Rabu, 16 November 2011

Temuramah dengan Georgie Abas mengenai BPA JPM

Tags

"SUDAH BANYAK KALI saya mengadu, tapi tiada juga tindakan. Balik balik saya dapat jawapan yang sama. Perkara itu asyik dipanjangkan, dipanjangkan tapi tak panjang panjang juga? Sampai bila masalah itu boleh selesai?" Itulah keluhan seorang penduduk mengenai masalahnya yang dihadapinya.

Andaikan anda menghadapi masalah yang sama,tidak menerima layanan yang adil, tiada tindakan terhadap surat yang diajukan, atau tidak berpuas hati terhadap kualiti perkhidmatan yang tidak memuaskan, dimanakah anda boleh mengadu?

Mungkin satu ketika anda melihat salah guna kuasa atau penyelewengan, salah laku anggota awam, kekurangan kemudahan awam, kegagalan mengikut prosedur, kegagalan penguatkuasaan dan sebagainya, semua ini anda boleh adukan kepada Biro Pengaduan Awam (BPA).

Jika perkara yang diadukan itu berkaitan dengan pentadbiran Kerajaan Persekutuan, anda boleh membuat aduan kepada Biro Pengaduan Awam Jabatan Jabatan Perdana Menteri (BPA JPM).

BPA JPM yang ditubuhkan pada 23 Julai 1971, pada mulanya berperanan memberi maklumbalas kepada kerajaan dan menyediakan saluran mengemukakan kesulitan atau masalah. Ia menjadi sebuah jabatan pada tahun 1992. Pada 5 April 2007, BPA mula beroperasi secara rasmi di negeri Sabah yang disempurnakan perasmiannya oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Bernard Giluk Dompok.

Tetapi masih ramai yang kurang tahu mengenai BPA JPM ini. Utusan Borneo berpeluang menemui Pengarah BPA JPM Negeri Sabah, Georgie Abas untuk menemubual beliau mengenai objektif BPA JPM dan jenis-jenis aduan yang boleh diterima BPA JPM.

Georgie Abas dilahirkan di Kampung Dabak Penampang pada 26 April 1978. Beliau mendapat pendidikan awal di SRJK Yu Min Penampang dan kemudian bersekolah menengah di SMK Datuk Peter Mojuntin. Georgie kemudian melanjutkan pelajaran di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang Pengajian Bahasa Inggeris dan Komunikasi. Selepas itu, beliau bertugas sebagai pensyarah di Stamford College dan pernah bekerja di Harrison Trading sebelum menjadi copy writer di Sutera Harbour selama tiga tahun. Georgie kemudian menyertai Perkhidmatan Tadbir Diplomatik (PTD) pada Februari 2005 dan ditempatkan di Kementerian Pengajian Tinggi di bahagian hal ehwal hubungan antarabangsa. Sejak Julai 2008, Georgie Abas berkhidmat sebagai Pengarah BPA JPM Sabah.

Ikuti temuramah wartawan Utusan Borneo, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN dengan Pengarah BPA JPM Sabah di pejabatnya Tingkat 6, Menara MAA, Lorong Api-Api 1 Kota Kinabalu.

UTUSAN BORNEO: Terima kasih kerana sudi ditemubual untuk ruangan Sembang Sabtu Utusan Borneo. Pertama sekali bolehkah tuan jelaskan mengenai objektif BPA?

GEORGIE ABAS: BPA JPM Sabah ditubuhkan kira-kira empat tahun lepas, iaitu pada 5 April 2007. Antara objektifnya ialah untuk menyelesaikan aduan dengan cekap, adil dan berkesan berdasarkan Piagam Pelanggan BPA;Untuk meningkatkan kadar penyelesaian aduan yang diterima daripada orang awam;Untuk menyedia dan meningkatkan kemudahan membuat aduan kepada orang awam.

Selain itu ia juga untuk mengurangkan aduan yang berulang-ulang terhadap perkhidmatan awam; untuk memperkenalkan pembaharuan dan inovasi berasaskan aduan awam;Untuk memberi khidmat nasihat kepada agensi bagi meningkatkan sistem pengendalian aduan awam yang berkesan;Untuk memberi khidmat nasihat kepada agensi bagi meningkatkan sistem pengendalian aduan awam yang berkesan; dan untuk mendapatkan maklum balas orang ramai bagi menjayakan program pembangunan Kerajaan.

UB: Boleh nyatakan sedikit mengenai visi, misi dan dasar kualiti BPA JPM?

