Isnin, 21 Jun 2010

Terkenang peristiwa ketika menonton bola

Tags

Piala Dunia mengingatkan saya tentang ajinomoto, yang oleh orang kampung saya dipanggil misin. Mungkin semua orang tahu, ajinomoto bukanlah nama pemain bola melainkan ia merupakan perencah penambah sedap masakan. Tetapi kerana lambat membeli ajinomoto, saya hampir dirotan oleh ina' yang bermaksud ibu dalam bahasa Iranun. Keterlambatan itu disebabkan kerana saya terleka menonton perlawanan bola antara kampung-kampung yang diadakan di Padang SRK Tamau.

Saya disuruh membeli ajinomoto kerana ketika itu, ina' sedang memasak. Tetapi sehingga mereka siap masak dan makan, saya yang ditunggu-tunggu itu tidak juga pulang-pulang. Maka bapa kemudian mencari saya dan menemui saya sedang asyik menonton bola.

Beliau tidaklah memukul saya. Sebaliknya menyuruh saya pulang. Tetapi esoknya saya datang lagi untuk menonton bola. Bolasepak ketika itu merupakan salah satu acara keramaian di kampung kami. Hampir semua kampung berhampiran menyertai pertandingan liga kampung itu.

Saya teringat antara pemain yang jadi idola belia kampung ialah armawan, yang selain laju pandai menggelesek bola. Juga Abdul Gais, upok dan akiah.Imbut selalu bermain sebagai penjaga gol. Rakim selalu tidak ketinggalan bermain bula.Sawi juga. Mukaris, Mokdin juga pemain yang bagus.

Pemain-pemain dari kampung lain yang terkenal termasuklah Bidar dari Kampung Sarang. Juga Jack dari Taun Gusi.Kedua-duanya berbadan besar dan bermain di posisi pertahanan seperti Santokh Singh dan Soh Chin Aun. Dari perlawanan bola itu juga saya mengenal pemain seperti Akim, Ibadat,Batun,ParbikIntam dan lain-lain lagi darin Kampung Rampayan dengan penjaga gol mereka bernama Yusuf, yang mungkin penjaga gol terbaik ketika itu.

Dari kampung Kotabungan, yang terkenal ialah Jaafar Sidik, Mohd Saibi . Dari Peladok, ada nama Eping, Cikgu Lalim, dan banyak lagi yang saya tak ingat.

Sejak dulu lagi saya memang minat menonton bola. Barangkali kerana di kampung kami tak ada aktiviti lain. Ketika itu juga pasukan Sabah sedang berada di kemuncaknya dan kami anak-anak kecil hanya mendengar perlawanan itu melalui siaran jam 4.15 petang yang ke udara dengan juruhebahnya Ismail Tahir.

Sabah pernah memiliki pasukan bolasepak yang kuat. Selalu berada di kelompok empat terbaik di Malaysia. Yang terbaik selalu Selangor atau Singapura dan dikuti pasukan Pahang.Sabah berada di tempat keempat dalam Piala Malaysia ketika itu.

Siapa yang tidak kenal dengan nama Hassan Sani yang digelar Lipas Kudung itu. James Wong, Peter Rajah, Awang Sabtu, Razali Zinin, Rashid Piut, Paulus Jimit dan ramai lagi. Dari Kota Belud, ada nama Saidun Sungit. Pernah ada nama Awal Taham. Tony Wong, Jhonny Wong dan ramai lagi.

Tetapi setiap kali ada kejohanan bola sepak di kampung kami, saya tidak terlepas untuk menontonnya. Meskipun bukan seorang pemain bola yang baik, saya ialah penonton dan pengulas bola yang baik di kalangan kami anak-anak ketika ketika itu.

Bolasepak memang permainan untuk semua orang, tanpa mengira warna kulit atau agama. Bolasepak adalah satu-satunya permainan yang boleh dimainkan semua orang tanpa mengira bentuk rupa, wajah atau tubuh mereka.

Saya tertarik dengan rencana Majalah TIME yang mengatakan bahawa 715.1 juta orang menonton Piala Dunia di 400 saluran di 208 negara.

Apa kata Samuel Eto'o dalam wawancaranya kepada TIME baru-baru ini. Katanya, bolasepak adalah senjata terbaik bagi melawan konflik politik. Soccer is the best weapon against political conflict. Saya fikir Eto'o benar ketika dia berkata begitu.