Jumaat, 30 April 2010

Kaniogan yang tidak dapat dilupakan

Tags








KANIOGAN, YANG TIDAK DAPAT DILUPAKAN
Oleh ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN
abdnaddin@yahoo.com
SIAPA yang pernah ke Kaniogan, pasti tidak akan melupakannya. Kaniogan merupakan sebuah pulau yang terletak di Daerah Beluran dan mempunyai penduduk seramai kira-kira 1,000 orang. Pulau yang pernah menjadi persinggahan para pedagang juga merupakan sebuah pulau yang terkenal dengan lambaian pohon-pohon kelapa, sehingga ia mendapatnya namanya Kaniogan, yang bererti pulau yang ditumbuhi pohon-pohon kelapa.
Barangkali ada sesuatu yang menggamit rombongan Badan Belia USIA (Pertubuhan Islam Seluruh Sabah) untuk membuat Kembara Dakwah dan Ziarah Belia USIA dengan kerjasama Belia USIA Beluran ke pulau itu. Ketua Badan Belia USIA, Abd.Hakim Haji Ghulam Hassan dan ahli rombongan yang terdiri daripada Setiausaha, Ustaz Jadmin Haji Mohd.Soon, Ahli Jawatankuasa Haji Awang Juri Ag Tahir dan Naib Ketua Belia USIA Tungku, Abdul Rahman Ahmad begitu teruja untuk ke Kaniogan dan melihat sendiri kehidupan masyarakat dan perkembangan dakwah Islam di pulau itu.
"Kami berangkat jam 10.30 pagi dari jeti Beluran, " kata Abd.Hakim. Mulanya ada rakan yang gentar kerana perahu tidak punya pelampung atau jaket keselamatan manakala cuaca panas terik, sesuatu yang dianggap biasa oleh penduduk kampung.
"Setelah mengharungi perjalanan lebih sejam berada di tengah laut, akhirnya kami tiba kira-kira lima minit sebelum jam 12.30 tengahari," katanya. Dari sana, kami telah ditunggu oleh pemimpin di kampung itu dan seterusnya di bawa ke rumah Datuk Haji Madlis Abd.Aziz, Ketua USIA Bahagian Beluran.
"Kami dijamu makan dengan makanan yang sedap dan ikan segar dari laut. Tetapi yang amat mengesankan ialah keramahtamahan penduduknya yang sangat menghormati tetamu," kata Abd.Hakim lagi.
Sambutan penduduk terhadap program itu sangat luar biasa, kata rakannya Abd.Rahman. Beliau yang pertama kali ke pulau itu berasa tidak asing lagi dengan kehidupan penduduk. Bahkan ketika waktu maghrib tiba, penduduk kampung memenuhi masjid bagi mendengar ceramah.
"Sampai saja disana, kami tidak terasa yang kami berada di tempat orang.Mereka seolah keluarga kami sendiri," katanya lagi.
Majlis didahului dengan ucapan-ucapan. Ketua USIA Bahagian Beluran, Datuk Haji Madlis terharu dengan kunjungan Badan Belia USIA itu dan menceritakan serba sedikit mengenai masyarakat kampung dan kehidupan mereka.
Beliau berkata, kunjungan seumpama itu mendekatkan lagi masyarakat Kaniogan dengan kegiatan-kegiatan dakwah yang dirangka oleh Belia USIA.
Kemudian ia dituruti dengan ucapan oleh Ketua Belia USIA, Abd.Hakim Haji Ghulam Hassan yang memberitahu mengenai matlamat program kembara dakwah itu dalam usaha Belia USIA mendekati golongan belia di peringkat akar umbi.
"Generasi muda haruslah menghargai usia muda mereka dan jangan terpengaruh dengan gejala-gejala sosial," katanya lagi.
Belia USIA mahu mahu mengajak golongan belia supaya menyedari peranan mereka dalam usaha pembinaan negara yang damai dan sejahtera. Belia USIA kini sedang dalam rangka untuk mengunjungi kesemua 25 bahagian untuk bertemu dengan Belia USIA Bahagian bagi membangkitkan semangat mereka demi kemajuan dan pembangunan ummah. Sebelum ini, Belia USIA telah mengadakan beberapa program dengan kerjasama Belia USIA Bahagian seperti di Sipitang, Sandakan, Tungku, dan sebagainya.
