KFC ADAKAN KEMPEN KUKUHKAN JENAMA
KOTA KINABALU: "Apabila kita menyebut nama KFC, ia bukan setakat mengingatkan kita kepada makanan yang lazat, berkhasiat, seimbang, harga yang berpatutan dan memberi nilai kepada wang kita.
"Tetapi kita sebenarnya bercakap tentang sesuatu yang mengisi ruang istimewa di dalam hati ramai orang dan begitu hampir dengan mereka," kata Raja Chandra Lingham, Pengurus Pemasaran KFC (Sabah) Sdn.Bhd.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Pelancaran Kempen Baharu KFC untuk Kukuhkan Jenama bertemakan "Segalanya indah bersama KFC" di Wawasan Plaza, dekat sini, petang kelmarin.
KFC melancarkan kempen pemasaran terbaru untuk memperteguhkan lagi jenamanya yang kukuh di pasaran restoran makanan segera di Malaysia.
Sejak memulakan operasi pada tahun 1973, KFC kini mempunyai 520 cawangan di Malaysia, Singapura dan Brunei dan merupakan rangkaian khidmat makanan segera terkemua di Malauysia dan rantau ini.
Sementara itu, Pengarah Urusan KFC Holdings (malaysia) Bhd, Jamaludin Md.Ali dalam kenyataannya berkata, jenama kami berkembang diiringi dengan generasi rakyat Malaysia.
"KFC dan rakyat Malaysia sebenarnya berkongsi satu hubungan yang begitu istimewa, peribadi dan erat dan kempen ini dilancarkan untuk mengukuhkan lagi jenama kami dan memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada para pelanggan kami," katanya.
Sempena dengan kempen itu, KFC turut melancarkan Combo Meal baharu yang dikenali sebagai `Melody Meal'.
Ia mengandungi dua ketul ayam goreng, satu coleslaw, minuman berkarbonat dan tabung syiling berirama Colonel dengan harga RM18.50.
Menurutnya, ia dinamakan Melody Meal kerana tabung syiling berirama yang berkuasa bateri ini memainkan tiga lagu lama yang popular-Fur Elise, Oh Suzanna dan Goosey Goosey Gander-secara bergilir-gilir setiap kali wang syiling dimasukkan ke dalam slot syilingnya.
Tabung syiling berirama ini yang juga boleh dibeli secara berasingan pada harga RM8.50 dengan mana-mana produk ayam lain, bermatlamat untuk menyemai tabiat menabvung di kalangan kanak-kanak.
Sebagai sebahagian daripada kempen tersebut, rangkaian restoran makanan segera ini turut melancarkan kemeja T penampilan baru untuk krew restorannya.
KFC membelanjakan lebih daripada RM3 juta bagi tujuan pengiklanan dan promosi kempen ini, yang meliputi iklan tv, radio dan akhbar, serta publisiti di dalam restoran.
"Kami meletakkan matlamat untuk mencapai pertumbuhan dua angka dalam keuntungan dan jualan setiap tahun dan kempen ini merupakan inisiatif pemasaran jangka panjang yang penting bagi menjayakan matlamat itu," katanya.
"Kempen ini akan membantu kami berhubung dengan para pelanggan dengan cara yang lebih mesra dan menyentuh emosi, serta diharapkan agar kempen ini akan dapat meningkatkan lagi jenama kami ke tahap yang lebih tinggi," tambahnya.
Restoran KFC menghidangkan pelbagai jenis kombinasi hidangan bernilai untuk wang berasaskan Resipi Asli (OR) dan Hot & Spicy, hidangan sampingan, sandwich dan burger.
JENAMA BARU...Kelihatan dalam gambar krew KFC, dari kiri, Vivien Angel, Chandran Sreedheran,Faridah Ismail dan Ben Andrian Sinimun bersama jenama terbaru KFC.