wanita yang bekerja semula selepas berhenti selama dua tahun (maksimum). Kerajaan bukan sahaja menggalakkan wanita untuk terus bekerja malah mahu mereka pergi jauh dalam kerjaya yang diceburi.
UB: Dalam merancang dan merealisasikan pembangunan rakyat khususnya di Karambunai, setakat ini bagaimana kerjasama yang ditunjukkan oleh kepimpinan dalam merespon masalah rakyat?
DHJ: Kita amat berterima kasih dan sangat menghargai komitmen pemimpin besar kita Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman yang sentiasa memberikan perhatian dalam usaha membangunkan rakyat, beliau sering memberikan nasihat dan tunjuk ajar kepada kita. Saya boleh katakan bahawa beliau adalah pemimpin terbaik yang banyak membawa pembangunan kepada negeri Sabah. Sabah terhutang budi kepada beliau yang memiliki visi untuk membangunkan negeri Sabah.
UB: Akhir sekali apa harapan Datuk kepada rakyat menjelang Pilihanraya Umum ke-14 khususnya di kawasan Karambunai?
DHJ: Saya berharap rakyat yang saya wakili bijak dalam membuat keputusan dan bersama-sama membangunkan kawasan Karambunai. Hanya kerajaan BN sahaja yang mampu menyelesaikan pelbagai masalah. BN adalah yang terbaik. Rakyat jangan mudah terpengaruh dengan dakyah dan fitnah golongan yang memecahbelahkan masyarakat demi kepentingan politik mereka. Saya berharap rakyat jangan cepat menuding jari kerana terpengaruh helah pembangkang. Sebaliknya jika mereka mempunyai masalah, mereka boleh mengemukakan aduan mereka mengikut saluran yang betul. Kerajaan BN sentiasa berusaha untuk membantu rakyat.