GA: Visi kami ialah menjadi sebuah organisasi utama yang menyumbang kepada pencapaian kecemerlangan Perkhidmatan Awam melalui penyelesaian aduan awam. Misi kami pula ialah menyelesaikan aduan awam dengan cepat, adil dan mesra serta menerima maklum balas awam mengenai dasar dan program Kerajaan untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat Malaysia dan dasar kualiti BPA JPM ialah Kami adalah komited kepada perkhidmatan dan layanan yang berkualiti dan berdedikasi dalam penyelesaian aduan bagi memenuhi kehendak pelanggan selaras dengan Sistem Pengurusan Kualiti yang diwujudkan.

Kami juga komited membuat penambahbaikan yang berterusan ke atas Sistem Pengurusan Kualiti dan menilai semula semua objektif kualiti yang ditetapkan bagi memastikan ianya sentiasa sesuai mengikut kehendak pelanggan.

UB: Apakah piagam pelanggan BPA JPM?

GA: Piagam pelanggan kami ialah mengurus dan menyelesaikan aduan orang ramai terhadap agensi-agensi awam dalam tempoh 15 hari bekerja

UB: Bagaimana pula mengenai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) BPA?

GA: Kadar penyelesan aduan bagi tahun 2011, sebanyak 93 peratus. Kadar penyelesaian aduan dalam tempoh 15 hari bekerja mencapai 50 peratus manakala indeks kepuasan pelanggan yakni cemerlang dan baik ialah 90 peratus.

UB: Bolehkah tuan menjelaskan mengenai tarikrif aduan yang boleh diadukan kepada BPA JPM?

GA:Aduan Awam adalah aduan orang ramai mengenai ketidakpuasan mereka terhadap semua aspek pentadbiran Kerajaan (termasuk agensi-agensi yang diswastakan dan institusi-institusi yang berbentuk monopoli dan membekalkan keperluan-keperluan awam yang dirasai tidak adil, tidak mematuhi undang-undang dan peraturan yang sedia ada termasuk salah laku, penyelewengan, salahguna kuasa, salah tadbir dan seumpamanya. Pengaduan awam meliputi semua aspek pentadbiran kerajaan termasuk agensi Kerajaan yang diswastakan

UB: Apakah jenis-jenis yang tidak boleh diterima oleh BPA JPM?

GA: Jenis-jenis aduan yang tidak boleh diterima oleh BPA JPM ialah perkara-perkara di bawah bidang kuasaa Jawatankuasa Kira-Kira Awam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysua dan perkara-perkara yang telah diadukan kepada Jabatan Bantuan Guaman. Selain itu, perkara berkenaan dasar kerajaan yang telah ditetapkan juga, adalah aduan yang tidak boleh diterima. Masalah keluarga atau peribadi dan tuntutan berbentuk `civil' antara individu dan syarikat.

UB: Apakah jenis aduan yang boleh dikemukakan oleh orang awam?

GA: Aduan-aduan yang boleh dikemukakan oleh orang awam kepada Biro Pengaduan Awam untuk diambil tindakan antaranya ialah kelewatan atau tiada tindakan. Misalnya Jabatan Pendaftaran Negara yang berjanji akan menyiapkan Mykad dalam tempoh 2 bulan dari tarikh permohonan tetapi tidak menyiapkannya, tidak memberikan jawapan tentang permohonan kewarganegaraan. Jabatan Imigresen tidak memberi jawapan tentang permohonan permit kerja atau gantian pasport yang hilang. Ini sekadar contoh.

Contoh lain ialah Lembaga hasil Dalam Negeri tidak membayar balik baki kredit cukai pendapatan dalam 2 bulan walaupun dijanjikannya.

Orang awam juga boleh mengadu jika Polis tidak menyiasat tentang laporan-laporan yang dilakukan dengannya seperti kes ragut beg tangan, anjing berkeliaran dalam kawasan, kecurian rumah, kemalangan jalan raya dan penagih-penagih dadah yang menduduki rumah kosong.

Aduan juga boleh dibuat jika misalnya polis tidak atau lewat kemukakan laporan polis mengenai kemalangan jalan raya.

Selain itu,Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) lewat meluluskan permohonan-permohonan untuk mengeluarkan caruman untuk membeli rumah, untuk pendidikan anak dan hilang upaya atau KWSP dan PERKESO tidak mengambil tindakan terhadap aduan-aduan yang telah dibuat mengenai majikan-majikan yang tidak mencarum dengan KWSP walaupun potongan dilakukan dari gaji pekerja-pekerja.'

UB: Apa pula yang dimaksudkan sebagai tindakan tidak adil? Boleh beri contoh?