Ceramah agama yang disampaikan oleh Ustaz Haji Awang Juri Awang Tahir,seorang dai yang juga Ahli Jawatankuasa Belia USIA juga mendapat sambutan masyarakat kampung. Ustaz Haji Awang Juri mengajak mereka supaya terus menghayati ajaran agama yang murni dan sejati. Beliau juga menekankan betapa pentingnya pembinaan sebuah generasi Islam yang berteraskan Quran sebagai panduan hidup dan masav depan mereka.
Program pada malam itu juga diserikan dengan persembahan nasyid daripada penduduk kampung. Sebelum acara bermula, penduduk kampung berdiri bersama-sama menyanyikan lagu Negaraku dan Sabah Tanahairku "Orang kampung tidak berganjak dari tempat duduk mereka sehingga majlis berakhir.
"Selepas itu, kami dijamu bubur kacang, " kata Abd.Hakim lagi. Pengalaman itu turut meninggalkan kenangan kepada Ustaz Haji Awang Juri, yang telah banyak berkeliling Sabah untuk berdakwah tetapi agak risih berdepan dengan laut.
Pemimpin masyarakat yang disegani, Datuk Haji Madlis Abd.Aziz telah berjaya memimpin kampung itu dengan begitu baik. Malahan beliau mendapat sokongan dan bantuan daripada Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman dan Ahli Parlimen Beluran, Datuk Ronald Kiandee yang kini Timbalan Yang Di Pertua Dewan Rakyat.
"Sepanjang Kerajaan BN memerintah, Kaniogan telah mendapat peruntukkan sebanyak RM14 juta untuk projek pembangunan di pulau ini," kata Datuk Haji Madlis. Projek Bekalan Elektrik luar bandar telah dilaksanaka, rumah PPRT, Sekolah Agama Rakyat, sekolah rendah, rumah guru dan sebagainya. Projek-projek jalan kampung juga banyak dilaksanakan menyebabkan kampung itu boleh menjadi sebuah kampung yang maju.
"Cuma mereka meminta masjid yang lebih besar kerana masjid yang ada sekarang tidak dapat menampung jemaah," kata Abd.Hakim lagi.
Banyak peristiwa yang mengesankan sepanjang di Kaniogan, katanya lagi. "Ada sebuah cerita mengenai bantuan zakat. Ada 80 orang yang layak menerima bantuan kerana tergolong miskin dan tidak berdaya, tetapi hanya 30 orang yang mendapat bantuan zakat.
"Apa yang paling mengharukan ialah tanpa diminta, 30 orang yang menerima bantuan zakat itu pula membahagi-bahagikan bantuan itu sama rata dengan kepada 50 orang lagi yang tidak menerimanya. Jadi kesemua 80 orang itu mendapat jumlah yang sama," katanya, dan ini semua dilakukan dengan ikhlas, tanpa paksaan. Ia kekendak mereka sendiri, dan ditambah lagi dengan masyarakat yang prihatin dan bantu membantu di kalangan mereka, semua suka duka, pahit manis ke kampung itu dirasai dan ditemuhi bersama.
Abd.Hakim merasakan waktu kembara dakwah di Kaniogan sangat singkat.Begitu juga yang dirasai oleh rakan-rakan seperjalanannya. Pada pagi hari kedua, selepas dihidangkan sarapan, mereka dibawa berkeliling di sepanjang pulau itu.
"Kami berjalan kaki selama kira-kira 45 minit... Melawat beberapa tempat, melawat kebun tembikai dan lokasi-lokasi menarik di kampung itu," katanya.
Akhirnya tibalah masa untuk kami pulang. Kami seolah tidak ingin meninggalkan pulau itu yang mempunyai penduduk yang kaya budi bahasanya.
"Kami berasa benar-benar seronok berada di pulau itu. Budaya hormat menghormati, ramah tamah penduduknya menjadikan perjalanan ke Kaniogan tidak dapat kami lupakan," kata Abd.Hakim yang masih terkenang kenang tentang kecantikan pulau dan keindahan silaturrahim di kalangan masyarakat. Seolah ada perasaan kasihsayang yang mengikat kami dengan penuh persaudaraan.
Sebelum turun ke bot untuk berangkat pulang, Datuk Haji Madlis sendiri membacakan doa supaya selamat dalam perjalanan."Siapa yang datang sekali, mesti mahu datang dua kali, " katanya.