GA: Pengadu juga boleh mengemukakan aduan jika misalnya Pejabat Tanah tidak memberi jawapan tentang kedudukan permohonan tanah, sama ada berjaya atau gagal;Bahagian Pencen tidak memberi jawapan tentang permohonan pencen;Majlis Perbandaran belum meluluskan permohonan pelan pembinaan bangunan yang lama dikemukakan, tidak/lewat mengeluarkan notis cukai pintu;Jabatan Kebajikan Masyarakat tidak meluluskan permohonan bantuan kebajikan; PERKESO tidak membayar pampasan atau Jabatan Perkhidmatan Awam dan PTPTN tidak memberi jawapan tentang permohonan biasiswa/pinjaman.

UB: Saya diberitahu salah satu perkara yang boleh diadukan ialah kekurangan kemudahan awam. Apa yang dimaksudkan dengan kekurangan kemudahan awam itu? Boleh jelaskan?

GA: Kekurangan kemudahan awam misalnya ketiadaan kemudahan awam yang dikehendaki oleh orang awam seperti balai polis, balai boma, sekolah, tempat ibadat, pasar, bekalan air, tong sampah, telefon,bekalan elektrik, perkhidmatan bas, lampu jalan, lampu isyarat, bonggol, jalan tar dan padang permainan kanak-kanak.

UB: Apakah pula yang dimaksudkan sebagai kepincangan perlaksanaan dasar dan kelemahan undang-undang?

GA:Jabatan membuat keputusan atau bertindak dengan tidak saksama tentang satu permohonan yang tidak mengikut peraturan / undang-undang yang telah ditetapkan seperti Pejabat Tanah meluluskan permohonan tanah oleh seorang yang baru membuat permohonan dan sebaliknya menolak permohonan seorang lain yang telah mengusahakan tanahnya selama 15 tahun.

UB:Orang ramai juga boleh mengadu mengenai salah guna kuasa dan penyelewengan.Boleh tuan jelaskan sedikit?

GA: Contohnya begini,Ketua jabatan dan pegawai-pegawai kerajaan yang mempunyai kuasa dan menyalahgunakan kuasa mereka dengan meminta wang sogokan atau pelinciran untuk meluluskan sesuatu permohonan. Atau Pegawai-pegawai Majlis Daerah/Perbandaran/Dewan Bandaraya yang meluluskan permohonan pelan bangunan,Jurutera Daerah Kerja Raya yang memberi kontrak, tender projek, pembinaan jalan dan jambatan kepada kontraktor-kontraktor yang memberi beliau imbuhan dan komisen. Selain itu,Pegawai Imigresen yang meluluskan permit kerja dan lesen pembantu rumah dan pekerja-pekerja buruh asing atau mungkin Pegawai Polis mengurangkan dan membatalkan saman dan kompaun trafik pihak- pihak bersalah yang memberinya duit kopi, ahli-ahli keluarga dan rakan-rakan.

UB: Saya difahamkan salah laku anggota awam juga boleh diadukan kepada BPA. Apa jenis salah laku yang boleh dikemukakan?

GA: Orang ramai boleh mengemukakan aduan jika ada Pegawai dan kakitangan jabatan/agensi yang tidak/ kurang sopan, memaki orang awam, kasar dan berkelakuan buruk semasa berurusan dengan orang awam, sama ada melalui telefon ataupun bersemuka, cuai menjalankan tugas mereka, ponteng dari kerja semasa waktu kerja, datang lewat kerja dan balik awal, menjalankan perniagaan sendiri semasa waktu pejabat.

Selain itu,Anggota di kaunter perkhidmatan seperti di Jabatan Imigresen, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Jabatan Pendaftaran Negara, Balai Polis, Jabatan Pengangkutan Jalan yang tidak melayan orang awam yang datang untuk berurusan dengan sopan, sombong, bersikap endah tak endah, tidak peramah, bersikap perkauman.

UB: Kegagalan mengikut prosedur yang ditetapkan juga boleh dikemukakan kepada BPA JPM?

GA: Pihak Berkuasa Tempatan, Polis DiRaja, Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), Jabatan Alam sekitar (JAS), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang tidak menjalankan tugas mereka dengan bersungguh-sungguh dan teratur seperti yang ditetapkan. Contohnya,Majlis Perbandaran tidak mengambil tindakan ke atas penjaja-penjaja tidak berlesen yang berniaga, pembinaan banguna-bangunan haram tanpa mendapat kebenaran Majlis Perbandaran; LPKP gagal mengambil tindakan ke atas pemandu teksi yang caj kadar teksi yang tinggi dan tidak mengikut meter;JPJ tidak bertindak ke atas pemandu-pemandu bas yang tidak mengikut laluan yang ditetapkan dalam lesennya;JAS tidak bertindak terhadap pemilik kilang-kilang dan pihak yang tidak bertanggungjawab yang mencemarkan udara dan membuangkan bahan-bahan dan sisa toksid merata-rata dan menjejaskan kesihatan orang ramai atau Mahkamah sering menangguhkan perbicaraan kes dan lambat menetapkan tarikh perbicaraan kes walaupun kes sudah lama difailkan oleh peguam.

UB: Sebelum ini, orang ramai pernah mengadu mengenai perkhidmatan yang tidak memuaskan termasuk kaunter dan telefon. Boleh jelaskan?

GA: Antara kualiti perkhidmatan yang tidak memuaskan ialah Jabatan/Agensi kerajaan tidak menyelenggarakan perkhidmatan dan kemudahan awam dengan baik dan sempurna. Contohnya, Guru Besar Sekolah, Jabatan Pendidikan Negara/Daerah tidak memperbaiki sekolah yang rosak dan bocor semasa hujan;Jabatan Agama yang tidak menjaga kebersihan tempat ibadat;

Majlis Daerah/Perbandaran tidak menjaga kebersihan pasar, membaiki jambatan yang tidak selamat, tidak menggantikan alat-alat permainan awam yang rosak, tidak membersihkan jalan-jalan, tidak mencuci longkang tersumbat dan penuh dengan sampah yang menyebabkan air tidak mengalir dan kemudian menjadi tempat pembiakan nyamuk, tidak membaiki lampu-lampu jalan yang tidak bernyala dan selalu rosak, tidak mengutip sampah sarap, tidak memotong rumput di padang-padang permainan.

Selain itu, guru-guru dan pengetua sekolah yang memukul murid-murid kerana kesalahan murid-murid atau tanpa sebab munasabah, doktor-doktor yang cuai semasa merawat pesakit-pesakit yang menyebabkan kecacatan dan kematian pesakit.

UB: Mengenai kegagalan penguatkuasaan? Ada juga yang mengadu mengenai kegagalan penguatkuasaan?

GA: Ya. orang ramai boleh mengadu jika terdapat kegagalan penguatkuasaan oleh Polis terhadap perlumbaan haram dan gejala penagihan dadah yang semakin membimbangkan orang ramai.Kegagalan penguatkuasaan oleh pasukan Polis terhadap kes kecurian dan kes ragut di kawasan kediaman atau Pihak Berkuasa Tempatan tidak mengambil tindakan walaupun banyak aduan telah dikemukakan mengenai bunyi bising yang disebabkan oleh kewujudan bengkel haram membaiki motosikal. Selain itu terdapat aduan selain daripada 9 kategori yang disebutkan itu, boleh juga dikemukakan kepada BPA JPM.

UB: Bagaimana caranya membuat aduan?

GA: Pengadu boleh hadir sendiri ke pejabat BPA Sabah di Tingkat 6, Menara MAA, Lorong Api-Api 1, Kota Kinabalu. Mereka juga boleh mengirimkan surat tanpa setem kepada Ketua Pengarah, Biro Pengaduan Awam, Jabatan Perdana Menteri, Peti Surat 9000, Kuala Lumpur.

Pengadu juga boleh melayari laman web www.pcb.gov.my atau menelefon 088-280300 atau faks 088-280301. Selain itu mereka juga boleh menghantar sms kepada 15888.Contohnya SMS ialah BPA ADUAN (aduan anda) hantar ke 15888.

Selain itu mereka juga boleh mengunjungi Kaunter Aduan Bergerak (KAB), Kaunter Aduan Bergerak Bersepadu (KABB)dan program Mesra yang sentiasa diadakan.Kaunter Aduan Bergerak BPA melibatkan dua atau tiga agensi diadakan 12 kali setahun, biasanya diadakan di kawasan pedalaman manakala KABB yang melibatkan 20 agensi diadakan tiga kali setahun yang dikendalikan oleh pegawai BPA dan jabatan dan agensi setemoat secara bersemuka dengan masyarakat setempat bagi memberi peluang kepada mereka membuat aduan atau menyatakan ketidakpuasan hati terhadap sebarang tindakan pentadbiran kerajaan termasuk juga agensi kerajaan yang diswastakan.

Program Mesra pula merupakan satu majlis dialog antara Ketua Jabatan di peringkat negeri dan daerah dengan orang ramai yang terdiri daripada pemimpin masyarakat, persatuan penduduk, petani, nelayan dan sebagainya.